Memaparkan catatan dengan label king. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label king. Papar semua catatan
Khamis, Oktober 17, 2013
NAIB PRESIDEN UMNO: KETUA BAHAGIAN JADI KING MAKER
PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin menang besar bagi jawatan Ketua Pemuda pada 12 Oktober lalu apabila 189 bahagian mengundinya. Empat calon lain yang bertaraf ketua pemuda cawangan iaitu Akramsyah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman, Abd Karim Ali dan Irwan Ambak tidak mendapat sebarang undi.
Nampaknya pencabar Ketua Puteri, Jamilah Hanim Othman lebih kuat dari pencabar-pencabar Ketua Pemuda kerana beliau mampu mendapat 43 undi manakala Mas Ermieyati Samsuddin menang dengan 138 undi.
Kesimpulannya, pastikan nama anda sudah gah di peringkat kebangsaan baru boleh mencabar Ketua Pemuda Umno Malaysia. Kalau setakat ketua pemuda cawangan, tak payahlah buat keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia. Yang peliknya banyak bahagian yang pro Datuk Mukhriz Mahathir pada tahun 2009 tidak dapat membantu Akramsyah mendapatkan sebarang undi.
Bagaimana pula nasib enam orang calon Naib Presiden pada hari Sabtu ini? Berapakah undi yang mampu dipungut oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Ali Rustam dan Mukhriz Mahathir?
Nampaknya dalam pertandingan Naib Presiden Umno, Ketua Bahagian menjadi “king maker”. Mereka akan berunding dengan calon-calon Naib Presiden Umno kerana setiap Bahagian akan mengundi tiga orang sahaja. Jadi tidak mustahil Ketua Bahagian akan tawar menawar dengan calon-calon Naib Presiden Umno.
Tidak dapat tidak, politik wang tidak dapat dielakkan. Ia akan menjadi kuasa “bargaining power” untuk menentukan tiga orang Naib Presiden mendapat undi di setiap Bahagian. Sejauh mana dakwaan ini benar tidak dapat disahkan tetapi perwakilan akan mengugut calon, kalau tiada hulur, mereka tidak akan undi calon tertentu.
Walaupun calon ahli majlis tertinggi Umno, Zaharin Mohd Yassin berpendapat bahawa politik wang dapat dielakkan dengan tidak tunduk kepada ugutan para perwakilan, tetapi calon-calon yang bertanding sedikit sebanyak kena hulur juga kepada perwakilan kalau mahu menang. Walaupun Umno sudah banyakkan bilangan perwakilan sehingga 146,000 orang tetapi politik wang tetap tidak dapat dielakkan.
Politik wang sudah menjadi budaya dalam politik Umno. Jika Mukhriz berpegang kepada pesanan ayahandanya Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak terlibat dalam politik wang, Mukhriz akan mengalami nasib yang sama yang dihadapinya pada tahun 2009 ketika kalah di tangan Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Khir Toyo dalam pertandingan Ketua Pemuda.
Mahukah Mukhriz menerima nasib yang sama sedangkan calon-calon lain terlibat dalam politik wang (walaupun sukar dibuktikan)? Terpulanglah kepada beliau untuk menangani isu politik wang dengan sebaik mungkin.
Pakatan
Sejauh mana pula Pakatan Trio (Zahid-Hishamuddin-Shafie) kuat sehingga tidak mampu dilanggar oleh Isa, Ali dan Mukhriz? Kalau benar ada pakatan di antara mereka bertiga, semua perwakilan Perak, Johor dan Sabah yang mengundi mereka bertiga sudah pasti mereka mampu mengalahkan Isa, Ali dan Mukhriz.
Sejauh mana pula Isa, Ali dan Mukhriz mampu mendapat undi dari Johor, Sabah dan Perak? Ini yang menjadi tanda tanya kepada kita.
Isa dan Ali pernah menang jawatan ini maka sedikit sebanyak pengaruhnya masih ada dalam perwakilan Umno yang seramai 2,500 orang dahulu. Untuk menembusi 146,000 perwakilan, mereka akan menentukan nasib Isa dan Ali pada hari Sabtu ini.
Isa selaku Pengerusi FELDA berbangga kerana 56 kawasan parlimen yang ada FELDA merupakan kubu kuat BN. Sejauh mana 56 bahagian ini dapat membantu Isa dalam pemilihan ini?
Mukhriz pula bergantung pada nama Dr Mahathir. Sejauh mana pengaruh Dr Mahathir masih kuat dalam Umno? Jika Mukhriz berjaya menumbangkan Pasukan Trio (sama ada Zahid-Hishamuddin-Shafie tersingkir), ia disebabkan para perwakilan masih menghormati Dr Mahathir.
Siapa yang tersingkir di antara Pasukan Trio? Ada yang mengatakan Hishamuddin yang akan tewas kerana beliau adalah menteri yang lemah di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dahulu. Beliau terpaksa ambil cuti untuk berkempen di seluruh negara.
Malah Sultan Pahang digunakan untuk menjemput semua perwakilan dari Pahang. Sultan Pahang sempat berkempen supaya para perwakilan mengundi Hishamuddin yang mana isterinya adalah anak saudara Sultan Pahang.
Zahid dikatakan sukar tewas. Apa yang dilakukan di KDN memikat hati para perwakilan. Beliau dilihat Menteri Dalam Negeri yang tegas dan berani. Cuma kedudukannya belum pasti di nombor berapa. Dalam wawancaranya dengan FMT, beliau tidak kesah dapat nombor berapa.
Bagaimana pula nasib Shafie Apdal? Enam bahagian di Sabah tidak mengundi Jamawi Jaafar, pegawai khas beliau dalam pertandingan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia. Adakah enam bahagian yang sama tidak akan mengundi Shafie Sabtu ini yang membuktikan betapa Shafie tidak akan dapat undi yang solid dari Sabah.
Keputusan Naib Presiden Umno dijangka sengit. Tambahan pula para perwakilan sudah mengenali keenam-enam calon ini. Tidak seperti empat calon Ketua Pemuda yang tidak dikenali perwakilan, mereka hanya mengenali Khairy Jamaluddin sahaja maka Khairy menang besar pada Sabtu lalu. Akan tetapi keputusan pemilihan Naib Presiden Umno akan berlainan nanti.
Rabu, Ogos 01, 2012
ADAKAH LAJIM KING MAKER?
Datuk Seri Lajim Haji Okin pernah menjadi king maker kepada penubuhan kerajaan baru, kerajaan BN apabila dia meninggalkan kerajaan PBS pada tahun 1994.Kini beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Umno Beaufort dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.
Adakah Lajim akan menjadi king maker kepada kerajaan baru pula pada pilihanraya umum akan datang? Sama-samalah kita tunggu tarikh pilihanraya sama ada beliau akan jadi king maker sekali lagi.
Beliau adalah Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan yang telah dibatalkan jawatannya. Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak tercemar apabila seorang timbalan menteri melepaskan jawatan dalam Umno walaupun dia masih kekal sebagai ahli Umno. Dia bukan kecil anak. Dia adalah seorang ahli majlis tertinggi Umno. Sudah dua penggal berada dalam Majlis Tertinggi Umno.
Umno telah menghantar surat tunjuk sebab kenapa beliau tidak boleh dipecat dari Umno. Adakah Lajim akan menjadi hero seperti Datuk Seri Pairin Kitingan dipecat dari jawatan menteri dalam kerajaan Berjaya oleh Datuk haris Salleh?
Lajim dijangka bertanding dua kerusi parlimen dan DUN Klias kawasan lamanya. Jika Pakatan Rakyat menangt di Sabah, adakah Lajim akan menjadi Ketua Menteri Sabah? Beliau pernah melobi jawatan itu tetapi ia menjadi milik Datuk Seri Musa Aman yang dikatakan orang kuat Pak Lah ketika itu.
Politik Musa begitu licik. Dari jawatan Ketua Menteri digilirkan setiap dua tahun sekali, akhirnya dengan tipu helahnya Musa kekal sebagai Ketua Menteri sampai sekarang dah masuk 10 tahun. Musa dikatakan mahu mencantas Lajim sebaggai calon Bn pada pilihanraya umum akan datang, maka Lajim ambil keputusan yang lebih ceoat declare melepaskan semua jawatan dalam parti.
Pengaruh Lajim di Beaufort begitu kukuh kerana dia bukannya orang yang kedekut. Dia pandai jaga hati para pengundinya. Oleh itu tidak mustahil Lajim akan menang di Beaufort walaupun dia tidak bertanding sebagai calon BN. BN kena kerja kuat untuk mengekalkan kerusi parlimen dan DUN Klias yang bakal ditandingi Lajim nanti.
Saya mengenali Lajim ketika bertugas sebagai wartawan Watan di sabah pada tahun 1989. Sejak itu kami tak putus bersahabat. Oleh itu saya doakan beliau berjaya dalam pilihanraya umum nanti.
Isnin, Januari 25, 2010
KING GHAZ NYARIS-NYARIS JADI TPM

UTUSAN Malaysia hari ini buat kesilapan apabila menulis bahawa Tun Ghazali Shafie pernah menangi jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1981. Beliau tidak pernah menang dalam pertandingan tersebut.
Beliau nyaris-nyaris jadi Timbalan Perdana Menteri apabila Tun Hussein Onn mahu melantiknya sebagai TPM yang baru pada tahun 1976 tetapi dibantah oleh tiga orang Naib Presiden UMNO ketika itu, Tun Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jika Hussein Onn bertegas dengan keputusannya itu, maka King Ghaz yang jadi TPM dan bukannya Dr. Mahathir. Atas alasan King Ghaz bukan Naib Presiden UMNO maka beliau tidak dilantik sebagai TPM yang baru pada tahun tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mencadangkan agar kerajaan melantik seseorang untuk membuat memoir (bukan memoir tetapi biografi) bekas Menteri Dalam Negeri Allahyarham Tun Ghazali Shafie.
Beliau berkata Allahyarham merupakan seorang yang menyimpan banyak rahsia dan peristiwa yang penting dan ia wajar dirakamkan.
Katanya sebagai wira negara, Allahyarham adalah seorang pemimpin yang pernah melalui pelbagai detik mencabar negara.
"Allahyarham pernah melalui peringkat pasca kemerdekaan, pembentukan Malaysia, konfrantasi, ancaman komunis dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di kediaman adik perempuannya di Damansara Utama di sini.
Najib berkata kerajaan merasa kehilangan yang amat besar dan Allahyarham patut dikenang selama-lamanya.
Perdana Menteri berkata beliau juga merasa sedih atas kehilangan seorang negarawan yang seangkatan ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein.
"Allahyarham seorang lelaki era 20-an yang merupakan seangkatan ayahanda saya yang sudah tiada lagi," katanya.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan pula mengingati Allahyarham sebagai pelopor pembentukan Rukun Negara.
"Sumbangan beliau amat besar dari segi perpaduan dan pembentukan Rukun Negara yang dipelopori oleh beliau sendiri," katanya.
Allahyarham juga, katanya seorang yang sangat penting dalam soal keselamatan negara.
"Kami penjawat awam amat berbangga beliau berkhidmat kepada negara melalui perkhidmatan awam," katanya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pula berkata golongan pemimpin muda wajar mengambil iktibar daripada sumbangan Allahyarham kepada negara.
"Jasa Allahyarham tidak sahaja kepada pentadbiran tetapi juga banyak sumbangannya kepada pembentukan dasar-dasar negara di mana Allahyarham terlibat dalam perbincangan yang diadakan," katanya.
Ghazali, 88, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Subang Jaya pada 7.45 malam Ahad.
Jenazahnya kemudian ditempatkan di rumah adik perempuannya Datin Yuhanis Shafie di Damansara Utama sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara.
Langgan:
Catatan (Atom)