Khamis, Oktober 17, 2013

MAMPUKAH ISA BUAT COME BACK?

PETALING JAYA: Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad sudah mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 19 Oktober depan. Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, sebagai orang lama dalam parti banyak pengalaman yang boleh disumbangkan kepada UMNO dan berharap mendapat sokongan. Menurutnya, jika terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden, beliau yakin dengan pengalaman serta kemampuannya itu mampu membantu memperkukuh parti pada masa hadapan. “Apa yang saya miliki terutamanya dari segi pengalaman dan kebolehan dapat membantu mengurus parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya. Beliau berkata demikian selepas melancarkan krim mandian Purich keluaran Delima Oil Products Sdn. Bhd, iaitu anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FVGH) semalam. Ketua Umno Bahagian Telok Kemang itu pernah memenangi jawatan Naib Presiden Umno bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi tertinggi mengatasi pada masa itu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi). Bagaimanapun, Lembaga Disiplin Umno menggantung keanggotaannya selama tiga tahun iaitu dari 24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008 setelah mendapati beliau bersalah dalam politik wang pada pertandingan parti itu. Selepas tiga tahun digantung, pada 23 Jun 2008 keahlian beliau dikembalikan dan seterusnya berjaya memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Sehingga ini empat orang calon sudah mengesahkan akan merebut kerusi itu termasuk tiga penyandang sekarang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Afdal. Dua calon lagi dijangka akan buat pengumuman tidak lama lagi iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Pada tahun 2009, Isa turut bertanding jawatan tersebut tetapi tewas kepada Zahid, Hishamuddin dan Shafie. Beliau mendapat 432 undi tempat keenam dari lapan orang calon. Mengenai persaingan tiga kerusi naib presiden yang dikatakan agak ‘panas’ kali ini, Mohd Isa berkata perkara itu tidak menjadi masalah kerana masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri. “Kita pilih pemimpin bukan macam pilih bakul, tak boleh macam beli buah. Kena pilih betul-betul sebab itu ada pemilihan parti. Mampukah Isa buat come back kali ini? Dengan perwakilan yang bertambah seramai 150,000 orang dengan 55 Bahagian Umno berada di kawasan FELDA, mampukah Isa mengulangi kejayaan 2004? “Saya serah kepada 150,000 ahli yang boleh mengundi kerana ini adalah pemilihan dalam Umno. Pemilihan keluarga sebab itu kita tidak boleh mewujudkan suasana tegang yang boleh merugikan parti,” katanya menjawab sama ada beliau mampu membuat come back atau tidak.