Jumaat, Oktober 09, 2009

SMS KETUA PEMUDA PAS CETUSKAN KETEGANGAN


Penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan untuk melancarkan jihad terhadap UMNO boleh mencetuskan ketegangan.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, penyebaran SMS seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menimbulkan suasana bahaya.

Malah Razali turut menafikan sekeras-kerasnya insiden serangan menggunakan pedang Samurai seperti yang didakwa Naib Presiden Pas, Salehuddin Ayub.

Beliau turut meminta mangsa yang cedera sekiranya betul untuk bersemuka dengannya.

"Beritahu saya dan saya sendiri akan bersemuka dengan mangsa. Saya lakukan ini atas dasar tanggungjawab. Kalau saya nafikan pun mereka boleh kata macam-macam.

"Kalau betul beliau cedera, datang berjumpa dengan saya bagaimanapun setakat ini saya tidak menerima laporan polis mengenainya," katanya pada sidang akhbar di Bagan Pinang semalam.

Razali turut mengesahkan, beliau telah dihubungi oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar bagi membincangkan perkara itu dan meminta kedua-dua parti yang bertanding supaya tidak mencetuskan keadaan yang boleh huru-hara.

Pada masa yang sama, beliau juga mengingatkan semua jentera pilihan raya terutamanya jentera Pemuda UMNO mempertingkatkan disiplin dan berkempen secara berhemah.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan itu juga memperlihatkan pemimpin Pemuda Pas yang dilihat gemar untuk mencemarkan kempen pilihan raya selain tidak berdisiplin ketika berkempen.

"Ini bukan budaya kita hendak bergaduh dan mengisytiharkan perang. Saya telah memberitahu kepada pemimpin Pas supaya mengawal disiplin ahli-ahli mereka.

"Mana boleh dalam pilihan raya ini kita melancarkan perang sedemikian sedangkan kita adalah saudara seagama. Saya anggap perkara seperti ini tidak sepatutnya timbul," katanya.