Sabtu, Ogos 19, 2017

KIMMA MAHU BERTANDING DALAM PRU14

SEREMBAN, 19 Ogos (Bernama) -- Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) komited untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) akan datang.

Presidennya Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata perkara itu telah diusulkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) dan bergantung kepada beliau (Najib) sama ada KIMMA akan diberikan tempat yang dirasakan sesuai untuk calonnya.

"Perkara ini diusulkan di kalangan perwakilan pada Konvensyen KIMMA Mei lalu dan kami berhasrat untuk meminta pucuk pimpinan BN memberikan ruang kepada calon parti kita dan hasrat ini telahpun saya kemukakan kepada Datuk Seri Najib.

"Kita hormat kepada pemimpin kerana itu kita serahkan kepada beliau, kalau beliau rasa ada kekosongan, ada tempat untuk diberikan kepada KIMMA dan yakin KIMMA ada potensi menang di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Badan Perhubungan KIMMA Negeri Sembilan ke 17 di sini, hari ini.

Mesyuarat yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dihadiri kira-kira 372 perwakilan.