Memaparkan catatan dengan label azalina. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label azalina. Papar semua catatan

Rabu, November 22, 2017

UNDI BELAH BAHAGI BUKTI DEMOKRASI TERUS SUBUR

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Keputusan undi belah bahagian Rang Undang-Undang Perbekalan (RUU) 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam menunjukkan sistem demokrasi terus subur di Dewan Rakyat dan ia tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata semua anggota Parlimen perlu menghormati keputusan ini kerana proses yang dijalankan mengikut prosedur yang dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Cubaan pembangkang untuk menggagalkan RUU itu melalui undi belah bahagian nyata tidak berjaya apabila anggaran perbelanjaan untuk kementerian tersebut telah diluluskan dengan majoriti mudah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat semalam kecoh apabila penggubal undang-undang daripada kedua-dua pihak berperang mulut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan undi belah bahagian.

Kekecohan itu tercetus apabila G. Manivannan (PKR-Kapar) bangun sebaik sahaja Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Manivannan telah mencadangkan supaya undi belah bahagian diadakan untuk menentukan sokongan terhadap RUU Perbekalan tersebut dan cadangan itu kemudian diterima oleh Timbalan Speaker Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

RUU Perbekalan untuk kementerian itu berjaya diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

-- BERNAMA

Khamis, November 09, 2017

3.7 JUTA WARGANEGARA BELUM DAFTAR SEBAGAI PENGUNDI

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Sejumlah 14,622,881 pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara sehingga 30 Jun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata jumlah warganegara berumur 21 tahun dan ke atas yang layak mendaftar tetapi belum mendaftar sebagai pemilih adalah 3,797,785 orang bagi tempoh sama.

"Jumlah pemilih baharu yang telah didaftarkan mulai 1 Jan hingga 30 Jun 2017 adalah 409,564 orang manakala jumlah pendaftaran tukar alamat bagi tempoh sama melibatkan 152,832 orang," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sehingga 30 Sept lepas, SPR telah melantik 205 penolong pendaftar pemilih bagi membantu urusan pendaftaran.

Beliau berkata urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu kini sedang disiapkan sebelum tempoh dua tahun kajian tamat pada 14 Sept depan, sebelum laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dibentangkan di Dewan Rakyat.


Rabu, April 27, 2016

AZALINA YAKIN RAZIF KEKAL MB

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Pelucutan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, tidak menggambarkan krisis politik di negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata melucutkan sesuatu darjah kebesaran yang dikurniakan merupakan hak Sultan sesebuah negeri.

"Bagi saya, tidaklah saya rasa ada krisis politik. Itu merupakan hak Tuanku sama ada mahu memberi atau menarik balik sesuatu darjah. Ia tersenarai dalam peraturan dan perlembagaan negeri itu.

"Ini bukan masalah besar cuma mungkin masalah dalaman Terengganu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jamuan Penghargaan Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Sultan Mizan Zainal Abidin melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuat kuasa Jumaat 22 April, dan perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada Bernama semalam.

Azalina yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO yakin langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Sultan Mizan dalam masa terdekat akan dapat menyelesaikan spekulasi terutama dalam kalangan rakyat negeri itu.

Beliau juga yakin Ahmad Razif akan terus menerajui Terengganu sebagai Menteri Besar.

-- BERNAMA



Rabu, November 05, 2008

AZALINA DITOLAK WANITA


Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau tidak yakin akan mendapat cukup pencalonan bagi melayakkannya bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO.


Beliau mendakwa terdapat sekatan di peringkat bahagian supaya beliau tidak dicalonkan bertanding jawatan tersebut bagi menghormati peralihan kuasa antara Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


"Bagi saya, ia mencerminkan budaya pergerakan Wanita UMNO yang patuh kepada arahan pemimpin atasan dan kepada mereka itu mungkin satu budaya positif,'' katanya selepas merasmikan Kempen Zoom! Malaysia di ibu pejabat Media Prima di Kuala Lumpur semalam.


Beliau sehingga kini mendapat 13 pencalonan bagi jawatan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO dan masih jauh daripada kuota kelayakan yang diperlukan iaitu sebanyak 29 pencalonan.
Azalina tidak menolak bahawa penerimaan ahli-ahli Puteri UMNO di dalam Wanita masih pada kadar yang perlahan dan ia merupakan salah satu faktor mengapa beliau gagal mendapat pencalonan yang mencukupi.


Azalina berkata, beliau akan mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO setelah mendapat pencalonan yang mencukupi.

Macam mana Azalina mahu diterima sebagai naib ketua wanita kerana beliau sendiri tidak kahwin. Semalam beliau diserang secara peribadi oleh beberapa ahli parlimen ketika menjawab soalan Wee Chee Keong dari Wangsa Maju.


Tetapi, Azalina yang tertekan dengan Wee terus menyatakan,"yang berhormat, saya masih muda. berilah saya peluang menyiasat dakwaan yang dikatakan."


Beliau kemudian diusik ahli dewan lain,"bila nak kahwin?" dan ada yang menyampuk,"dah ada calon ke?" menyebabkan Azalina berkata,"itu terlalu peribadi," sambil kembali membincangkan topik asal.
Oleh itu Azalina perlu ada keluarga dulu. Lepas itu barulah fikirkan kedudukan dalam pergerakan wanita UMNO.