Memaparkan catatan dengan label lajim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lajim. Papar semua catatan
Ahad, Oktober 29, 2017
PAKATAN HARAPAN DIMINTA TIDAK TANDING DI SABAH
KOTA KINABALU 26 Okt. - Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) sekali lagi mengingatkan Pakatan Harapan agar tidak meletakkan calon di negeri ini sebaliknya membiarkan parti pembangkang tempatan berdepan dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Presiden Harapan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, beberapa parti pembangkang tempatan telah pun bersetuju untuk bekerjasama dalam PRU14, justeru khidmat DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak diperlukan.
“Di Semenanjung ada 165 kerusi Parlimen dan lebih 500 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka (Pakatan Harapan) telah bertanding di sana, parti tempatan Sabah tidak pernah bertanding di Semenanjung.
“Sabah pula hanya ada kira-kira 20 kerusi Parlimen, takkan ini pun tidak boleh bagi semua pada kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Perwakilan Parti Harapan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden Harapan, Datuk Maijol Mahap.
Sebelum ini, Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias dan Ketua Pembangkang DUN Sabah telah menyatakan perkara tersebut secara umum, namun dibantah oleh pemimpin Pakatan Harapan negeri terutama DAP yang memenangi beberapa kerusi Parlimen serta DUN dalam pilihan raya umum 2013.
Sementara itu, menurut Lajim parti pembangkang tempatan kecuali Parti Warisan Sabah (Warisan) telah pun bergabung atas nama Parti Gabungan Sabah (USA) iaitu terdiri daripada Harapan, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Reformasi Negeri (STAR).
Sehubungan itu katanya, gabungan berkenaan telah mempunyai calon masing-masing untuk bertanding di semua kerusi Parlimen serta DUN dan jika ditakdirkan menang Parlimen, mereka bersedia bersama pembangkang di Semenanjung untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Harapan telah mempunyai calon yang layak untuk bertanding di sekurang-kurangnya 14 kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN.
“Kami tidak bertanding semua kerusi sebab diagihkan kepada parti-parti dalam USA, namun harapan sendiri sudah ada calon yang cukup daripada golongan muda dan senior serta calon wanita,” katanya.
Ahad, April 14, 2013
LAJIM DI DUN KLIAS, MAAROF DI DUN LUMADAN?
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin akan bertanding mempertahankan kerusi parlimen Beaufort yang dimenanginya dalam pilihan raya umum (PRU) 2008.
Selain itu, beliau turut memikirkan secara serius untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias.
"Keputusan awal begitulah, saya akan bertanding di Parlimen sepertimana yang telah diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya ketika ditemui, sambil menambah beliau akan menentukan sama ada akan turut bertanding di Klias.
Dalam PRU lalu, Lajim menewaskan calon PKR, Lajim Md. Yusof dengan majoriti 10,914 undi bagi kerusi parlimen Beaufort.
DUN Klias kini disandang oleh Datuk Azizah Mohd Dun daripada Umno yang menang dengan majoriti 2,413 undi.
Menurut Lajim, dalam PRU kali ini, Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) yang diketuainya, akan meletakkan calon di 14 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen serta menggunakan lambang PKR
"Kita sudah bersetuju untuk menggunakan lambang PKR. Cuma ada satu, dua calon daripada Majlis Tertinggi PPPS yang akan menggunakan lambang PAS seperti di Bugaya dan Sukau," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, senarai nama calon pembangkang di negeri itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya Selasa ini.
Katanya, calon Parlimen akan diumumkan serentak oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur manakala calon negeri pula akan diumumkan oleh presiden parti masing-masing.
"Bagi kerusi-kerusi di negeri ini, 95 peratus telah selesai dan hanya antara PKR dan DAP sahaja yang masih dalam pertimbangan," ujarnya.
Dalam satu perkembangan lain, bekas pegawai Sime Darby, Maarof Mohd Noor dijangka menjadi calon PKR di DUN Lumadan yang terletak dalam kawasan parlimen Sipitang. Manakala parlimen Sipitang ditanding oleh Haji Abdul Rahman Yaacob yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian Beaufort.
Selasa ini dijangka PKR Sabah mengumumkan senarai penuh calon DUN.
Langgan:
Catatan (Atom)
