Memaparkan catatan dengan label epic. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label epic. Papar semua catatan

Khamis, Januari 04, 2018

EPIC TERUSKAN PROGRAM BACK TO SCHOOL DUA HARI BERTURUT TURUT





KUALA TERENGGANU: EPIC Berhad meneruskan program Back To School dua hari berturut-turut. Semalam program tersebut diadakan di Mesra Mall, Kemasik, Kemaman untuk 40 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Chukai dan Sekolah Kebangsaan Seri Iman.




Hari ini program yang sama diadakan di Taman Tamaddun Islam di Pulau Wan Man, Kuala Nerus untuk 40 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Seberang Takir dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal.




Semalam Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Wan Shukri Mohamad mewakili Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Berhad, Nur Fadzil Mohd Nor merasmikan program tersebut di Mesra Mall. Hari ini beliau diwakili oleh Rusdi Ngah, Pengurus Besar Pentadbiran dan Sumber Manusia EPIC Berhad merasmikan program berkenaan di Taman Tamaddun Islam.




Hari ini mereka menerima baucer untuk membeli kelengkapan sekolah di sebuah pusat beli belah di Kuala Terengganu. Pada masa yang sama 40 orang pelajar itu turut diberi peluang menonton wayang Jumanji di pusat beli belah tersebut.




Keriangan terserlah pada wajah 40 orang pelajar tersebut yang turut berpeluang menjejak kaki di Taman Tamaddun Islam buat kali pertama. Mereka yang terdiri dari para pelajar tahun satu hingga tahun empat bersyukur menerima sumbangan dari EPIC Berhad yang menurut Rusdi Ngah sebanyak RM45,000 telah diperuntukkan oleh EPIC Berhad untuk bantuan sekolah termasuk pakaian, kasut dan alat kelengkapan sekolah sebagai sumbangan CSR EPIC Berhad kepada masyarakat yang kurang bernasib baik.

Rabu, Januari 03, 2018

PELAJAR DIINGATKAN BERI TUMPUAN KEPADA PELAJARAN



KEMAMAN: Pelajar pelajar sekolah diingatkan memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran.




Ingatan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Berhad, Nur Fadzil Mohd Nor ketika menyampaikan sumbangan Back To School 2018 di Mesra Mall di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibaca oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Epic, Wan Shukri Mohamad.




Beliau meminta para pelajar manfaatkan segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya mereka menjadi insan yang baik.




"Jadikanlah sekolah sebagai tempat menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat dan mengasah budaya kepimpinan kerana andalah merupakan aset negara yang bernilai pada masa hadapan," katanya.




Beliau berharap mereka menjauhi perkara yang tidak berfaedah dan jangan terpengaruh dengan gejala tidak sihat dan tidak bermoral seperti ponteng, buli, dadah serta lain-lain gejala negatif yang boleh merosakkan diri.




"Oleh itu berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya," tegasnya.




Pada hari ini seramai 40 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Seri Iman dan Sekolah Kebangsaan Chukai menerima sumbangan baucer membeli pakaian sekolah, di samping kasut sekolah, alat alat tulis dan juga beg sekolah.




Dalam sidang akhbar Wan Shukri berkata pada tahun 2017 sebanyak RM100,000 disediakan EPIC Berhad untuk tujuan Program CSR yang berkaitan dengan program Back To School di seluruh negeri Terengganu.




Katanya, program CSR sebegini diwujudkan atas dasar untuk membantu dan memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik dengan harapan sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan kesusahan yang ditanggung oleh ibu bapa pada hari ini.



Selasa, Jun 23, 2009

EPIC BANGUNKAN KSB III


Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, melabur RM100 juta bagi membangunkan Kemaman Supply Base (KSB) Fasa III, Kemaman yang melibatkan kawasan seluas 30 hektar.




Ketua Pegawai Eksekutifnya Ramli Shahul Hameed berkata pada masa kini urusan pembelian dan pembayaran tanah hampir diselesaikan dan akan dibuka untuk proses tender tidak lama lagi.




"Kita menjangkakan KSB Fasa III ini akan dibuka dalam tempoh setahun dan apabila dibuka kelak, ia akan menjadikan jumlah keseluruhan pangkalan perbekalan yang menyokong industri petroleum itu hampir 200 hektar, dengan tambahan 80 hingga 100 syarikat baru akan beroperasi di situ," katanya ketika ditemui semalam.




Beliau berkata pada masa ini terdapat 240 syarikat sokongan gas dan minyak beroperasi di situ, termasuk tujuh syarikat minyak utama iaitu Petronas, Esso, Cari Gali Hess, Talisman, Petrofac, Newfield dan Murphy.




Menurutnya pembukaan fasa baru itu juga akan memberi peluang pekerjaan kepada lebih 3,000 orang. Pada masa ini dianggarkan terdapat 8,000 tenaga kerja di situ dengan 80 peratus daripadanya merupakan anak Terengganu.




Berbanding Fasa I dan II yang dibuka sebelum ini, Fasa III yang bakal dibuka pertengahan tahun depan mempunyai keistimewaannya tersendiri, dengan setiap gudang atau bangunan dibina mengikut spesifikasi atau kehendak bakal penyewa.




"Sehubungan itu kita minta syarikat yang berminat memaklumkan bentuk pembinaan gudang yang mereka kehendaki sesuai dengan keperluan perniagaan mereka sebelum kami membinanya," katanya.




Untuk tempoh lima tahun akan datang, KSB yang ada sekarang bakal diperluaskan sehingga 400 hektar yang turut melibatkan pembesaran Pelabuhan Kemaman dan limbungan terbuka yang membabitkan peruntukan sehingga RM500 juta, katanya.Ramli berkata pembesaran kawasan Pelabuhan Kemaman itu adalah antara strategi syarikat untuk menarik lebih banyak syarikat perkapalan singgah di situ.




"Ramai pihak yang masih tidak menyedari bahawa Pelabuhan Kemaman merupakan lokasi yang strategik kerana selain terlindung daripada tiupan angin monsun, ia juga mempunyai kedalaman 10 hingga 16 meter yang sesuai untuk kapal besar serta lengkap dengan pelbagai kemudahan."




Usaha kami sekarang ialah untuk menarik lebih banyak kapal gerudi masuk ke pelabuhan itu dan usaha awal telah menampakkan kesan apabila sebuah kapal gerudi dari Australia memasuki pelabuhan dua minggu lepas untuk kerja membaik pulih selama lapan bulan. Ia dijangka menyumbang perolehan sebanyak RM100 juta," katanya.




Pada hari Selasa, Epic dijadualkan mengadakan mesyuarat agung tahunan diikuti sidang media bagi mengumumkan keputusan kewangannya bagi tahun lepas.