Khamis, Oktober 17, 2013

ZAHID TAK KESAH DAPAT NOMBOR BERAPA

KUALA LUMPUR: Penyandang jawatan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak kesah dapat nombor berapa dalam pemilihan 19 Oktober ini asalkan beliau menang. Katanya, beliau menyerahkan dirinya kepada 146,000 perwakilan untuk menentukan kedudukannya dalam pertandingan enam penjuru itu. “Saya pasrah kepada seluruh perwakilan untuk menilai perkhidmatan saya sepanjang empat tahun lalu,” katanya menjawab pertanyaan sama ada beliau dapat mengekalkan kedudukannya sebagai Naib Presiden nombor satu pada 19 Oktober ini. Beliau berkata demikian dalam wawancara khas dengan FMT di Bangunan Parlimen di sini petang semalam. Pada tahun 2009, beliau mendapat 1,592 undi mengatasi undi Datuk Seri Hishammuddin Hussein (1,515) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (1,445). Pada 19 Oktober ini, mereka bertiga dicabar Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad; Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUND), Senator Datuk Seri Ali Rustam dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir. Menjawab soalan sama ada mempertahankan jawatan lebih mudah dari memenanginya buat kali pertama pada tahun 2009, Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau tidak pernah menjadikan karier politiknya sebagai karier bermusim. “Saya tak pernah anggap penawaran jawatan sebagai sesuatu yang berbeza bagi setiap kali pemilihan kerana saya terus menjalankan perkhidmatan sebagai ahli politik bukan untuk merebut jawatan tetapi untuk kesinambungan perjuangan,” katanya. Mengulas isu Pasukan Trio yang kononnya penyandang jawatan berkempen bersama walaupun dinafikan oleh mereka, beliau berkata terdapat keserasian dan kolaborasi di antara mereka bertiga dalam menjalankan tugas yang diamanahkan preiden parti yang menyebabkan berlakunya persepsi ini. “Kami bertiga sudah serasi menjalankan tugas walaupun ada calon baru menawarkan perubahan,” katanya lagi. Ditanya adakah kementerian yang diterajuinya memberi kelebihan kepada beliau kerana beliau dilihat lebih tegas dari bekas menteri (Hishamuddin), Dr Ahmad Zahid menjelaskan sama ada di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) atau di Kementerian Pertahanan atau di Kementerian Dalam Negeri, ia tidak lebih dari memberikan penerajuan dalam sesebuah kementerian. “Saya lakukan tidak lebih dari menteri lain. Mungkin pendekatan saya lebih berbeza dari mereka yang menyebabkan timbulnya persepsi ini,” katanya. Dr Ahmad Zahid menolak dakwaan bahawa mereka menjual nama presiden parti untuk menang. “Saya tidak fikir Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak menyokong calon-calon tertentu kerana beliau cukup berlaku adil kepada mana-mana calon yang bertanding,” katanya.