Khamis, Januari 11, 2018

TINDAKAN UNDANG UNDANG TERHADAP PANDIKAR AMIN DAN ROOSME PRAMATANG

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa tindakan undang-undang bekas Anggota Parlimen Sungai Benut Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Setiausaha Dewan Rakyat Roosme Hamzah jelas pramatang dan bersifat andaian semata-mata kerana Rang Undang-Undang 355 belum dibahaskan dan diluluskan untuk menjadi undang-undang yang sah.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu pemberita beliau mengemukakan penghujahan kepada mahkamah bahawa tindakan Mohamed Tawfik itu dengan jelas tidak dapat dipertahankan dan jelas sekali merupakan suatu perbuatan menyalahgunakan proses mahkamah kerana keputusan yang dibuat defendan kedua adalah tidak wajar menurut Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan 'Hak Keistimewaan Parlimen', yang menyebut bahawa kesahan sesuatu prosiding di sesuatu Dewan Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya, tidak boleh dipersoal di mana-mana jua mahkamah," kata Shamsul, yang mewakili Pandikar Amin dan Roosme sebagai defendan dalam permohonan mereka untuk mengetepikan saman Mohamed Tawfik.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengemukakan penghujahan di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said.

Sementara itu, peguam Rosli Dahlan, yang mewakili Mohamed Tawfik, dalam penghujahannya berkata apabila melibatkan undang-undang berkanun atau Perlembagaan, adalah menjadi tugas mahkamah untuk memastikan Parlimen mematuhi had perlembagaannya dan hak keistimewaan parlimen tidak boleh mengetepikan undang-undang Perlembagaan.

UMNO ATAU MAHATHIR YANG KERAMAT?

KUALA LUMPUR: Seperti kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak, PRU yang ke 14 adalah ibu kepada segala PRU. PRU 14 akan menjadi penentu kepada hidup atau matinya BN khasnya atau Umno khususnya.

Apatah lagi Pakatan Harapan (PH) sudah menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM menentang BN yang diketuai PM, Najib Razak. Mampukah Najib mengalahkan Dr Mahathir? Semua orang tahu Najib naik kerana dipilih oleh Mahathir. Dua kali mahathir sebut nama Najib secara terbuka yang mahu Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) melantik Najib sebagai TPM pada tahun 2003. Ketika itu Pak Lah lebih suka melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai timbalannya.

Atas desakan Mahathir, maka Pak Lah lantik Najib sebagai TPM yang baharu. Apabila Najib naik jadi PM pada tahun 2009, rupa-rupanya Mahathir sedar bahawa Najib tidak ikut arahannya. Najib sudah jadi PM. Najib tak perlu ikut cakap Mahathir kerana Najib bukannya mahu jadi PM remote control.

Mahathir keluar dari Umno apabila Pak Lah tak ikut cakapnnya bina jambatan bengkok. Pak Lah batalkan projek Mahathir itu. Mahathir masuk semula Umno apabila Najib jadi PM. Akhirnya Mahathir marah kepada Najib apabila Najib tak ikut cakap Mahathir. Paling Mahathir marah apabila anaknya Datuk Seri Mukhriz kalah bertanding naib presiden Umno pada tahun 2009.

Pembangkang membangkitkan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion. Mahathir yang kecewa dengan kekalahan Mukhriz terikut ikut membangkitkan isu 1MDB yang dibawa oleh pembangkang. Kemuncaknya Mahathir keluar dari Umno setelah Muhyiddin dipecat dari jawatan TPM. Mahathir dan Muhyiddin menyertai Parti Bersatu untuk menentang Umno secara terbuka.

Minggu lepas PH menamakan Mahathir sebagai calon PM sementara jika PH mengalahkan BN pada PRU14. Kali ini Najib berhadapan dengan Mahathir dalam PRU akan datang. Siapakah yang akan menang?

Mampukah Mahathir yang berusia 93 tahun itu kembali sebagai PM? Pemimpin BN menyifatkan pemilihan Mahathir kerana PH sudah tidak ada pemimpin yang layak menjadi PM. Sedangkan dalam PH ramai pemimpin yang boleh ditonjolkan sebagai PM seperti Datuk Seri Azmin Ali. Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin tidak setuju dengan pemilihan Mahathir. Baginya, Mahathir lebih layak jadi menteri kanan dan bukannya PM. Jika Karpal Singh masih hidup, dia orang pertama yang akan keluar dari DAP membantah pemilihan Mahathir sebagai calon PM.

Jika PH menang dapatkah Mahathir dipercayai untuk rekomen Anwar kepada Yang Dipertuan  Agong untuk diberi pengampunan penuh? Sebagai PM baharu, Mahathir akan jadi PM BN selama 22 tahun memerintah negara secara kuku besi seperti yang didakwa oleh DAP selama ini. Ketika itu Mahathir tak dengar cakap timbalannya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau pemimpin parti komponen PH yang lain seperti Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu.

Mahathir akan wujudkan semula ISA dan akan menangkap semua musuh politiknya dalam BN dan PH. Kemungkinan  itu tetap ada kerana dalam politik tidak ada istilah PM sementara. Mahathir akan deal dengan Anwar jika Anwar jadi PM baharu, Anwar kena lantik Mukhriz sebagai TPM.

Itulah hasrat Mahathir yang sebenar mahu Mukhriz jadi PM. Kalau Mukhriz menang Naib Presiden Umno pada tahun 2013, sudah tentu Mahathir desak Najib lantik Mukhriz sebagai TPM selepas pemecatan Muhyiddin. Tetapi Mukhriz kalah yang menyebabkan Mahathir kecil hati dengan Najib sedangkan Mahathir yang menaikkan Najib sebagai TPM pada tahun 2003.

Mahathir lama jadi PM selama 22 tahun. Sudah tentu ramai ahli Umno yang tak berani masuk Parti Bersatu simpati dengan Mahathir akan undi PH. Ini yang membahayakan BN. Kerana musuh masih ramai dalam selimut. Maka tentangan PH dalam PRU14 amat sengit kerana mereka mahu jatuhkan Najib.

Dapatkah PH mengalahkan BN? Bagi saya, jika ahli Umno setia dengan BN tak kira siapa jadi calon maka BN akan menang besar dalam pertandingan tiga penjuru. Seperti PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016, BN lega kerana tugas BN diambil oleh PAS menyerang calon Amanah. PAS tidak serang BN maka pertandingan tiga penjuru yang lebih menguntungkan BN.

Selagi PAS di luar PH, peluang BN amat cerah untuk kekalkan kerajaan. Sepatutnya BN kalah teruk pada PRU 1990 apabila PBS keluar dari BN untuk menyokong gabungan Semangat 46, DAP dan PAS. Tetapi strategi akhir BN menyelamatkan BN.

Kenapa BN menang pada PRU 1990? Ia kerana Umno adalah parti keramat. Siapa yang keramat Umno atau Mahathir akan mendapat jawapan pada hari pembuangan undi nanti. Jika BN menang, maka Umno memang parti keramat sebaliknya jika PH menang memang Mahathir yang keramat.

Bagi saya, peluang BN tetap menang kerana banyak lagi rahsia Mahathir akan didedahkan menjelang PRU14 nanti.


Selasa, Januari 09, 2018

KERUSI BERSATU GRED C SUKAR MENANG PRU



KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diramalkan sukar memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana diberi kerusi gred C oleh Pakatan Harapan.


Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr.Ibrahim Ali berkata, hal ini berbeza dengan PKR dan DAP yang mendapat kerusi-kerusi Parlimen yang berkualiti serta berpotensi untuk menang.


Katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas,kerusi-kerusi untuk PKR dilihat lebih menepati demografi penduduk yang memiliki sekurang-kurangnya 55 peratus pengundi Melayu.

“Saya bercakap demikian atas kapasiti diri saya yang sudah 35 tahun dalam arena politik. Saya telah menilai kerusi-kerusi yang dipertaruhkan Pakatan Harapan ini.

“Bukan untuk memihak kepada mana-mana parti,kerusi-kerusi heavyweight kini banyak disandang Barisan Nasional. DAP ikut kekuatan biasa iaitu mungkin boleh menang kerusi yang sudah lama dimenangi mereka atau mungkin tidak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Perkasa di sini hari ini.

Pakatan Harapan diketuai DAP mengumumkan akan bertanding 165 kerusi Parlimen dalam PRU-14 akan datang.

Keputusan gabungan pembangkang itu bersetuju mengagih­kan 52 kerusi Parlimen untuk ditandingi PPBM, PKR (51 kerusi), DAP (35 kerusi) dan PAN 27 kerusi.-

PENGUMUMAN PAKATAN HARAPAN TIDAK MEMERANJATKAN

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Pengumuman Pakatan Harapan berhubung calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya ia berkuasa memberi isyarat jelas kepada anggota pakatan itu bahawa sesiapa sahaja boleh dijadikan alat dan disisihkan dalam Percaturan Kuasa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata pengumuman siapa yang akan menyandang dua jawatan itu sekiranya pakatan berkenaan memenangi pilihan raya umum Ke-14 (PRU-14) juga mencetuskan 'keadaan yang agak kecoh' kerana beberapa sebab.

"Pertama, semua orang tahu Pakatan tidak ada pilihan, selain menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad (pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sebagai bakal pardana menteri mereka.

"Menamakan orang lain akan membawa padah kerana Pakatan boleh berkecai dalam masa 24 jam sahaja akibatnya. Maka, jadilah seperti kata orang 'bukankah saya dah nyatakan begitu kepada anda," kata Salleh melalui catatan dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.com, hari ini.

Salleh berkata pembangkang juga tidak mempunyai pilihan, selain menamakan presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai bakal timbalan perdana menteri mereka dan sama jugalah, menamakan orang lain untuk jawatan itu umpama 'membunuh diri'.

"Tetapi, tentulah ada pemimpin penting lain yang telah banyak berkorban, termasuk melepaskan jawatan menteri dan jawatan dalam parti.

"Mengapakah nama-nama ini tidak dipertimbang, sebaliknya diketepikan?" tanya Salleh.

Semalam, Pakatan Harapan mengumumkan Dr Mahathir sebagai calonya untuk menjadi perdana menteri dan Dr Wan Azizah sebagai calon timbalan perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi PRU14.

-- BERNAMA

Ahad, Januari 07, 2018

NADMA DISARAN PERLUASKAN PENDAFTARAN BANJIR DALAM TALIAN

KEMAMAN, 6 Jan (Bernama) -- Agensi Pengurusan Banjir Negara (NADMA) disaran memperluaskan sistem pendaftaran banjir dalam talian bagi memudahkan pengurusan mereka apabila berlakunya bencana itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata sistem berkenaan, yang telah dilaksanakan di Kemaman, ternyata berkesan dalam membantu melancarkan pengurusan banjir di daerah itu.

"Mangsa banjir hanya perlu membuat pendaftaran semasa log masuk kerana kita sudah mempunyai rekod lama untuk dijadikan panduan. Rekod mangsa akan dikumpulkan di Pejabat Daerah Kemaman dan pada masa hadapan ia dianalisis dengan lebih terperinci.

"...saya rasa pihak NADMA bersedia mengambil kira menjadikan sistem ini sebagai sistem nasional semasa banjir. Data yang ada kelak membantu kita dalam merencana dan menjadikan perkhidmatan ini lebih baik pada masa akan datang," katanya kepada pemberita semasa melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kemaman Supt. Mohd Said Ibrahim dan Pegawai Daerah Kemaman Mohd Zahari Md Azahar.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman turut mengucapkan tahniah kepada NADMA yang bersedia dengan pelbagai komponen semasa berlakunya banjir termasuk menyediakan tempat pemindahan mangsa yang selesa.

"Pusat pemindahan yang baik akan menggalakkan mangsa berpindah lebih awal...kali ini, ada penyediaan lampin, berus gigi dan tempat permainan untuk kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata selain menyediakan 48 pusat pemindahan, persediaan bekalan makanan juga dapat menampung 40,000 orang mangsa banjir di seluruh Kemaman.

--BERNAMA

Sabtu, Januari 06, 2018

GAYA HIDUP WAKIL RAKYAT PAS BERUBAH SEJAK BERKAWAN DENGAN UMNO

KUALA LUMPUR: Hanya parti PAS sahaja yang mengistiharkan parti tersebut sudah putus hubungan dengan PKR.

Sedangkan PKR tidak pernah cakap begitu. Lagipun tidak ada untungnya isu tersebut diperkatakan kerana pengundi di Terengganu tidak pernah tahu PAS-PKR putus hubungan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Kuala Terengganu, Azan Ismail menjelaskan demokrafi pemikiran rakyat negeri itu ialah mereka hanya memikirkan urusan keluarga dan perkara berkaitan persekolahan anak-anak mereka.

"Jadi tak ada faedahnya kita nak cakap perkara tersebut. Kerana apa kerana 96 peratus orang Melayu Terengganu mereka lebih memikirkan hal-hal keluarga mereka. Bagi saya itu hanyalah political tournement," katanya.

Azan menjelaskan matlamat PKR sekarang ialah untuk mempastikan Umno tidak lagi menjadi kerajaan di Terengganu.

Beliau turut menyelar wakil-wakil Rakyat PAS. Sejak parti itu bersahabat dengan Umno gaya hidup mereka amat jauh berubah.

"Sebelum ini wakil rakyat PAS susah kita lihat jika mereka lawat kawasan atau ke sana sini mereka akan naik kereta biasa sahaja.

"Sekarang ini ada yang dah pandai bergaya. Naik moto besar dan kereta besar," jelasnya.

Orang Umno pula ada yang sudah jadi alim ulamak. Ke mana sahaja mereka pergi kopiah tidak pernah lekang di kepala.

Kata Azan inilah hasil gabungan Umno-PAS. Masing-masing saling tukar budaya sehinggakan sukar untuk mengenali yang mana satu wakil rakyat Umno atau PAS.

Beliau seterusnya menempak PAS. Parti itu merupakan sebuah parti yang amat mudah melupai janji.

Contohnya kata Azan ketika PRU ke-13 yang mana parti PKR telah dijanjikan bertanding enam kerusi di Terengganu.

Tetapi apabila sampai waktunya PKR hanya diberikan tiga kerusi sahaja.

Ini menunjukkan PAS bukanlah parti yang boleh dipercayai.

"Daripada situ saya lihat PAS di Terengganu ini sudah tidak ada orang nak ikut sebab apa saya kata sebab selalu sangat bercakap tidak benar.

"Orang-orang Terengganu sudah tahu siapa sebenarnya mereka dan akan menolak calon PAS pada PRU kali ini," katanya.

Khamis, Januari 04, 2018

EPIC TERUSKAN PROGRAM BACK TO SCHOOL DUA HARI BERTURUT TURUT





KUALA TERENGGANU: EPIC Berhad meneruskan program Back To School dua hari berturut-turut. Semalam program tersebut diadakan di Mesra Mall, Kemasik, Kemaman untuk 40 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Chukai dan Sekolah Kebangsaan Seri Iman.




Hari ini program yang sama diadakan di Taman Tamaddun Islam di Pulau Wan Man, Kuala Nerus untuk 40 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Seberang Takir dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal.




Semalam Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Wan Shukri Mohamad mewakili Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Berhad, Nur Fadzil Mohd Nor merasmikan program tersebut di Mesra Mall. Hari ini beliau diwakili oleh Rusdi Ngah, Pengurus Besar Pentadbiran dan Sumber Manusia EPIC Berhad merasmikan program berkenaan di Taman Tamaddun Islam.




Hari ini mereka menerima baucer untuk membeli kelengkapan sekolah di sebuah pusat beli belah di Kuala Terengganu. Pada masa yang sama 40 orang pelajar itu turut diberi peluang menonton wayang Jumanji di pusat beli belah tersebut.




Keriangan terserlah pada wajah 40 orang pelajar tersebut yang turut berpeluang menjejak kaki di Taman Tamaddun Islam buat kali pertama. Mereka yang terdiri dari para pelajar tahun satu hingga tahun empat bersyukur menerima sumbangan dari EPIC Berhad yang menurut Rusdi Ngah sebanyak RM45,000 telah diperuntukkan oleh EPIC Berhad untuk bantuan sekolah termasuk pakaian, kasut dan alat kelengkapan sekolah sebagai sumbangan CSR EPIC Berhad kepada masyarakat yang kurang bernasib baik.

Rabu, Januari 03, 2018

PELAJAR DIINGATKAN BERI TUMPUAN KEPADA PELAJARAN



KEMAMAN: Pelajar pelajar sekolah diingatkan memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran.




Ingatan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Berhad, Nur Fadzil Mohd Nor ketika menyampaikan sumbangan Back To School 2018 di Mesra Mall di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibaca oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Epic, Wan Shukri Mohamad.




Beliau meminta para pelajar manfaatkan segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya mereka menjadi insan yang baik.




"Jadikanlah sekolah sebagai tempat menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat dan mengasah budaya kepimpinan kerana andalah merupakan aset negara yang bernilai pada masa hadapan," katanya.




Beliau berharap mereka menjauhi perkara yang tidak berfaedah dan jangan terpengaruh dengan gejala tidak sihat dan tidak bermoral seperti ponteng, buli, dadah serta lain-lain gejala negatif yang boleh merosakkan diri.




"Oleh itu berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya," tegasnya.




Pada hari ini seramai 40 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Seri Iman dan Sekolah Kebangsaan Chukai menerima sumbangan baucer membeli pakaian sekolah, di samping kasut sekolah, alat alat tulis dan juga beg sekolah.




Dalam sidang akhbar Wan Shukri berkata pada tahun 2017 sebanyak RM100,000 disediakan EPIC Berhad untuk tujuan Program CSR yang berkaitan dengan program Back To School di seluruh negeri Terengganu.




Katanya, program CSR sebegini diwujudkan atas dasar untuk membantu dan memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik dengan harapan sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan kesusahan yang ditanggung oleh ibu bapa pada hari ini.



Isnin, Januari 01, 2018

MAHFUZ DAH TAHU TIDAK DICALONKAN SEBAB ITU DIA KELUAR DARI PAS

KOTA BHARU, 1 Jan (Bernama) -- PAS telah lama menjangkakan keputusan anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar untuk keluar daripada parti itu, kata Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata ini berdasarkan tindakan Mahfuz yang sering mempertikaikan kepimpinan PAS menerusi pelbagai kritikan sejak sekian lama.

"Ia bukan sesuatu yang memeranjatkan malah beliau telah lama menunjukkan tindak-tanduknya (untuk keluar parti) melalui kritikan-kritikan terhadap barisan kepimpinan seolah-olah cuba 'menjemput' PAS memecatnya daripada parti," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata beliau menerima surat pengunduran sebagai anggota parti daripada Mahfuz pada pukul 5.04 petang semalam menerusi e-mel.

"Antara alasan dikemukakan Mahfuz dalam surat berkenaan termasuk mempertikaikan tindakan PAS dalam hal perjuangan Islam termasuk Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) dan sikap berkecuali parti itu dalam pengundian Bajet 2018 adalah satu pengkhianatan kepada rakyat.

"Selain itu beliau juga tidak berpuas hati dengan PAS yang disifatkan memencilkan rakyat dan sasaran kemenangan 40 kerusi PAS yang dikatakan terlalu sedikit dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14)," katanya sambil menambah alasan yang dikemukakan Mahfuz adalah dakwaan yang tidak berasas dan menyifatkan bekas anggota PAS tersebut kini 'sesat dalam politik'.

Semalam, Mahfuz yang merupakan bekas naib presiden PAS mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa 11.59 malam tadi dan menetapkan masa sebulan sebelum mengambil langkah sama ada akan menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata PAS telah bersiap sedia menghadapi PRU14 selepas menyelesaikan proses pemilihan calon baru-baru ini dan kini dalam proses menentukan kerusi mana yang bakal ditandingi termasuklah pemilihan 30 peratus muka baharu yang akan bertanding atas tiket PAS di Kelantan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PAS akan terus mengadakan muktamar tahunan yang dijangka diadakan di Pahang pada 2 dan 3 Mei tahun ini walaupun berdepan PRU14.

-- BERNAMA

NAJIB LETAKKAN MALAYSIA LEBIH KUKUH DALAM PETA ANTARABANGSA

KOTA KINABALU:  Misi diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang lebih kukuh dan lebih baik dalam peta antarabangsa.

Menurut ahli jawatankuasa Umno Bahagian Semporna, Datuk Basali Abdul Hamid, lawatan diplomatik Najib telah menaikkan imej  negara dan peluang perniagaan untuk Malaysia.

"Pada masa yang sama ia juga mewujudkan perniagaan yang lebih kompetitif dengan negara asing dalam mempastikan Malaysia kekal bersaing dalam perdagangan antarabangsa," katanya.

Beliau yang juga bekas ADUN Bugaya menambah peranan Malaysia dalam OIC serta lawatan ke Turki, India, China, Sri Langka, Maldives, Amerika Syarikat, United Kingdom membuktikan bahawa Malaysia adalah rakan kongsi yang kuat dalam perdagangan antarabangsa  selain dari mengukuhkan hubungan diplomatik.

Katanya, hasil dari lawatan ke negara negara tersebut, Perdana Menteri telah membawa masuk lebih ramai pelabur asing ke dalam negara.

"Di antara pelaburan yang berkesan adalah dalam industri pembuatan kereta Proton, mengeksport durian ke China, eksport minyak sawit,  Tun Razak Exchange dan projek ECRL," katanya lagi.

Katanya lagi, kemasukan pelaburan asing menunjukkan keyakinan orang luar terhadap kestabilan politik  dan ekonomi negara kita.

Beliau menambah dengan kepimpinan bergaya Najib, Bank Dunia dalam laporan terbaru meramalkan Malaysia dapat mencapai status pendapatan tinggi lebih awal dari tahun 2020.

"Usaha berterusan Najib untuk transformasi  negara dengan pelbagai program dan dasar akan menguntungkan semua orang," ujarnya.

Katanya, rakyat Malaysia wajar faham dan sedar  bahawa langkah pembetulan yang diambil oleh kerajaan adalah untuk mempastikan ekonomi dan perdagangan antarabangsa adalah  selari dengan ekonomi negara negara lain.

Ahad, Disember 31, 2017

SEMOGA TAHUN 2018 MEMBAWA LEBIH BANYAK KEJAYAAN KEPADA MHONLINE










Oleh : Hidayat Fansyuri (dipetik dari MHONLINE)

Tahun 2017, adalah tahun yang sukar bagi saya untuk menguruskan portal berita www.mhonline.com.my sejak bermula dari tahun 2013, tahun 2017 adalah tahun dimana saya terpaksa turun mencari sendiri pelanggan sejak ketiadaan Ybhg Dato’ Fatah Iskandar yang banyak membantu portal MH Online setelah beliau berhenti sebagai setiausaha politik di Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Walau sesukar manapun keadaan, saya sedar portal ini harus terus bergerak dan saya berusaha untuk mengerakkan dari mula.

Nasib kami agak baik kerana beberapa organisasi sudi membeli iklan di portal kami walaupun tidak lah sebanyak mana tetapi cukup untuk kami bergerak dan membeli beberapa kelengkapan dan menaiktaraf sistem operasi MH Online.

Dari iklan yang diterima, kami terpaksa berjimat sedaya mungkin untuk perbelanjaan selama setahun bagi kos perjalanan, elaun dan lain-lain kos.

Kami bergerak hampir setahun dengan kos iklan yang tidak seberapa itu dan ianya cukup memeritkan, pelbagai proses suka duka dalam mengurus portal ini saya tempuhi satu persatu, masalah kakitangan, sewaan, hampir ditipu, dan berbagai lagi.

Dari situ saya mula belajar dan mengerti selok belok perniagaan media, saya bernasib baik dikelilingi oleh orang yang berpengalaman dalam bidang kewartawanan dan penulisan.

Zabidi Saidi sebagai ketua editor MH Online banyak membantu saya mengurus portal ini, tanpa beliau mungkin portal ini tidak lagi wujud. Beliau banyak membantu dalam penulisan dan pemasaran iklan.

Seorang lagi Abdullah Karim wartawan senior juga banyak menyumbang kepada MH Online, terima kasih kepada anda semua yang membantu.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri kerana menyokong portal kecil ini secara berterusan sejak 2015, kepada pelanggan kami dan kepada mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam membantu MH Online Media.

2017 akan terpahat dalam memori MH Online Media, semoga tahun 2018 menjanjikan seribu manfaat, Insya Allah.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2018 dari kami MH Online Media.

RATING TERTINGGI BAGI BULAN DISEMBER 2017

Disember 2017 menutup tirai 2017 dengan posting "Mokhtar percaya MCA akan bantu calon Umno Bandar Tun Razak" mendapat rating tertinggi sebanyak 1,160 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan Disember 2017 adalah seperti berikut:-

1. Mokhtar percaya MCA akan bantu calon Umno Bandar Tun Razak (27 Disember)
2. Rauf tanding parlimen Masjid Tanah? (14 Disember)
3. Perkasa cadang pertemuan tertutup mengenai MA63 (5 Disember)
4. Hishamuddin bukan saingan Zahid (12 Disember)
5. Budiman bakal MB Selangor? (12 Disember)
6. Felda mahu dapatkan semula hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak (21 Disember)
7. Warna hitam Mokhtar jadi tumpuan (7 Disember)
8. Neng Hayati berhasrat tanding Ketua Wanita Umno Bahagian Bandar Tun Razak (8 Disember)
9. Latifah Omar akur dengan keputusan parti (29 Disember)
10. Perkasa syukur Dr Zakir Naik dilepaskan dari tangkapan Interpol (20 Disember)

DAPATKAH LANGKAWI TERIMA MAHATHIR SEBAGAI AHLI PARLIMEN?

SHAH ALAM, 30 Dis (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan kemungkinan bertanding sama ada di kerusi Parlimen Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya mungkin bertanding di satu daripada tiga kawasan ini. Mereka beritahu saya bahawa saya punya peluang baik untuk menang di Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.

"Jadi bersiap-siaplah untuk itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada perhimpunan agung pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM berkata parti itu telah memutuskan segala hubungan dengan PAS dalam soal menjalin kerjasama politik.

"Melainkan kalau orang PAS keluar PAS masuk mana-mana parti Pakatan Harapan termasuk PPBM, mereka dialu-alukan," katanya.

Mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa beliau sedang berusaha merundingkan persetujuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menyelamatkan karier politik anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Mahathir menafikan perkara itu.

Laporan itu antara lain menyebut persetujuan itu memerlukan Najib melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II sebelum PRU14 serta memberinya jawatan Kabinet, sama ada Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri atau Menteri Pertahanan.

Sebagai balasan, Dr Mahathir kononnya akan berhenti menyerang Najib dan tidak akan lagi bersama Pakatan Harapan, menurut laporan itu.

-- BERNAMA

Jumaat, Disember 29, 2017

RAMAI KETUA PEMUDA BAHAGIAN JADI CALON?

KUALA LUMPUR: Enam Ketua Pemuda Umno Melaka berpotensi diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 (PRU 14) bagi mengisi kekosongan wakil rakyat yang berikrar untuk tidak dipilih semula ataupun bakal dicicirkan oleh pucuk pimpinan parti peringkat negeri dan Pusat.




Ketua-ketua Pemuda yang dimaksudkan ialah Hameed M.K Basheer (Masjid Tanah) Rohazam Bakar (Bukit Katil) Datuk Zali Yaafar (Tangga Batu) Khairul Nizam (Alor Gajah) Datuk Abdul Razak Rahman (Kota Melaka) dan Datuk Zaidi Atan (Jasin).




Hameed dikatakan bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Rohazam di Ayer Molek, Datuk Zali di Paya Rumput, Khairul Nizam di Rembia, Datuk Abdul Razak di Telok Mas dan Datuk Zaidi di Rim.




DUN Ayer Limau pada masa ini di wakili oleh Datuk Amiruddin Yusof, Ayer Molek oleh Datuk Md Yunos Husin, Paya Rumput (Sazali Muhd. Din) Rembia (Datuk Norpipah Abdol) Telok Mas (Datuk Latif Tamby Chik) dan Rim (Datuk Ghazale Mohamad).




Kecuali Datuk Amiruddin yang baru sepenggal di Ayer Limau, lima lagi ADUN sudahpun berkhidmat melebihi dua penggal.




Menurut sumber, seandainya Hameed diketengahkan pada kali ini, ini merupakan kali pertama Ketua Pemuda Masjid Tanah mencipta sejarah setelah Masjid Tanah diberikan status Bahagian baru Umno.




Ini adalah kerana sejak 30 tahun lepas belum ada lagi nama Ketua Pemuda bahagian berkenaan diberi peluang menjadi calon dalam mana-mana kawasan dalam Masjid Tanah.




Kali terakhir Ketua Pemuda (masa itu Bahagian Alor Gajah) diberi amanah adalah Datuk Ibrahim Jendol. Beliau menjadi Ahli Parlimen Alor Gajah pada tahun 1990-an.




Menurut sumber itu lagi, berkemungkinan besar Hameed bakal diketengahkan oleh pucuk pimpinan negeri bagi mewakili DUN Ayer Limau memandangkan penglibatan Pensyarah MRSM itu secara total di kawasan tersebut.




Tambahnya lagi, Hameed amat disenangi oleh Ketua Bahagian serta Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ir. Idris Haron dan para pengundi di DUN berkenaan. Banyak program-program peringkat negeri dan daerah diketengahkan beliau di kawasan itu memandangkan jiwanya amat dekat penduduk setempat.





LATIFAH OMAR AKUR DENGAN KEPUTUSAN PARTI





KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Taboh Naning, Melaka, Datuk Latipah Omar berkata beliau akur dengan apa juga keputusan parti sama ada dirinya dikekalkan ataupun tidak pada Pilihan Raya Umum kali Ke-14 (PRU 14) yang bakal diadakan pada tahun hadapan.

Kata Datuk Latipah, beliau amat terbuka berkaitan perkara ini dan sama sekali tidak akan merungut sekiranya nama beliau tidak tersenarai pada PRU 14 nanti.

“Sekiranya saya dipilih semula, saya akan terus memberikan perkhidmatan sepertimana saya lakukan sepuluh tahun lepas (dua penggal). Sekira sebaliknya, saya tetap menabur bakti kepada masyarakat setempat,” katanya.

Datuk Latipah antara Wakil Rakyat dua penggal di Melaka. Beliau mula menjadi wakil rakyat Taboh Naning pada PRU 12. Pada PRU itu beliau memperolehi 3,873 undi mengalahkan calon PAS, Abd. Halim Said (1,626).

Pada PRU 13, sekali lagi namanya diangkat mewakili Taboh Naning. Kali ini beliau berdepan dengan calon PAS, Abd Halim Ab. Jalil. Beliau memperolehi 4,520 undi dan Abd Halim, 2,165 undi.

Untuk pilihan raya kali ini, dua nama disebut untuk menggantikan beliau. Mereka itu terdiri daripada Zulkifli Datuk Seri Md. Zain dan adiknya, Faizal Datuk Seri Md. Zain.

Datuk Latipah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Masjid Tanah berkata sesiapa sahaja layak dicalonkan untuk PRU 14 ini. Ini adalah kerana Umno sebuah parti untuk semua dan bukan parti individu.

Apa yang penting ialah calon berkenaan mestilah layak serta boleh membwa kemenangan kepada parti.


“Semua ahli Umno layak dicalonkan oleh parti. Tak kiranya mereka itu lama ke ataupun baru masuk parti. Yang paling penting sekali calon tersebut mesti dapat mandat pucuk pimpinan,” katanya.


Pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri ada menyarankan agar lebih ramai calon muda diketengahkan pada PRU 14 ini.

Kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini semua bagi memberi peluang dan ruang untuk orang-orang muda memberikan perkhidmatan kepada rakyat serta pada masa sama akan menjadi pengganti kepada orang lama yang satu hari nanti bakal mengundurkan diri dalam arena politik.

Reaksinya kepada pandangan dan saranan itu, Datuk Latipah berkata beliau amat bersetuju dengan pandangan TPM itu dan seterusnya beliau menyarankan kepada pucuk pimpinan parti sama ada di peringkat negeri dan Pusat, supaya pemimpin lama ini digandingkan dengan pemimpin baru pada PRU 14 ini.

Bercakap mengenai kepuasan hatinya setelah dua penggal berkhidmat, beliau menjelaskan, sesiapa sahaja akan mengatakan tidak puas menabur bakti selagi darah daging seorang ahli politik itu, masih mengalir dalam diri mereka.

Walaupun banyak pembangunan telah dibawa beliau ke Taboh Naning, hati dan nalurinya mengatakan masih banyak lagi pembangunan hendak diperkenalkan di kawasan tersebut, asalkan sahaja khidmatnya sebagai wakil rakyat di sambung lagi.

Ditanyakan mengenai masa depan politiknya, Datuk Latipah berkata itu semua diserahkan kepada pucuk pimpinan Bahagian dan Negeri. Selagi denyut nadinya masih berjalan, beliau sedia menyambung khidmat kepada parti, walau di mana sahaja beliau diletakkan.

“Saya orang parti. Sebagai orang parti sudah tentulah saya bersedia menyambung khidmat dan jiwa saya memang dekat dengan pengundi saya di Naning (Taboh), “ katanya.

Rabu, Disember 27, 2017

MOKHTAR PERCAYA MCA AKAN BANTU CALON UMNO DI BANDAR TUN RAZAK



KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak (BTR) Datuk Mokhtar Samad percaya rakan Barisan Nasional (BN) MCA akan memberi kerjasama kepada calon Umno sekiranya calon parti tersebut tidak terpilih pada Pilihan Raya Umum kali ke 14 (PRU 14) nanti.




Beliau menjelaskan sejak dulu lagi hinggalah sekarang kerjasama erat antara parti komponen dalam BN tidak boleh dipertikaikan.




"Sejak 1957 hingga kini tidak timbul masalah sekiranya kawasan Umno diletakkan calon MCA dan begitulah sebaliknya.




"Kedua-dua parti BN ini bagaikan ada perjanjian tersendiri. Mereka akan saling bantu membantu untuk memenangkan parti," katanya.




Parlimen BTR merupakan kawasan tradisi MCA. Walau bagaimanapun calon mereka gagal menyumbang kerusi di kawasan berkenaan.




Bertolak dari situ masyarakat BTR berasakan sudah sampai masanya calon Umno dipertaruhkan di situ memandagkan pengundi Melayu mendominasi di kawasan berkenaan iaitu 58.7 peratus.




Baru-baru ini, Pengerusi Kelab Veteran Umno BTR, Datuk Mohd. Alias Abdul dalam satu sidang media khas menyarankan supaya Parlimen BTR diberikan kepada calon Umno.




Apabila bercakap mengenai calon sesuai nama Ketua Umno Bahagian iaitu Datuk Rizalman menjadi sebutan bakal diketengahkan oleh Umno Bahagian.




Datuk Rizalman merupakan anak kepada Datuk Mokhtar.




Datuk Mokhtar berkata beliau tidak berani membuat ramalan andaikata nama anaknya dicalon kemenangan akan memihak kepadanya.




"Yang boleh menangkan dia bukan diri dia. Para pengundi di BTR yang ada kuasa untuk menentukan sama ada dia boleh menang atau tidak," ujarnya.




Beliau seterusnya berkata sekiranya pengundi di BTR ingin melihat kerusi Umno bertapak di bandar elit itu, mereka tidak ada pilihan.




Kecuali mereka kena membulatkan tekad dengan memberi kemenangan kepada calon tersebut pada PRU 14 nanti.




Ditanya beliau mengenai perasaannya apabila nama anak beliau dikatakan bakal calon BTR, Datuk Mokhtar berkata beliau belum boleh tersenyum jauh sekali berbangga kerana PRU belum lagi bermula.




"Saya hanya boleh mengucapkan dan syabas pada Rizal sekiranya beliau dipilih dan menang pada pilihan raya kali ini,"ujarnya.

Selasa, Disember 26, 2017

PERKASA CADANG WUJUDKAN AKTA SABOTAJ EKONOMI

KUALA LUMPUR: Perkasa mencadangkan kerajaan mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi (ASE) seperti ISA yang sudah dimansuhkan.

Menurut Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, isu penyamunan seperti Tanah FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara.

"Bila rakyat marah pelbagai perkara boleh berlaku yang akhirnya mengancam keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, melalui ASE mereka yang terlibat mensabotaj ekonomi negara boleh ditahan serta merta selama 30 hari tanpa mendapat perintah mahkamah.

"Penyiasatan lebih cepat dan berkesan jika yang disyaki disiasat sewaktu dalam tahanan seperti Akta ISA dahulu," katanya berbanding dengan cara sekarang yang mungkin berlaku bukti boleh dimusnahkan dan saksi pula mungkin dibeli atau disogok.

Katanya lagi, proses perbicaraan pula makan masa yang panjang dan bila mahkamah dapati yang tertuduh bersalah hukuman pula cuma dua hingga tiga tahun penjara sahaja.

"Tidak berbaloi dan munasabah. Ada yang berkata apa salah masuk penjara lima hingga 10 tahun bila keluar ada ratusan juta," ujarnya lagi.

Ibrahim yang pernah dua kali ditahan di bawah ISA menegaskan hukuman rasuah dan penyalahgunaan kuasa mesti ada hukuman mandatori rotan, semua harta dirampas dan minimum penjara 10 tahun.

Beliau mengulas skandal tanah FELDA yang perlu dijadikan ikhtibar bahawa rakyat perlu mendesak kerajaan  supaya mencari satu mekanisma undang undang yang lebih berkesan mencegah rasuah seperti diwujudkan segera ASE atau apa jua kaedah yang diikirkan sesuai dan berkesan.

Beliau sedih penyalahgunaan kuasa mengenai tanah FELDA yang bernilai ratusan juta ringgit dirompak secara terancang dan cukup licik oleh mereka yang terlibat tanpa rasa malu, berdosa dan takut kepada Allah.

Katanya, individu yang terlibat menyamun mengikut saluran dan peraturan kononnya.

"Dari segi undang undang, ia nampak seolah olah ianya halal. Ini yang saya kata jenayah moral yang amat keji, terkutuk dan wajib dikutuk," tegasnya lagi.

Isnin, Disember 25, 2017

ISA NAFI MELARIKAN DIRI DARI MEDIA



PORT DICKSON, 25 Dis (Bernama) -- Bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung isu pemindahan hak milik tanah agensi itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau berakta pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menghubunginya bagi mendapatkan keterangan selepas Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad membuat laporan polis dan sidang media mengenai perkara itu.

"Setakat ini, polis belum panggil saya, biar polis jalankan tugas. Tetapi, saya sedia beri kerjasama sekiranya polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) panggil.

"Saya tidak mahu komen lebih kerana tidak mahu isu ini dijadikan polemik politik" katanya kepada pemberita semasa menghadiri Kempen Tabung Hari Pahlawan 2017 Peringkat Parlimen Teluk Kemang di Batu 4 di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Mohd Isa yang juga Penaung Persatuan Veteran ATM Cawangan Port Dickson, menangkis dakwaan kononnya beliau melarikan diri daripada pihak media.




"Ramai cakap saya lari, mana ada saya lari, saya ada banyak program di sini, Jempol dan Seremban," katanya.

Mohd Isa pernah menjadi Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017, Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Khamis lepas, media melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai RM270 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Berikutan itu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah itu termasuk tidak menolak kemungkinan memanggil Mohd Isa bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

Sabtu, Disember 23, 2017

KETUA PEMUDA PAS WAKILI HAJI HADI DI HIMPUNAN PUTIH SELAMATKAN BAITULMUQADDIS

PUTRAJAYA, 22 Dis (Bernama) -- Himpunan Putih Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis yang diadakan di Masjid Putra di sini, hari ini merupakan himpunan bersejarah buat umat Islam Malaysia untuk bersama-sama rakyat Palestin dalam mempertahankan kota suci umat Islam itu, kata Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Berucap mewakili Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada himpunan itu, beliau berkata umat Islam berkumpul tanpa mengira perbezaan politik mahupun pandangan bagi menolak resolusi Amerika Syarikat memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

"Hari ini kita berkumpul tanpa mengira siapa kita, kita berkumpul di atas asas rakyat Malaysia dan umat Islam untuk menyatakan kepada Amerika Syarikat dan Israel bahawa Malaysia bersama-sama dengan saudara kita di Palestin untuk membebaskan Baitulmuqaddis suatu hari nanti.

"Hari ini kita berkumpul di masjid ini, satu hari nanti, Insya-Allah, kita semua akan berkumpul di Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat," kata Muhammad Khalil.

Himpunan itu yang disertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut dihadiri oleh kira-kira 10,000 umat Islam dan rakyat Malaysia bukan Islam.

Pada 6 Dis lepas, Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel hingga membangkitkan kemarahan dan bantahan negara-negara Islam.

Pada Jumaat, perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa Bersatu menerima 128 undi yang menyokong usul untuk menolak keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

-- BERNAMA

Khamis, Disember 21, 2017

FELDA MAHU DAPATKAN SEMULA HAK KE ATAS TANAH DI JALAN SEMARAK

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- FELDA bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanahnya yang dianggarkan bernilai RM270 juta di Jalan Semarak di sini susulan laporan yang menimbulkan tanda tanya berhubung urusan pindah milik tanah berkenaan.

Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata selain laporan polis yang dibuat pada 12 Dis lepas, tindakan lain yang diambil adalah dengan mendaftarkan kaveat ke atas tanah tersebut, membatalkan surat kuasa wakil penuh yang dikeluarkan dan mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terlibat.

Beliau berkata Unit Kawal Selia Jabatan Perdana Menteri akan melantik juruaudit bebas bagi memulakan siasatan dalaman berhubung keseluruhan isu itu.

"Kita jangkakan siasatan akan dimulakan seawal Januari depan," katanya dalam sidang berita tergempar di ibu pejabat FELDA hari ini, yang turut di hadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan Jabatan Perdana Menteri Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Sidang berita itu diadakan berikutan pendedahan media yang melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak terhadap tanah itu yang terletak di kawasan strategik Jalan Semarak susulan urusan pindah milik tanah yang dicurigai.

Ditanya mengenai intipati laporan polis itu, Shahrir berkata syarikat yang memegang surat kuasa wakil penuh ke atas tanah-tanah itu telah dinamakan, namun nama bekas pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Samad tidak disebut.

"Kita buat laporan polis kerana bimbang ada kes penipuan dalam hal tanah ini," katanya sambil menyifatkan perjanjian jual beli tanah itu pelik kerana ia melibatkan tanah institusi kerajaan yang seolah-olah ditukar milik dengan begitu mudah.

Shahrir berkata secara kebiasaannya, projek pembangunan membabitkan tanah milik kerajaan dan agensi kerajaan akan melibatkan hak milik strata sahaja bukannya penukaran hak milik tanah secara keseluruhan.

Beliau mendedahkan selaku pemegang PA (surat kuasa wakil) tanah, syarikat berkenaan didapati menjual tanah kepada pihak mereka sendiri.

"Sebagai pemegang PA, syarikat itu jual tanah kepada diri sendiri dengan jumlah nilai yang disebut itu, namun tiada wakil FELDA yang tanda tangan (dokumen penjualan). Mereka jual kepada pihak dia sendiri," katanya.

Shahrir berkata keseluruhan tindakan sejak Januari hingga April dilakukan FELDA setelah mendapat nasihat Jabatan Peguam Negara, selain ia dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari.

Beliau mendedahkan tanah-tanah itu merangkumi empat perjanjian jual beli dengan nilai keseluruhan RM269.78 juta bagi kawasan berkeluasan 6.57 hektar di Jalan Semarak, yang dibuat sejak 2015 hingga 2016.

Katanya sehingga kini tiada sebarang pembayaran diterima daripada syarikat tersebut malah Lembaga Pengarah FELDA juga tidak dimaklumkan mengenai tindakan pindah milik tersebut.

"Dengar juta-juta, tapi satu sen pun tidak dibayar. Langsung tidak dibayar," katanya sambil memberitahu syarikat itu telah dipanggil sebaik sahaja kes itu diketahui pihak pengurusan dan pentadbiran.

Ditanya sama ada FELDA sanggup menerima wang hasil jualan tanah itu jika gagal dalam proses rundingan dengan syarikat berkenaan, Shahrir berkata pihaknya langsung tidak berminat dengan wang sebaliknya mahu memberi keutamaan kepada pemilikan semula tanah itu.

-- BERNAMA