Khamis, Oktober 17, 2013

NAIB PRESIDEN UMNO: KETUA BAHAGIAN JADI KING MAKER

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin menang besar bagi jawatan Ketua Pemuda pada 12 Oktober lalu apabila 189 bahagian mengundinya. Empat calon lain yang bertaraf ketua pemuda cawangan iaitu Akramsyah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman, Abd Karim Ali dan Irwan Ambak tidak mendapat sebarang undi. Nampaknya pencabar Ketua Puteri, Jamilah Hanim Othman lebih kuat dari pencabar-pencabar Ketua Pemuda kerana beliau mampu mendapat 43 undi manakala Mas Ermieyati Samsuddin menang dengan 138 undi. Kesimpulannya, pastikan nama anda sudah gah di peringkat kebangsaan baru boleh mencabar Ketua Pemuda Umno Malaysia. Kalau setakat ketua pemuda cawangan, tak payahlah buat keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia. Yang peliknya banyak bahagian yang pro Datuk Mukhriz Mahathir pada tahun 2009 tidak dapat membantu Akramsyah mendapatkan sebarang undi. Bagaimana pula nasib enam orang calon Naib Presiden pada hari Sabtu ini? Berapakah undi yang mampu dipungut oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Ali Rustam dan Mukhriz Mahathir? Nampaknya dalam pertandingan Naib Presiden Umno, Ketua Bahagian menjadi “king maker”. Mereka akan berunding dengan calon-calon Naib Presiden Umno kerana setiap Bahagian akan mengundi tiga orang sahaja. Jadi tidak mustahil Ketua Bahagian akan tawar menawar dengan calon-calon Naib Presiden Umno. Tidak dapat tidak, politik wang tidak dapat dielakkan. Ia akan menjadi kuasa “bargaining power” untuk menentukan tiga orang Naib Presiden mendapat undi di setiap Bahagian. Sejauh mana dakwaan ini benar tidak dapat disahkan tetapi perwakilan akan mengugut calon, kalau tiada hulur, mereka tidak akan undi calon tertentu. Walaupun calon ahli majlis tertinggi Umno, Zaharin Mohd Yassin berpendapat bahawa politik wang dapat dielakkan dengan tidak tunduk kepada ugutan para perwakilan, tetapi calon-calon yang bertanding sedikit sebanyak kena hulur juga kepada perwakilan kalau mahu menang. Walaupun Umno sudah banyakkan bilangan perwakilan sehingga 146,000 orang tetapi politik wang tetap tidak dapat dielakkan. Politik wang sudah menjadi budaya dalam politik Umno. Jika Mukhriz berpegang kepada pesanan ayahandanya Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak terlibat dalam politik wang, Mukhriz akan mengalami nasib yang sama yang dihadapinya pada tahun 2009 ketika kalah di tangan Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Khir Toyo dalam pertandingan Ketua Pemuda. Mahukah Mukhriz menerima nasib yang sama sedangkan calon-calon lain terlibat dalam politik wang (walaupun sukar dibuktikan)? Terpulanglah kepada beliau untuk menangani isu politik wang dengan sebaik mungkin. Pakatan Sejauh mana pula Pakatan Trio (Zahid-Hishamuddin-Shafie) kuat sehingga tidak mampu dilanggar oleh Isa, Ali dan Mukhriz? Kalau benar ada pakatan di antara mereka bertiga, semua perwakilan Perak, Johor dan Sabah yang mengundi mereka bertiga sudah pasti mereka mampu mengalahkan Isa, Ali dan Mukhriz. Sejauh mana pula Isa, Ali dan Mukhriz mampu mendapat undi dari Johor, Sabah dan Perak? Ini yang menjadi tanda tanya kepada kita. Isa dan Ali pernah menang jawatan ini maka sedikit sebanyak pengaruhnya masih ada dalam perwakilan Umno yang seramai 2,500 orang dahulu. Untuk menembusi 146,000 perwakilan, mereka akan menentukan nasib Isa dan Ali pada hari Sabtu ini. Isa selaku Pengerusi FELDA berbangga kerana 56 kawasan parlimen yang ada FELDA merupakan kubu kuat BN. Sejauh mana 56 bahagian ini dapat membantu Isa dalam pemilihan ini? Mukhriz pula bergantung pada nama Dr Mahathir. Sejauh mana pengaruh Dr Mahathir masih kuat dalam Umno? Jika Mukhriz berjaya menumbangkan Pasukan Trio (sama ada Zahid-Hishamuddin-Shafie tersingkir), ia disebabkan para perwakilan masih menghormati Dr Mahathir. Siapa yang tersingkir di antara Pasukan Trio? Ada yang mengatakan Hishamuddin yang akan tewas kerana beliau adalah menteri yang lemah di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dahulu. Beliau terpaksa ambil cuti untuk berkempen di seluruh negara. Malah Sultan Pahang digunakan untuk menjemput semua perwakilan dari Pahang. Sultan Pahang sempat berkempen supaya para perwakilan mengundi Hishamuddin yang mana isterinya adalah anak saudara Sultan Pahang. Zahid dikatakan sukar tewas. Apa yang dilakukan di KDN memikat hati para perwakilan. Beliau dilihat Menteri Dalam Negeri yang tegas dan berani. Cuma kedudukannya belum pasti di nombor berapa. Dalam wawancaranya dengan FMT, beliau tidak kesah dapat nombor berapa. Bagaimana pula nasib Shafie Apdal? Enam bahagian di Sabah tidak mengundi Jamawi Jaafar, pegawai khas beliau dalam pertandingan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia. Adakah enam bahagian yang sama tidak akan mengundi Shafie Sabtu ini yang membuktikan betapa Shafie tidak akan dapat undi yang solid dari Sabah. Keputusan Naib Presiden Umno dijangka sengit. Tambahan pula para perwakilan sudah mengenali keenam-enam calon ini. Tidak seperti empat calon Ketua Pemuda yang tidak dikenali perwakilan, mereka hanya mengenali Khairy Jamaluddin sahaja maka Khairy menang besar pada Sabtu lalu. Akan tetapi keputusan pemilihan Naib Presiden Umno akan berlainan nanti.