Jumaat, Oktober 02, 2009

PENYAKIT JANTUNG SERANG ORANG MUDA


Jika dahulu, penyakit jantung sinonim dengan golongan berusia, tetapi kini ia mula menyerang golongan muda berusia di bawah 40 tahun kesan daripada corak pemakanan dan gaya hidup tidak sihat yang diamalkan mereka.

Ketua Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Madya Dr Oteh Maskon berkata kegilaan golongan itu terhadap teh tarik, roti canai, nasi lemak dan merokok, ditambah pula sikap malas bersenam menyebabkan mereka mudah mendapat penyakit jantung.

Beliau berkata dengan gaya hidup seperti itu, golongan berkenaan terdedah kepada risiko obesiti, penyakit darah tinggi dan kencing manis yang menjadi faktor utama menyebabkan penyakit jantung.

Ini terbukti dengan kira-kira lima peratus daripada 450 pesakit yang dimasukkan ke wad di PPUKM dalam tempoh setahun terdiri daripada golongan yang berusia bawah 40 tahun, yang rata-ratanya pada masa sama didiagnosis menghidap darah tinggi dan kencing manis, selain perokok, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Awam bertajuk "Degupan Jantung, Hembusan Nafas, Jangan Biarkan Ianya Berakhir" di PPUKM di Cheras hari ini.

Forum yang dirasmikan Pengarah PPUKM yang juga Dekan Fakulti Perubatan UKM Profesor Datuk Dr Lokman Saim itu diadakan sempena Persidangan Tahunan ke-12 Persatuan Torasik dan Kardiovaskular Surgeri Malaysia yang dianjur Pusat Jantung dan Paru-Paru, PPUKM.

Dr Oteh berkata pesakit jantung paling muda yang pernah dirawat di PPUKM berusia 23 tahun yang mempunyai masalah 'metabolic syndrome' selain sejarah keturunan.

"Kami juga ada pesakit jantung wanita yang berusia 38 tahun dengan tiga saluran jantungnya tersumbat dan dia juga dikesan ada kencing manis dan ini amat memeranjatkan kita kerana wanita pada usia itu sangat jarang dikesan ada penyakit jantung," katanya.

Beliau berkata selain corak pemakanan dan gaya hidup, pesakit jantung di kalangan golongan itu juga terdiri daripada mereka yang mewarisinya daripada keluarga dengan kadar tiga daripada 10 pesakit yang mendapat rawatan di hospital itu.

"Oleh itu adalah sangat penting untuk pesakit jantung, bukan sahaja daripada kumpulan ini malah mereka daripada kumpulan berisiko, menjaga pemakanan dan gaya hidup mereka sejak daripada awal lagi.

"Walaupun di mana-mana hospital ada pelbagai rawatan dan ubat yang boleh kita ambil untuk merawat penyakit jantung, langkah yang paling penting ialah pencegahan," katanya.

Beliau berkata melalui amalan makan secara sihat, tidak merokok dan bersenam selain membuat pemeriksaan perubatan secara berkala boleh membantu seseorang itu mengetahui tahap kesihatan mereka dan rawatan awal boleh diambil jika dikesan mempunyai penyakit itu.

Dr Oteh berkata kira-kira 30 peratus pesakit jantung yang diserang penyakit itu secara tiba-tiba meninggal dunia tanpa sempat diberi rawatan awal dan kebanyakan kes kematian mengejut juga adalah disebabkan penyakit itu.