Jumaat, November 10, 2017

PEMANDU KAJI MAJUKAN 34 TARIKAN PELANCONGAN TERENGGANU



KUALA LUMPUR : Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata menyedari Terengganu kaya dengan kepelbagaian produk pelancongan berteraskan kekayaan alam semula jadi, keunikan budaya kesenian dan warisan kerajaan perlu memaksimumkan semuanya secara lebih efektif.

“Kita mengambil pendekatan dengan melakukan perubahan menyeluruh dalam sektor ini termasuk membuat penjenamaan semula produk dan destinasi menarik yang dikenal pasti.

“Sektor pelancongan menjadi tumpuan kerana hasil kajian lalu mendapati ia memberi kesan sebanyak tiga kali ganda terhadap pertumbuhan ekonomi selain menambahkan 2.5 kali ganda peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya pada majlis pelancaran Pelan Induk Pelancongan Negeri Terengganu 2018-2025, di sini, hari ini yang mana rancangan ini dijalankan dengan usaha sama Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).



Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Naib Presiden Eksekutif PEMANDU, Datuk Dr Amin Khan.

Ahmad Razif berkata, bagi mencapai hasrat berkenaan, kerajaan memilih kepakaran PEMANDU dalam merekabentuk pelan induk dan merangka strategi baharu dalam memajukan pelancongan negeri.

Katanya, kerajaan Terengganu banyak bersandar kepada industri minyak dan gas yang menyumbangkan lebih 85 peratus pendapatan negeri.

Bagaimanapun, katanya, kejatuhan harga minyak di pasaran dunia memberi kesan kepada pembangunan negeri.

“Sehubungan itu kita perlu bergerak ke arah mewujudkan pembangunan ekonomi lebih mapan dengan meneroka dan mengambil peluang dalam sektor yang mempunyai kelebihan persaingan bagi menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk menarik 6.5 juta pelancong melawat negeri itu yang akan menyumbangkan perbelanjaan sebanyak RM6 bilion menjelang 2025.

Katanya sasaran itu akan meningkatkan 60 peratus kedatangan pelancong berbanding empat juta yang dicatatkan pada 2015 selain bakal mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat menjelang 2025.

“Terengganu kaya dengan pelbagai aset dan mempunyai daya tarikan untuk menjadi destinasi pelancongan pilihan di Malaysia.

“Ia memiliki kawasan persisiran pantai terpanjang dan indah sejauh 244 kilometer, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, pulau pelancongan antara tercantik di dunia, keunikan biodiversiti di Setiu Wetland serta warisan budaya yang unik,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, pihaknya mengenal pasti 208 tarikan yang akan diberikan tumpuan utama dalam mengubah landskap industri pelancongan Terengganu.

“Daripada jumlah itu kita melihat 34 daripadanya berpotensi untuk diberikan tumpuan dan menjadi fokus utama dalam menarik tumpuan pelancong.

“Antaranya ialah Tasik Kenyir, Setiu Wetland, air terjun dan kolam air panas di Besut, Resorts World Terengganu dan zoo di Kemaman,” katanya.