Selasa, Ogos 22, 2017

AZMIN ALI MENGHITUNG HARI?


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyiasat dakwaan penyelewengan pembayaran RM16 juta dipercayai oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) dari Selangor kepada sebuah syarikat swasta.

Sehubungan itu, menurut sumber, SPRM telah menggeledah lima lokasi untuk mendapatkan maklumat dan dokumen bagi membantu siasatan.

Syarikat swasta itu dikatakan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di kampus induk Universiti Selangor (UNISEL) di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Menurut sumber, menerusi maklumat awal yang diperoleh oleh SPRM, MBI dipercayai telah membayar wang terbabit kepada syarikat itu sedangkan kontrak syarikat tersebut telah ditamatkan oleh UNISEL pada 2012.

Sumber itu menambah kata MBI dipercayai telah membuat pembayaran kepada syarikat itu menerusi dua transaksi iaitu sebanyak RM10 juta pada tahun 2015 dan RM6 juta pada tahun 2016.

"Siasatan SPRM menjurus kepada punca pembayaran tersebut oleh MBI sedangkan syarikat itu telah gagal melaksanakan kontrak yang diberikan mengikut kontrak perjanjian pelaksanaan kerja-kerja di UNISEL sekitar tahun 2012," kata sumber itu.

Lima lokasi yang telah diserbu oleh pasukan siasatan SPRM adalah pejabat UNISEL di Shah Alam dan Bestari Jaya, pejabat syarikat itu di Desa Pandan, Kuala Lumpur dan Bestari Jaya serta pejabat MBI di Seksyen 14, Shah Alam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penggeledahan tersebut dan berkata pasukan siasatan telah merampas sejumlah dokumen dari kesemua tempat terbabit.

Beliau berkata pasukan penyiasat telah pergi ke lokasi-lokasi berkenaan untuk mendapatkan dokumen-dokumen berhubung siasatan kes tersebut selepas SPRM menerima maklumat mengenainya.

Tambahnya, pasukan penyiasat akan menganalisis dokumen-dokumen berkenaan untuk membantu siasatan.

"Siasatan masih di peringkat awal dan kita (SPRM) akan mengumpul bukti-bukti dan maklumat yang kukuh sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.

-- BERNAMA

KEHEBATAN SULTAN MIZAN DEMI NEGARA

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos (Bernama) -- Senyuman Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi tindakan spontan tuanku mengucap terima kasih sambil menggosok bahu penjaga kuda, antara petanda awal baginda gembira dengan keupayaannya semalam.

Tindakan baginda sejurus tamat perlumbaan itu bukan sahaja menceriakan penjaga kuda tersebut malah ia turut memberi harapan kepada penulis memohon perkenan menemu bual baginda sempena penyertaan Sultan Mizan dalam acara kuda lasak di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Hasrat penulis disampaikan kepada pengurus pasukan Malaysia Che Mat Din Ismail sejurus selepas menerima rekod kesihatan kuda dan dari jauh penulis dapat mendengar Che Mat Din menyebut Zalina daripada Bernama'.

Apabila mata baginda memerhati tepat ke arah penulis, ketika itu jugalah baginda menyebut :mahu mandi dan tukar pakaian sekejap."




Dalam tempoh beberapa minit, pelbagai persoalan bermain di fikiran penulis dan debaran semakin memuncak, memikirkan protokol istana yang perlu dipatuhi namun Che Mat Din menyatakan, "Bertenang, nanti awak akan tahu bagaimana Sultan apabila berdepan dengan rakyat."

Kira-kira 9 pagi, penulis dipanggil pegawai istana ke ruang santai di bahagian luar chalet yang dikhaskan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu, tempat berlangsungnya acara kuda lasak KL2017.

Perkataan pertama penulis tentunya "Ampun Tuanku, patik Zalina daripada Bernama memohon Tuanku berkenan untuk ditemu ramah sempena kejohanan ini", lantas Sultan Mizan tersenyum dan menjawap "InsyaAllah, boleh, duduklah" sambil baginda menunjukkan arah kerusi untuk penulis.




Beberapa soalan telah ditanya dan baginda kerap mengucapkan rasa syukur, mungkin ramai tidak tahu bahawa pada ketika temu bual dilakukan baginda tidak menganggap baginda adalah pemegang pingat emas kerana ketika itu tiada catatan masa secara rasmi memandangkan masih banyak yang boleh dipertikaikan termasuk kesihatan kuda.

Titah baginda lebih terarah kepada minat baginda terhadap sukan berkuda, rasa syukur kerana pasukan Malaysia selamat serta rasa bangga kerana mewakili negara dan TIEP dipilih sebagai lokasi acara kuda lasak Sukan SEA.

Sebenarnya, kebanyakan soalan yang penulis ajukan selepas melihat kemesraan baginda yang membahasakan diri sebagai "saya" menepati ketinggian peribadi dan kerendahan diri baginda.

Ketika itulah penulis mula faham maksud pengurus pasukan sebelum menghadap Tuanku dan lebih menggembirakan penulis ialah sokongan daripada Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang memerhati dari jauh sambil tersenyum ke arah kami.

Sebenarnya penulis tidak memperoleh peluang menghadap Sultan Mizan, tetapi berusaha mengikuti perkembangan baginda sejak beberapa hari sebelum bermula temasya dwitahunan itu dengan mengunjungi TIEP malah pernah memohon kepada pihak istana, namun tidak berjaya.

Tekad penulis memuncak semalam dan berharap jika gagal menemu bual, dapat melihat Tuanku berlumba pun cukuplah dan disebabkan itu penulis tiba seawal 2 pagi di lokasi permulaan pertandingan untuk melihat secara dekat Sultan Mizan bersama-sama lima atlet Malaysia melakukan latihan pemanas badan sebelum memulakan perlumbaan sejauh 80 kilometer pada 3 pagi.

Terima kasih atas kerjasama TIEP yang menyediakan pengangkutan untuk ke beberapa lokasi iaitu di 'water point' yang membenarkan penunggang berhenti bagi memberi rehat kepada kuda serta menyejukkan badan.

Penulis sempat melihat secara dekat Sultan Mizan bersama kudanya, RTES Annaversary dan melihat kesungguhan baginda serta semangat baginda memastikan semua rakan sepasukan selamat sambil memujuk kuda baginda agar bertenang.

Penulis juga melihat ketangkasan baginda menunggang kuda kerana kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama empat individu yang lain, melalui laluan pintas ke 'water point' seterusnya dengan kelajuan 120 kilometer sejam.

Namun kami terkejut apabila Sultan Mizan bersama pasukannya telah menghampiri lokasi tersebut dengan hanya mengambil masa 20 minit sahaja, yang kebiasaannya memakan masa lebih sejam.

Penulis juga tidak melepaskan peluang memberi semangat kepada Tuanku yang memakai jersi bernombor 111 dengan beberapa kali menjerit, 'Go Tuanku, Go Tuanku,' sambil melihat baginda tersenyum.

Sebelum mengakhiri bicara, penulis sempat menyatakan 'Daulat Tuanku, patik adalah rakyat Terengganu', sekali lagi diiringi senyuman baginda yang sudah pastinya meninggalkan kenangan indah bagi penulis dapat menemu bual baginda dalam tempoh setengah jam.

Semalam, Sultan Mizan meraih emas dalam acara sukan kuda lasak kategori individu apabila tiba di garisan penamat pada 8.18 pagi dengan catatan masa tiga jam 48 minit 38 saat , meleburkan rekod atlet Malaysia iaitu pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar, Mohd Sulaiman Muda yang mencatatkan enam jam 26 minit.

-- BERNAMA

Isnin, Ogos 21, 2017

22 TAHUN JADI PM, MAHATHIR TAK BELA KAUM INDIA

TEMERLOH, 20 Ogos (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yakin tindakan Tun Dr Mahathir Mohamed berjumpa dengan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) tidak akan menjejaskan sokongan kaum India terhadap Barisan Nasional (BN).

Abdul Azeez berkata ini kerana sejak menerajui kerajaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan pebagai usaha untuk menjaga kebajikan dan membela nasib kaum itu.

"Dia (Dr Mahathir) boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja yang dia nak, namun dalam masa yag sama, percayalah hanya kerajaan BN di bawah pimpinan Najib yang mampu membela nasib rakyat tidak kira Melayu, Cina mahupun India.

"Semasa menjadi perdana menteri 22 tahun, apa yang telah beliau lakukan untuk bela nasib orang India dan hal ini masyarakat India dan Hindraf sendiri sedar tentang kebenarannya.

"Baru ini ada dalam kumpulan WhatsApp ada disebarkan bahawa kalau beliau diberikan peluang, beliau akan lakukan lebih baik daripada dahulu.

"Semasa jadi perdana menteri 22 tahun lalu tak pula dibuatnya, takkan umur dah dekat 100 tahun baru nak buat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Perwakilan UMNO Bahagaian Kuala Krau di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Fadzle Abdul Mubin dan ketua Puteri UMNO bahagian Nur Afzan Abu Kassim.

Dr Mahathir menemui Pengerusi Hindraf di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, Jumaat lalu, untuk mengajak kumpulan itu menyertai gabungan parti pembangkang.

Dalam pada itu, Abdul Azeez menyatakan kesediaan untuk menjadi orang tengah kepada BN dan UMNO untuk berjumpa dengan masyarakat India bagi menerangkan tentang dasar dan langkah-langkah yang kerajaan di bawah pimpinan Najib telah dan akan lakukan untuk membela nasib masyarakat India di negara ini.

"Mereka lebih faham jika saya menjelaskan mengenai pelbagai isu semasa dalam bahasa Tamil... dia (Dr Mahathir) tidak boleh bercakap dalam bahasa ibunda masyarakat India tetapi saya boleh," katanya.

-- BERNAMA

Sabtu, Ogos 19, 2017

KIMMA MAHU BERTANDING DALAM PRU14

SEREMBAN, 19 Ogos (Bernama) -- Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) komited untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) akan datang.

Presidennya Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata perkara itu telah diusulkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) dan bergantung kepada beliau (Najib) sama ada KIMMA akan diberikan tempat yang dirasakan sesuai untuk calonnya.

"Perkara ini diusulkan di kalangan perwakilan pada Konvensyen KIMMA Mei lalu dan kami berhasrat untuk meminta pucuk pimpinan BN memberikan ruang kepada calon parti kita dan hasrat ini telahpun saya kemukakan kepada Datuk Seri Najib.

"Kita hormat kepada pemimpin kerana itu kita serahkan kepada beliau, kalau beliau rasa ada kekosongan, ada tempat untuk diberikan kepada KIMMA dan yakin KIMMA ada potensi menang di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Badan Perhubungan KIMMA Negeri Sembilan ke 17 di sini, hari ini.

Mesyuarat yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dihadiri kira-kira 372 perwakilan.

Jumaat, Ogos 18, 2017

DIPECAT DARI PPBM KERANA TANYA SOALAN MEMALI BUKTI PPBM TIDAK DEMOKRATIK

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Exco Armada Pusat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mohamad Taufik Abas mendakwa dipecat baru-baru ini setelah bertanya soalan berhubung tragedi Memali dalam program Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam, yang berakhir dengan kekecohan pada Ahad lepas.

Mohamad Taufik berkata beliau mengetahui perkara itu melalui laman sosial Twitter baru-baru ini tetapi sehingga kini, belum menerima surat pemecatan itu secara rasmi.

Beliau menganggap tindakan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memecat beliau sebagai exco Armada Pusat PPBM melalui media sosial, sebagai tidak profesional.

"Dia (Syed Saddiq) cakap benda tu (pemecatan) dalam Twitter, saya hanya tahu dalam Twitter. Boleh bayangkan seorang Ketua Armada buat perkara macam tu, terlalu kebudak-budakan. Sepatutnya ada surat rasmi, dipanggil dalam mesyuarat tertutup, bukan macam tu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga mendakwa bahawa kerusi yang dibaling sebenarnya dituju ke arahnya dan bukannya Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad semasa insiden itu. 

Ulasan saya, pemecatan Taufik membuktikan PPBM adalah sebuah parti yang tidak demokratik. Ini belum menang PRU sudah tidak demokratik. Cuba bayangkan jika PPBM menang sudah tentu Dr Mahathir mengujudkan semula ISA untuk menyumbat pembangkang ke dalam tahanan tanpa bicara.

PELANCARAN BUKU MUSLI MERIAH

KUALA LUMPUR: Majlis pelancaran buku Musli Oli berjudul "Bajau Pahlawan Di Laut Perwira di Darat" oleh Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said semalam di Hotel Seri Pacific di sini semalam meriah.

Pagi semalam saya berada di Putrajaya. Oleh kerana urusan saya di sebuah kementerian selesai awal, saya terus ke Hotel Seri Pacific. Sementara menunggu ketibaan bekas ADUN Bugaya, Datuk Basali Hamid di hotel saya terus call Musli sahabat lama di Sabah yang mengadakan majlis pelancaran bukunya di hotel tersebut.

Musli tiba jam 10 pagi. Kami minum dan tiba pula pegawai khas kepada seorang ahli parlimen. pegawai khas ini pernah bekerja dengan saya di akhbar Warta Parlimen Kepala Batas pada tahun 2007. Beliau pernah bekerja sebagai pegawai khas kepada seorang ahli parlimen di Sabah.

Musli kenal ahli parlimen tersebut. Malah beliau yang berada bersama dengan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di pejabat Ku Nan sebelum hari penamaan calon pilihanraya umum 1999 terlibat menaikkan ahli parlimen itu sebagai calon BN.

Ketika itu bahagian mencadangkan nama orang lain. Ku Nan tanya siapa ni Musli pasal Ku Nan tak kenal nama orang tersebut. Ku Nan kata kenapa letak naib ketua bahagian sebagai calon. Ku Nan tanya siapa timbalan ketua bahagian. Musli pun sebut nama orang tersebut. Ku Nan kata letak timbalanlah sebagai calon parlimen kerana ketua bahagian diletakkan sebagai calon ADUN. Maka rezeki timbalan ketua bahagian jadi calon parlimen.

Itulah di antara jasa Musli menaikkan tokoh politik di Sabah sebagai calon. Musli kata ahli parlimen itu kuat berjanji. Dengan rakyat pun dia bohong. Malah apabila Ku Nan minta resume calon tersebut, calon itu tipu resumenya kononnya dia lulus diploma dari ITM.

Pegawai khas Speaker Dewan Rakyat, Dr Kadir join kami bertiga. Dr Kadir cerita pengalamannya membawa jemaah haji ke Mekah setiap tahun. Malah beliau pergi umrah setiap tahun. Jemaah haji yang dibawanya duduk di Hotel Hilton 50 meter  dari Masjidil Haram. Pakej haji yang dibawa Dr Kadir berharga RM45,000.

Datuk Basali tiba jam 12 join meja kami. Beliau yang disebut sebut sebagai calon parlimen menentang Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal di parlimen Semporna yakin Parti Warisan akan kalah di Sabah. Musli bergurau dengan berkata  kita tak boleh argue dengan kenyataan Datuk Basali nanti dia tak bayar bil kita.

Kami gelak mendengar kata kata Musli. Datuk Zaharin join meja kami dan seperti biasa beliau cerita hal Facebooknya yang mempunyai 58,000 followers. Datuk Seri Dr Salleh tiba di lounge menemui kawan-kawannya di hujung lounge.

Walaupun majlis bermula jam 4 petang tetapi sudah menjadi amalan Datuk Seri Dr Salleh tiba awal. Beliau memang tidak suka protokol. Malah dalam majlis pelancaran buku Musli semalam, beliau tidak berucap. Tetapi dalam sidang akhbar beliau berkata buku Bajau ini perlu dibaca oleh rakyat Malaysia untuk mengenali sukukaum Bajau yang merupakan sukukaum Bumiputra Islam terbesar di Sabah.

Musli memang seorang penulis buku politik yang terkenal. Mentornya. Adi Alhadi yang mencadangkan supaya Musli menulis buku mengenai masyarakat Bajau. Tambahan pula sebagai bekas Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO), Datuk Seri Dr Salleh memberi sokongan kepada usaha Musli menjalankan kajian selama satu tahun.

Tahniah kepada Musli. Semoga lebih banyak lagi usaha menerbitkan buku mengenai masyarakat Bajau selepas ini.





Rabu, Ogos 16, 2017

PIAWAIAN SERAGAM DURIAN AKAN DIWUJUDKAN

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Satu piawaian seragam berkenaan durian akan diwujudkan bagi memastikan ketulenan dan kualiti raja buah itu sentiasa berada di tahap terbaik seperti sepatutnya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata piawaian yang akan diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia itu antara lain bertujuan mengelak pembeli daripada tertipu dengan jenis buah dan harga yang diletakkan penjual.


Ketika ini, katanya, penjual dan pembekal 'bebas' menamakan jenis buah dan harga kerana tiada pihak yang berperanan mengesahkan perkara itu, kecuali durian yang di bawah pengurusan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Beliau berkata pembeli mengadu mereka sering tertipu dengan taktik penjual yang meletakkan label jenis durian yang mendapat permintaan tinggi dan mahal seperti D24 atau Musang King untuk meraih keuntungan.

"Sekarang tiada siapa yang bertindak mengesahkan sama ada ia durian Musang King, D24 atau apa saja. Tujuan mewujudkan satu standard atau piawaian khusus memastikan setiap durian yang dilabelkan adalah durian yang betul," katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama usahawan durian di kementeriannya di sini hari ini.....

Selasa, Ogos 15, 2017

TEMBELANG MAHATHIR SUDAH PECAH

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata jawapan yang tidak memuaskan berkaitan peristiwa Memali oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan punca utama berlakunya kekecohan semasa majlis Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam, Ahad lepas.

Majlis anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu kecoh apabila ada individu yang membaling selipar, botol air, kasut dan menyalakan suar ke arah Dr Mahathir, ketika Pengerusi PPBM itu menjawab soalan hadirin mengenai peristiwa Memali, Baling Kedah.

"Semua pihak menunding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetusnya kekecohan apabila jawapan yang tidak memuaskan hati terhadap peristiwa Memali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kekecohan tercetus kira-kira 5.10 petang Ahad lepas apabila peserta mula membaling selipar dan sebagainya sehingga keadaan panik berlaku dan peserta terpaksa berlari keluar dari Dewan Raja Muda Musa, itu untuk menyelamatkan diri.

Beberapa individu cedera ringan akibat terjatuh ketika menyelamatkan diri selain berlaku kejadian bertumbuk sesama sendiri.

Ulasan saya, tembelang Mahathir sudah pecah. Apa yang berlaku pada Ahad lepas sudah dirancang oleh penyokong Mahathir kerana beliau gagal menjawab dua soalan sensitif  mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Memali.

Kenapa penganjur gagal menjalankan pemeriksaan ketat kepada semua hadirin sehingga orang yang membawa suar boleh terlepas. Masihkah kita ingat pada reformasi di Kg Baru pada tahun 1998 oleh para penyokong Anwar?

Bukankah Mahathir yang mengarahkan supaya buat rusuhan di Kg Baru yang kononnya ia dicetuskan oleh puak reformasi? Maka taktik yang sama digunakan oleh Mahathir Ahad lepas selepas hadirin tak puas hati dengan jawapan beliau.

Sepatutnya penganjur kena bertanggungjawab apa yang berlaku kerana gagal mengawal keselamatan. Oleh itu menyalahkan puak Umno kerana merancang rusuhan itu berlaku amat dangkal. Yang peliknya Lim Kit Siang keluar awal dari dewan seolah olah sudah tahu apa yang akan berlaku selepas itu. Ini bermakna mereka sudah merancang dari awal.

Isnin, Ogos 14, 2017

PEMILIHAN PRESIDEN UMNO BUKTI NAJIB TERBUKA

NIBONG TEBAL, 13 Ogos (Bernama) -- Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuka pemilihan Presiden UMNO kepada semua anggotanya sejak 2013 menunjukkan beliau seorang yang terbuka dalam parti itu.


Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Najib yang juga presiden UMNO membuka ruang kepada 165,000 anggota parti itu untuk bertanding jawatan itu menunjukkan beliau seorang yang mengamalkan demokrasi dan bukan bersikap diktator.

"Itulah keterbukaan perdana menteri yang juga presiden UMNO kita, dia buka supaya semua orang ada peluang tetapi presiden sebelum ini tidak buat pun malah menggunakan 'undi kuota' setiap kali pemilihan parti untuk terus kekal.

"Zaman Datuk Seri Najib ini juga, setiap pemimpin di peringkat bahagian juga perlu dapatkan undi dari akar umbi bahagian sebagai contoh kalau perwakilan ada 3,000 maka kena dapatlah undi semua..bukan macam dulu. Ini semua perubahan untuk kepentingan anggota dan menunjukkan UMNO sebagai sebuah parti yang demokrasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Nibong Tebal, di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Mahdzir berkata demikian mengulas kenyataan Najib hari ini yang dilaporkan berkata langkah membuka pemilihan presiden UMNO kepada lebih 165,000 anggotanya pada 2013 merupakan bukti nyata bahawa UMNO bukan milik beliau seorang malah berbeza dengan zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib berkata pada zaman kepimpinan Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu menggunakan mekanisme 'undi kuota' dan 'undi bonus' setiap kali tiba pemilihan parti untuk kekal berkuasa.

Katanya semasa menjadi presiden UMNO beliau memansuhkan undi kuota dan undi bonus malah nasibnya sebagai presiden parti juga diserahkan kepada lebih 165,000 anggota UMNO seluruh negara yang mana mereka ini tidak boleh dibeli sesuka hati.

-- BERNAMA

Ahad, Ogos 13, 2017

UMNO KENA LETAK CALON YANG DIRESTUI PARTI KOMPONEN BN

CHUKAI: Parti MyPPP Terengganu berpendapat BN kena letak calon UMNO yang direstui oleh parti komponen BN jika BN mahu tawan semula kerusi DUN Chukai.

Menurut Pengerusi MyPPP Terengganu, Datuk Kamarulzaman Idrus, MyPPP tidak berminat untuk bertanding di mana mana kerusi DUN di Terengganu.

"Tetapi kami akan sokong calon BN yang dapat bekerjasama dengan MyPPP," katanya kepada catatanzabidi.

Beliau berpendapat untuk menawan semula kerusi DUN Chukai, Umno kena letak calon yang direstui oleh semua parti komponen BN termasuk MCA,MIC dan MyPPP.


"Ahli MyPPP tidak ramai di Kemaman tetapi kami akan menjadi penggerak untuk membantu calon Umno yang tidak sombong dengan kami," tegas beliau.

Katanya, MyPPP tidak berniat untuk mengugut BN tetapi sekurang-kurangnya undi para penyokong MyPPP di Kemaman khasnya dan di DUN Chukai khususnya akan menjadi undi penentu kepada kemenangan calon Umno.

Pada PRU13, BN kalah satu kerusi daripada empat DUN di mana calon BN, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid di DUN Chukai kalah di tangan calon PAS, Hanafiah Mat
dengan majoriti 2,446 undi.

KAWASAN KETENGAH DIPERLUASKAN



HULU TERENGGANU 12 Ogos - Seluruh kawasan di daerah ini bakal diwartakan sebagai wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang akan memesatkan pembangunan di kawasan pedalaman.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daerah ini dengan pelbagai potensi yang boleh dimajukan untuk memacu ekonomi merupakan daerah pertama diletakkan di bawah operasi penuh agensi itu.


Katanya, perluasan kawasan operasi melibatkan sembilan mukim iaitu Tanggul, Hulu Berang, Hulu Telemung, Jenagur, Kuala Berang , Kuala Telemung, Penghulu Diman, Tersat dan kawasan pembangunan Tasik Kenyir.

Katanya, ia akan meliputi kawasan seluas 387,462.60 hektar melibatkan 122 kampung dan 77,582 penduduk dan perkembangan itu bakal mengubah pembangunan fizikal dan sosioekonomi di daerah tersebut.

“Ketengah sudah bersetuju dengan cadangan perluasan operasi ini cuma dari segi prosedur, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan membawa perkara ini kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Terengganu.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu 2017 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian, Datuk Jailani Johari.

Katanya, selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri kelak, pihaknya akan membawa ke Kabinet pula untuk urusan seterusnya dengan pertimbangan tentang kos dan implikasinya.

“Saya percaya tidak timbul masalah besar di peringkat negeri sebab Pengerusi Ketengah adalah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman,” katanya.



Sabtu, Ogos 12, 2017

JANGAN POLITIKKAN PR1MA





SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menasihatkan pihak pembangkang supaya tidak mempolitikkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan mengelirukan rakyat demi kepentingan politik masing-masing.

Menurutnya, program PR1MA diwujudkan untuk kebaikan rakyat, khususnya dalam membantu golongan M40 untuk memiliki rumah dan usaha sebegini patut disokong oleh semua pihak.

Menurutnya, merujuk kepada manifesto BN, PR1MA diberi mandat untuk membangunkan 500,000 unit rumah dalam masa lima tahun dimana kerja-kerja pembangunan ini kini berada dalam pelbagai peringkat. Manifesto tersebut tidak menyatakan bahawa rumah-rumah ini akan siap dibina dalam tempoh lima tahun.

"Membina rumah bukanlah satu tugas mudah kerana ia memerlukan perancangan rapi, melibatkan banyak proses dan prosedur, selain memerlukan jumlah pelaburan yang besar. Disebabkan inilah, PR1MA perlu menjalankan pelbagai kajian, terutamanya dari segi analisis permintaan, sebelum memulakan sesuatu projek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, proses untuk mendapatkan kelulusan juga tidak mudah kerana memerlukan penglibatan berterusan dengan pihak kerajaan negeri kerana kuasa untuk meluluskan sesuatu projek terletak di bawah pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.

Katanya, inisiatif program PR1MA adalah untuk membantu meringankan beban rakyat, iaitu golongan M40 yang tinggal di kawasan bandar dan separa bandar yang menghadapi tekanan kenaikkan kos sara hidup.

"Kerana itulah, PR1MA perlu melakukan tinjauan dan kajian menyeluruh sebelum memulakan sesuatu projek untuk memastikan semua projek PR1MA dapat memenuhi permintaan pasaran dalam kategori produk untuk golongan M40," katanya.

Shahidan berkata, sehingga ini, Ahli Perbadanan PR1MA meluluskan untuk memajukan 267,902 unit kediaman PR1MA di seluruh negara dan dari jumlah itu 139,393 unit sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan.

Katanya, setakat ini, 9,791 unit kediaman PR1MA dijual di seluruh negara, melibatkan nilai jualan RM2.36 bilion dan lebih dari 1.47 juta rakyat Malaysia mendaftar di seluruh negara dan dari jumlah itu 166,972 orang memohon kediaman PR1MA.

Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang tahun-tahun pasca PRU13, PR1MA melalui pelbagai cabaran dan kepayahan sehingga ada cadangan projek yang terpaksa dibatalkan selain banyak lagi projek masih di peringkat analisis dan di dalam pertimbangan.

"Barisan Nasional berupaya untuk menjelaskan komitmen kami kearah memenuhi janji-janji digariskan dalam manisfesto dan saya menyeru pakatan pembangkang turut melihat sejauh mana pencapaian mereka dalam memenuhi janji-janji yang dibuat semasa PRU lalu," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menuntut BN menunaikan janji membina 500,000 rumah PR1MA sepertimana manifesto BN pada 2013.

Khamis, Ogos 10, 2017

PELANCARAN ECRL TETAP UTAMAKAN PATRIOTISME

KUANTAN, 10 Ogos (Bernama) -- Pemuda UMNO Pahang hari ini menyangkal dakwaan majlis pecah tanah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini semalam mengetepikan unsur-unsur patriotisme.


Ketuanya Mohd Shahar Abdullah berkata sebaliknya majlis yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu menonjolkan identiti Malaysia termasuk nyanyian lagu Negaraku, lagu Pahang selaku tuan rumah dan penggunaan bahasa Melayu sepanjang majlis.

"Bendera Jalur Gemilang kebanggaan kita dikibarkan di pentas utama dan bacaan doa di awal majlis juga dibuat dalam bahasa kebangsaan. Malah juruacara juga menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin sepanjang majlis berlangsung.

"Ucapan oleh (kedua-dua) perdana menteri dan Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah) juga ada menggunakan bahasa Melayu, tetapi sebagai menghormati tetamu yang tidak memahami bahasa Melayu, majlis juga menggunakan khidmat jurubahasa," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama di sini.

Mohd Shahar mengulas dakwaan pihak-pihak tertentu termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia bahawa majlis itu menghilangkan identiti negara dan tidak menonjolkan semangat patriotisme selain didominasi oleh bahasa bukan kebangsaan.

Mengulas lanjut, Mohd Shahar yang turut hadir pada majlis tersebut, berkata apa yang ditularkan menerusi media sosial itu hanya sebahagian daripada yang berlaku.

Pada masa sama, beliau meminta rakyat melihat aspek faedah yang akan dibawa ECRL termasuk peningkatan ekonomi setempat.

Beliau juga merujuk kepada persetujuan yang dicapai perdana menteri bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus kontraktor Malaysia diberi peluang untuk terlibat dalam projek itu.

"Projek itu juga melibatkan persetujuan bahawa 3,600 pelajar kita diberi peluang untuk menimba pengetahuan berkaitan teknologi kereta api yang secara tidak langsung negara akan mempunyai golongan profesional dalam bidang itu pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA

Rabu, Ogos 09, 2017

30 PERATUS KONTRAKTOR MALAYSIA TERLIBAT BINA ECRL



KUANTAN, 9 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia kerana paling utama ia akan memendekkan masa perjalanan pergi dan balik ke pantai timur Semenanjung.

Beliau berkata perjalanan kereta api dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dijangka kurang daripada empat jam berbanding purata lapan jam malahan hingga 12 jam atau lebih semasa musim perayaan , menjadikan ECRL medium pengangkutan pilihan yang lebih selesa sebaik ia siap dibina.

"Projek ECRL juga akan menentukan rentak kesan limpahan ekonomi dan impak sosial yang positif bagi negeri-negeri di pantai timur. Ia akan menjadi pemangkin bagi kesaksamaan ekonomi antara pantai barat dan pantai timur kerana akan turut merangsang pelaburan, menggalakkan kegiatan komersial, mewujudkan pekerjaan yang mencukupi, memudahkan pendidikan berkualiti dan merancakkan industri pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucaptama semasa majlis pecah tanah projek ECRL di tapak projek KotaSas Sentral di sini hari ini, yang turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Majlis Negara China Wang Yang, Pengarah Eksekutif dan Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Liu Qitao dan Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan tiga Menteri Besar negeri-negeri pantai timur Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (Terengganu) dan Datuk Ahmad Yakob (Kelantan).



PM Najib bersalaman dengan Kaunselor Negara China, Wan Yang selepas majlis pecah tanah projek ECRL


Najib turut menarik perhatian bahawa ECRL akan menjadi projek laluan rel negara yang paling panjang sejauh 688 kilometer dengan kos berjumlah RM55 billion dan akan dibina oleh CCCC, yang merupakan satu daripada kumpulan infrastruktur pengangkutan ternama dan tersenarai sebagai kontraktor antarabangsa ketiga paling terkemuka di dunia sementara MRL sebagai pemilik projek.

Malaysia turut mendapat syarat pembiayaan menarik untuk ECRL dengan 85 peratus daripada projek itu dibiayai melalui pinjaman mudah 3.25 peratus daripada China Exim Bank, dengan tempoh moratorium tujuh tahun sementara 15 peratus lagi dibiayai melalui program sukuk yang diuruskan oleh bank-bank pelaburan tempatan, katanya.

Najib juga menegaskan bahawa kerajaan telah menggariskan kepentingan Malaysia dalam projek itu termasuk menerusi satu perjanjian dengan China bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus kontraktor Malaysia akan terlibat dlam projek berimpak tinggi ini sementara program latihan industri ECRL yang dilancarkan pada 14 Jun, akan memberikan peluang kepada pelajar Malaysia menimba kemahiran untuk bekerja dengan ECRL.

"Oleh tu saya menggesa para kontraktor tempatan dengan keupayaan dan pengetahuan mereka supaya merebut peluang ini dan menyertai projek penting ini yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

"Kita merancang untuk melibatkan 3,600 pelajar Malaysia di bawah program latihan yang memberi peluang mereka dilatih mengikut sukatan pelajaran yang disediakan oleh dua universiti terkemuka China dan sembilan institut pendidikan tinggi Malaysia.

"Pendapatan daripada operasi ECRL diunjurkan akan didapatkan melalui nisbah pengangkutan 30 peratus penumpang dan 70 peratus barang," katanya.

Perdana menteri juga menganggap pembangunan ECRL sebagai tepat pada masanya selaras dengan pembesaran Pelabuhan Kuantan sekarang untuk menjadi terminal laut dalam yang tidak lama lagi akan mampu menampung kemasukan kapal lebih besar sehingga 200,000 tan berat muatan atau kapal yang boleh membawa 18,000 unit dua puluh kaki kontena.

Justeru dengan pelbagai kelebihan yang dapat dimanfaatkan daripada ECRL, Najib menyatakan rasa kesal terhadap sesetengah pihak yang cuba menjejaskan projek ECRL ini dan beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan ECRL berjaya siap menjelang 2024 seperti yang dijanjikan.

"Kepimpinan pusat turut berbesar hati dengan kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor atas kerjasama penuh mereka serta sokongan terhadap projek ini, terutama dalam perkara berkaitan pemilikan tanah yang amat penting kepada pembinaan rangkaian laluan rel baharu ini.

"Perjalanan telah bermula dan ECRL setelah siap akam membawa kita ke arah pencapaian aspirasi negara. Oleh itu saya memohon sokongan, kerjasama, pengetahuan dan kepakaran bersama semua pihak berkepentingan dalam ECRL bagi memastikan penyampaian lancar dan berjaya projek rel ini," katanya.

-- BERNAMA

TEGURAN SOHAIMI TERHADAP PEMUDA UMNO WAJAR DIHAYATI

KUALA LUMPUR: Ucapan ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan yang mengingatkan supaya Exco pemuda Umno tidak mengamalkan sifat tiga S iaitu senyap, sunyi dan sepi serta syok sendiri bagi menghadapi PRU14 wajar diberi perhatian.

Berucap kepada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan pemuda Umno Bahagian Tapah, beliau mahu Exco pemuda yang mempunyai pendedahan di peringkat nasional jangan diketuk baru berjalan atau jangan jadi penukul dengan paku.

Beliau juga mahu pemuda menjadi lebih agresif menghadapi pembangkang yang tidak henti henti memfitnah pemimpin Umno. Beliau malu melihat pemuda yang enggan turut padang sebaliknya sibuk mengikut Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin melobi projek untuk diri sendiri.

Wajarlah pemuda mengurangkan membontot ketua pemuda sehingga lupa tempat asal kita yang sepatutnya kita membantu parti memperkemaskan jentera untuk menghadapi PRU yang paling kritikal dalam sejarah politik negara.

Kita bukan sahaja berhadapan dengan pembangkang bekas timbalan perdana menteri (PKR) yang masih dipenjara  malah bekas perdana menteri (Bersatu) yang mana rakyat masih menghormati mereka berdua.

Jika pemuda sibuk mengejar projek, maka ia amat bahaya kepada BN kerana tokoh yang menentang BN kini adalah bekas pemimpin BN yang sudah tentu tahu kelemahan BN.

Pemuda sibuk nak calon dari pemuda sekurang kurangnya 30 peratus dari keseluruhan calon BN tetapi hakikatnya yang layak jadi calon pemuda sekitar 10 peratus sahaja. Justru itu pemuda kena lebih berani berdepan dengan pembangkang dengan erti kata menjawab segala isu.

Sekarang bukan lagi masa kita mempertahankan BN tetapi sekarang masa kita menyerang pembangkang supaya mereka berpecah sesama sendiri.

Sudah sampai masanya pemuda membantu bahagian dalam menyusun gerak kerja. Justru itu nasihat Sohaimi wajar diberi perhatian kerana PRU tak lama dah kerana sekarang kita berada dalam masa kecederaan.

Berjaya atau gagal BN dalam sesuatu DUN
bergantung kepada kesepaduan antara pemuda dengan bahagian.


Isnin, Ogos 07, 2017

PENDEDAHAN NAJIB BUKTI MAHATHIR DIKTATOR

KUALA LUMPUR: Pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Shah Alam semalam membuktikan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang diktator.

Berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Shah Alam semalam, Najib mendedahkan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Ketua Pemuda Umno Malaysia ketika itu ditahan di bawah ISA selepas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno.

Kata Najib, Mahathir hantar SB temui Zahid dan jika beliau nak keluar segera dari tahanan ISA beliau hendaklah tandatangan surat setuju letak jawatan Ketua Pemuda secara sukarela. Maka Zahid tiada pilihan terpaksa melepaskan jawatan dan beri laluan kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein memangku jawatan ketua pemuda.

Zahid berundur setapak dan bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno pada tahun 2000 dan 2004.  Beliau berjaya menjadi Naib Presiden Umno sebanyak dua kali pada pemilihan 2008 dan 2013. Apabila Tan Sri Muhyiddin Yasin dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015, Najib melantik Zahid sebagai TPM dan menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno.

Paksaan Mahathir kepada Zahid melepaskan jawatan Ketua Pemuda yang dimenangi pada tahun 1996 dalam pertandingan empat penjuru mengalahkan Tan Sri Rahim Thamby Chik, Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri Annuar Musa membuktikan bahawa Mahathir adalah seorang diktator.

Mahathir menyalahgunakan ISA untuk menahan musuh politiknya walaupun musuhnya itu berada dalam satu parti. Mahathir memang tak suka orang yang berbeza pendapat dengannya. Zahid terlalu lantang menggunakan isu kronisme dan nepotisme yang diamalkan oleh Mahathir. Maka ISA digunakan untuk menahan Zahid.

Mahathir seorang yang mementingkan diri sendiri. Apabila Tun Hussein Onn yang mahu bersara memanggil Mahathir untuk melantik Naib Presiden Umno yang senior, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai timbalannya, sebaliknya Mahathir menaja Tun Musa Hitam menentang Ku Li untuk jawatan timbalan presiden Umno pada tahun 1981.

Tindakan Mahathir ini menyebabkan akhirnya Umno pecah dua apabila Ku Li bergabung dengan Musa menentang Mahathir dan Ghafar Baba pada pemilihan Umno 1987. Akhirnya Mahathir rela Umno diharamkan oleh mahkamah kerana enggan mengadakan semula pemilihan Umno yang menyebabkan Mahathir menubuhkan Umno baru pada tahun 1988.

Kini Mahathir bersama Pakatan Harapan mahu menumbangkan Umno yang ditubuhkannya 29 tahun lalu. Semuanya berpunca kerana anaknya Datuk Seri Mukhriz kalah bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 2013. Jika Mukhriz menang sudah tentu Mahathir tidak meroyan seperti sekarang.

Oleh itu perjuangan Mahathir bukannya mahu menyelamatkan Malaysia tetapi mahu menyelamatkan dinastinya yang kini terpinggir. Takkanlah Anwar mahu ditipu kali kedua oleh Mahathir? Dahulu orang Mahathir yang buat konspirasi menjatuhkan Anwar dari jawatan TPM.
Takkan Anwar sudah lupa?








Ahad, Ogos 06, 2017

UMNO PERLU DEKATI PENGUNDI BAHARU DAN ATAS PAGAR

KLANG, 6 Ogos (Bernama) -- UMNO perlu memperhebat usaha mendekati dua kumpulan pengundi yang digolongkan sebagai 'pengundi baharu' dan 'pengundi atas pagar' bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Bendahari Agung UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata usaha untuk mendekati pengundi yang mengundi buat kali pertama pada PRU14 dengan memberi gambaran sebenar mengenai kerajaan BN penting bagi memastikan mereka bersama-sama kerajaan untuk membawa kemajuan di negara ini.

"Ini perlu bagi mengelak mereka (pengundi baharu) mendapat gambaran salah daripada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah serta tohmahan mengenai UMNO dan BN.

"Ada ramai 'pengundi kali pertama' dalam masa empat tahun ini dan mereka mungkin terdiri daripada kawan ataupun jiran kita. Sekiranya mereka memahami perjuangan kita, mereka akan tetap bersama kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kapar di sini, hari ini.

Salleh, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata kumpulan kedua yang perlu didekati UMNO adalah pengundi atas pagar yang pernah bersama BN ketika dahulu, namun kini terkeliru dengan tohmahan dan dakyah yang dibawa pembangkang.

Beliau yakin pengundi atas pagar ini akan kembali bersama kerajaan BN dan UMNO sekiranya jentera parti turun padang menerangkan kepada pengundi segala kepincangan yang dilakukan pihak pembangkang.

Dalam pada itu, Sallleh menasihatkan semua jentera serta parti komponen BN berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi PRU14.

"Perkara paling penting adalah jentera mesti sampai ke peringkat akar umbi untuk menerangkan dasar parti," katanya.

Salleh turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya menghindari daripada bersikap sombong, berlagak dan kedekut sekiranya mahu kekal memerintah dan terus berkhidmat membela nasib rakyat.

Katanya jika tiga sikap berkenaan ada dalam diri pemimpin UMNO, ia dikhuatiri akan membangkitkan rasa marah rakyat.

-- BERNAMA

Sabtu, Ogos 05, 2017

MAHDZIR OPTIMIS BN KEKAL MEMERINTAH SELEPAS PRU14

SEMPORNA, 5 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO akan kekal memerintah kerajaan persekutuan dan negeri selepas pilihan raya umum ke-14 ini, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata perkara itu boleh direalisasikan jika pemimpin tertinggi sehingga ke akar umbi kukuh bersatu dalam kapal yang sama.

"Ada di luar sana (pihak pembangkang) yang bercita-cita mahu menjadi kerajaan tetapi saya tidak fikir anggota UMNO akan menyerah bulat-bulat begitu sahaja kepada mereka (pembangkang).

"Walaupun mereka cuba mencari jalan mahu menawan bukan sahaja di Semenanjung tetapi Sabah dan Sarawak," katanya ketika berucap merasmikan persidangan UMNO Bahagian Semporna di sini, hari ini.

Menurutnya, dari keberhasilan tanggungjawab kepada rakyat sama ada rakyat luar bandar dan bandar, banyak yang telah dilakukan kerajaan dalam semua aspek termasuk pendidikan, ekonomi, dan sosial.

BERANIKAH MAHATHIR SAHUT CABARAN ZAHID UNTUK BUAT SUMPAH LAKNAT?

BALING, 5 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan kesediaan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya beliau mempunyai RM230 juta dalam akaun banknya pada 1996.

Timbalan perdana menteri menyatakan kerelaan hati untuk disiasat SPRM bagi membetulkan apa yang disifatkannya sebagai satu pembohongan, namun pada masa sama turut meminta harta bekas perdana menteri dan keluarganya juga disiasat suruhanjaya tersebut.

"Saya dengan ini terbuka hati dan menawarkan diri untuk disiasat oleh SPRM demi membetulkan persepsi dan pembohongan yang dilakukan oleh orang itu (Dr Mahathir). Pada masa sama saya minta aset beliau dan keluarga beliau juga disiasat SPRM. Ini bukan cabaran, cuma minta baru namanya telus. Jangan dok tuduh orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Baling di sini hari ini. Turut hadir Ketua UMNO bahagian itu merangkap Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Baru-baru ini Dr Mahathir membangkitkan isu pengisytiharan harta dibuat Ahmad Zahid semasa dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO termasuk memiliki RM230 juta dalam akaun banknya. Bagaimanapun Dr Mahathir menyatakan beliau tidak mempunyai bukti hitam putih berhubung dakwaan itu.

Timbalan perdana menteri menjelaskan pada masa itu beliau merupakan ahli perniagaan dengan turut menjadi ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat tersenarai awam, pengerusi tiga syarikat tersenarai awam dan pengerusi Bank Simpanan Nasional.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyatakan kesanggupan membuat sumpah laknat di mana-mana masjid di negara ini sekiranya ada pihak mengatakan beliau berbohong tentang mempunyai rakaman perbualan Dr Mahathir yang cuba menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Dr Mahathir juga perlu sanggup membuat sumpah laknat berhubung tuduhan dilemparkan terhadap dirinya.

"Kalau sumpah laknat saya sanggup buat, beliau pun mesti juga sanggup buat (sumpah laknat), dia (Dr Mahathir) patah balik kata saya (dakwa saya cadangkan untuk jatuhkan Najib)," katanya.

Semalam ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jerlun, Ahmad Zahid mendedahkan bekas presiden UMNO itu sebenarnya dalang disebalik usaha untuk menyingkirkan Najib dan beliau memiliki cukup bukti dalam bentuk rakaman.

Ulasan saya, beranikah Mahathir menyahut cabaran Zahid untuk buat sumpah laknat di mana mana masjid? Jika beliau tidak berani ini bermakna Mahathir memang bercakap bohong.

FAKTOR MAHATHIR DAN SKANDAL 1MDB PUNCA BN KALAH?

KUALA LUMPUR: Lucu baca laporan Global Risk Insights  (GRI) yang mengatakan BN bakal kalah dalam PRU 14 kerana faktor Tun Dr Mahathir Mohamad dan skandal 1MDB.

GRI adalah penerbitan antarabangsa yang diasaskan di London School of Economics (LSE). Bagi saya penemuan yang dibuat oleh GRI belum tentu tepat.

Mahathir sekarang tak sama dengan Mahathir dahulu. Mahathir dahulu kuat kerana disokong oleh semua bangsa. Sekarang pembangkang pun berpecah sesama sendiri. GRI ingat ikhlas ke PKR terima Mahathir sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH)? Takkan pemimpin PKR sudah lupa apa yang Mahathir buat kepada pejuang mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim sampai lebam ditumbuk Tan Sri Rahim Noor. Siapa yang arah Rahim Noor kalau bukan Mahathir?

Oleh itu mereka bersatu menentang BN tetapi sesama sendiri mereka curiga. Anwar sudah hampir jadi PM tetapi Mahathir singkirkannya kerana kononnya Anwar tak bermoral. Mahathir tangkap Anwar di bawah ISA. Takkan Anwar, Lim Kit Siang, Mat Sabu sudah maaafkan Mahathir yang tangkap mereka tanpa bicara?

Mahathir dahulu ada kuasa bolehlah guna segala kuasa untuk menakut-nakutkan musuh politiknya. Sekarang Mahathir tidak ada kuasa. Siapa yang berani ikut Mahathir secara terbuka? yang ikut mereka orang yang sudah tiada jawatan seperti Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Zainuddin Maidin, Kadir Jasin.

Najib dengan segala jentera yang ada akan gunakan seperti mana Mahathir guna. Bagi saya peluang terbaik BN untuk tumbang dalam PRU ketika dalam PRU 1990. PBS keluar dari BN menyokong Tengku Razaleigh Hamzah yang memimpin Parti Semangat 46,PAS dan DAP. Tapi BN mampu menang di saat saat akhir.

Begitu juga ketika Anwar Ibrahim berada di luar memimpin PKR, PAS dan DAP sepatutnya Pakatan Rakyat sudah menang pada PRU 2013 tetapi BN tetap menang walaupun tak dapat majoriti dua pertiga.

Oleh itu faktor Mahathir bukan boleh menumbangkan BN. Apabila Ku Li menentang BN, ucapan Ku Li dalam Umno digunakan untuk menunjukkan beliau tidak konsisten. Begitu juga apabila Anwar menentang BN, ucapan Anwar dalam Umno dimanupulasikan oleh BN untuk menunjukkan dahulu lain sekarang lain Anwar.

Sekarang giliran BN pula menggunakan ucapan Mahathir dalam Umno untuk menunjukkan dia u turn menyokong DAP pula. Jadi apa yang BN buat sekarang dipelajari dari apa yang dibuat Mahathir dahulu.

Skandal 1MDB tidak beri kesan kepada pengundi luar bandar. Lagipun 1MDB sudah buat pelan rasionalisasinya. Selagi PAS tidak bersama PH maka BN ada peluang untuk mengekalkan kerajaan pada PRU akan datang.

GRI kata skandal rasuah akan mengalahkan BN termasuk PKRZ. Macam mana kita mahu percaya laporan GRI kerana skandal PKRZ berlaku di zaman Mahathir dan bukannya zaman Najib. Nampak sangat laporan GRI tidak tepat.

Bagi saya BN tetap menang dalam PRU akan datang kerana BN ada senjata akhir untuk mengalahkan Mahathir. Sama sama kita tunggu.