Ahad, April 14, 2013

LAJIM DI DUN KLIAS, MAAROF DI DUN LUMADAN?

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin akan bertanding mempertahankan kerusi parlimen Beaufort yang dimenanginya dalam pilihan raya umum (PRU) 2008. Selain itu, beliau turut memikirkan secara serius untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias. "Keputusan awal begitulah, saya akan bertanding di Parlimen sepertimana yang telah diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya ketika ditemui, sambil menambah beliau akan menentukan sama ada akan turut bertanding di Klias. Dalam PRU lalu, Lajim menewaskan calon PKR, Lajim Md. Yusof dengan majoriti 10,914 undi bagi kerusi parlimen Beaufort. DUN Klias kini disandang oleh Datuk Azizah Mohd Dun daripada Umno yang menang dengan majoriti 2,413 undi. Menurut Lajim, dalam PRU kali ini, Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) yang diketuainya, akan meletakkan calon di 14 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen serta menggunakan lambang PKR "Kita sudah bersetuju untuk menggunakan lambang PKR. Cuma ada satu, dua calon daripada Majlis Tertinggi PPPS yang akan menggunakan lambang PAS seperti di Bugaya dan Sukau," katanya. Sementara itu, beliau berkata, senarai nama calon pembangkang di negeri itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya Selasa ini. Katanya, calon Parlimen akan diumumkan serentak oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur manakala calon negeri pula akan diumumkan oleh presiden parti masing-masing. "Bagi kerusi-kerusi di negeri ini, 95 peratus telah selesai dan hanya antara PKR dan DAP sahaja yang masih dalam pertimbangan," ujarnya. Dalam satu perkembangan lain, bekas pegawai Sime Darby, Maarof Mohd Noor dijangka menjadi calon PKR di DUN Lumadan yang terletak dalam kawasan parlimen Sipitang. Manakala parlimen Sipitang ditanding oleh Haji Abdul Rahman Yaacob yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian Beaufort. Selasa ini dijangka PKR Sabah mengumumkan senarai penuh calon DUN.