Selasa, Oktober 13, 2009

PR ISA MEMANG HEBAT


Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr. Tan Seng Giaw mengakui faktor keperibadian calon menyebabkan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, semalam.

Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, semua pengundi berbilang kaum di Bagan Pinang telah mengenali calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai pemimpin yang mesra rakyat.

Tambahan pula, katanya, sebagai bekas Menteri Besar selama 22 tahun, sudah tentu Mohd. Isa telah banyak membantu pengundi di kawasan berkenaan.

''Dia boleh bergaul dengan semua kaum, orangnya amat mesra, itu memang kita tahu tapi dalam pilihan raya walaupun dia mesra kita mesti lawan, kalau tak lawan tak boleh.

''Dalam politik banyak perkara mesti dipertimbangkan, salah satunya keperibadian. Dia bersekolah di situ, membesar di situ, siapa yang tak kenal dia?," katanya sewaktu dihubungi semalam.

Seng Giaw berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekalahan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar yang sekadar mendapat 2,578 undi berbanding Mohd. Isa sebanyak 8,013 undi.

Dalam perkembangan berkaitan, Seng Giaw berkata, status Bagan Pinang sebagai kubu kuat BN turut membantu kemenangan Mohd. Isa.

Katanya, dalam pilihan raya umum yang lalu, walaupun tiga kawasan DUN dalam Parlimen Teluk Kemang dimenangi pakatan pembangkang, Bagan Pinang dan Linggi tetap berjaya dipertahankan BN.

Mengenai lebih 4,000 undi pos tentera pula, Seng Giaw berkata, beliau enggan membuat tuduhan mengenai kewujudan sebarang unsur penipuan.

Namun katanya, di mana-mana negara sekalipun undi tentera akan berpihak kepada kerajaan kecuali bagi angkatan tentera yang memberontak.

SELAMAT KEMBALI


Tiga hari saya tidak berada di Kuala Lumpur menyebabkan blog ini tidak dapat diupdatekan. Pada hari Sabtu lalu saya ikuti rombongan santai selebriti-media ke Sutera Beach Resort, Merang, Terengganu.

Program tiga hari dua malam itu adalah anjuran Anita Production yang mempromosi lima artis baru. Dua artis M. Nasir iaitu Ocham dan Zenn, adik kepada penyanyi popular, Shidee. Manakala dua orang lagi dua beradik, Zoufi dan Zwen dari Serendah dan seorang lagi artis wanita, Jocye Saayan.

Kami sampai jam 5.30 petang di Sutera Beach Resort dengan bas persiaran yang ditaja oleh Discovery Global Sdn. Bhd. Tuanpunya syarikat bas itu, Richard Moo dan Irwan Lee turut bersama dalam rombongan kami seramai 40 orang yang disertai oleh artis, media dan staf Anita Production.

Malam itu hotel mengadakan rumah terbuka sempena hari raya aidilfitri. Majlis itu yang diserikan oleh nyanyian lima artis baru turut dihadiri oleh Tengku Temenggong, Tengku Badrul dan isteri. Majlis itu amat meriah kerana hotel mengundanghampir 200 orang hadirin termasuk Ketua Polis Daerah Setiu.

Pada hari ahad, kami ke Pulau Bidong snorkeling dan diving. Hanya orang yang ada lesen diving sahaja dibenarkan diving.Oleh kerana bot terhad, maka 16 orang sahaja yang pergi ke Pulau Bidong.

Petang media sibuk menemubual Pengurus Besar hotel, Malizan yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang perhotelan. Beliau memulakan kariernya ketika berusia 16 tahun di hotel Cashuarina Ipoh sebagai waiter. Beliau telah membuktikan bidang perhotelan merupakan industri yang cerah kepada orang bawahan sepertinya yang boleh meningkat dari waiter hinggalah ke pengurus besar.

Hotel ini juga menyediakan spa di mana jari-jari lembut Raja Jamilah sempat mengurut model kami, Zenn sampai tertidur. Zenn jadi model kami untuk shooting majalah kami.

Lima artis baru turut ditemubual oleh wartawan Sukses, Business Kini, Libur,Maskulin dan Sinar Harian. Krew Muzik-Muzik TV3 dan Diva TV1 turut sama membuat liputan majlis tersebut.

Petang itu kami bermain bola sepak pantai lawan staf hotel. Kami kalah teruk begitu juga pasukan netball kalah di mana oleh kerana pasukan kami kekurangan pemain wanita, terpaksalah pemain lelaki turut main netball.

Pada malamnya majlis lebih santai di mana kami mendengar lagu-lagu dendangan residen artis, Adi Putra yang menghiburkan para pelancong dari Jerman, Itali dan England. Saya turut diundang menyanyi sebuah lagu Biar Bulan Tanpa Bicara di mana inilah kali kedua saya menyanyi secara terbuka tanpa karaoke. Kali pertama di KL International Hotel tiga bulan lepas menyanyi di coffee house dengan lagu yang sama.

Hari terakhir, semalam kami check out pada jam 12 tenghari dan sebelum pulang kami singgah di Kedai Payang. Jam 4.30 petang kami bertolak balik ke Kuala Lumpur dan tiba di destinasi,Pandan Indan pada jam 12.30 malam. Terimakasih Anita Production yang sudi mengundang kami ke majlis santai bersama selebriti media ini. Setelah begitu lama sibuk dengan tugas,maka sekali sekala bersantai di Merang memang menyeronokkan.

Jangan lupa tonton tv1 pada jam 1.45 tengahari ini Diva buat liputan majlis santai selebriti-media anjuran Anita Production ini.

Sabtu, Oktober 10, 2009

JANGAN ULANGI KESILAPAN LALU


Pengundi di Bagan Pinang diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu apabila mereka memilih pemimpin pembangkang sebagai anggota Parlimen Teluk Kemang pada pilihan raya umum lepas, yang ternyata tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata penduduk di Bagan Pinang perlu bijak membuat pertimbangan dalam membuat keputusan pada pilihan raya kecil itu Ahad ini agar mereka tidak menyesal di kemudian hari.

"Kita jangan terlalu ikut perasaan hingga kita buat kesilapan, dulu masa pilihan raya umum 2008, ramai yang tak sokong (Datuk S.) Sothinathan (calon BN Parlimen Teluk Kemang), kata calon kita tak bagus, tapi akhirnya dapat Datuk Kamarul (Baharin Abbas) (calon Parti Keadilan Rakyat (PKR)), sekarang langsung jadi wakil rakyat bunian...hilang, dan ini pengajaran kepada kita semua.

"Pada 11 haribulan ni jangan buat silap lagi... cukuplah sorang wakil rakyat bunian ni," katanya selepas menerima 80 borang keanggotaan anggota PKR Teluk Kemang yang menyertai Umno di Bagan Pinang.

Katanya keputusan penyokong parti pembangkang itu adalah langkah bijak sekaligus membuktikan bahawa PKR bukanlah sebuah parti yang boleh diharapkan untuk masa depan negara.

Mohd Isa yakin bahawa lebih ramai pengikut PKR akan mengambil langkah menyertai BN selepas ini, bukan sahaja di kawasan Teluk Kemang malah di kawasan lain kerana kepercayaan penyokong pembangkang terhadap pimpinan dan parti itu kian terhakis.

Mengulas mengenai hari-hari terakhir kempen sebelum hari pengundian Ahad ini, beliau yang merupakan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang berkata jentera parti sehingga ke saat ini telah menjalankan tugas dengan baik dan meyakinkan beliau untuk mempertahankan kerusi di kubu kuat BN itu.

Ditanya pemberita, adakah majoriti undi kali ini dapat mengatasi keputusan pilihan raya sebelum ini, beliau berkata :"saya tak kira lagi...beribu-ribu".

Mohd Isa berkata matlamat utama BN adalah untuk memenangi pilihan raya kecil itu manakala matlamat kedua adalah untuk menambah majoriti yang diraih sebelum ini, bagaimanapun beliau sedar, pihak pembangkang pasti hendak mengurangkan jumlah itu.

Kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi BN dengan majoriti 2,333 undi pada pilihan raya umum lepas, kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor pada 4 Sept lepas.

Jumaat, Oktober 09, 2009

LAJIM CADANG ORANG BARU KENA TUNGGU TIGA TAHUN



Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Lajim Ukin mencadangkan supaya anggota yang baru menyertai parti itu tidak menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi dalam parti selagi keanggotaannya belum mencukupi tiga tahun.

Beliau berkata selain bertujuan melindungi kemuliaan taraf jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan anggota (MT), langkah itu bertujuan memberikan kefahaman kepada anggota baru mengenai perjuangan parti.



"Kita memikirkan tentang keutuhan parti supaya tidak tercemar dan harus difahami oleh anggota parti. Tujuannya bukan untuk menghalang (seseorang anggota) daripada bertanding tapi asalkan dia mengikut syarat yang ada yang ditetapkan parti.



"Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) tak nak ada lagi sekatan. Benarkan sahaja orang bertanding, tidak ada kuota, tidak ada syarat. Tetapi kita memikirkan kalau itulah yang akan berlaku, maka esok saya masuk Umno, saya boleh lawan apa juga jawatan. Janganlah hari ini masuk, esok terus bertanding," katanya ketika ditemu bual Bernama di sini pada Jumaat.



Selain itu, Lajim yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort, Sabah berkata pada pandangannya, untuk bertanding sebarang jawatan tertinggi contohnya Presiden dan Timbalan Presiden, seseorang itu mestilah menjadi anggota MT selama dua penggal untuk jawatan Presiden dan satu penggal untuk jawatan Timbalan Presiden.



"Implikasi yang akan terjadi dalam kelonggaran ini ialah pertama, orang bukan serius bertanding tetapi hanya memerlukan (jawatan) sahaja atau pun sengaja nak ikut bertanding. Jadi, kita tak nak itu (berlaku). Sekurang-kurangnya anggota itu perlulah menjadi anggota (Umno) selama tiga tahun," katanya.



Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan pindaan perlembagaan Umno dan kenyataan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya diadakan satu syarat baru bagi memastikan jawatan tertinggi dalam Umno berada di tahap yang dihormati selepas ketiadaan sistem pencalonan atau kuota.



Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun berpendapat cadangan itu bukan bertujuan menyekat mana-mana anggota parti daripada bertanding.



"Kita setuju supaya Presiden dan Timbalan Presiden (dipertandingkan)... tetapi bagi sedikit syarat supaya tidak sewenang-wenangnya orang Umno yang telah menjadi anggota bertanding jawatan Presiden. Untuk bertanding itu dia ada hak tetapi kelayakan untuk bertanding Presiden dan Timbalan Presiden itu mungkin belum sampai.



"Orang yang baru kena belajar cara kepimpinan, kena belajar tentang perjuangan sebenar, belajar bagaimana kita sama-sama boleh menyumbang kepada arah kekuatan parti.



"Bukan masuk parti terus pegang jawatan. Kita tidak akan dapat anggota yang berkualiti dan komited dalam perjuangan dan bukan (tujuan) kita (untuk) halang dia jadi calon," katanya.



Ditanya sama ada cadangan pindaan itu, yang turut menambah jumlah perwakilan seramai 2,500 ke Perhimpunan Agung Umno mampu menghapuskan politik wang dan menjadikan proses pemilihan lebih telus dan demokratik, Lajim berkata jika pindaan baru itu dihayati oleh segenap anggota parti, maka ia dapat menghapuskan politik wang.


"Sistem (yang ada) sekarang ini baik, tapi anggota-anggota parti yang tak ikut sistem ini, tak laksanakan sistem ini dan tak menghayati peraturan Umno. Sepatutnya tak ada masalah kalau ahli parti tidak menerima rasuah, tak minta rasuah, tak beri rasuah dan ia tidak akan berlaku.



"Sistem baru yang akan diperkenalkan ini boleh menyebabkan berlaku rasuah jika anggota Umno tidak sedar dan insaf bahawa perbuatan rasuah adalah salah. Harapan kita supaya orang yang ada wang, yang ada dana ini, jangan buat supaya kita boleh memilih pemimpin yang berwibawa, berkualiti dan bijak," katanya yang juga Anggota Parlimen Beaufort.



Penetapan "Hari Pemilihan Umno" dan menghapuskan sistem kuota adalah antara cadangan yang terkandung dalam draf cadangan konsep pemilihan dan pindaan Perlembagaan Umno.Perhimpunan Agung Umno 2009 akan diadakan dari 13 Okt hingga 16 Okt ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

SMS KETUA PEMUDA PAS CETUSKAN KETEGANGAN


Penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan untuk melancarkan jihad terhadap UMNO boleh mencetuskan ketegangan.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, penyebaran SMS seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menimbulkan suasana bahaya.

Malah Razali turut menafikan sekeras-kerasnya insiden serangan menggunakan pedang Samurai seperti yang didakwa Naib Presiden Pas, Salehuddin Ayub.

Beliau turut meminta mangsa yang cedera sekiranya betul untuk bersemuka dengannya.

"Beritahu saya dan saya sendiri akan bersemuka dengan mangsa. Saya lakukan ini atas dasar tanggungjawab. Kalau saya nafikan pun mereka boleh kata macam-macam.

"Kalau betul beliau cedera, datang berjumpa dengan saya bagaimanapun setakat ini saya tidak menerima laporan polis mengenainya," katanya pada sidang akhbar di Bagan Pinang semalam.

Razali turut mengesahkan, beliau telah dihubungi oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar bagi membincangkan perkara itu dan meminta kedua-dua parti yang bertanding supaya tidak mencetuskan keadaan yang boleh huru-hara.

Pada masa yang sama, beliau juga mengingatkan semua jentera pilihan raya terutamanya jentera Pemuda UMNO mempertingkatkan disiplin dan berkempen secara berhemah.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan itu juga memperlihatkan pemimpin Pemuda Pas yang dilihat gemar untuk mencemarkan kempen pilihan raya selain tidak berdisiplin ketika berkempen.

"Ini bukan budaya kita hendak bergaduh dan mengisytiharkan perang. Saya telah memberitahu kepada pemimpin Pas supaya mengawal disiplin ahli-ahli mereka.

"Mana boleh dalam pilihan raya ini kita melancarkan perang sedemikian sedangkan kita adalah saudara seagama. Saya anggap perkara seperti ini tidak sepatutnya timbul," katanya.

Khamis, Oktober 08, 2009

4,602 PENGUNDI POS BUANG UNDI HARI INI


Para pengundi Pos bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang membuang undi hari ini di Pusat Asas Latihan Tentera Darat (Pusasda) dan Ibu Pejabat polis Daerah Port Dickson di sini bermula pukul 8 pagi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebanyak 4,602 undi pos telah dikeluarkan untuk tujuan tersebut iaitu membabitkan 4,571 anggota tentera dan 31 anggota polis.

''Kita membuat keputusan untuk membuka satu saja pusat pengundian (untuk pengundi pos tentera) atas permintaan pihak tentera yang bertanggungjawab ke atas kem-kem ini. Kalau terlalu banyak susah hendak dikawal.

''Sehubungan ini kita kumpulkan semua sekali di Pusasda esok," katanya selepas meninjau proses pengeluaran dokumen undi pos yang turut dihadiri ejen calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson semalam.

Wan Ahmad berkata, untuk proses undi pos esok hanya seorang wakil calon dibenarkan masuk bagi memantau proses pembuangan undi.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan ejen calon boleh memantau keseluruhan proses tanpa halangan.

Menjawab satu soalan beliau berkata, keputusan sama ada pembuangan undi pos akan dibuat dalam masa sehari atau dua hari bergantung kepada keadaan.

''Untuk undi pos ini juga tarikh terakhir untuk dipulangkan kepada SPR ialah pada 11 Oktober sebelum pukul 5 petang. Ini adalah khas untuk anggota tentera yang menjadi pengundi tetapi berada di luar Port Dickson," katanya.

Ujar beliau, sekiranya undi pos lewat diterima oleh SPR dalam tempoh masa yang ditetapkan ia akan dimasukkan ke dalam peti lain dan ia tidak akan dikira.

Rabu, Oktober 07, 2009

SYARAT BARU UNTUK TANDING


Satu syarat baru akan dibuat bagi memastikan jawatan tertinggi di dalam Umno berada di tahap yang dihormati selepas ketiadaan sistem pencalonan, kata Naib Presidennya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak bimbang dengan penghapusan sistem kuota itu cuma parti tidak mahu membuka peluang yang terlalu luas sehinggakan institusi jawatan itu boleh dipermain-mainkan oleh pihak-pihak tertentu.

"Kita tak nak, seorang yang bukan ahli Umno, besok mendaftar dan kerana tidak ada pencalonan, hari ini jadi ahli Umno besok bertanding Presiden, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Usul dan Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan untuk perhimpunan agung Umno yang akan datang di Bagan Pinang semalam.

Hishammuddin berkata mesyuarat itu membincangkan pengenalan satu syarat minimum untuk anggota-anggota baru dan ia akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas semasa Perhimpunan Agung itu nanti.

"Kita nak kemaskini sedikit kerana ada pandangan di bawah bahawa kita tidak mahu membenarkan sesiapa sahaja menawarkan diri dan pada bila-bila masa sampai, baru jadi ahli boleh mencabar jawatan-jawatan yang tertinggi dalam parti," katanya.

Katanya, ini semua merupakan petanda kepada tindakan awal untuk bergerak ke arah transformasi dan usaha serius untuk membawa perubahan mengikut kehendak ramai berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lepas.

Mengenai mesyuarat hari ini, Hishammuddin memberitahu, di antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai usul ucapan dasar Presiden parti dan pada tahun ini tidak ada usul lain lagi yang akan dibawa.

"Perkara kedua adalah berhubungkait dengan pindaan perlembagaan di mana kita telah pun bersetuju dan apa yang kita hendak bawa merupakan satu perkara yang begitu bersejarah, ianya mestilah mudah untuk semua fahami," katanya.

Selasa, Oktober 06, 2009

ROSNAH YANG MESRA RAKYAT


Kalau tidak silap saya, ini adalah penggal kedua Datuk Rosnah Haji Abd Rashid Shirlin menjadi ahli parlimen Papar. Kali pertama pada tahun 2004, tetapi beliau adalah ahli parlimen biasa. Ketika itu beliau menang tanpa bertanding sebagai naib ketua pergerakan puteri UMNO Malaysia pada tahun 2004.


Pada pilihanraya umum 2008, beliau sekali lagi diberi peluang bertanding di parlimen Papar. Selepas rombakan kebinet 2008, beliau kekal sebagai ahli parlimen biasa. Pada Mac lalu, beliau menang dalam pertandingan ketua puteri UMNO dalam pertandingan enam penjuru. Rosnah mengalahkan lima calon lain iaitu Shahaniza, Ida Rahayu, Bibi Sharliza. Ismalina Ismail dan Saarah.


Setelah Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri yang baru April lalu, sebagai Ketua Puteri UMNO, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan. Beliau mencatat sejarah kerana menjadi naib ketua puteri pertama yang menang dalam pertandingan ketua puteri. Bekas ketua puteri, Datuk Noraini Ahmad naik pangkat tanpa sebarang pertandingan pada tahun 2004.


Beliau juga pemimpin Sabah pertama yang dipilih menerajui sayap penting dalam UMNO iaitu pergerakan puteri UMNO. Saya tidak berpeluang menemubual beliau sejak beliau menjadi ahli parlimen pada tahun 2004. Jadi saya tak biasa dengan beliau.


Pada hari ini kali pertama saya menjejak kaki beliau di Putrajaya. Pada Februari lalu ketika bertugas dengan WATAN, WATAN turut menyiarkan wawancara penuh dengan beliau tetapi saya tidak dapat hadir sebaliknya menghantar wartawan kanan, Shahilan M. Alias untuk mewawancaranya.


Beliau adalah seorang timbalan menteri yang mudah ditemui. Saya hantar sms kepadanya minggu lepas untuk menemuinya. Dia suruh saya datang hari ini di antara jam 10 hingga 11 pagi atau dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang.


PRnya memang hebat. Bila pembantunya memberitahusaya bekas editor WATAN sdah sampai, beliau keluar dari biliknya me6yambut saya di ruang tamu. Saya teruja melihat sikap mesranya itu sedangkan beliau tak perlu keluar kerana gilirann saya untuk menemuinya masih lambat lagi.


Bila giliran saya tiba 30 minit kemudian, saya pun mewawancaranya untuk majalah Business Kini sambil minta tolongnya untuk mendapatkan iklan kempen sihat yang ada di kementeriannya seperti iklan tak nak merokok. Beliau dengan mudah merekomen permohonan kami kepada Tan Sri Ismail Merican, Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan. Jika semua timbalan menteri bersikap begini mudah ditemui rakyat dan mesra rakyat saya percaya rakyat akan hormati kerajaan BN yang tidak mempunyai pemimpin yang sombong.


Malah setiausaha sulit kananya, Sharifah Nazira Syed Basir Ahmad, seorang PTD turut melayani kami dengan mesra sewaktu menunggu surat sokongan daripadanya siap disediakan. Tahniah Rosnah!

PELIKNYA POLITIK


Sudah lama Tan Sri Isa Samad jadi wakil rakyat di Teluk Kemang dan sudah lama beliau jadi Menteri Besar Negeri Sembilan tetapi soal dia bukan anak Negeri Sembilan masih ditimbulkan oleh pembangkang.Isa memang dilahirkan di Melaka tetapi beliau dibesarkan di Bagan Pinang.

Itulah politik. Politik memang pelik. Soal Isa bukan anak Negeri Sembilan tidak perlu ditimbulkan kerana beliau sudah lama membesar di Bagan Pinang.Calon PAS walaupun dilahirkan di Negeri Sembilan tetapi dia tidak pernah kenal para penduduk Bagan Pinang.

Faktor calon tempatan bakal memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, 11 Oktober depan.


Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata BN bukan sahaja berpeluang menang tetapi mampu memperolehi majoriti yang banyak.

"Semasa lawatan saya ke sana (Bagan Pinang) jelas menunjukkan penduduk di kawasan itu menyenangi calon BN," katanya kepada pemberita pada jamuan sempena Aidilfitri di Bagan Pinang semalam.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya BN terpaksa memilih Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata tidak wujud isu sama ada BN terdesak atau tidak memilih Isa, apa yang penting calon berkenaan disukai ramai dan perlu di beri peluang.

Mengenai dakwaan pembangkang, Isa bukan dilahirkan di sana sebaliknya hanya dibesarkan di Bagan Pinang, Ismail Sabri berkata itu lagi bagus kerana calon akan lebih memahami keadaan dan keperluan penduduk di kawasan berkenaan.

Isnin, Oktober 05, 2009

ISA TAK KAN TERIMA JAWATAN EXCO


Insya Allah pada malam Ahad depan, Tan Sri Isa Samad akan diumumkan sebagai ADUN Bagan Pinang yang baru. Inilah kali pertama beliau bertanding di kampungnya sendiri sejak menjadi ahli politik pada tahun 1978.

Keyakinan Isa menang berdasarkan undi pos sebanyak 4,000 lebih. Kecuali semua pengundi pos gila, barulah PAS menang kerana 4,000 pengundi pos pangkah PAS semua. Seperti kata Menteri Besar, Mohamad Hassan, tidak semestinya undi pos pangkah BN, memang betul tetapi majoritinya akan mengundi BN. Jadi Isa akan jadi wakil rakyat undi pos seperti Datuk Zulhasnan Rafique yang menang di parlimen Setiawangsa kerana undi pos.

Semalam Malaysiakini melaporkan Mohamad Hassan enggan mengulas sama ada akan melantik Isa sebagai Exco Kerajaan Negeri jika beliau menang.

Sebagai bekas Menteri Besar dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, masakan Isa mahu menerima jawatan Exco kerana ia merendahkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin veteran. Beliau adalah bekas naib presiden UMNO. Masakan dia mahu terima jawatan yang rendah kecuali dia dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas pilihanraya umum 2012.

Soal bekas menteri jadi Exco bukan perkara luar biasa. Bekas Menteri Perusahaan Awam, Tan Sri Dr Yusof Noor (1990-1995) pernah jadi Exco Kerajaan negeri Terengganu (1995-1999). Jadi kalau Isa terima jawatan Exco tidak salah kerana sudah ada contoh yang boleh diteladaninya.

Kemenangan Isa sudah tentu menggugat beberapa orang ahli politik seperti Mohamad Hassan yang mungkin bimbang Isa akan merampas kerusi Menteri Besar dari tangannya. Apatah lagi Mohamad Hassan dikaitkan dengan Pak Lah maka Najib memerlukan Menteri Besar baru pada tahun 2012.

Kemenangan Isa juga bakal menggugat Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO.Pada tahun 2004, Isa menang besar mengatasi undi Muhyiddin dalam pertandingan Naib Presiden UMNO. Jika beliau tidak dihukum oleh Lembaga Disiplin UMNO atas kesalahan politik wang, sudah tentu Isa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan adalah pencabar kuat Muhyiddin bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO Mac lalu.

Isa lebih baik PRnya daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang kalah di tangan Muhyiddin setelah Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ali Rustam dilarang bertanding.

Dalam pertandingan Mac lalu, Isa kalah bertanding jawatan Naib Presiden UMNO kerana beliau bukan lagi seorang menteri kerana perwakilan memilih tiga orang menteri sebagai naib presiden UMNO iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi;Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Shafie Afdal.

PAS KENA MAIN DENGAN ANWAR IBRAHIM


Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyerahkan isu mengenai siapa yang layak memegang jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman.

"Saya tidak mahu komen apa-apa, ia diserahkan kepada Exco yang bertanggungjawab. Lebih baik tanya Mansor," katanya kepada pemberita selepas upacara pecah tanah pembinaan Tokong Guan Im Po Mo Gong di Jalan Raja Uda di Pulau Pinang semalam.

Isu jawatan YDP MAINPP hangat diperkatakan berikutan pendedahan surat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan melantik bekas pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Ellias Zakaria.

Bagaimanapun, kerajaan negeri gabungan parti pembangkang menjanjikan jawatan itu kepada Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man, sebagai memancing undi sekiranya beliau memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos lalu .

Surat perkenan itu telah diterima kerajaan negeri pada pertengahan Ogos lepas iaitu sebelum pilihan raya kecil itu diadakan tetapi pucuk pimpinan tidak mengumumkannya kepada orang ramai.

Pendedahan surat perkenan itu dibuat oleh Yang Dipertua MAIPP ketika ini, Shabudin Yahaya semalam. Shabudin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Itu yang peliknya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berangan jadi Perdana Menteri menjanjikan benda yang bukan dalam bidangnya sedangkan beliau tahu bahawa kuasa melantik Yang Dipertua MAIPP adalah bidang kuasa Yang Dipertuan Agong.

Menjelang pilihanraya kecil Permatang Pasir Anwar mengumumkan jika calon PAS, Salleh Man menang, beliau akan dilantik sebagai Yang Dipertua MAIPP. Oleh kerana calon PAS sudah kena main maka Lim Guan Eng perlulah melantik Salleh Man sebagai Exco. Gantikanlah seorang Exco dari DAP. Ramai sangat China jadi Exco, Guan Eng. Jika anda berjiwa besar lucut seorang DAP jadi Exco digantikan oleh PAS, baru orang Melayu Pulau Pinang tabik kepada anda.

Ahad, Oktober 04, 2009

MB NAFI RETAK DENGAN ISA


Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau merupakan antara orang pertama yang mencadangkan supaya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bertanding di Bagan Pinang.

Sambil menafikan tuduhan pihak pembangkang kononnya berlaku keretakan hubungan antara beliau dan Mohd Isa, Mohamad berkata perkara itu sengaja diada-adakan pembangkang sebagai modal politik semata-mata.

"Saya yang suruh dia, ramai yang saksi masa di hospital lagi, masa jenazah Allahyarham (Azman) ada lagi dalam wad, saya cakap, Tan Sri (Isa) bersiap untuk bertanding," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Persatuan Penduduk, Nazir Masjid, Pengurusan Kuil, Tokong dan Gereja Serta Badan Bukan Kerajaan sekitar Port Dickson di Bagan Pinang hari ini.

Mohamad berkata pada ketika itu Mohd Isa tidak memberi sebarang jawapan kepadanya sebaliknya meminta untuk berfikir terlebih dahulu mengenai permintaan itu.

Bagaimanapun, demi untuk memantapkan Barisan Nasional (BN), Mohd Isa menerima permintaan itu dan sanggup berkorban kerana rakyat di Bagan Pinang amat memerlukan khidmat beliau.

Mohamad yang turut ditanya mengenai pendekatan agresif parti lawan kali ini sehingga anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ditumbuk pada hari penamaan calon semalam, berkata budaya samseng sudah menular dalam parti pembangkang.

Menurutnya, insiden ganas dan liar seumpama itu bukan kali pertama berlaku dan beliau berharap penyokong parti pembangkang tidak akan bertindak keterlaluan semasa berkempen untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Pada pilihan raya kecil 11 Okt ini, BN meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa, 59, sebagai calonnya dan beliau ditentang Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar, 45.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian ADUN Bagan Pinang Azman Mohammad Noor pada 4 Sept lepas.

Azman, yang mewakili BN, menang kerusi DUN Bagan Pinang dalam pilihan raya umum 2008 setelah menewaskan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

KU NAN NAFI KELUAR SURAT


Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menafikan beliau telah menulis surat kepada Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan supaya memilih Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku calon BN pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Katanya surat yang menggunakan kepala surat rasmi Setiausaha Agung Umno itu yang kononnya ditandatangani beliau, adalah dipalsukan oleh pihak pembangkang.

Perbuatan itu merupakan taktik kotor terbaru pihak pembangkang dalam usaha memburuk-burukkan hubungan antara Ibu Pejabat UMNO, ahli Majlis Tertinggi (MT) parti dengan badan perhubungan negeri dan Umno bahagian Teluk Kemang khususnya, katanya.

Antara kandungan surat palsu itu, yang kini dimuatkan di laman web Umno-Online dituliskan seperti berikut: "Pihak Majlis Tertinggi amat dukacita memaklumkan bahawa calon yang dicadangkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan terpaksa ditolak kerana Presiden parti mahukan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon PRK N31 Bagan Pinang."

Tengku Adnan memberitahu Bernama bahawa surat berunsur fitnah itu kini sudah diedarkan secara meluas di sekitar kawasan Bagan Pinang dalam usaha untuk memecah belahkan Umno yang dilihat begitu utuh di Bagan Pinang.

"Saya tidak pernah mengeluarkan surat itu, itu satu pembohongan, ia surat yang telah dipalsukan oleh pihak pembangkang untuk memecah belahkan Umno khususnya di Bagan Pinang. Ini adalah taktik kotor parti lawan yang terdesak untuk memecah kubu kuat Umno," jelasnya.

Katanya beliau menyedari mengenai surat palsu itu setelah diberitahu pekerja parti yang meninjau aktiviti pembangkang di Bagan Pinang.

"Saya diberitahu tadi oleh pekerja parti, mereka jumpa surat yang diedarkan di kawasan itu (Bagan Pinang), mereka tanya kepada saya adakah itu surat betul, saya jawab saya tak pernah keluarkan surat itu, tanda tangan itu palsu," katanya.

Katanya beliau meminta agar jentera parti memantau perkara itu dan kalau ia berlarutan dan terus dijadikan modal politik parti pembangkang, beliau bercadang untuk melaporkan kepada polis.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Okt ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor, dari BN pada 4 Sept lalu.

KISAH SEORANG DATUK


Tengah hari tadi sekembalinya dari Bagan Pinang, saya dan boss serta suaminya singgah di rumah Datuk Maharajalela di Seremban. Datuk Maharajalela adalah kawan lama suami boss. Hubungan mereka tidak pernah putus sejak dari zaman bujang lagi.

Sesampainya di Seri Gombak, saya ajak boss dan suaminya singgah di rumah Datuk Mohd Jar. Rupa-rupanya boss saya pernah bekerja dengan Mohd. Jar atau Mohd.Jah. Dahulu dia pakai nama Mohd. Jah tetapi saya tak tahu apa sebabnya tiba-tiba dia tukar namanya kepada Mohd.Jar.

Sudah lima tahun saya tidak jumpa Mohd. Jar. Saya pun tak tahu kini dia sudah bergelar Datuk. Datuk dari Mindanao. Mohd. Jar kini kurus orangnya kerana sakit kencing manis. Saya sudah kenali Mohd. Jar sejak tahun 1987 lagi. Sudah 22 tahun saya mengenali beliau. Ketika itu saya bekerja dengan akhbar WATAN di Kuala Lumpur manakala beliau adalah stringer WATAN di Kemaman.

Saya banyak kenangan manis dengan beliau. Ketika beliau tinggal di Kemaman beliau menikahi seorang janda kaya.Lepas itu dia lama tak balik ke Kemaman. Saya yang jadi mangsa apabila isterinya datang ke rumah saya di Pasir Gajah mencarinya. Saya tak tahu nak jawab apa pasal saya sendiri pun tak tahu di mana beliau berada ketika itu.

Kelebihan Mohd. Jar bila kita temuinya di mana sahaja,bila kita tanya di mana letaknya pejabat baru, dia akan tunjuk bangunan yang ada berhampirannya sambil berkata, "Pejabat baru di bangunan itulah".

Kalau 10 tempat yang berlainan kita jumpanya, maka 10 bangunanlah dia akan tunjuk letaknya pejabatnya. Itulah kelebihan Mat Jar.

Saya sudah lama tak temuinya. Biasanya dia mudah di temui di parlimen setiap kali parlimen bersidang. Ada orang kata beliau sudah diblacklist tidak boleh masuk parlimen lagi. Wallahuaklam. Sebab itulah lama sungguh saya tak jumpanya.

Dia masih duduk di rumah lama di Seri Gombak, tetapi rumahnya sudah siap diubahsuai. Rumah baru lebih besar sesuai dengan kedudukannya sebagai Datuk Mohd. Jar. Kelebihan Mat Jar ialah isterinya waris semua pemimpin UMNO Terengganu.

Masa Tan Sri Dr. Yusof Noor jadi menteri dahulu, dia mendakwa bini mudanya yang berasal dari Besut adalah waris Dr. Yusof Noor. Bila Datuk Seri Idris Jusoh jadi Menteri Besar Terengganu, bini mudanya jadi waris Idris Jusoh pula.

Mat Jar bukan seorang siswazah. Tetapi kedua-dua isterinya adalah guru siswazah.Itulah kelebihan Mat Jar. Dia sukap cakap besar dari dahulu lagi. Bila saya nampak gambarnya terima pingat dari Sultan Sulu di dinding rumahnya, dia kata dia ada tiga pingat Datuk termasuk dari Negeri Sembilan dan Johor.

"Mana gambar terima pingat dari Sultan lain?" soal saya.
"Saya sakit lama masuk hospital jadi masa nak terima pingat di istana, saya tidak dapat hadir,"jawabnya selamba kerana saya sudah tahu perangainya yang suka cakap besar. Dia memang tak mahu orang lebih darinya.

Saya masih ingat suatu petang di parlimen selepas Dewan rakyat selesai bersidang dia berkata, "Lambat betul driver aku mari Zabidi".

Dalam hati, saya kagum kerana beliau ada driver.Ini sudah satu kemajuan.

"Mu mari naik apa Zabidi?" tanyanya.

"Naik kereta," jawab saya.

"Lecehlah driver aku. Lambat sokmo. Aku tumpangmu sorang sampai ke Chow Kit," kata beliau.
Saya tersenyum kerana saya sudah tahu Mat Jar kuat temberang. Mana dia mampu pakai driver ketika itu.

Satu kenangan lucu bersamanya dia anjurkan kursus kewartawanan di sebuah hotel di Kuala Lunpur.Beliau dapat tajaan dari seorang menteri.Bila sampai hari berkursus, menteri itu datang untuk merasmikan kursus itu tetapi menteri itu terkejut kerana hanya seorang sahaja peserta yang datang untuk mengikuti kursus tersebut. Alangkah malunya menteri itu dan terus balik tak jadi merasmikan kursus tersebut.

Banyak lagi kenangan saya dengan beliau yang tidak dapat didedahkan di sini. Beliau pernah ditahan reman ketika cari iklan untuk akhbar SEMASAnya di Kuala Terengganu di zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar kerana kononnya dia minta iklan sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu tanpa keizinan istana.

Melihat kembali sejarah hidupnya, saya tak sangka hari ini Mat Jar sudah bergelar Datuk. Tahniah Datuk Mohd.Jar!


Sabtu, Oktober 03, 2009

PADANG JARAK PADANG TERKUKUR


Ketika para pekerja mencari dan menyelamat sudah 72 jam bekerja keras menggali dan mencari mangsa dari celah-celah runtuhan lebih 11,000 bangunan akibat gempa 7.6 skala Richter (SR) Rabu lepas, dan sejak hari itu jugalah Sumatera Barat sudah digoncang 389 kali gempa bumi susulan.

Bagaimanapun gempa susulan itu yang berukuran lebih kecil iaitu antara 3.0 hingga 4.0 SR, mungkin tidak begitu dirasakan oleh penduduk tetapi masih berkemampuan mengakibatkan bangunan yang telah rosak strukturnya akibat gempa utama 7.6 SR itu, tiba-tiba runtuh dan mengancam nyawa.

Ketua Bidang Maklumat Awal Gempa Bumi dan Tsunami, Badan Metereologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, Jaya Murjaya berkata gempa susulan itu sifatnya hanya menghabiskan tenaga di dalam bumi setelah terjadinya gempa besar itu.

"Gempa susulan tidak akan melebihi 7.6 SR dan masyarakat tidak perlu takut, tapi waspada saja," katanya dalam laporan agensi berita Antara di Padang, hari ini.

Sehingga tengah hari Jumaat, Pusat Penanganan Bencana di Padang, mencatatkan 448 kematian akibat gempa bumi yang terjadi pada pukul 5.16 petang Rabu itu, manakala mereka yang cedera parah berjumlah 237 orang dan hampir 2,100 lagi cedera ringan.

Jumlah kes kematian yang dicatatkan paling ramai ialah di Kota Padang, ibu kota Sumatera Barat iaitu 197 orang, diikuti di daerah kecil Padang Pariaman (184) dan selebihnya di beberapa kawasan sekitar.

Bagaimanapun pelbagai media massa lain dengan memetik pelbagai sumber melaporkan jumlah kematian setakat ini sudah melebihi 700 orang.

Jumlah bangunan termasuk rumah yang runtuh dan rosak teruk ialah 11,945 buah dan hampir 10,000 lagi rosak.

Antara warganegara asing yang dilaporkan masih hilang ialah kira-kira 100 orang daripada sejumlah 250 warganegara Australia yang berada di Padang ketika kejadian itu.

Sementara itu Menteri Kesihatan Indonesia Siti Fadilah Supari dilaporkan berkata beliau menganggarkan jumlah kematian akibat gempa bumi itu tidak melebihi 4,000 orang manakala Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula dilaporkan berkata angka kematian mungkin mencapai 1,100 orang.

Jumaat, Oktober 02, 2009

DR MAHATHIR TETAP JADI TUMPUAN


Baru-baru ini saya berpeluang meliputi majlis Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di INTAN Bukit Kiara untuk majalah saya, Business Kini. Beliau merasmikan persidangan tahunan ke 14 perkhidmatan awam yang dihadiri oleh 600 orang peserta termasuk dari luar negara.

Muhyiddin telah menyampaikan ucaptamanya yang bertemakan merubah negara, membina masa depan dan melabur kemakmuran selama satu jam setengah.

Selepas ucaptama itu sepatutnya wartawan pelbagai akhbar balik ke pejabat masing-masing tetapi mereka tidak jadi balik kerana menurut program pada jam 12 tengahari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucapannya berjudul Wawasan 2020: Apa Yang Perlu Dilakukan Seterusnya?

Bagi wartawan, bukan mudah mahu bertemu dengan Dr Mahathir. Jadi inilah peluang mereka untuk menemu ramah beliau walaupun terpaksa menunggu satu jam setengah selepas ucaptama Muhyiddin selesai.

Dalam ucapannya itu Dr Mahathir mengakui bahawa Wawasan 2020 tidak akan tercapai jika strategi sekarang digunakan oleh kerajaan. Oleh itu, katanya, kerajaan kena tukar strateginya. Beliau mengakui jika cadangan gilannya itu diterima pakai oleh kerajaan, pada tahun 2020 akan menjadi negara maju dengan acuannya yang tersendiri.

Beliau secara sinis menyelar pegawai kerajaan yang tidak suka pergi ke pejabat kerana kononnya boleh buat kerja dari rumah dengan menggunakan lap top. Arahan kepada pegawai bawahan boleh dibuat melalui e mail,sms, facebook dan sms.

"Saya sebagai pesara jika tidak masuk pejabat, saya akan sakit. Saya tak boleh duduk diam di rumah. Sebab itu saya tetap masuk pejabat selain menyiapkan kerka dapat bertemu dengan orang ramai, " katanya.

Sambil berseloroh beliau berkata," If I don't work, I will die".

Dr Mahathir walaupun sudah enam tahun bersara tetapi tetap menjadi tumpuan orang ramai. Apa lagi ucapannya di kalangan kakitangan kerajaan memberi makna yang tersendiri untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Kebetulan hari itu saya berpeluang menemui Dr Mahathir sebanyak dua kali. Selepas bertemu di INTAN Bukit Kiara, sebelah petang pula pada jam 6, saya terserempak dengannya di The Mall. Dr Mahathir bersama pemandu dan pengawal peribadinya pergi membeli barang di The Mall. Sekali lagi orang ramai berebut mahu bersalam dengan beliau.

PENYAKIT JANTUNG SERANG ORANG MUDA


Jika dahulu, penyakit jantung sinonim dengan golongan berusia, tetapi kini ia mula menyerang golongan muda berusia di bawah 40 tahun kesan daripada corak pemakanan dan gaya hidup tidak sihat yang diamalkan mereka.

Ketua Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Madya Dr Oteh Maskon berkata kegilaan golongan itu terhadap teh tarik, roti canai, nasi lemak dan merokok, ditambah pula sikap malas bersenam menyebabkan mereka mudah mendapat penyakit jantung.

Beliau berkata dengan gaya hidup seperti itu, golongan berkenaan terdedah kepada risiko obesiti, penyakit darah tinggi dan kencing manis yang menjadi faktor utama menyebabkan penyakit jantung.

Ini terbukti dengan kira-kira lima peratus daripada 450 pesakit yang dimasukkan ke wad di PPUKM dalam tempoh setahun terdiri daripada golongan yang berusia bawah 40 tahun, yang rata-ratanya pada masa sama didiagnosis menghidap darah tinggi dan kencing manis, selain perokok, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Awam bertajuk "Degupan Jantung, Hembusan Nafas, Jangan Biarkan Ianya Berakhir" di PPUKM di Cheras hari ini.

Forum yang dirasmikan Pengarah PPUKM yang juga Dekan Fakulti Perubatan UKM Profesor Datuk Dr Lokman Saim itu diadakan sempena Persidangan Tahunan ke-12 Persatuan Torasik dan Kardiovaskular Surgeri Malaysia yang dianjur Pusat Jantung dan Paru-Paru, PPUKM.

Dr Oteh berkata pesakit jantung paling muda yang pernah dirawat di PPUKM berusia 23 tahun yang mempunyai masalah 'metabolic syndrome' selain sejarah keturunan.

"Kami juga ada pesakit jantung wanita yang berusia 38 tahun dengan tiga saluran jantungnya tersumbat dan dia juga dikesan ada kencing manis dan ini amat memeranjatkan kita kerana wanita pada usia itu sangat jarang dikesan ada penyakit jantung," katanya.

Beliau berkata selain corak pemakanan dan gaya hidup, pesakit jantung di kalangan golongan itu juga terdiri daripada mereka yang mewarisinya daripada keluarga dengan kadar tiga daripada 10 pesakit yang mendapat rawatan di hospital itu.

"Oleh itu adalah sangat penting untuk pesakit jantung, bukan sahaja daripada kumpulan ini malah mereka daripada kumpulan berisiko, menjaga pemakanan dan gaya hidup mereka sejak daripada awal lagi.

"Walaupun di mana-mana hospital ada pelbagai rawatan dan ubat yang boleh kita ambil untuk merawat penyakit jantung, langkah yang paling penting ialah pencegahan," katanya.

Beliau berkata melalui amalan makan secara sihat, tidak merokok dan bersenam selain membuat pemeriksaan perubatan secara berkala boleh membantu seseorang itu mengetahui tahap kesihatan mereka dan rawatan awal boleh diambil jika dikesan mempunyai penyakit itu.

Dr Oteh berkata kira-kira 30 peratus pesakit jantung yang diserang penyakit itu secara tiba-tiba meninggal dunia tanpa sempat diberi rawatan awal dan kebanyakan kes kematian mengejut juga adalah disebabkan penyakit itu.

BEBAN IO BERTAMBAH


Kekurangan Pegawai Penyiasat (IO) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini telah menyebabkan setiap pegawainya terpaksa menanggung beban tugas dua kali ganda daripada sepatutnya.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, purata kertas siasatan yang dikendalikan oleh seorang IO pada masa kini mencecah 20 kes berbanding 10 kes ditetapkan piawaian antarabangsa.

"Jumlah itu terlalu membebankan. Purata aduan awam yang diterima dan perlu dianalisis setiap hari seluruh negara mencecah sehingga 1,000 laporan.

"Sehubungan itu, pihaknya sedang berusaha untuk menambah bilangan IO bagi memastikan produktiviti kerja lebih baik di masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan kenaikan pangkat dan penyerahan tugas pada majlis serah tugas yang diadakan di Maktab PDRM, Cheras, di Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu, Datuk Hadi Ho Abdullah yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dengan pangkat Senior Asisten Komisioner 1 (SAC1) hari ini menerima pangkat Deputi Komisioner (DCP) dengan jawatan sebagai Timbalan Pengarah JSJ Risikan dan Operasi Bukit Aman.

Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Datuk Mortadza Nazarene.

Mortadza pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan dan Latihan Bukit Aman dengan menggantikan tugas Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Manakala Acryl Sani pula kini menerima tugas sebagai Timbalan Pengarah JSJ Siasatan dan Perundangan.

Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof yang sebelum ini merupakan Ketua Penolong Pengarah D78 Tahanan JSJ kini dilantik sebagai Ketua Polis Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mazlan Mansor pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perancangan Strategik Bukit Aman.

Mohd. Bakri memberitahu, orang ramai perlu memahami tugas dipikul IO sangat mencabar iaitu selain menguruskan pelbagai bentuk aduan orang awam sebelum kertas siasatan dibuka, mereka juga terpaksa pergi ke tempat kejadian.

Khamis, Oktober 01, 2009

UNDI POS JUGA BERPIHAK KEPADA PAS


Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata undi pos yang dicanang oleh pembangkang kononnya menjadi senjata utama kepada Barisan Nasional (BN) sebenarnya memberikan kelebihan kepada pembangkang pada pilihan raya umum ke-12 lalu di Bagan Pinang.

Katanya pada pilihan raya umum 2008, majoriti BN di Bagan Pinang merosot kerana undi pos berpihak kepada pembangkang.

"Pembangkang tidak boleh kata undi pos itu advantage (memberi kelebihan) kepada BN kerana pada 2008 disebabkan mereka dapat banyak undi pos pada ketika itu iaitu 1,800 undi kalau nak bandingkan dengan 2004," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bulan Pertabalan Sempena Istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Seremban semalam.

Mohamad bagaimanapun yakin BN akan dapat mengukuhkan kedudukan kerana pada 2008, pengundi yang memilih BN bertambah kepada 6,430 berbanding hanya 5,000 lebih pada 2004.

"Jadi jangan kita tuduh dan tohmah yang macam-macam pasal undi pos ini. Pasal itu saya katakan kita perlu kerja kuat dan kita perlu menyakinkan semua orang untuk pastikan kemenangan kita tapi saya rasa yakin dan percaya BN akan dapat pertahankan kerusi kita di sana," katanya.

Mohamad yakin calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan berjaya menawan hati rakyat Bagan Pinang kerana popularitinya di kalangan mereka yang tinggal di Telok Kemang, Bagan Pinang serta Port Dickson.

"Senang kerja kita dalam BN, tak payah nak tarik ke hulu ke hilir hendak memperkenalkan calon, siapa tidak kenal Tan Sri Isa kan? Jadi sebahagian daripada kita punya kerja sudah selesai," katanya.

Rabu, September 30, 2009

PANDANGAN PEMUDA PKR CETEK


Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang pada Selasa membidas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Mohd Yusmadi Mohd Yusuff yang mencadangkan agar jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang disandang secara giliran antara tiga parti yang kini menguasai negeri itu.

"Ini merupakan satu formula berbaur perkauman ciptaan Mohd Yusmadi sendiri yang asyik gilakan kuasa sahaja," kata DAPSY, Ng Wei Aik, dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas cadangan Mohd Yusmadi supaya jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang digilirkan berdasarkan formula baru yang memberi peluang kepada semua kaum untuk menjadi pemimpin.

Mohd Yusmadi, yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau, dilaporkan berkata formula politik baru itu bagi menggantikan formula Barisan Nasional yang memberi jawatan Ketua Menteri hanya kepada kaum Cina dan Timbalan Ketua Menteri kepada wakili Melayu.

Ng berkata tiada formula baru yang telah dipersetujui oleh pakatan DAP, PKR dan Pas yang kini memerintah Pulau Pinang berhubung sistem penggiliran itu.

Beliau berkata buat masa ini, DAPSY berpendirian bahawa belum sampai masa dan tidak perlu jawatan Ketua Menteri itu digilirkan.

Katanya DAPSY mempertahankan jawatan Ketua Menteri supaya tidak digilirkan atas alasan bahawa sebarang pelantikan untuk jawatan itu mestilah diputuskan oleh parti yang menguasai majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri dan bukan atas alasan bahawa kaum Cina adalah kaum majoriti di negeri itu.

"Saya ingin tegaskan bahawa formula baru yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang adalah memberi layanan yang adil serta bantuan yang saksama kepada semua rakyat tanpa mengambil kira perbezaan kaum, agama, jantina dan latar belakang politik.

"Ini jauh lebih adil serta disambut baik oleh rakyat jelata daripada formula ciptaan Mohd Yusmadi itu," kata Ng.

Nampaknya pandangan Ketua Pemuda PKR cetek sangat.Kalau hari ini PKR tuntut penggiliran Ketua Menteri di Pulau Pinang maka DAP mungkin menuntut penggiliran Menteri Besar di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat seperti Kelantan, Kedah dan Selangor. Adakah Yusmadi sanggup melihat orang China jadi Menteri Besar Kelantan, Kedah dan Selangor?

Apa yang diamalkan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang mengekalkan formula BN memberi jawatan Ketua Menteri kepada orang China adalah langkah yang tepat kerana orang China adalah majoriti pengundi di Pulau Pinang.

Apa yang diamalkan di Sabah telah merugikan orang Melayu. Sebab itu di asa kecerdikan Datuk Seri Musa Aman, maka penggiliran jawatan Ketua Menteri Sabah dapat dihapuskan apabila beliau berjaya mendapat tandatangan semua presisen parti komponen BN Sabah kononnya mereka tidak setuju penggiliran jawatan Ketua Menteri.

Ini yang menyebabkan Musa Aman kekal sebagai Ketua Menteri Sabah sehingga hari ini.