Memaparkan catatan dengan label serang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label serang. Papar semua catatan

Jumaat, Oktober 02, 2009

PENYAKIT JANTUNG SERANG ORANG MUDA


Jika dahulu, penyakit jantung sinonim dengan golongan berusia, tetapi kini ia mula menyerang golongan muda berusia di bawah 40 tahun kesan daripada corak pemakanan dan gaya hidup tidak sihat yang diamalkan mereka.

Ketua Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Madya Dr Oteh Maskon berkata kegilaan golongan itu terhadap teh tarik, roti canai, nasi lemak dan merokok, ditambah pula sikap malas bersenam menyebabkan mereka mudah mendapat penyakit jantung.

Beliau berkata dengan gaya hidup seperti itu, golongan berkenaan terdedah kepada risiko obesiti, penyakit darah tinggi dan kencing manis yang menjadi faktor utama menyebabkan penyakit jantung.

Ini terbukti dengan kira-kira lima peratus daripada 450 pesakit yang dimasukkan ke wad di PPUKM dalam tempoh setahun terdiri daripada golongan yang berusia bawah 40 tahun, yang rata-ratanya pada masa sama didiagnosis menghidap darah tinggi dan kencing manis, selain perokok, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Awam bertajuk "Degupan Jantung, Hembusan Nafas, Jangan Biarkan Ianya Berakhir" di PPUKM di Cheras hari ini.

Forum yang dirasmikan Pengarah PPUKM yang juga Dekan Fakulti Perubatan UKM Profesor Datuk Dr Lokman Saim itu diadakan sempena Persidangan Tahunan ke-12 Persatuan Torasik dan Kardiovaskular Surgeri Malaysia yang dianjur Pusat Jantung dan Paru-Paru, PPUKM.

Dr Oteh berkata pesakit jantung paling muda yang pernah dirawat di PPUKM berusia 23 tahun yang mempunyai masalah 'metabolic syndrome' selain sejarah keturunan.

"Kami juga ada pesakit jantung wanita yang berusia 38 tahun dengan tiga saluran jantungnya tersumbat dan dia juga dikesan ada kencing manis dan ini amat memeranjatkan kita kerana wanita pada usia itu sangat jarang dikesan ada penyakit jantung," katanya.

Beliau berkata selain corak pemakanan dan gaya hidup, pesakit jantung di kalangan golongan itu juga terdiri daripada mereka yang mewarisinya daripada keluarga dengan kadar tiga daripada 10 pesakit yang mendapat rawatan di hospital itu.

"Oleh itu adalah sangat penting untuk pesakit jantung, bukan sahaja daripada kumpulan ini malah mereka daripada kumpulan berisiko, menjaga pemakanan dan gaya hidup mereka sejak daripada awal lagi.

"Walaupun di mana-mana hospital ada pelbagai rawatan dan ubat yang boleh kita ambil untuk merawat penyakit jantung, langkah yang paling penting ialah pencegahan," katanya.

Beliau berkata melalui amalan makan secara sihat, tidak merokok dan bersenam selain membuat pemeriksaan perubatan secara berkala boleh membantu seseorang itu mengetahui tahap kesihatan mereka dan rawatan awal boleh diambil jika dikesan mempunyai penyakit itu.

Dr Oteh berkata kira-kira 30 peratus pesakit jantung yang diserang penyakit itu secara tiba-tiba meninggal dunia tanpa sempat diberi rawatan awal dan kebanyakan kes kematian mengejut juga adalah disebabkan penyakit itu.

Jumaat, September 11, 2009

SAMY VELLU SERANG DR MAHATHIR


Nampaknya pertandingan dalam MIC esok amat menarik apabila salah seorang calon Timbalan Presiden, Datuk S. Subramaniam diserang oleh Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu seolah-olah Subramaniam mencabar Samy Vellu pula.

Samy marah kerana Tun Dr Mahathir menyokong Subramaniam dan Samy mengatakan walaupun sudah 28 kali Dr Mahathir merasmikan kongres agung MIC tetapi semua permintaan MIC untuk kaum India tidak pernah ditunaikan oleh Dr Mahathir.

Ini adalah satu tuduhan yang berat. Masakan dalam tempoh 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri langsung Dr Mahathir tak bantu kaum India. Samy vellu mesti buktikan tuduhan ini. Jika tidak beliau buat tuduhan palsu kepada Dr Mahathir. Takkan beliau lupa jangsung DR Mahathir yang melantiknya sebagai Menteri Kerjaraya yang paling lama dalam kabinet Dr Mahathir?

Kurang dari 48 jam sahaja lagi sebelum pemilihan parti MIC Sabtu ini, Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu mendedahkan beliau mempunyai satu ‘bom hidrogen’ yang boleh membongkar rahsia Datuk S. Subramaniam dan menjatuhkan maruahnya di khalayak ramai.

Bagaimanapun, kata Samy Vellu, beliau tidak akan meletupkan bom hidrogen berkenaan kerana ia bukan tindakan baik untuk dilakukan oleh seseorang pemimpin ketika bakal menghadapi pemilihan parti.

Samy Vellu mendakwa, bekas Timbalan Presiden parti itu telah menyediakan beberapa butir ‘bom’ untuk menyerangnya demi kepentingan diri sendiri.

‘‘Setakat ini, satu ‘bom’ pun tidak pernah meletup.

‘‘Tetapi saya ada satu ‘bom hidrogen’ yang boleh membongkar rahsia beliau dan menjatuhkan maruahnya di khalayak ramai,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Subramaniam adalah salah seorang calon yang bakal merebut jawatan Timbalan Presiden MIC pada pemilihan parti Sabtu ini.

Sementara itu, Samy Vellu turut membidas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencampuri urusan pemilihan jawatan tertinggi parti itu dengan mengeluarkan kenyataan yang didakwanya menjejaskan maruahnya.

Beliau menegaskan, Dr. Mahathir atau mana-mana pemimpin selain daripada MIC tidak berhak mencampuri urusan pemilihan jawatan tertinggi parti tersebut.

Menurut beliau, sekiranya bekas Perdana Menteri itu mempunyai masalah peribadi dengannya, ia harus diselesaikan secara baik.

‘‘Saya sangat menghormati beliau tetapi berasa sedih dengan tindakannya yang sengaja memberikan gambaran buruk terhadap diri saya.

‘‘Ini (mencampuri urusan pemilihan MIC) bukan tindakan baik yang boleh dilakukan oleh seorang pemimpin yang kini disanjung tinggi oleh semua lapisan masyarakat di negara ini,’’ katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir dalam akhbar berbahasa Tamil, Makkal Osai yang berbunyi ‘Samy Vellu tidak membuat apa-apa untuk golongan kaum India di negara ini’.

Dr. Mahathir juga berkata, kaum India tidak wajar menyokong Samy Vellu lagi dan harus memilih calon yang berkaliber seperti Datuk S. Subramaniam yang bakal bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Samy Vellu menjelaskan, beliau telah melakukan yang terbaik kepada masyarakat India dan tidak pernah takut untuk menyuarakan pendapatnya ketika berada dalam Kabinet.

‘‘Dr. Mahathir pernah menghadiri Persidangan MIC Kebangsaan sebanyak 28 kali, kami pernah meminta beberapa peruntukan dan permintaan untuk kesejahteraan kaum India.

‘‘Tetapi satu pun tidak pernah diambil kira atau dipertimbangkan olehnya, ketika beliau menyandang jawatan Perdana Menteri,’’ dakwanya.