Isnin, Oktober 13, 2008

KERAJAAN RUGI RM800 JUTA BELI EUROCOPTER


Kapt (B) Datuk Zahar Hashim, Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan yang juga Pengerusi Mentari Services Sdn. Bhd, yang merupakan wakil tempatan bagi syarikat Kelowna Flightcraft Limited, Canada kecewa kerana Letter of Intent (LOI) dikeluarkan kepada Eurocopter, dalam membekal 12 unit helikopter baru kepada ATM untuk menggantikan pesawat Nuri.

Dalam suratnya kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertarikh 7 Oktober lalu, Kapt (B) Datuk Zahar menulis bahawa LOI itu dikeluarkan kepada Eurocopter dan ditandatangani oleh seorang pegawai paras menengah di Kementerian Pertahanan dua hari sebelum Najib berpindah ke Kementerian Kewangan.

Menurut seorang bekas KSU Kementerian Pertahanan dan seorang bekas Timbalan KSU Kementerian Kewangan, proses pengeluaran LOI kepada Eurocopter agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini.

Mereka berpendapat bahawa adalah menakjubkan LOI bagi kontrak yang bermilai melebihi RM2 bilion ditandatangani oleh seorang pegawai kerajaan bertaraf Setiausaha Bahagian dan bukan seorang yang bertaraf Timbalan KSU.

Surat yang disalinankan kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) hairan kerana harga yang ditawarkan oleh Eurocpoter bagi 12 unit helicopter adalah RM2.317 bilion adalah harga yang paling tinggi sedangkan harga yang ditawarkan oleh syarikat sekutunya RM1.452 bilion. Perbezaan harga sebanyak RM865 juta.

Beliau mempertikaikan sama ada Kementerian Pertahanan yang dikendalikan oleh Najib benar-benar bersih dan amanah kerana pembelian Eurocopter berharga hampir RM200 juta satu unit tanpa menemui wakil penjual dan melakukan ujian penerbangan.

Beliau berharap penyakit yang ada di Kementerian Pertahanan tidak merebak pula ke Kementerian Kewangan dan mengakibatkan tsunami kewangan pula menimpa negara.

Beliau juga dalam suratnya itu melahirkan rasa kesal dalam suasana ekonomi dunia sangat muram, kerajaan memilih untuk membeli helicopter yang paling mahal harganya sedangkan ada alternatif yang boleh menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM865 juta.