Memaparkan catatan dengan label demokrasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label demokrasi. Papar semua catatan

Rabu, Januari 24, 2018

DEMOKRASI DI MALAYSIA TIDAK MATI

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata demokrasi di Malaysia tidak mati kerana kerajaan melayan semua rakyatnya dengan adil dan tidak menafikan hak mereka.

Beliau berkata realitinya kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan untuk rakyat termasuk membantu yang miskin dengan pelbagai program, menyediakan peruntukan yang banyak untuk membantu peniaga kecil, memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dan menyediakan peluang ekonomi serta pekerjaan.

"Pendek kata, kerajaan berbuat apa sahaja bagi menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat.

"Oleh sebab itulah, jika adapun pihak yang cuba memberikan imej negatif kepada kerajaan, realitinya data menunjukkan sebaliknya," katanya menerusi blog beliau sskeruak.blogspot.my hari ini.

Beliau memberi contoh, Indeks Demokrasi 2016 yang menunjukkan daripada 167 buah negara, Malaysia berada di tangga 65 (skor 6.54), berbanding Thailand (4.92), Kemboja (4.27), Myanmar (4.20), Vietnam (3.38) dan Laos (2.37) yang diletakkan dalam kategori tidak bebas.

Salleh berkata negara-negara Amerika Tengah yang dekat dengan Amerika lebih gagal demokrasinya dengan skor Honduras dan Guatemala masing-masingnya 5.92.

Malahan, katanya, negara Bhutan (skor 4.93) yang mempunyai kadar kegembiraan penduduk tinggi juga gagal demokrasinya dan Qatar (skor 3.18), yang mempunyai per kapita penduduk paling tinggi di dunia.

"Ini menunjukkan tahap demokrasi Malaysia tidaklah teruk seperti mana yang dituduh oleh sesetengah pihak sebagai demokrasi yang mati. Kita tetap negara demokrasi.

"Freedom of the World 2018 yang baru diterbitkan juga tidak mengkategorikan demokrasi Malaysia mati, tetapi bersama dengan Singapura sebagai 'partly free' dengan skor 4, berbanding Brunei, Thailand, Vietnam, Laos, Kampuchea dan Myanmar yang tidak bebas (skor 6)," katanya.

Beliau berkata 'partly free' itu bukanlah menunjukkan demokrasi negara mati atau kerajaan menafikan hak rakyatnya, tetapi kerana beberapa akta pencegahan yang terpaksa kita kekalkan untuk menjaga kestabilan dan keamanan negara.

"Amankah Malaysia? Tentu sekali," kata Salleh dengan menyatakan Global Peace Index 2017 meletakkan indeks keamanan negara adalah di tempat ke-29 daripada 163 negara, dan kelima paling aman di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun, Australia, dan Singapura.

"Sebagai rakyat, kita sepatutnya berbahagia dengan nikmat keamanan ini. Akhirnya, tahun ini kita akan mengadakan pilihan raya umum. Tentunya semua parti telah bersedia untuk menghadapi PRU ini.

"Harapnya PRU 2018 adalah yang paling aman dan stabil, semoga dengannya negara kita akan terus maju," katanya.

-- BERNAMA

Rabu, November 22, 2017

UNDI BELAH BAHAGI BUKTI DEMOKRASI TERUS SUBUR

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Keputusan undi belah bahagian Rang Undang-Undang Perbekalan (RUU) 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam menunjukkan sistem demokrasi terus subur di Dewan Rakyat dan ia tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata semua anggota Parlimen perlu menghormati keputusan ini kerana proses yang dijalankan mengikut prosedur yang dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Cubaan pembangkang untuk menggagalkan RUU itu melalui undi belah bahagian nyata tidak berjaya apabila anggaran perbelanjaan untuk kementerian tersebut telah diluluskan dengan majoriti mudah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat semalam kecoh apabila penggubal undang-undang daripada kedua-dua pihak berperang mulut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan undi belah bahagian.

Kekecohan itu tercetus apabila G. Manivannan (PKR-Kapar) bangun sebaik sahaja Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Manivannan telah mencadangkan supaya undi belah bahagian diadakan untuk menentukan sokongan terhadap RUU Perbekalan tersebut dan cadangan itu kemudian diterima oleh Timbalan Speaker Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

RUU Perbekalan untuk kementerian itu berjaya diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

-- BERNAMA