Jumaat, Oktober 02, 2009

BEBAN IO BERTAMBAH


Kekurangan Pegawai Penyiasat (IO) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini telah menyebabkan setiap pegawainya terpaksa menanggung beban tugas dua kali ganda daripada sepatutnya.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, purata kertas siasatan yang dikendalikan oleh seorang IO pada masa kini mencecah 20 kes berbanding 10 kes ditetapkan piawaian antarabangsa.

"Jumlah itu terlalu membebankan. Purata aduan awam yang diterima dan perlu dianalisis setiap hari seluruh negara mencecah sehingga 1,000 laporan.

"Sehubungan itu, pihaknya sedang berusaha untuk menambah bilangan IO bagi memastikan produktiviti kerja lebih baik di masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan kenaikan pangkat dan penyerahan tugas pada majlis serah tugas yang diadakan di Maktab PDRM, Cheras, di Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu, Datuk Hadi Ho Abdullah yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dengan pangkat Senior Asisten Komisioner 1 (SAC1) hari ini menerima pangkat Deputi Komisioner (DCP) dengan jawatan sebagai Timbalan Pengarah JSJ Risikan dan Operasi Bukit Aman.

Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Datuk Mortadza Nazarene.

Mortadza pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan dan Latihan Bukit Aman dengan menggantikan tugas Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Manakala Acryl Sani pula kini menerima tugas sebagai Timbalan Pengarah JSJ Siasatan dan Perundangan.

Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof yang sebelum ini merupakan Ketua Penolong Pengarah D78 Tahanan JSJ kini dilantik sebagai Ketua Polis Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mazlan Mansor pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perancangan Strategik Bukit Aman.

Mohd. Bakri memberitahu, orang ramai perlu memahami tugas dipikul IO sangat mencabar iaitu selain menguruskan pelbagai bentuk aduan orang awam sebelum kertas siasatan dibuka, mereka juga terpaksa pergi ke tempat kejadian.