Sabtu, Ogos 05, 2017

MAHDZIR OPTIMIS BN KEKAL MEMERINTAH SELEPAS PRU14

SEMPORNA, 5 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO akan kekal memerintah kerajaan persekutuan dan negeri selepas pilihan raya umum ke-14 ini, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata perkara itu boleh direalisasikan jika pemimpin tertinggi sehingga ke akar umbi kukuh bersatu dalam kapal yang sama.

"Ada di luar sana (pihak pembangkang) yang bercita-cita mahu menjadi kerajaan tetapi saya tidak fikir anggota UMNO akan menyerah bulat-bulat begitu sahaja kepada mereka (pembangkang).

"Walaupun mereka cuba mencari jalan mahu menawan bukan sahaja di Semenanjung tetapi Sabah dan Sarawak," katanya ketika berucap merasmikan persidangan UMNO Bahagian Semporna di sini, hari ini.

Menurutnya, dari keberhasilan tanggungjawab kepada rakyat sama ada rakyat luar bandar dan bandar, banyak yang telah dilakukan kerajaan dalam semua aspek termasuk pendidikan, ekonomi, dan sosial.