Sabtu, Julai 27, 2013

JAMAWI TAWAR DIRI TANDING NAIB KETUA PEMUDA

Exco Pemuda Umno, Jamawi Jaafar merupakan exco pertama yang menawarkan diri bertanding sebagai Naib Ketua Pemuda Umno pada 28 September ini. Jawatan itu kosong berikutan Naib Ketua sekarang, Datuk Razali Ibrahim sudah melebihi umur 40 tahun. Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Tenom berkata beliau menawarkan diri kerana mahu berkhidmat dengan lebih luas lagi di peringkat politik nasional. Lulusan dari UPM dalam bidang sains pertanian pada tahun 1996, Jamawi pernah menjadi pegawai pertanian di Sabah pada tahun 2006. Beliau kini adalah pegawai khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan beliau pernah menjadi Setiausaha Umno Bahagian Tenom dari tahun 2003-2008. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)

Jumaat, Julai 26, 2013

AHLI PAS PANGKAH BN DI KUALA BESUT

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memuji pengundi Kuala Besut yang membuat pilihan bijak dan tepat dengan memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut kelmarin. Katanya beliau amat berbangga dengan kebijaksanaan yang ditunjukkan penduduk kawasan Kuala Besut termasuk sebahagian ahli-ahli PAS yang telah mengiktiraf segala jasa dan khidmat yang telah diberikan setiap pemimpin BN dengan memilih Tengku Zaihan. "Di situ jelas telah berlaku perubahan angin dalam PRK itu di mana ada antara ahli-ahli PAS yang telah memberikan undi kepada calon BN," katanya selepas majlis penyampaian zakat dan Netbook kepada pelajar Institut Pengajian Islam (INSPI) Kampung Binjai, di Kemaman semalam. Katanya rakyat dan pengundi Kuala Besut dapat menilai khidmat terbaik yang diberikan kerajaan BN selama ini khususnya dalam menentukan kemajuan rakyat. Pada PRK DUN Kuala Besut semalam Tengku Zaihan menang dengan majoriti 2,592 undi mengalahkan calon PAS Endot@Azlan Yusof. Ahmad Shabery berkata keputusan tersebut sekali gus memberikan keyakinan rakyat seluruh negara bahawa Umno dan BN adalah pilihan terbaik untuk mereka manakala segala usaha pembangkang untuk mencemuh pilihanraya di negara ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditolak rakyat. Beliau berharap semua pihak mengerti yang sekarang adalah masa untuk kerajaan yang dipilih untuk meneruskan pembangunan negara dan bukan mencari alasan untuk mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu. Ahmad Shabery, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, juga menyifatkan kemenangan di Kuala Besut itu sebagai bukti orang Melayu masih sayangkan parti itu.

Khamis, Julai 25, 2013

PRK KUALA BESUT 7

Kita semua tahu bahawa calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Rahman menang dengan majoriti 2,592 undi dalam pilihanraya kecil Kuala Besut semalam mengalahkan calon PAS, Azlan Yusof atau Che Long tetapi yang kita hairan kenapa undi BN tidak meningkat? Pada 5 Mei lalu, calon BN, Dr Rahman Mokhtar mendapat 8,809 undi sedangkan pada 24 Julai pula, setelah dua bulan berlalu, Tengku Zaihan hanya mendapat 8,288 undi. Di sebalik jentera BN yang kuat menggempur semua peti undi, ke mana hilangnya 521 orang. Kenapa mereka tidak keluar mengundi? Kenapa BN tidak boleh meningkatkan undinya sedangkan jenteranya begitu kuat dan tersusun. Apatah lagi BN menabur janji dengan pelbagai projek berjumlah RM470 juta tetapi mampu meningkatkan majoriti sebanyak 158 undi sahaja. Pada masa yang sama calon PAS pada 5 Mei lalu, Napsiah Ismail mendapat 6,375 undi tetapi calon semalam, Che Long hanya mendapat 5,696 undi kurang 679 undi. Ke mana pergi 679 orang ini? Kenapa mereka tidak keluar mengundi PAS? Adakah mereka suku sakat Napsiah yang tidak keluar mengundi? Che Long diwar-warkan sebagai calon yang popular tetapi Napsiah yang lebih popular daripadanya. Adakah benar Napsiah sabotaj Che Long kerana kononnya jentera muslimat PAS Kawasan Besut enggan membantu Che Long? Jika Napsiah dan muslimat PAS kawasan bergerak, sudah tentu PAS dapat meningkatkan jumlah undinya. Ini bermakna kedua-dua calon gagal menambah undi baru. BN kurang 521 undi manakala PAS kurang 679 undi. BN menang tetapi hanya tambah majoriti 158 undi sahaja. Tidak sehebat mana Pelbagai projek ditaburkan di Kuala Besut tetapi BN hanya dapat tambah majoriti sebanyak 158 undi sahaja. Ini bermakna kemenangan BN tidak sehebat mana. Sepatutnya dengan projek hampir separuh bilion itu BN dapat memenuhi sasaran majoriti 4,000 undi. Seperti kata Che Long, dia reda dengan kekalahannya kerana bukan dia kalah lawan Tengku Zaihan tetapi dia kalah melawan kerajaan Malaysia dengan semua menteri dan timbalan menteri turun berkempen di Kuala Besut. PAS perlu buat post mortem kenapa ia kalah di Kuala Besut.Pada masa yang sama ia kena munasabah kenapa PAS gagal mengurangkan majoriti BN? Adakah kerana penduduk Kuala Besut buta IT seperti kata Presidennya, Datuk Seri Haji Hadi Awang? Atau adakah keranamereka gelap mata dengan janji-janji Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin? Pilihanraya kecil Kuala Besut dikatakan pilihnaraya kecil termahal dengan anggaran seorang pengundi mendapat RM27,000. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tersenyum lebar kerana beliau boleh tidur lena kerana BN masih mendahului 17-15 dalam Dewan Undangan Negeri. Cakap-cakap orang Besut nak balas dendam kepadanya tidak benar, Orang Besut sudah terima Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Timbalan Pengarah pilihanraya BN, Datuk Seri Idris Jusoh juga dapat elak besar kerana BN menang dengan majoriti besar, 2,592 undi. Kalau menang dengan majoriti kurang 500 undi, barulah muka Idris pucat. Jadi peluangnya untuk menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden UMNO terbentang luas padapemilihan Disember ini. Sebagai Menteri Pelajaran II, beliau ada harapan untuk menang. Manakala dengan kemenangan Tengku Zaihan, beliau akan menggantikan ADUN Kota Putera, Mahadi Hassan sebagai Ketua Pemuda Umno Besut yang baru. Dalam perhimpunan agung pemuda Umno nanti, kita mahu lihat Tengku Zaihan mewakili pemuda Umno Terengganu berucap. Walaupun beliau dikatakan sukar untuk senyum, tetapi beliau pandai berucap. Tidak seperti Che Long yang tidak pandai berucap. PAS silap pilih calon. Kita bukannya nak pilih ketua kampung, tetapi nak pilih wakil rakyat. Maka calon BN sebagai orang terpelajar merupakan pilihan yang tepat di Kuala Besut. PAS bukan sahaja silap pilih calon, malah PAS silap melantik orang Kelantan, Datuk Husam Musa sebagai Pengarah pilihanraya. Adakah orang Terengganu tidak layak? Apa salahnya jawatan itu diberi kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Abdul Wahid Endut yang mempunyai pengalaman menghadapi pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu. Tahniah kepada Tengku Zaihan. Semoga beliau dapat berkhidmat dengan cemerlang kepada penduduk Kuala Besut. (dipetik dari freemalaysiatoday.com)

Selasa, Julai 23, 2013

DR MARZUKI IBRAHIM DALAM KENANGAN

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menyifatkan kematian Bendaharinya, Dr Marzuki Ibrahim, 48, (gambar) sebagai satu kehilangan seorang rakan yang baik. Katanya, beliau tidak menonjol kerana beliau membantu Perkasa secara senyap. “Sebagai Presiden Perkasa dan bagi pihak Ahli Dewan Tertinggi (ADT) dan ahli-ahli Perkasa saya mengucapkan takziah kepada balu dan anaknya dengan iringan doa semoga roh beliau ditempatkan di kalangan para solihin,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini. Dr Marzuki adalah seorang ahli perniagaan dan pernah menerbitkan akhbar Warta Parlimen Kepala Batas ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia (2003-2008). Beliau juga bekas Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas dan meninggal dunia petang semalam disebabkan kanser paru-paru. “Dr Marzuki masih Bendahari Perkasa. Sudah hampir dua tahun beliau kelihatan tidak sihat tapi dikatakan sakit belakang,” kata Ibrahim lagi. Katanya, sebab itu beliau jarang kelihatan di majlis anjuran Perkasa kecuali menghadiri mesyuarat bulanan ADT Perkasa. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com). Membaca berita ini, saya agak terkejut apabila menerima panggilan telefon dari kawan saya, Kamri Mohamed pada jam 6.30 petang semalam. Saya dengan Kamri pernah bekerja dengan Dr Marzuki pada tahun 2006-2007 di Setiawangsa, Kuala Lumpur. Saya dilantik sebagai editor akhbar Warta Parlimen Kepala Batas (WPKB) yang diterbitkan sebulan dua kali. Ketika itu Pak Lah adalah Perdana Menteri Malaysia maka WPKB mudah dapat iklan. Dengan bantuan Kamri selaku pegawai pengiklanan maka iklan banyak mencurah masuk. Dr Marzuki seronok kerana bisnesnya maju. Pada masa yang sama beliau menerbitkan semula akhbar bulanan Editornya yang bercorak bisnes.Ia diketuai oleh Zainora Zakaria sebagai editornya. Saya tidak lama dengan WPKB apabila mendapat tawaran memasuki Watan yang diterbitkan semula oleh Baha Azuwan. Sewaktu di WPKB, kami tidak ada masalah gaji kerana cukup waktu gaji dibayar tepat masanya. Kebetulan Dr Marzuki ada juga bisnes IT dengan syarikat Rodatranya. Beliau adalah seorang yang pemurah, jarang marah kakitangannya. Apabila saya keluar dari WPKB, saya dengar banyak cerita yang tak elok tentang syarikatnya. Lebih-lebih lagi ketika itu beliau sudah bergaduh dengan rakan kongsinya, Nasir yang tak suka Dr Marzuki terlibat dalam politik. Selaku Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas, beliau memang bercita-cita mahu jadi ADUN Penaga menggantikan Datuk Azhar Ibrahim. Dalam mesyuarat persidangan perwakilan Kepala Batas, Azhar marahi Dr Marzuki yang mahu merampas kerusinya dengan mengatakan ada orang yang tidak pandai cakap Bahasa Inggeris masa sekolah rendah dahulu tiba-tiba dapat PhD dari Amerika Syarikat.Beliau menyerang Dr Marzuki sedangkan beliau tidak ada peluang untuk menjawab dalam persidangan tersebut. Pada pilihanraya umum 2008, nama Dr Marzuki tidak naik maka Azhar kekal sebagai calon BN bagi DUN Penaga.Selepas meninggalkan WPKB pada tahun 2008, saya tak pernah temui beliau. Tiba-tiba namanya naik sebagai Bendahari Perkasa. Oleh itu bila beliau pergi dalam usia yang muda, saya agak terkejut. Saya sebenarnya ada deal bisnes dengannya masa dalam WPKB. Seorang kawan dari Kuala Terengganu, Haji Mohamad Ali mahu projek memasang wayar elektrik rumah lama di seluruh Terengganu. Kami gunakan Dr Marzuki melobi projek itu dengan Pak Lah. Projek RM56 juta itu disokong Pak Lah tetapi bila jumpa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh kata di atas mejanya penuh surat sokongan Pak Lah. Maka peluang kami nak jadi jutawan hancur berkecai kerana Haji Mohamad Ali boss Elektriko Plasma itu berjanji akan beri kami RM2 juta seorang. Memang tak ada rezeki kami. Dr Marzuki mengeluh bila tak dapat projek itu. Bila saya desaknya jumpa Pak Lah suruh Pak Lah call Idris, Dr Marzuki diam sahaja kerana beliau sendiri tidak berani menemui Pak Lah. Beliau jarang marah, seorang yang rajin, komited, pemurah dan saya rasa kematiannya satu kehilangan yang amat besar kepada kami semua. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.Alfatihah.

Isnin, Julai 22, 2013

PRK KUALA BESUT 6

KUALA BESUT: Menjelang dua hari lagi pembuangan undi PRK Kuala Besut, semakin ramai pemimpin pusat dari kedua parti yang bertanding membanjiri Kuala Besut. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang serta timbalannya, Mohamad Sabu adalah di antara pemimpin PAS yang datang berkempen di situ manakala dari Umno pula ketiga-tiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Afdal tidak ketinggalan berkempen. Masjid Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Gong Kedak menghalang Nik Abdul Aziz untuk menunaikan solat Maghrib dan memenuhi undangan semalam walaupun persetujuan sudah dicapai bagi membenarkan bekas Menteri Besar Kelantan itu bertandang ke masjid berkenaan. Menurut Mejar (B) Yusoff Ali dari Kebajikan Rangkaian Bekas Tentera (Kerabat) Cawangan Kelantan, pada mulanya, pihak pengurusan masjid membenarkan Nik Aziz menunaikan solat di masjid berkenaan akan tetapi pada saat-saat akhir kebenaran ditarik balik kemungkinan atas arahan pihak atasan. “Kita faham kerana pegawai di kem berkenaan semuanya kawan saya yang pernah khidmat bersama di TUDM sebelum ini, namun kerana tekanan atasan mereka tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya. Tindakan kurang cerdik pengurusan kem tersebut sedikit sebanyak meraih undi simpati para pengundi di atas pagar. PRK yang diadakan berikutan kematian Dr Rahman Mokhtar menyaksikan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Rahman ditentang oleh calon PAS, Azlan Yusof. Azlan atau Che Long dikatakan terlalu popular di kalangan penduduk Kuala Besut manakala Tengku Zaihan yang duduk di Putrajaya bergantung kepada kempen yang dijalankan oleh para pemimpin BN pusat termasuk pengarah pilihanraya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. DUN Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi iaitu 93.33 peratus pengundi biasa, 6.67 peratus melibatkan pengundi tentera, polis dan pasangan masing-masing dan seorang pengundi luar negara. PAS mempertikai perbuatan Barisan Nasional (BN) memberi bantuan ad hoc dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut yang kini dianggar hampir setengah bilion ringgit. Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli mempersoal sumber dana yang tidak melalui peruntukan belanjawan yang dibuat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. “Persoalannya, sumber manakah yang digunakan BN dalam peruntukan yang diumumkan sepanjang tempoh PRK Kuala Besut,” kata Ahli Parlimen Kuala Krai itu. “Apakah ia sumber persekutuan melalui perbelanjaan infrastruktur atau Umno dan BN terus merompak dana khas persekutuan atau royalti petroleum hak rakyat Terengganu,” katanya. BN setakat ini mengumumkan 10 projek dan bantuan untuk penduduk Kuala Besut yang dianggar bernilai RM387,490,750. Antara projek terbaru ialah projek RM250 juta pedalaman Kuala Sungai Besut dan pemasangan benteng pemecah ombak yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. PAS mendakwa semua projek yang diumumkan kerajaan BN itu hasil perjuangan dan kempen yang mendedahkan kepincangan tadbir urus kerajaan. Bagi Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berharap pengundi Kuala Besut tidak terjebak dalam taktik dan permainan psikologi yang dimainkan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut. “Saya merayu dan menyeru Kuala Besut jangan terjebak dengan kempen reverse psikologi pembangkang,” kata Menteri Dalam Negeri itu pada sidang media di Pusat Taktikal PDRM di Kuala Besut. Beliau berkata, pembangkang memutar belit kenyataan dengan menyatakan mereka sebagai penyebab utama bantuan dihulurkan BN setiap kali kerajaan memberi sumbangan kepada rakyat. Pada masa sama, beliau berkata, pembangkang terus-terusan menyalahkan BN kerana menggunakan sejumlah dana besar untuk membawa pembangunan kepada rakyat. “Memang semua projek di seluruh negara BN laksanakan kerana mereka minta, atas permintaan pembangkang, semua projek BN lakukan. Macam BN tiada perancangan agaknya. “Mudah sungguh kempen mereka, tidak perlukan modal langsung,” katanya, sinis. Siapa yang menjadi pilihan rakyat Kuala Besut akan terjawab pada 24 Julai ini. (dipetik dari www.freemalayiatoday.com)

ZAHID SAH PERTAHAN JAWATAN NAIB PRESIDEN UMNO

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan mempertahan jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi. Beliau berkata, keputusan tersebut telah dijelaskan sebelum ini dan menerima secara terbuka sekiranya ada pihak mahu merebut jawatan tersebut. "Saya sudah buat keputusan dengan jelas, saya mahu pertahankan jawatan yang saya sandang sekarang. "Saya tidak ada pelan yang lebih besar. Saya menahan diri daripada naik ke atas atau turun ke bawah, saya sangat terbuka dan mereka yang mempunyai kelayakan untuk bertanding, silakan," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas menziarahi beberapa keluarga miskin di sekitar Kampung Gong Nering, dekat sini hari ini. Beliau berada di sini dalam siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut. Semalam, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengumumkan akan mempertahan jawatan Naib Presiden UMNO. Walau bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga penyandang jawatan tersebut belum membuat sebarang kenyataan.

AMBIL BANTUAN BN, UNDI PAS- SERU ANWAR

Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut supaya tidak 'menghambakan diri' dengan memilih Barisan Nasional (BN) semata-mata untuk bantuan yang diberi parti pemerintah itu. "Pengundi Kuala Besut jangan jadi hamba dengan bantuan-bantuan BN. Pasal apa Umno curah banyak wang? "Sebab nak menang, kalau kalah peta politik akan berubah, gugat kuasa politik Umno," katanya depan kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut malam tadi. Ketua Pembangkang itu berkata, pengundi boleh mengambil bantuan yang diberi BN tetapi perlu berfikir sebelum mengundi kerana BN didakwanya bakal menindas mereka. "Kerana miskin, tak salah dapat RM500, RM200 tapi salah kalau dapat RM500, jadi hamba kepada pemerintah. "Kalau kata perlu undi BN untuk dapatkan bantuan, itu tidak masuk akal. Perlu tanya diri sendiri, kita ada pilihan," katanya pada ceramah menggunakan lori kecil yang dihiasi lampu warna-warni sebagai pentas. Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah PRK Kuala Besut PAS, Datuk Husam Musa. BN setakat ini sudah mengumumkan 10 projek dan bantuan untuk penduduk Kuala Besut yang dianggarkan bernilai RM387,490,750. Antara projek terbaru ialah projek RM250 juta pedalaman Kuala Sungai Besut dan pemasangan benteng pemecah ombak yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. PAS pula mendakwa semua projek itu hasil perjuangan dan kempen PAS selama ini yang mendedahkan kepincangan tadbir urus kerajaan. Sebaliknya, Anwar berkata, pengundi Kuala Besut harus mengambil peluang pilihan raya kecil (PRK) untuk mewujudkan kerajaan setara antara BN dan Pakatan Rakyat (PR). Menyeru pengundi memberi sokongan kepada Endut@Azlan Yusof, calon PAS yang lebih dikenali sebagai Che Long di Kuala Besut, beliau yakin PAS mampu mengulangi kemenangan pada 1999. "Siapa kata ini kawasan Umno? Tidak. Tahun 1999 dahulu PAS menang. Cuma, kita perlu tanamkan kekuatan itu," katanya merujuk kemenangan ke atas Terengganu hingga membentuk kerajaan negeri pada tahun berkenaan. Anwar juga tidak menolak kemungkinan BN akan mengadakan pilihan raya semula jika PAS menang kerusi itu yang sebelum ini dimenangi BN melalui calonnya, Dr Abd Rahman Mokhtar. DUN Kuala Besut ialah kawasan pertama mengadakan PRK selepas pilihan raya umum ke-13 berakhir berikutan Abd Rahman meninggal dunia. - 22 Julai, 2013. (from the malaysianinsider.com)

Ahad, Julai 21, 2013

KJ LEBIH BERANI DARI NAJIB

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (gambar) berkata beliau menyokong sepenuhnya cadangan agar jawatan Ketua Pemuda Umno dipertandingkan dalam pemilihan parti dijadual Oktober ini. Katanya jika majoriti anggota parti mahukan demikian, pemilihan terbuka wajar diadakan bagi menghormati suara dan kehendak mereka. "Saya menghormati pandangan dari akar umbi kalau mereka mahu jawatan Ketua Pemuda dipertandingkan, mengikut kepada pindaan perlembagaan parti kita," katanya kepada pemberita semasa mengadakan ziarah mesra ke kawasan perumahan Taman Pinggiran Senawang, di Seremban hari ini. Beliau diminta mengulas keputusan Pergerakan Pemuda Umno Johor dalam mesyuarat khasnya semalam, yang mahu pemilihan Pemuda Umno Pusat pada perhimpunan agung parti akan datang, dibuat secara terbuka dengan mempertandingkan semua jawatan. Khairy yang menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno sejak 2008 turut menyangkal akan adanya perpecahan dalaman sekiranya jawatan itu dipertandingkan. Katanya, walaupun parti kini dalam proses mengukuhkan perpaduan demi berbakti untuk rakyat, namun cadangan akar umbi yang mahukan pemilihan adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan. "Tidak semestinya bila ada pertandingan parti kita akan berpecah, kalau kita ada niat yang baik, persetujuan daripada semua calon yang mahu bertanding bahawa pertandingan itu dibuat secara sihat, saya rasa itu tidak akan memecahbelahkan parti," kata Menteri Belia dan Sukan itu. Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Umno, Khairy berkata masih terlalu awal untuk diputuskan perkara itu dan perlu menimbangkan pelbagai aspek termasuk pandangan rakan-rakan sebelum membuat keputusan. – Bernama, 20 Julai, 2013. BERKO

PAS BELA PROJEK IDRIS HENTAM MAT SAID

Belum pun kerajaan negeri Terengganu menjawab dakwaan pemberian tanah 200 ekar di Pulau Perhentian Kecil, PAS hari ini membangkitkan pula isu projek Taman Ilmu untuk menempatkan beberapa universiti dan kolej di atas sebidang tanah di Tembila, Besut. PAS mendakwa kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Said "kurang memberi tumpuan, perhatian dan keutamaan" termasuk berkaitan kewangan terhadap projek pembinaan yang diinisiatifkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh sewaktu beliau menjadi menteri besar pada 2004. Projek dijalankan atas sebuah tapak 700 ekar sebagai tapak untuk beberapa universiti dan kolej pendidikan, dengan kerajaan negeri akan menyediakan tujuh kemudahan iaitu Pejabat pentadbiran, dewan konvokesyen, pusat pelajar, perpustakaan, asrama, infrastruktur dan kompleks sukan. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah turut mendakwa pihak kontraktor tempatan telah mengalami masalah menerima bayaran kerja yang telah disiapkan dan mereka tidak meneruskan kerja pada tahun 2011-2012 atas persetujuan "mutual termination". "Sehingga hari ini, taman ilmu masih belum disiapkan sepenuhnya dan CF tidak boleh dikeluarkan untuk mana-mana bangunan untuk digunakan. "Dalam masa yang sama, dua daripada bangunan-bangunan yang dibina telah mengalami masalah struktur di mana satu daripadanya mungkin terpaksa diroboh dan satu lagi mengalami masalah yang hampir sama," katanya. Bercakap dalam sidang media pagi ini, Raja Bahrin mendakwa dua bangunan yang berdepan masalah adalah pejabat pentadbiran dan kompleks sukan. Beliau juga turut menunjukkan gambar-gambar bangunan tersebut kepada pemberita dalam sidang media di Markaz Besar Pilihan Raya Kuala Besut. Raja Bahrin juga berkata pihaknya difahamkan kerajaan negeri telah berunding dengan pihak swasta untuk mengambil alih projek tersebut tetapi didakwanya juga mengalami masalah. Katanya, umumnya projek pembinaan bangunan tersebut - yang dianggarkan bernilai lebih RM300 juta - telah siap antara 80 hingga 90 peratus dan menganggarkan lebih kurang RM50 juta diperlukan untuk menyiapkannya dengan sempurna. "Kenapa tidak terus menyiapkan, kerajaan mempunyai sumber kewangan," katanya sambil membidas Ahmad Said yang menurutnya memberi tumpuan kepada projek Zoo di Kemaman yang didakwanya menelan belanja jutaan ringgit berbanding soal pendidikan. "Keutamaan yang sepatutnya diberi kepada rakyat serta penuntut tempatan, telah disalurkan kepada projek memelihara haiwan-haiwan liar yang mahal dengan projek bernilai berjuta-juta ringgit. "Dalam masa yang sama kerajaan sedang berbelanja beratus juta ringgit membina kompleks Bebas Cukai di Pulau Bayas di tengah ceruk hutan Tasik Kenyir di mana "viabiliti" projek tersebut dipersoalkan," katanya.

Sabtu, Julai 20, 2013

PEMIMPIN UMNO DAPAT TANAH 200 EKAR DI PULAU PERHENTIAN

PAS sekali lagi membangkitkan isu tanah ketika berkempen untuk pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, kali ini memberikan fokus terhadap 200 ekar tanah di Pulau Perhentian Kecil, yang didakwa mereka turut mempunyai kaitan dengan Umno. Pengarah PRK Kuala Besut PAS, Datuk Husam Musa berkata, beliau dimaklumkan sumber tanah berkenaan dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang katanya sebagai "broker" dan kemudian menjual kembali tanah berkenaan kepada pihak ketiga. Katanya, tanah dengan status pelancongan itu sahaja hanya dibayar premium bernilai RM 21,000. "Pemberian 200 ekar tanah oleh kerajaan negeri kepada syarikat yang mungkin ada kaitan dengan pemimpin Umno, sedangkan permohonan orang kampung dibekukan," katanya ketika sidang media di Markas PAS, hari ini. Husam berkata, beliau turut tidak menolak penganugerahan itu berlaku selepas kejatuhan kerajaan PAS di Terengganu pada 2004. Beliau turut mengedarkan dokumen kepada pemberita yang menyatakan tanah berkenaan hanya untuk tempoh pajakan selama 60 tahun. PAS sebelum ini membangkitkan isu tanah di Kuala Besut antaranya termasuk unit pengsapuri di Kampung Lay Out, Tok Saboh yang mereka dakwa dirampas oleh Barisan Nasional (BN) daripada penduduk. Perkara itu bagaimanapun dinafikan pemimpin BN, malah menganggap PAS sudah kehabisan idea, apabila terpaksa mengitar semula idea lama bagi menarik pengundi di Kuala Besut dalam PRK yang dijadualkan pada 24 Julai depan. Malah, parti komponen PR itu turut mempersoalkan berhubung pemberian tanah kepada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan, malah, turut mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah PRK Kuala Besut BN menarik balik tanah berkenaan. Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagaimanapun menegaskan tidak akan menarik balik tanah itu kerana ia bagi menghargai jasa individu berkenaan sebagai wakil rakyat. Ahmad Said berkata, wakil rakyat berhak memohon dan memiliki tanah seperti anak negeri lain. Ahmad Said menyerahkan hampir 12,000 tapak rumah dan hampir 8,000 tapak pertanian sejak mengambil alih sebagai menteri besar pada 2008

Jumaat, Julai 19, 2013

ABBY ABADI UMUM DAH NIKAH DI KUALA BESUT

Ketika PAS dan Umno panas berkempen di Kuala Besut, berita perkahwinan Abby Abady nampaknya lagi panas. Hari ini Abby mengumumkan melalui facebooknya, dia telah berkahwin 12 hari yang lalu dengan jejaka yang baru dikenalinya dua minggu lalu. "Sebenarnya sudah 12 hari dia sah menjadi suami saya. Maaf sebab maklumkan lambat pada kalian...Allah kami dulukan," tulis Abby menggunakan akaun Instagram. Pengumuman itu dibuat Abby ketika berada di Kuala Besut dalam suasana kempen pilihan raya kecil (PRK) di situ rancak berjalan. Malam tadi, dalam satu majlis anjuran PAS, Abby melelong sepasang baju kurung miliknya dan dibeli dengan harga RM1,100 oleh seorang doktor dari Kelantan. Menurut Abby, hasil lelongan itu mahu diberikan kepada tabung kempen untuk calon PAS di Kuala Besut. "Insya Allah, majlisnya (kenduri perkahwinan) dalam bulan raya nanti. Lokasi belum pasi. Doakan," tulis Abby lagi mengulas mengenai perkahwinannya. Bagi beliau perkahwinan dengan jejaka yang tidak disebutkan namanya oleh beliau itu adalah jodoh. "Ini jodoh...kerana kami saling tidak mengenali antara satu sama lain. Baru dua minggu kenal," tulis Abby lagi. Abby sebelum ini berkahwin dengan pelakon Norman Hakim, namun jodoh mereka tidak panjang. Abby dan Norman berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Mereka bercerai pada 18 Disember 2008. Norman kini berkahwin semula dengan pelakon Memey Suhaiza, wanita yang menjadi punca mereka bertelingkah. Abby yang terkenal dengan watak Inspektor polis dalam siri televisyen popular Datuk Yusof Haslam, Gerak Khas. Beliau menyertai PAS dan aktif berkempen untuk PAS sepanjang pilihan raya umum ke 13 lalu. -

PRK KUALA BESUT 5

KUALA BESUT: Seramai 17,683 orang pengundi yang akan membuang undi pada pilihanraya kecil Kuala Besut pada 24 Julai ini berada dalam dilema sama ada mahu mengundi BN atau PAS terutamanya di kalangan ahli Umno. Jika BN menang , Datuk Seri Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu. Ini bermakna kroni beliau semakin kaya. Sebaliknya jika BN kalah, pilihanraya umum negeri akan diadakan semula berikutan kedudukan 16-16 kerusi. Di atas kertas, memang sukar PAS menang kerana majoriti undi yang dimenangi calon BN, Dr Abdul Rahman Mokhtar dua bulan lalu amat besar, 2,434 undi tetapi tidak mustahil PAS boleh buat kejutan kerana ia pernah menang pada tahun 1999. Jika PAS menang, ia adalah kerana orang Umno yang mengundi PAS. Mereka marah pada Ahmad Said yang jadi Menteri Besar buat kali kedua sedangkan ketua bahagian mereka, Datuk Seri Idris Jusoh hanya menjadi Menteri Besar sepenggal sahaja. Mereka berhujah sudah 25 tahun orang Kemaman (Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad) jadi Menteri Besar, dari tahun 1974-1999, kini jawatan itu masih disandang orang Kemaman lagi (Ahmad Said)(2008-kini) “Adakah orang Besut layak jadi Menteri Besar sepenggal sahaja ?” kata seorang ahli Umno di Kuala Besut. Kalau BN kalah, bukan sahaja Ahmad Said dapat malu malah Idris pun dapat malu kerana orang Kuala Besut tidak menghargai perlantikan Idris sebagai Menteri Pelajaran II oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebaliknya jika BN menang, bukan sahaja kedudukan Ahmad Said sebagai Menteri Besar kukuh malah masa depan Idris dalam politik nasional juga teguh. Jika Idris bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada Disember ini peluang Idris untuk menang amat cerah. Tambahan pula beliau adalah seorang Menteri Pelajaran. Kita tentu masih ingat pilihanraya kecil Kuala Berang pada tahun 2004.Ketika itu Ketua Bahagian Umno Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putra Tengku Awang bekerja keras untuk menangkan calon BN, Cikgu Zawawi. Tengku Putra yang juga Timbalan Menteri Kewangan menang mudah dalam pertandingan ahli majlis tertinggi Umno pada hujung tahun. Kemenangan calon BN di Kuala Berang melonjakkan nama Tengku Putra yang pertama kali bertanding terus menang jawatan ahli majlis tertinggi Umno. Pilihanraya kecil itu menjadi medan kepada semua calon majlis tertinggi berkempen kerana semua ahli Umno di seluruh negara berkampung di Kuala Berang. Senario yang sama berlaku di Kuala Besut di mana ia menjadi medan calon-calon ahli majlis tertinggi berkempen menemui semua ahli Umno dari seluruh negara yang berkampung di situ. Pada pilihanraya kecil ini, calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Rahman berhadapan dengan calon PAS, Azlan Yusof atau Che Long. Che Long dikatakan amat popular di kalangan masyarakat Kuala Besut kerana dia adalah seorang dermawan. Manakala Tengku Zaihan dikatakan bersekolah di luar dan bekerja di luar juga. Malah beliau dikatakan punca 2000 keluarga petani tidak dapat menanam sawah padi kerana beliau gagal membaikpulih empangan yang mengalirkan air ke sawah padi ketika beliau menjadi jurutera JPS. Isu tanah yang dibangkitkan PAS telah dijawab Ahmad Said. Katanya, tak salah ADUN menerima tanah kerana rakyat pun menerima tanah. Memanglah ia tak salah tetapi alangkah baik dasar bekas Menteri Besar, Wan Mokhtar yang tidak membenarkan ADUN yang sedang bertugas mohon tanah dikekalkan kerana ia tidak menimbulkan prasangka di kalangan rakyat. ADUN Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata apabila BN menang pada tahun 2004, banyak tanah TOL yang diberi oleh kerajaan PAS dibatalkan. Beliau tahu kerana ketika PAS memerintah Terengganu, beliau pernah menjadi Pengarah Tanah dan Galian negeri. 24 Julai tinggal enam hari lagi. Ia memang menjadi dilema kepada pengundi Kuala Besut sama ada mahu mengekalkan BN atau memilih PAS.

Khamis, Julai 18, 2013

BN BATAL TANAH TOL DIBERI PAS

Jertih: “Segala prosedur pemberian tanah di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) ketika pemerintahan PAS di Terengganu dilakukan mengikut tatacara dalam Kanun Tanah Negara (KTN).
“Malangnya, tanah yang diberi milik secara Lesen Menduduki Sementara (TOL) dibatalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa sebab munasabah,” dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang Datuk Tengku Hassan Tengku Omar. Bekas Pengarah Tanah dan Galian Terengganu itu turut mendakwa BN merampas lot tapak rumah dan pertanian yang telah diukur di Kampung Tok Saboh, di sini, selepas BN mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri pada 2004. Dakwanya lagi, ketika PAS memerintah, mereka sudah mengukur hampir 60,000 lot tanah tapak rumah dan pertanian yang sebahagiannya sudah pun diluluskan kepada rakyat, tetapi diberikan tempoh tiga tahun dalam bentuk TOL. “Malangnya, apabila PAS kalah dan saya ketika itu masih lagi Pengarah PTG, tanah yang sudah diluluskan dalam bentuk TOL itu dibatalkan kerajaan baru (BN). “Permohonan tanah sudah bayar tetapi belum sempat mendapat geran, wang itu dikembalikan semula untuk menafikan haknya mendapatkan tanah itu, ini suatu tindakan yang zalim,” katanya pada sidang media harian di Markas PAS di Kampung Baharu di sini semalam. Beliau mengulas laporan akhbar semalam yang menyebut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan tapak pembinaan pangsapuri di Kampung Tok Saboh adalah milik kerajaan dan bukannya dirampas daripada penduduk miskin. Ahmad dalam laporan itu menjelaskan, pada 1999 Kerajaan PAS Terengganu sudah memberi tanah kepada masyarakat tanpa menyertakan dokumen pemberian tanah yang jelas menyalahi undang-undang berkaitan pentadbiran tanah. Sementara itu, calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48, semalam meneruskan siri kempennya bertemu dengan pengundi selepas solat Zuhur di Masjid Kampung Lampu dan Kampung Nangka. Selepas itu, beliau turut meluangkan masa dengan penduduk di Seberang Barat selepas menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Seberang Kastam.

Rabu, Julai 17, 2013

PRK KUALA BESUT 4

KUALA BESUT: Nampaknya hari raya belum tiba, tetapi para penduduk Kuala Besut sudah berhari raya. Mereka gembira mendengar durian runtuh yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Inilah untungnya bila ada pilihanraya kecil. BN akan tabur pelbagai projek untuk memancing undi. Semalam dalam sidang media, Muhyiddin yang juga Pengarah PRK BN mengumumkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju dengan projek berjumlah RM250 juta untuk mendalamkan Sungai Besut. Menurutnya lagi, sebanyak RM500 ribu diperuntukkan untuk melantik perunding bagi membuat kajian projek tersebut, memandangkan sebelum ini dilaksanakan secara ad hoc yang menelan belanja antara RM10 hingga RM20 juta. Selain dari itu, beliau turut mengumumkan peruntukan menaik taraf Masjid Haji Ishak, Kampung Dengir sebanyak RM343,000 selepas solat tewarih di masjid tersebut malam tadi manakala di sebelah siang beliau menghadiri majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Menengah Alor Peroi. Muhyiddin menolak dakwaan pembangkang bahawa semua projek yang diumumkan adalah bermotif politik. Katanya, ia sudah lama dirancang dan bukannya projek ad hock. Katanya lagi, kebetulan ia diumumkan pada musim pilihanraya kecil. Sabtu lalu kerajaan negeri Terengganu mengumumkan peruntukan bernilai lebih RM10 juta untuk membina pangsapuri empat tingkat merangkumi 72 unit di Kampung Lay Out. PAS mendakwa tapak tanah untuk buat pangsapuri empat tingkat itu dirampas dari tanah orang kampung tanpa dibayar pampasan. Sebaliknya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menafikan ia tanah milik orang kampung. Katanya, tanah itu adalah tanah milik kerajaan. “Pada zaman PAS memerintah Terengganu (1999-2004), Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) memberi borang kepada orang ramai untuk dapatkan tanah lot tapi borang itu tidak pernah sampai ke Pejabat Tanah. Jadi bila BN menang pada tahun 2004, kerajaan batalkan permohonan itu kerana ia tidak ikut prosedur,” jelas beliau. Tanah kurnia PAS juga mendakwa wakil rakyat BN turut mendapat satu hektar tanah sedangkan rakyat nak dapat satu lot tanah pun susah. ADUN Hulu Besut, Nawi didakwa memiliki tanah PT6904 dalam kawasan Bukit Dendong, mukim Tembila, Besut. Tiga lagi menghadapi dakwaan sama: bekas ahli parlimen Besut, Datuk Abdullah Mohd Zin (PT6964), ADUN Jerteh, Mohamad Pehimi Yusof (PT6903) dan ahli parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh (PT6902). Nawi mengakui memiliki tanah itu tetapi beliau berkata rakyat pun dapat juga tanah kurnia manakala tiga wakil rakyat lagi membisu. Dua hari lepas. PAS menyerang secara langsung kegagalan calon BN ketika bertugas sebagai Jurutera Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Daerah Besut dari tahun 2008 – 2013. Kegagalan paling besar beliau selaku Jurutera JPS adalah membaik pulih Empangan Lowvier Kampung Nangka yang menyebabkan 1,000 ekar sawah padi kering kontang dan tidak boleh digunakan sejak dua tahun lalu. Akibatnya 400 keluarga petani atau kira-kira 2,000 penduduk hilang mata pencarian dan tidak boleh menanam padi sejak tiga musim lalu. “Saya meletakkan kesalahan ini di atas bahu Tengku Zaihan selaku pegawai yang bertanggungjawab,” kata Datuk Abu Bakar Chik yang pernah menjadi Exco Pertanian (1999-2004). Sehingga ini Tengku Zaihan belum menjawab tuduhan PAS itu. Ramai yang beranggapan, jika PAS menang dalam pilihan raya ini, faktor utamanya adalah calonnya iaitu Che Long berbanding dengan calon BN yang hanya sekolah rendah di Besut, manakala sekolah menengah dan universiti di luar Besut. Beliau juga kini tinggal di Putrajaya dan hanya berharap kepada bapanya seorang bekas guru agama Felda.(dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)

PRK KUALA BESUT 3

KUALA BESUT: Hari pembuangan undi pilihanraya kecil (PRK) Kuala Besut pada 24 Julai tinggal 9 hari lagi.Semakin hampir hari pembuangan undi, kempen kedua parti semakin rancak. Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kecewa kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak membenarkan RTM membuat liputan langsung ketika pengiraan undi berlangsung pada 24 Julai nanti. “Saya tidak ada kuasa mengarahkan SPR kerana SPR adalah badan bebas,” kata beliau yang lebih terbuka sifatnya. Di zaman beliau menjadi Menteri Peneranganlah, beliau memperkenalkan siaran langsung sidang Dewan Rakyat di RTM. Pengarah PRK PAS, Datuk Husam Musa mahu RTM beri liputan yang sama kepada calon PAS. Menjawab permintaan Husam, Shabery berkata tidak ada masalah kalau percakapan calon PAS ada nilai berita. PRK Kuala Besut menjadi medan melaga-lagakan di antara Timbalan Pengarah PRK BN, Datuk Seri Idris Jusoh dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. “Kalau PAS menang, Idris yang untung,” kata Husam. Idris menafikan hubungannya dengan Ahmad Said tidak baik. Dia kata dia selalu makan semeja. Idris sudah menerima takdir bahawa Ahmad sudah dipilih menjadi Menteri Besar buat penggal kedua. Naib Presiden PAS, Sallehudin Ayub berkata PAS tidak berminat untuk melaga-lagakan di antara Idris dengan Ahmad. Katanya, PAS tidak berminat memainkan isu mereka berdua tidak sehaluan. Ahmad menerima tamparan hebat apabila tidak dilantik mengetuai jentera PRK Kuala Besut. Jentera BN diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala Idris yang juga Ketua Umno Bahagian Besut dilantik timbalannya. Pada hari penamaan calon, semua tokoh BN memakai baju berwarna biru termasuk Muhyiddin, Idris dan calon BN, Tengku Zaihan tetapi Ahmad Said pakai baju warna merah. Hari ini akhbar melaporkan calon PAS, Azlan Yusof tidak dibenarkan buat kenyataan media kerana tersalah cakap dua hari lalu bahawa dia akan serahkan tugas wakil rakyat kepada orang lain. Semua kenyataan mengenai calon akan dibuat melalui pengurus kempennya, Hanafiah Mat yang juga ADUN Chukai. Menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, calon cakap dialek Kelantan, itu yang media salah lapor. Apa yang dicakapnya tidak sama dengan apa yang dimaksudkannya. Faktor calon tak pandai bercakap Kalau calon sudah tak pandai bercakap, macam mana dia nak berhujah dalam Dewan Undangan Negeri. Faktor ini perlu diambil kira 17,000 pengundi yang akan buat penentuan sama ada mahu calon BN yang pandai bercakap (jurutera) atau calon PAS (kontraktor) yang mampu bercakap di kedai kopi sahaja. Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menafikan PKR Terengganu memboikot calon PAS. Menurut Azmin, pada hari penamaan calon, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail terpaksa menghadiri kes mahkamah di Kuala Lumpur. Pada mulanya memang PKR menuntut calonnya diberi peluang bertanding di Kuala Besut tetapi PAS kata ia adalah kerusi milik PAS dari dahulu lagi. Malah PAS pernah menang pada tahun 1969, 1974 dan 1999 maka sudah tentu PAS enggan beri laluan kepada PKR bertanding di situ. Perbalahan di antara PAS-PKR menguntungkan BN. Sebab itu Tan Sri Anuar Musa berkata Kuala Besut tetap kubu kuat BN. “Walaupun Kuala Besut bersempadan dengan Kelantan, tetapi pengaruh PAS di Kelantan tidak menular ke Kuala Besut,” katanya. Terpulanglah kepada pengundi Kuala Besut untuk membuat penilaian siapa yang layak jadi wakil rakyat mereka. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)

PRK KUALA BESUT 2

KUALA BESUT: Seperti dijangka pada hari penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut semalam, calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Rahman akan ditentang calon PAS, Azlan@Endut bin Yusof.(gambar) Kedua-dua mereka adalah calon tempatan. Calon PAS lebih dikenali masyarakat Kuala Besut kerana beliau yang mesra dengan nama Che Long mudah bergaul dengan orang ramai. Walaupun beliau seorang yang pendiam tetapi beliau adalah seorang dermawan. Setiap kali masuk kedai kopi, dia akan bayar semua meja, tabiat yang diamalkannya sejak dahulu. Calon BN kurang dikenali kerana bekerja di Putrajaya sebagai jurutera di Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tetapi masyarakat Kuala Besut mengenali keluarganya yang ramai di situ sekitar 3,000 orang. Faktor keluarga menjadi antara sandaran terbesar bagi Tengku Zaihan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini. Rata-rata penduduk yang ditemui sekitar Kuala Besut mengakui faktor keluarga Tengku Zaihan memberi kelebihan padanya dalam pilihan raya kecil 24 Julai ini. Bapanya Che Ku Abdul Rahman amat kenali di kalangan penduduk tempatan kerana pernah mengajar agama di masjid sekitar kawasan itu bahkan mempunyai ramai anak murid. Che Ku, yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Umno Besut dipetik sebagai berkata, keluarga besarnya yang dianggarkan seramai 3,000 itu akan memberi kelebihan kepada anaknya. Hubungan keluarga “Di kalangan ahli keluarga itu, ada yang terdiri daripada pembangkang, tetapi menyatakan persetujuan untuk menyokong BN kerana faktor keluarga,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian. Malah keluarga Tengku Zaihan juga mempunyai persatuan dan koperasi keluarga yang dikenali sebagai “Keluarga Tuan Fatimah Tuan Long”. Che Long ketika menjawab isu ini berkata beliau juga mempunyai saudara mara yang ramai di Kuala Besut. Maka seramai 17,000 pengundi akan menentukan nasib mereka pada 24 Julai ini. Berdasarkan hubungan keluarga, Tengku Zaihan sudah menang di atas kertas. Sebab itu Timbalan Pengarah PRK Kuala Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yakin BN akan menang dengan majoriti 4,000 undi. Pada pilihanraya umum dua bulan lepas, calon BN, Dr Abdul Rahman Mokhtar menang dengan majoriti 2,434 undi mengalahkan calon PAS, Napisah Ismail calon wanita PAS yang pertama di Terengganu. PRK itu diadakan ekoran kematian Abdul Rahman akibat kanser. Pada hari penamanan calon semalam, nama Idris lebih menonjol dari Tengku Zaihan, calon BN. Seolah-olah Idris yang bertanding. Pengarah PRK PAS, Datuk Husam Musa melaga-lagakan di antara Idris dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Husam mendakwa Idris masih berdendam dengan Ahmad Said kerana Ahmad merampas kerusi Menteri Besar dari tangan Idris. Idris menafikan dakwaan Husam yang mengatakan PAS sudah tiada modal sedangkan isu itu sudah lama selesai. “Kalau PAS menang, Idris yang untung kerana kedudukan Ahmad sebagai MB tergugat,” kata Husam. Pengundi di Besut beri kemenangan besar kepada BN pada pilihanraya umum lalu. Semua DUN, BN menang iaitu Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut. Ini bermakna orang Besut tidak pernah ada hasrat untuk menjatuhkan Ahmad Said sebagai MB. Jika tidak BN Terengganu kecundang seperti tahun 1999 apabila BN kalah keempat-empat kerusi DUN. Media Dalam pilihanraya, setiap calon kena berhati-hati bila bercakap dengan media. Jika tidak percakapan mereka akan diputarbelit oleh media apatah lagi jika calon itu calon parti pembangkang. Semalam Che Long mengatakan bahawa beliau sibuk dengan perniagaannya di Kota Bharu, maka tugas wakil rakyat akan diserah kepada pegawai khasnya. Secepat itu BN menyebarkan video temuramah Che Long kepada para pengundi Kuala Besut. Adakah wakil rakyat seperti Che Long yang rakyat Kuala Besut mahu?, tanya para pengkempen BN. Idris mengatakan dahulu Che Long adalah ahli Umno di Gong Nering tetapi beliau telah dipecat dari Umno ke
rana beliau cenderung kepada PAS. Che Long menjawab dia masuk Umno masa dia belum akil baligh lagi. “Dahulu saya masuk Umno, kerana saya belum cerdik,” katanya sinis. Soal Che Long pernah jadi ahli Umno tidak patut dijadikan isu kerana seolah-olah menaikkan imej Che Long yang pernah dipecat setaraf dengan bekas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dipecat dari Umno. Siapa yang menjadi pilihan rakyat Kuala Besut pada 24 Julai ini? Adakah Tengku Zaihan yang ada perancangan untuk memajukan Kuala Besut atau Che Long yang sudah sebati dengan masyarakat Kuala Besut? Tepuk dada tanya selera. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)

PRK KUALA BESUT 1

KUALA BESUT: Siapa yang akan lawan siapa pada pilihanraya kecil Kuala Besut pada 24 Julai ini sudah diketahui umum malam tadi. Petang semalam, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, sebagai calonnya manakala Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang mengumumkan di sebelah malam calonnya, Haji Azlan@Endut bin Yusof,48. Walaupun DAP mencadangkan supaya PAS memboikot pilihanraya kecil Kuala Besut, PAS tidak mengindahkan cadangan itu kerana ini peluang bagi PAS untuk menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. Kini DUN Terengganu mempunyai 16 ADUN BN manakala PAS mempunyai 15 ADUN. Jika PAS menang, maka DUN Terengganu akan tergantung kerana mempunyai kerusi yang sama banyak 16-16 dengan BN. Oleh itu pilihanraya kecil Kuala Besut amat penting bagi PAS. Tambahan pula PAS pernah menang pada pilihanraya umum 1969, 1974 dan 1999 di kawasan tersebut.Ini memberi semangat kepada PAS untuk merampas kerusi Kuala Besut. Yang menariknya, kedua-dua calon adalah anak tempatan. Tengku Zaihan anak kelahiran Kampung Nail dan pernah menjadi jurutera JPS Daerah Besut manakala Haji Azlan pula anak kelahiran Kampung Baharu seorang kontraktor yang juga Bendahari PAS Bahagian Besut Kalau dahulu BN meletakkan doktor (Dr Abdul Rahman Mokhtar), kini BN meletakkan seorang jurutera pula. Ini menggambarkan kehendak Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang sentiasa mengalu-alukan golongan profesional sebagai wakil rakyat BN. Khabarnya Idris telah mencalonkan nama Tengku Zaihan sebagai calon BN pada pilihanraya umum lalu tetapi Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mahu Dr Abdul Rahman dikekalkan sebagai calon walaupun beliau baru menjalani pembedahan jantung. Sudah tentu berdasarkan kelulusan, calon PAS yang lulus SPM tidak setaraf dengan calon BN. Tetapi dalam politik, rakyat tidak pandang kelulusan tinggi jika calonnya tidak mesra rakyat. Pada tahun 2008, calon BN,Dr Abdul Rahman mengalahkan Nik Zawawi Nik Salleh(PAS) dengan majoriti 2,631 undi. Pada pilihanraya umum lalu, Dr Abdul Rahman menang lagi tetapi dengan majoriti yang menurun 197 undi iaitu sebanyak 2,434 undi mengalahkan calon wanita dari PAS, Napisah Ismail. Oleh itu peluang PAS untuk menang dalam pilihanraya kecil ini agak tipis kecuali PAS meletakkan calon profesional yang setaraf dengan calon BN. Tetapi untuk menang dengan majoriti 4,000 undi seperti yang diramalkan Idris Jusoh agak samar. Pemerhati politik yakin BN tetap menang tetapi dengan majoriti yang kurang dari 2,434 undi kerana jentera Pakatan Rakyat akan berkempen habis-habisan untuk pastikan PAS dan BN dapat kerusi yang sama banyak dalam DUN Terengganu. PAS perlu kerja kuat untuk menang, Ia pernah menang di Kuala Besut pada tahun 1999. Akan tetapi PAS kena ingat PAS menang pada tahun 1999 kerana orang Umno sendiri yang mengundi PAS. Ketika itu orang Umno protes kerana Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad masih bertanding walaupun sudah 25 tahun menjadi Menteri Besar. Terpulanglah kepada para pengundi Kuala Besut untuk memilih jurutera atau kontraktor sebagai wakil rakyatnya. 17,683 orang pengundi akan memberi jawapan pada 24 ( dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)

Selasa, Julai 16, 2013

NAWI AKUI DAPAT TANAH

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut Nawi Mohamad mengakui mendapat sehektar tanah daripada kerajaan negeri Terengganu, seperti didedahkan PAS di tengah-tengah kempen pilihan raya kecil Kuala Besut hari ini. "Betul ada, tapi rakyat biasa juga dianugerah tanah oleh kerajaan negeri Terengganu," kata Nawi melalui SMS ketika ditanya berhubung pendedahan ahli jawatankuasa Pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad pagi ini. Dzulkefly hari ini mendakwa, ketika rakyat biasa diberikan alasan tiada tanah ketika memohonnya, empat pemimpin Umno Besut, termasuk Nawi masing-masing memiliki satu hektar tanah di Kuala Besut. Sambil menyindirnya sebagai "tradisi mendahulukan penguasa politik", Dzulkefly mencabar pemimpin BN itu menjelaskan dakwaan yang disokong oleh dokumen berkaitan yang enggan didedahkan pada masa ini. Nawi didakwa memiliki tanah PT6904 dalam kawasan Bukit Dendong, mukim Tembila, Besut. Tiga lagi menghadapi dakwaan sama: Datuk Abdullah Mohd Zin (PT6964), Mohamad Pehimi Yusof (PT6903) dan Datuk Seri Idris Jusoh (PT6902).

Isnin, Julai 15, 2013

EMPAT PERKARA UTAMA ASAS AKTA KEHARMONIAN NASIONAL

Akta Keharmonian Nasional yang mungkin menggantikan Akta Hasutan 1948 akan menitikberatkan empat perkara utama sekali gus mengekang mana-mana pihak daripada terus mempertikaikan peruntukan undang-undang tersebut yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, empat perkara itu meliputi kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. "Akta Hasutan telah diputuskan untuk dipinda kepada satu akta yang mungkin dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional yang tidak akan berkompromi terhadap empat perkara utama dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan tahlil serta solat Maghrib di Masjid Al-Khairiah di pekan Selekoh di sini semalam. Pada 11 Julai tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang antara lain bertujuan mencari mekanisme keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warganegara serta menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini. Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Terengganu, Ahmad Zahid berkata, Barisan Nasional (BN) perlu mempertahankan kerusi itu bagi meneruskan kesinambungan pemerintahan kerajaan negeri itu. Sehubungan itu, katanya, berbekalkan pertolongan jentera parti dari negeri-negeri lain, beliau optimis BN mampu mengekalkan kemenangan di sana. "Saya amat yakin dengan kemampuan kepemimpinan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggalas tugas sebagai Pengarah PRK (BN DUN Kuala Besut) kali ini dan dibantu oleh Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai timbalannya. "Mereka mengetahui beberapa aspek yang harus diberikan perhatian sepanjang kempen pilihan raya kecil itu berlangsung," katanya. Hari pengundian PRK DUN Kuala Besut yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 24 Julai ini menyaksikan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera menentang calon Pas, Endot@Azlan Jusoh, seorang ahli perniagaan.

CALON PAS DIARAH TUTUP MULUT

Pas memutuskan untuk tidak membenarkan Azlan @ Endut Yusof, calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, membuat kenyataan secara spontan kepada media. Pengurus Kempen PRK Dun Kuala Besut, Hanafiah Mat berkata, beliau sendiri akan membuat kenyataan bagi pihak Azlan. "Kita ambil pendekatan ini untuk mengelak kenyataan calon (Azlan) daripada dimanipulasi (oleh pihak musuh)," katanya. Hanafiah menjelaskan, pihaknya berbuat demikian bukan kerana mahu terlalu melindungi Azlan atau menghalangnya bekerjasama dengan media. "Dalam keadaan tertentu, calon akan diberi peluang buat kenyataan. Kita cuma tidak mahu kenyataannya dimanipulasi atau disalah erti," katanya. Menurutnya, apa berlaku kelmarin adalah satu contoh kenyataan Azlan disalah tafsir oleh media. "Beliau orang baru dalam politik, mudah tersalah cakap ketika menjawab. Sebab itu, lepas ini beliau tidak akan buat kenyataan spontan lagi. Kenyataan akhbar mesti melalui pengurus kempen," katanya. Dalam kenyataan akhbar disiarkan semalam, Azlan, seorang kontraktor yang lebih dikenali dengan panggilan Che Long, dilaporkan berkata, beliau akan mengupah orang untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat jika beliau dipilih oleh pengundi pada PRK ini, sementara beliau sendiri akan memberi tumpuan kepada perniagaannya di Kelantan. Diminta menjelaskan mengenai kenyataan itu, Hanafiah memberitahu, apa yang dimaksudkan Azlan ialah mahu melantik pembantu dan kerani untuk melicinkan tugasnya sebagai wakil rakyat nanti. "Kenyataan ini jelas dimanipulasi hingga kami buat keputusan mengehadkan kenyataannya dengan media," katanya. Menurutnya, jika dipilih, Azlan memutuskan tidak akan mengambil elaun wakil rakyat, sebaliknya akan menyalurkan wang itu untuk tabung bantuan yang akan ditubuhkan bagi bantu golongan memerlukan di Kuala Besut. "Sebelum ini pun beliau telah banyak menyumbang untuk parti," katanya.