Jumaat, November 10, 2017

PEMANDU KAJI MAJUKAN 34 TARIKAN PELANCONGAN TERENGGANU



KUALA LUMPUR : Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata menyedari Terengganu kaya dengan kepelbagaian produk pelancongan berteraskan kekayaan alam semula jadi, keunikan budaya kesenian dan warisan kerajaan perlu memaksimumkan semuanya secara lebih efektif.

“Kita mengambil pendekatan dengan melakukan perubahan menyeluruh dalam sektor ini termasuk membuat penjenamaan semula produk dan destinasi menarik yang dikenal pasti.

“Sektor pelancongan menjadi tumpuan kerana hasil kajian lalu mendapati ia memberi kesan sebanyak tiga kali ganda terhadap pertumbuhan ekonomi selain menambahkan 2.5 kali ganda peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya pada majlis pelancaran Pelan Induk Pelancongan Negeri Terengganu 2018-2025, di sini, hari ini yang mana rancangan ini dijalankan dengan usaha sama Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).



Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Naib Presiden Eksekutif PEMANDU, Datuk Dr Amin Khan.

Ahmad Razif berkata, bagi mencapai hasrat berkenaan, kerajaan memilih kepakaran PEMANDU dalam merekabentuk pelan induk dan merangka strategi baharu dalam memajukan pelancongan negeri.

Katanya, kerajaan Terengganu banyak bersandar kepada industri minyak dan gas yang menyumbangkan lebih 85 peratus pendapatan negeri.

Bagaimanapun, katanya, kejatuhan harga minyak di pasaran dunia memberi kesan kepada pembangunan negeri.

“Sehubungan itu kita perlu bergerak ke arah mewujudkan pembangunan ekonomi lebih mapan dengan meneroka dan mengambil peluang dalam sektor yang mempunyai kelebihan persaingan bagi menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk menarik 6.5 juta pelancong melawat negeri itu yang akan menyumbangkan perbelanjaan sebanyak RM6 bilion menjelang 2025.

Katanya sasaran itu akan meningkatkan 60 peratus kedatangan pelancong berbanding empat juta yang dicatatkan pada 2015 selain bakal mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat menjelang 2025.

“Terengganu kaya dengan pelbagai aset dan mempunyai daya tarikan untuk menjadi destinasi pelancongan pilihan di Malaysia.

“Ia memiliki kawasan persisiran pantai terpanjang dan indah sejauh 244 kilometer, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, pulau pelancongan antara tercantik di dunia, keunikan biodiversiti di Setiu Wetland serta warisan budaya yang unik,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, pihaknya mengenal pasti 208 tarikan yang akan diberikan tumpuan utama dalam mengubah landskap industri pelancongan Terengganu.

“Daripada jumlah itu kita melihat 34 daripadanya berpotensi untuk diberikan tumpuan dan menjadi fokus utama dalam menarik tumpuan pelancong.

“Antaranya ialah Tasik Kenyir, Setiu Wetland, air terjun dan kolam air panas di Besut, Resorts World Terengganu dan zoo di Kemaman,” katanya.

Khamis, November 09, 2017

3.7 JUTA WARGANEGARA BELUM DAFTAR SEBAGAI PENGUNDI

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Sejumlah 14,622,881 pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara sehingga 30 Jun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata jumlah warganegara berumur 21 tahun dan ke atas yang layak mendaftar tetapi belum mendaftar sebagai pemilih adalah 3,797,785 orang bagi tempoh sama.

"Jumlah pemilih baharu yang telah didaftarkan mulai 1 Jan hingga 30 Jun 2017 adalah 409,564 orang manakala jumlah pendaftaran tukar alamat bagi tempoh sama melibatkan 152,832 orang," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sehingga 30 Sept lepas, SPR telah melantik 205 penolong pendaftar pemilih bagi membantu urusan pendaftaran.

Beliau berkata urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu kini sedang disiapkan sebelum tempoh dua tahun kajian tamat pada 14 Sept depan, sebelum laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dibentangkan di Dewan Rakyat.


Rabu, November 08, 2017

SHAFIE TIDAK PERLU PANIK KATA MUSA AMAN

KOTA KINABALU, 7 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu membiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan kerjanya menyiasat dakwaan rasuah melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semasa beliau menjadi menterinya.

Beliau berkata Shafie perlu lebih tenang dalam mendepani keadaan itu dan bukannya melemparkan tuduhan terhadap pihak lain dan cuba membabitkan orang lain.

"Tidak perlu panik. Tiada apa yang perlu ditakutkan sekiranya anda tidak bersalah seperti peribahasa Melayu 'berani kerana benar, takut kerana salah'," katanya kepada pemberita hari ini.

Musa berkata sehingga kini beliau tidak menyebut walau sepatah pun perkataan berkaitan kes itu walaupun diserang secara terbuka dalam ceramah politik dan sosial media Shafie.

"Bagaimanapun hari ini saya rasa saya terpaksa kata sesuatu kerana beliau cuba membabitkan saya di Parlimen dengan menyatakan seseorang yang ada kaitan dengan saya mendapat satu projek di bawah kementerian beliau," katanya.

Selasa, November 07, 2017

ADUN DAP UCAP TERIMA KASIH KEPADA TPM

GEORGE TOWN, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP hari ini membentangkan usul tergempar di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini berhubung kejadian banjir buruk yang melanda negeri ini pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketika membentangkan usul berkenaan, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan
Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow menggesa pihak berwajib di peringkat persekutuan, negeri, dan pihak berkuasa tempatan supaya meneliti dan menambah baik Prosedur Operasi Standard dalam menyampaikan maklumat, menggerakkan kerja menyelamat dan penyaluran bantuan agar lebih berkesan dan cekap.

"Dewan yang mulia ini juga menyeru supaya semua pihak berwajib dapat bekerjasama untuk menangani masalah banjir dengan pelaksanaan projek tebatan banjir yang lebih menyeluruh serta meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan alam sekitar dan mempertingkatkan keupayaan untuk menghadapi sebarang bencana," katanya.

Beliau berkata DUN Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda negeri ini selain menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan pelbagai bentuk bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda.

"Dewan yang mulia ini menyampaikan keprihatinan kepada semua keluarga dan individu yang telah mengalami kerugian dan kerosakan harta benda akibat ribut dan hujan lebat ini," kata Chow (DAP-Padang Kota) yang mencadangkan usul tergempar berkenaan di bawah Peraturan 30 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, ketika membahaskan usul itu, Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berharap agar agensi-agensi yang berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan memberi komitmen yang tinggi dalam membantu masyarakat.

"Kita amat menghargai pihak-pihak yang telah membantu mangsa-mangsa yang terlibat banjir ini. Ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik sebagai contoh untuk menempatkan mangsa di satu dewan atau pusat pemindahan sementara ini tidak mencukupi, ada yang tidur hanya beralaskan kain sahaja.

"Kami yang mewakili Barisan Nasional (BN) amat prihatin dengan apa yang berlaku dan berharap semua pihak untuk terus menyumbang," katanya yang turut menyokong usul berkenaan.

Yap Soo Huey (DAP-Pulau Tikus) mencadangkan agar papan elektronik dipasang bagi membolehkan masyarakat mengetahui maklumat mengenai banjir dan ribut dengan lebih cepat manakala Soon Lip Chee (DAP-Jawi) meminta Jabatan Meteorologi Malaysia memberi maklumat kepada rakyat dengan lebih pantas.

Dalam pada itu R.S.N. Rayer (DAP-Seri Delima) menzahirkan ucapan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menerima panggilan telefon daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada pukul 3 pagi berhubung permasalahan banjir seterusnya mengerahkan anggota tentera untuk membantu.

"Walaupun kita kadangkala ada berbalah dalam isu-isu politik namun kejadian malapetaka ini menunjukkan sifat kemanusiaan kita, masing-masing datang membantu. Datuk Seri Shahidan Kasim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) pun turun di Seberang Perai Tengah dan adakan mesyuarat lewat tengah malam untuk pastikan kerja-kerja menyelamat ini berjalan lancar," katanya.

Sementara itu Chow ketika menggulung perbahasan usul tersebut berkata pihaknya akan mengambil maklum permasalahan dan cadangan yang dibangkitkan bagi mengatasi bencana buruk yang berlaku dengan membawa perkara terbabit kepada agensi berkaitan.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri akan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk memperkenalkan sistem amaran banjir di empat sungai utama iaitu Sungai Kuala Muda, Sungai Prai, Sungai Pinang dan Sungai Juru.

Usul berkenaan kemudian diluluskan sebulat suara.

Hujan lebat yang bermula pada jam 2 petang Sabtu lalu dan berterusan sehingga pagi Ahad (5 Nov) menyebabkan Pulau Pinang lumpuh akibat dilanda banjir selain mengorbankan tujuh individu.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air di antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat yang turut menumbangkan puluhan pokok.

-- BERNAMA

Isnin, November 06, 2017

UTK DITUKARKAN KE UNIT LAIN DAN BUKANNYA DITARIKBALIK

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Dakwaan kononnya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia yang bertugas mengawal keselamatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah ditarik balik adalah tidak benar, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata pihaknya masih mengekalkan anggota UTK bagi mengiring dan mengawal
keselamatan Dr Mahathir termasuk di rumah.

"Mana ada UTK (ditarik), polis masih kekalkan anggota UTK (mengawal keselamatan) untuk Dr Mahathir,"katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Mohamad Fuzi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dimuat naik Dr Mahathir di laman sosialnya kononnya anggota UTK yang ditugaskan untuk mengawal keselamatannya telah ditarik balik pada Rabu lepas.

Kenyataan dimuat naik bekas perdana menteri itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang menganggap tindakan itu keterlaluan.

Ahad, November 05, 2017

BAKAL CALON DISARAN MANFAATKAN MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Anggota UMNO terutamanya yang berpotensi dipilih menjadi calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) disaran memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial.

Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata ini kerana keberkesanan media sosial bergantung kepada momentum jangka panjang terutama bagi mendapatkan pengikut yang ramai.

Menurutnya, lebih ramai pemimpin UMNO sama ada di peringkat atasan mahupun di peringkat akar umbi perlu menggunakan media sosial secara lebih aktif.

"Pada PRU13 kebanyakan calon hanya memulakan penggunaan media sosial semasa tempoh berkempen iaitu beberapa minggu sebelum undian. Namun tempoh ini begitu singkat.

"Media sosial ini penting dalam memberitahu pengundi mengenai gerak kerja dan memperkenalkan calon itu sendiri, sekurang-kurangnya perlu buka akaun selama dua tahun sebelum akaun itu menjadi trending," katanya ketika menjadi panelis dalam forum bertajuk 'Peranan Jentera Siber Dalam Menghadapi PRU14' pada Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan 2017 di sini, hari ini.

Sabtu, November 04, 2017

NOH CABAR KERAJAAN SELANGOR BERTEGAS DENGAN DR MAHATHIR

TANJONG KARANG, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor dicabar bertindak tegas terhadap Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan kenyataan bekas perdana menteri itu yang dikatakan menghina bangsa Bugis.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mesti berani bertindak tegas terhadap Dr Mahathir demi menjaga maruah Sultan Selangor dan rakyat negeri ini.

"Kerajaan negeri jika berani boleh melarang Tun Mahathir memberikan ceramah di Selangor, ia boleh dilakukan dengan mengeluarkan surat rasmi permintaan kerajaan negeri untuk diserah kepada polis agar permit ceramah politik beliau tidak diluluskan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penyerahan barangan keperluan kepada tujuh warga emas yang terlantar di Kampung Raja Musa di Bestari Jaya di sini, hari ini.

Tambah Noh beliau juga yakin Dr Mahathir tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan memohon maaf atas kenyataan yang dibuatnya pada himpunan anjuran parti-parti pembangkang di Petaling Jaya pada 14 Okt lepas

Jumaat, November 03, 2017

TERIMA KASIH KEPADA DATUK SERI DR SALLEH

KUALA LUMPUR: Terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang sudi menyempurnakan majlis prapelancaran buku Panduan VVIP Malaysia di Wow KL, Matic tengahari semalam.

Walaupun beliau sibuk dengan tugas rasmi, beliau tiba awal 11.40 pagi di Matic yang mana majlis itu sepatutnya bermula jam 12 tengahari. Seperti biasa beliau tidak berucap di majlis anjuran bukan kementerian (Masa melancarkan buku Bajau Musli Oli di Hotel Seri Pacific dua bulan lepas, beliau pun tidak berucap).

Beliau menandatangani plak pelancaran buku yang bermakna buku Panduan VVIP Malaysia yang diterbitkan oleh Mysuit Styles Sdn Bhd akan siap dalam masa enam bulan akan datang. Apabila saya menghantar whatsapp kepada rakan rakan yang bergelar Dato, ramai yang bertanya saya adakah buku itu sudah siap. Sebenarnya buku ini belum ditulis.

Majlis yang diadakan semalam adalah untuk memohon persetujuan hadirin yang terdiri dari Tan Sri, Dato Seri dan Dato untuk dibukukan kisah kehidupan mereka dalam buku yang dijangka memuatkan 100 orang penerima darjah kebesaran sama ada dari Yang Dipertuan Agong atau Sultan atau Tuan Yang Terutama Yang Dipertuan Negeri (TYT).

Semalam hampir 200 orang Tan Sri dan Dato telah menghadiri majlis kami. Ini bermakna jika merela bersetuju kisah hidup mereka dibukukan maka edisi pertama dijangka siap pada bulan Jun 2018.

Jika Tun, Tan Sri, Dato Seri, Dato bersetuju menyertai buku kami, kami akan adakan aktiviti bulanan buat mereka yang mana ia akan menjadi kelab ekseklusif  untuk mereka yang muncul dalam buku Panduan VVIP Malaysia.

Saya ucapkan terima kasih kepada semua hadirin yang hadir seperti Tan Sri M. Kayveas, Dato Suhaimi Ibrahim, Dato Ghafar Nin, Dato Zulkifli Salleh, Dato Kamarulzaman Idris, Dato Hakim, Dato Rahman Hassan dan ramai lagi. Ramai Dato yang menghubungi saya tak dapat hadir seperti  CEO Tulangis Maju Sdn Bhd, Dato Seri Rahim Husin,







pegawai khas TPM, Datuk Norzihan Tamby dan bekas Mufti Terengganu, Dato Ismail Yahya.

Jika Tun, Tan Sri, Dato Seri, Dato bersetuju supaya kisah mereka dibukukan maka mereka bolehlah hubungi ejen pemasaran kami iaitu  Johny Chong( 0127271261), John Chen (0164144293), Mee Leng (0195544130), Puvaa(0163353167), Rama (0123212722), Shamsu Hazli Mamat (0176222280), Komar (0132627851), Ida (01123152229) dan Kit ( 0192006788).

Terima kasih kepada semua artis yang menjayakan persembahan seperti Kumpulan Hijaz dan Wilson Tin. Juga terima kasih kepada semua penaja termasuk Forest City, Crazy Mall dan lain lain.




Khamis, November 02, 2017

RAZALI MAMPU BERHADAPAN DENGAN RAFIZI



KUALA LUMPUR:  Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang kerap menyerang FELDA, hari ini mengakui agensi itu jauh lebih baik apabila diterajui Tan Sri Shahrir Abd Samad.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, soal sama ada boleh atau tidak orang politik di dalam agensi berkaitan kerajaan, ia memang sukar dijawab. Ini soalan yan tidak ada hitam putih.

“…Tetapi apabila orang politik buat salah macam di dalam FELDA (sebelum ini) ia berpotensi heret negara dan peneroka melihat yang tidak baik pada FELDA terutama soal kewangan yang besar,” katanya.

Beliau menjawab mengenai pandangannya sebelum ini supaya FELDA tidak ditadbir oleh orang politik sebaliknya oleh mereka yang pakar di dalam bidang berkaitan agensi itu menerusi program Bicara Bajet 2018 terbitan RTM, pada Rabu.

Program itu menampilkan beliau bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang bertanggungjawab hal ehwal FELDA manakala moderatornya Datuk Dahlan Maamor.

Tambah Rafizi lagi, tata kelola FELDA sepatutnya diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawb bukan kepada orang politik yang mencari populariti serta memberi projek.

Razali ketika menjawab isu itu berkata, beliau setuju dengan sebahagian pandangan Rafizi berkenaan kecekapan tadbir urus.

“ (Ini) Bukan sebab orang politik atau tidak (di dalam agensi kerajaan) tetapi (masalahnya) apabila mereka hilang fokus.

“Sebab itu, Tan Sri Shahrir (Pengerusi FELDA) minta ahli lembaga pengarah (Felda Invesment Corporation Sdn Bhd– FIC) meletak jawatan, kemudian lantik (yang baru), ada wakil FELDA, Kementerian Kewangan dan akauntan.

“Kemudian perlu orang politik untuk bantu tadbir urus yang lebih baik. Tan Sri Shahrir bawa FELDA balik ke asal. Beliau tidak jadi pengerusi FGV atau FIC supaya ketelusan dan tadbir urus bertambah baik,” jelas Razali lagi.

Tegas beliau, Shahrir hanya menjaga FELDA supaya ujud tata kelola yang lebih baik dan pengerusi FELDA itu sedang membaiki dan menyusun semula agensi sejak Februari lalu.

“Kita juga pelawa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat. Siapa yang salah, tangkaplah. Sekarang, kita tidak mahu tuduh sesiapa. Matlamat kita, mahu buat yan terbaik dan beri manfaat kepada peneroka,” katanya.


Rabu, November 01, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN OKTOBER 2018

"MyPPP tidak akan sertai Pakatan Harapan" yang muncul pada 20 Oktober lalu muncul rating tertinggi bagi bulan Oktober 2017 dengan 424 hits.

10 rating tertinggi bagi bulan tersebut adalah seperti berikut:-

1. MyPPP tidak akan sertai Pakatan Harapan (28/10) - 424 hits.
2. Dzulkifli dakwa beliau lebih cerdik dari Akshay Kumar (21/10)
3. Rasuah berjemaah tiga beradik (20/10)
4. Hamidah lapor SPRM terhadap Syed Saddiq (4/10)
5.Ceupacs mahu bonus satu setengah bulan gaji (17/10)
6.Kerajaan hargai nelayan melalui GNN (17/10)
7. Pendedahan Zaid seharusnya buka mata rakyat Malaysia (14/10)
8. 21 pegawai TCS ikuti MBA di Unisza (19/10)
9. Bajet 2018 senjata akhir BN hadapi PRU (27/10)
10. Kelalaian puteri Umno belum daftar 50,000 ahli sebagai pengundi (16/10)

ANGGOTA PARLIMEN WANITA MALAYSIA HANYA 10.81 PERATUS

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Beberapa anggota parlimen mencadangkan penyertaan golongan wanita sebagai pembuat keputusan termasuk wakil rakyat ditingkatkan kepada 30 peratus sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkasa golongan itu.

Datuk Norah Abd Rahman (BN-Tanjong Manis) berkata langkah itu juga sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita dengan mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam keanggotaan lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan berkanun, sebelum akhir tahun.

Katanya sasaran 30 peratus itu juga perlu diaplikasikan di Parlimen memandangkan ketika ini badan penggubal undang-undang tersebut hanya diwakili 10.81 peratus anggota parlimen wanita.

"Jika dibandingkan dengan anggota parlimen negara lain di Asia Tenggara, di Timor Leste terdapat 38.5 peratus anggota parlimen wanita, Laos (25 peratus), Vietnam (24.4 peratus), Singapura (24.2 peratus) dan Filipina (22.9 peratus). Jadi saya memohon supaya wanita diberi pertimbangan khas pada pilihan raya umum akan datang,"katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, perkara itu turut diutarakan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang mencadangkan peratusan yang sama disasarkan untuk wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri.

Selasa, Oktober 31, 2017

KRITIKAN MAHATHIR TERHADAP BAJET 2018 KURANG JELAS DAN TIDAK KONSISTEN

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Bajet 2018 kurang jelas dan tidak konsisten, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.


"Ini yang berlaku apabila seseorang bercakap hanya semata-mata hendak bercakap, tetapi tidak ada apa yang mahu dinyatakan," katanya dalam catatan terbaharu blog beliau.

Salleh turut mempersoalkan rungutan Dr Mahathir bahawa bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya semata-mata untuk memuaskan hati rakyat dan menggembirakan mereka.

"Tetapi bukankah ini apa yang kerajaan mesti lakukan; membuat rakyat gembira? Sampai bila sesebuah kerajaan yang tidak membuat rakyatnya gembira akan dapat bertahan?," tanya beliau.

Mengenai keraguan Dr Mahathir tentang bagaimana kerajaan akan membayar kos untuk mentadbir negara jika apa yang kerajaan lakukan adalah semata-mata menyalurkan sumbangan kepada rakyat, Salleh berkata "Bagimanapun bukankah ini apa yang pembangkang rungutkan; bahawa kerajaan tidak menjaga keperluan kewangan rakyat dan rakyat menderita di bawah kerjaan Barisan Nasional."

"Kemudian, apabila kerajaan mengambil berat keperluan kewangan rakyat dalam Bajet 2018, Dr Mahathir menyatakan beliau tidak tahu bagaimana wang itu akan diperoleh dan merungut kerajaan perlu meminjam lebih banyak wang," katanya.

Salleh turut mempersoal manifesto Pakatan Harapan yang mahu memansuhkan semua caj tol di seluruh Malaysia serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), selain pelbagai jenis cukai lain.

"Jika ini dilakukan, bagaimanakah kerajaan akan membelanjakan untuk pembangunan? Kemudian mereka menyatakan mereka boleh mendapatkan kembali wang tersebut dengan mengurangkan ketirisan dan menghapuskan rasuah.

"Berapa banyakkah apa yang dikatakan ketirisan dan rasuah itu? Bagaimana mereka boleh mendapatkan angka itu sedangkan mereka tidak tahu butirannya. Menyatakan kerajaan akan mengurangkan cukai dan kemudian mendapatkan semula cukai yang hilang itu melalui penjimatan sama sekali tidak masuk akal," katanya.

-- BERNAMA

Isnin, Oktober 30, 2017

MDPM CADANG ANUGERAH DITARIKBALIK JIKA TERLIBAT DALAM JENAYAH

PETALING JAYA, 29 Okt (Bernama) -- Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) mencadangkan agar anugerah dan darjah kebesaran individu yang terlibat dengan kegiatan jenayah ditarik balik.

Presiden MDPM Tan Sri Danny Ooi berkata ini berikutan gelaran yang diberikan adalah satu penghormatan dan mereka sepatutnya tidak mencemari pengiktirafan itu dengan mana-mana insiden tidak diingini.

Beliau mengulas insiden tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang mendakwa cedera selepas dipukul seorang lelaki berstatus 'Datuk Seri' ketika sedang bertugas di sebuah tokong di Jalan Ampang di sini pada Jumaat.

"Kami perlu hormat mereka yang beruniform. Tarik balik gelaran itu walau apa jua alasan, tidak kira Datuk atau Datuk Seri.

"Bagaimanapun, individu berkenaan bukan anggota MDPM. Anggota majlis ini dianugerah Panglima Jasa Negara (PJN) dan Panglima Setia Diraja (PSD),"katanya pada sidang media Majlis Makan Malam Amal sempena ulang tahun ke-15 MDPM di Hotel One World, di sini, malam ini.

Ahad, Oktober 29, 2017

PAKATAN HARAPAN DIMINTA TIDAK TANDING DI SABAH



KOTA KINABALU 26 Okt. - Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) sekali lagi mengingatkan Pakatan Harapan agar tidak meletakkan calon di negeri ini sebaliknya membiarkan parti pembangkang tempatan berdepan dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).


Presiden Harapan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, beberapa parti pembangkang tempatan telah pun bersetuju untuk bekerjasama dalam PRU14, justeru khidmat DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak diperlukan.


“Di Semenanjung ada 165 kerusi Parlimen dan lebih 500 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka (Pakatan Harapan) telah bertanding di sana, parti tempatan Sabah tidak pernah bertanding di Semenanjung.

“Sabah pula hanya ada kira-kira 20 kerusi Parlimen, takkan ini pun tidak boleh bagi semua pada kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Perwakilan Parti Harapan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Harapan, Datuk Maijol Mahap.

Sebelum ini, Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias dan Ketua Pembangkang DUN Sabah telah menyatakan perkara tersebut secara umum, namun dibantah oleh pemimpin Pakatan Harapan negeri terutama DAP yang memenangi beberapa kerusi Parlimen serta DUN dalam pilihan raya umum 2013.

Sementara itu, menurut Lajim parti pembangkang tempatan kecuali Parti Warisan Sabah (Warisan) telah pun bergabung atas nama Parti Gabungan Sabah (USA) iaitu terdiri daripada Harapan, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Reformasi Negeri (STAR).

Sehubungan itu katanya, gabungan berkenaan telah mempunyai calon masing-masing untuk bertanding di semua kerusi Parlimen serta DUN dan jika ditakdirkan menang Parlimen, mereka bersedia bersama pembangkang di Semenanjung untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Harapan telah mempunyai calon yang layak untuk bertanding di sekurang-kurangnya 14 kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN.

“Kami tidak bertanding semua kerusi sebab diagihkan kepada parti-parti dalam USA, namun harapan sendiri sudah ada calon yang cukup daripada golongan muda dan senior serta calon wanita,” katanya.


Sabtu, Oktober 28, 2017

MYPPP TIDAK AKAN SERTAI PAKATAN HARAPAN

KUALA LUMPUR: Kali pertama menemui Presiden MyPPP, Tan Sri Dr. M. Kayveas di pejabatnya di Jalan Kampung Atap di sini semalam amat menyeronokkan.

Beliau yang merupakan presiden parti komponen BN  yang paling lama (sejak 1993) adalah pemimpin India yang paling popular ketika ini.

Menurut tinjauan MH Online, masyarakat India mendakwa MIC sudah tidak relevan lagi kepada masyarakat tersebut.

Walaupun MyPPP adalah parti berbilang kaum tetapi oleh kerana ia dipimpin oleh orang India, ia dianggap sebagai parti orang India juga.

Tinjauan merumuskan bahawa kalau PRU 2013 dianggap sebagai tsunami Cina di mana masyarakat Cina menolak MCA dan Gerakan,  ramai yang menganggap  PRU 2018 akan menjadi tsunami India di mana orang India menolak MIC.

 Sehubungan dengan itu, pemerhati politik berpendapat jika orang India meninggalkan MIC maka mereka akan memilih MyPPP untuk memperjuangkan nasib mereka.



Pada tahun 1999, Tan Sri Kayveas dilantik Senator dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di mana beliau adalah timbalan menteri yang berani menentang Ctos yang menyusahkan majoriti orang Melayu. Ctos dilarang berniaga di negara luar tetapi Bank Negara Malaysia membenarkan Ctos berniaga di Malaysia.


Pada tahun 2004, MyPPP dijanjikan kerusi Cameron Highlands tetapi Pengerusi BN ketika itu,Pak Lah beri kerusi itu kepada MIC yang ditandingi oleh Devamany sebanyak dua penggal. Sebagai anak jati Cameron Highlands, Pahang beliau memang mahu bertanding di kampungnya sendiri tetapi beliau dihantar bertanding di Taiping, Perak.

Pada tahun 2004, Kayveas diarah bertanding di Taiping dan menang dengan majoriti 2,172 mengalahkan calon DAP, Ong Chee Keng. Selepas itu beliau dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga undang undang yang sesuai dengan kariernya sebagai seorang peguam.

Walaupun  beliau menang dalam PRU 2004, Pak Lah tidak melantiknya sebagai menteri penuh walaupun beliau adalah presiden parti komponen BN. Beliau adalah presiden parti komponen BN tunggal yang tidak berada dalam kabinet.

Bagaimanapun beliau kalah di Taiping pada PRU 2008 di tangan calon DAP, Nga Kor Ming dengan majoriti 11,298 undi. Pada tahun 2008 beliau masih mahu bertanding di Cameron Highlands tetapi Pak Lah mengekalkan status quo kepada MIC.

Pada PRU 2013, beliau masih mahu pulang ke Cameron Highlands tetapi Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak panggilnya dan beliau  berkata Presiden MIC,  G. Palanivel mahu kerusi Cameron Highlands. Maka beliau mengalah dan tidak bertanding dalam PRU tersebut.

Palanivel menang dengan majoriti  462 undi mengalahkan calon DAP, M.  Manogaran dan dua orang calon Bebas. Selepas Palanivel kalah dalam pertandingan Presiden MIC pada tahun 2014, beliau tidak berminat lagi menjaga kawasan parlimennya.

Maka Kayveas telah turun padang menjaga kawasan parlimen Cameron Highlands kerana pada PRU 2018 MyPPP akan bertanding di situ. Beliau turun padang setiap minggu di atas restu Najib.

Andainya kali ini Najib masih mengekalkan kerusi tersebut kepada MIC, Kayveas berkata beliau tidak bercadang tanding Bebas menentang calon BN sebaliknya beliau akan bersara dari politik kerana pengorbanan MyPPP tidak dihargai oleh BN.

Beliau mengaku dihubungi oleh Pakatan Harapan  (PH) supaya menyertai mereka kerana PH tiada parti keturunan India. PH ada parti melayu seperti Bersatu, PH ada parti Cina seperti DAP tetapi PH tiada parti India maka PH memerlukan MyPPP.

"Saya ada prinsip. Kalau MyPPP tidak diberi kerusi Cameron Highlands saya akan bersara dari politik kerana pengorbanan dan kesetiaan MyPPP kepada BN tidak dihargai," tegas beliau.





Jumaat, Oktober 27, 2017

BAJET 2018 SENJATA AKHIR BN HADAPI PRU

PUTRAJAYA, 26 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan kerajaan telah memberi banyak subsidi tidak langsung dan tidak dinyatakan dalam pelbagai bidang tapa disedari rakyat.

"Malah, ada terlalu banyak subsidi sedemikian daripada segi penjagaan kesihatan, pendidikan tinggi dan tarif yang kerajaan tidak mendapat (sebarang) pujian pun,"kata Perdana Menteri pada sesi talimat media untuk pengarang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Ghani dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri yang akan membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat esok, turut memberi contoh kira-kira RM24 bilion telah disediakan untuk sektor penjagaan kesihatan biar pun kutipan bagi perkhidmatan itu adalah RM600 juta.

Selain itu, tarif elektrik negara ini juga adalah antara yang terendah di dunia disebabkan subsidi yang diberikan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata rakyat sebenarnya mendapat habuan daripada pengurangan cukai korporat dan individu menerusi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Mengulas cadangan pihak pembangkang dalam Bajet Alternatif untuk memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan GST, beliau berkata GST sebaliknya dapat mengurangkan secara drastik jumlah individu dan syarikat yang mengelak cukai di bawah SST sebelum ini serta hasil aktiviti 'ekonomi gelap'.

Najib berkata, keberanian kerajaan untuk melaksanakan GST serta rasionalisasi subsidi juga telah membolehkan negara ini mendapat penarafan 'A-' dengan unjuran stabil oleh agensi-agensi penarafan yang bertindak menurunkan penarafan itu bagi negara-negara lain.

Ketika menjawab pertanyaan sejauh mana kekurangan cukai korporat di Singapura berbanding Malaysia, beliau berkata kos menjalankan perniagaan di republik itu jauh lebih tinggi dan menyebabkan banyak firma antarabangsa memindahkan operasi mereka ke Malaysia berikutan kos yang lebih rendah.

Mengulas Bajet 2018, Perdana Menteri berkata, pengiraan itu adalah berdasarkan unjuran purata harga minyak mentah US$50 setong berbanding US$45 bagi Bajet 2017 dan defisit fiskal berkurangan sedikit daripada 3.0 peratus yang diunjur untuk 2017.

Sambil menyifatkan isu kos sara hidup itu sengaja diperbesarkan, beliau berkata Bajet itu akan mengetengahkan banyak pendekatan untuk menangani isu berkenaan.

Bajet itu akan turut menyenaraikan produk serta inisiatif berkaitan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang pada masa sama memaparkan aspirasi rakyat berdasarkan beberapa siri dialog yang diadakan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan, wujud kekangan terhadap apa yang boleh dilaksanakan kerajaan kerana setiap pendekatan itu perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya.

"Tidak wujud perkara seperti 'habuan' percuma kerana semua perkara perlu diambil kira untuk menyokong langkah terbabit.

"Misalnya, jika anda mahukan pendidikan tinggi, anda perlu membayar di segi cukai lebih tinggi. Semua negara yang menawarkan pendidikan tinggi secara percuma (pada masa sama) turut mengenakan kadar cukai yang tinggi iaitu 45-50 peratus. Oleh itu anda perlu membuat pilihan,"katanya.

Najib turut membidas pembangkang yang disifatkan beliau sebagai menabur janji kosong dan tidak boleh ditunaikan atas alasan mahu menawarkan pendidikan percuma serta menyusun semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mencecah RM40 bilion.

Mengulas pengurangan perbelanjaan pembangunan dalam peruntukan Bajet itu, beliau berkata kerajaan tidak boleh terus melaksanakan usaha merangsang ekonomi kerana perlu mengurangkan defisit.

Bagaimanapun, Bajet 2018 akan membabitkan usaha pengembangan secara sederhana dengan pelbagai program dalam tahap kemampuan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, transformasi kerajaan juga menyaksikan sektor swasta muncul sebagai pemacu pertumbuhan dengan menguasai dua pertiga daripada pelaburan berbanding sektor awam.

Najib berkata, antara buktinya termasuk kehadiran Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma di Malaysia pada 3 November ini sempena majlis perasmian Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang menyediakan platform fizikal dan maya untuk kemudahan PKS memanfaatkan pertumbuhan ekonomi internet dan aktiviti e-Dagang rentas sempadan.

-- BERNAMA

Khamis, Oktober 26, 2017

JANGAN HINA NEGARA DENGAN GELARAN DARUL PENYANGAK

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar Malaysia sebagai 'Darul Penyangak' adalah satu penghinaan terhadap negara sendiri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata amat tidak wajar bagi bekas perdana menteri itu menggelarkan negara ini dengan nama sebegitu kerana gelaran tersebut tidak patriotik dan di luar daripada batas kewarasan berpolitik.

"Jikapun marah dengan kerajaan hari ini, Mahathir tidak sepatutnya menghina negara sendiri. Negara ini adalah negara kita bersama.

"Baik atau buruknya, maju atau mundurnya negara ini, kita perlu bersama mempertahankannya, bukan menghinanya," tegas Salleh menerusi catatan terbaharu di blog beliau hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada catatan di blog Dr Mahathir yang menamakan Malaysia negara 'Darul Penyangak' berikutan pelaksanaan projek 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Salleh berkata Dr Mahathir sebenarnya mengulangi isu 1MDB dan GST itu dalam setiap tulisan dan ucapannya semata-mata supaya rakyat membenci Datuk Seri Najib Tun Razak Najib dan mahukan perdana menteri itu jatuh.

"Strategi Dr Mahathir ini adalah seperti menyerang ular, iaitu ketuk kepala ular berulang kali supaya akhirnya ular menjadi lemah dan lumpuh. Itu sahaja yang Dr Mahathir mahu, iaitu menjatuhkan Najib. Inilah politik dendam yang tidak baik," katanya.

Beliau berkata Najib sebenarnya telah menjelaskan satu persatu berserta fakta mengenai 1MDB dan juga menerangkan mengenai rasional pelaksanaan GST.

"Dr Mahathir pasti tidak mendengar dan menerima sebarang penjelasan kerana matlamat beliau adalah untuk menjatuhkan PM Najib atas sebab dendam politik, bukannya demi negara," kata Salleh.

-- BERNAMA

Rabu, Oktober 25, 2017

KERAJAAN TIDAK TUTUP 2,996 BUAH SEKOLAH KURANG MURID

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan tidak akan menutup Sekolah Kurang Murid (SKM) walaupun terpaksa membelanjakan RM2 bilion setahun untuk mengendalikan operasi 2,996 SKM yang terdapat di negara ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata berdasarkan analisis, kos pengoperasian SKM yang mempunyai murid 150 dan ke bawah adalah tinggi iaitu RM67,130.65 per murid setahun berbanding hanya RM5,321.84 per murid setahun untuk sekolah biasa.

Beliau berkata pihak kementerian masih perlu menghantar minimum tujuh hingga 11 guru ke SKM selain menampung kos-kos lain seperti tender pembersihan sekolah.

"Pada pandangan kementerian walaupun memerlukan jumlah kewangan besar, dasar kementerian adalah jelas iaitu SKM tidak akan ditutup sehinggalah atas persetujuan ibu bapa dan masyarakat," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) yang meminta kementerian menyatakan langkah jangka panjang dan pendek dalam pengurusan sekolah kurang murid di seluruh negara sekali gus mampu mengurangkan dan mengelakkan pembaziran perbelanjaan kerajaan.

Selasa, Oktober 24, 2017

PROGRAM CAKNA RAKYAT AKAN DIPERLUASKAN KE SETIAP DAERAH


KUALA TERENGGANU, 23 Okt (Bernama) -- Program Cakna Rakyat yang dimulakan di daerah Kuala Terengganu hari ini akan diperluaskan ke setiap daerah dengan mengikut giliran.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata beliau akan turun padang ke setiap daerah pada setiap hari Isnin sekiranya berada di dalam negeri.

"Penganjuran program itu dibuat mengikut konsep hari bertemu pelanggan bertujuan mendengar permasalahan rakyat dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai.

"Saya bersama wakil-wakil jabatan terutama jabatan negeri akan turun bertemu rakyat, buka kaunter dan saya akan jumpa pemimpin masyarakat setempat untuk mendapatkan maklum balas berhubung permasalahan rakyat dan kenalpasti projek-projek kecil yang boleh dilaksanakan segera untuk manfaat mereka," katanya kepada pemberita selepas hadir ke program itu di sini hari ini.

Lebih 2,000 pengunjung hadir ke program Cakna Rakyat itu yang bermula 8 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kerja Raya, Telekom, Tenaga Nasional Berhad dan unit Transformasi Terengganu Baharu (TTB).



Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga akan menambah baik program Cakna Rakyat itu agar ia menjadi platform terbaik mendekatkan pemimpin dan rakyat di akar umbi.

"Sebenarnya, setiap hari Isnin adalah hari bertemu pelanggan di setiap agensi kerajaan ini, namun melalui program ini, kita gabungkan semuanya di bawah satu bumbung untuk memudahkan orang ramai menyelesaikan urusan masing-masing.

"Mungkin juga kita akan buat pasar percuma di setiap program Cakna Rakyat selepas ini agar golongan miskin dapat memperolehi barangan yang mereka perlukan ketika hadir nanti," katanya.

-- BERNAMA

Isnin, Oktober 23, 2017

KAMI KEKAL LEGENDA YANG BAWA MALAYSIA KE SUKAN OLIMPIK KATA JAMAL NASIR

KUANTAN, 22 Okt (Bernama) -- Bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail tidak terguris dengan gesaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang meminta beliau agar berehat di 'muzium', kerana pandangan yang dilontarkannya sebelum ini adalah ikhlas.

Jamal Nasir berkata apa yang diluahkan itu hanyalah semata-mata mahu melihat pasukan bola sepak negara kembali bangkit mencatat kegemilangan sebagaimana suatu ketika dahulu.

"Saya sebagai bekas pemain kebangsaan atau atlet, saya juga ada pengalaman menjadi jurulatih, pengurus pasukan dan anggota jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Sebab itu, saya boleh menilai berdasarkan pengalaman yang ada, tapi beliau hanya seorang Menteri Belia dan Sukan yang datang dan pergi, tetapi kami (bekas pemain) kekal sebagai legenda yang pernah membawa nama Malaysia ke Sukan Olimpik yang gagal diatasi sehingga kini.

"Oleh itu, saya nasihatkan beliau sudah-sudahlah mengecilkan orang lain, saya berani komen kerana ikhlas dari sudut hati dan bukan kerana benci Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) atau Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Bola Sepak Veteran Empat Penjuru bersempena memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.