Rabu, Julai 17, 2013

PRK KUALA BESUT 3

KUALA BESUT: Hari pembuangan undi pilihanraya kecil (PRK) Kuala Besut pada 24 Julai tinggal 9 hari lagi.Semakin hampir hari pembuangan undi, kempen kedua parti semakin rancak. Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kecewa kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak membenarkan RTM membuat liputan langsung ketika pengiraan undi berlangsung pada 24 Julai nanti. “Saya tidak ada kuasa mengarahkan SPR kerana SPR adalah badan bebas,” kata beliau yang lebih terbuka sifatnya. Di zaman beliau menjadi Menteri Peneranganlah, beliau memperkenalkan siaran langsung sidang Dewan Rakyat di RTM. Pengarah PRK PAS, Datuk Husam Musa mahu RTM beri liputan yang sama kepada calon PAS. Menjawab permintaan Husam, Shabery berkata tidak ada masalah kalau percakapan calon PAS ada nilai berita. PRK Kuala Besut menjadi medan melaga-lagakan di antara Timbalan Pengarah PRK BN, Datuk Seri Idris Jusoh dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. “Kalau PAS menang, Idris yang untung,” kata Husam. Idris menafikan hubungannya dengan Ahmad Said tidak baik. Dia kata dia selalu makan semeja. Idris sudah menerima takdir bahawa Ahmad sudah dipilih menjadi Menteri Besar buat penggal kedua. Naib Presiden PAS, Sallehudin Ayub berkata PAS tidak berminat untuk melaga-lagakan di antara Idris dengan Ahmad. Katanya, PAS tidak berminat memainkan isu mereka berdua tidak sehaluan. Ahmad menerima tamparan hebat apabila tidak dilantik mengetuai jentera PRK Kuala Besut. Jentera BN diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala Idris yang juga Ketua Umno Bahagian Besut dilantik timbalannya. Pada hari penamaan calon, semua tokoh BN memakai baju berwarna biru termasuk Muhyiddin, Idris dan calon BN, Tengku Zaihan tetapi Ahmad Said pakai baju warna merah. Hari ini akhbar melaporkan calon PAS, Azlan Yusof tidak dibenarkan buat kenyataan media kerana tersalah cakap dua hari lalu bahawa dia akan serahkan tugas wakil rakyat kepada orang lain. Semua kenyataan mengenai calon akan dibuat melalui pengurus kempennya, Hanafiah Mat yang juga ADUN Chukai. Menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, calon cakap dialek Kelantan, itu yang media salah lapor. Apa yang dicakapnya tidak sama dengan apa yang dimaksudkannya. Faktor calon tak pandai bercakap Kalau calon sudah tak pandai bercakap, macam mana dia nak berhujah dalam Dewan Undangan Negeri. Faktor ini perlu diambil kira 17,000 pengundi yang akan buat penentuan sama ada mahu calon BN yang pandai bercakap (jurutera) atau calon PAS (kontraktor) yang mampu bercakap di kedai kopi sahaja. Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menafikan PKR Terengganu memboikot calon PAS. Menurut Azmin, pada hari penamaan calon, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail terpaksa menghadiri kes mahkamah di Kuala Lumpur. Pada mulanya memang PKR menuntut calonnya diberi peluang bertanding di Kuala Besut tetapi PAS kata ia adalah kerusi milik PAS dari dahulu lagi. Malah PAS pernah menang pada tahun 1969, 1974 dan 1999 maka sudah tentu PAS enggan beri laluan kepada PKR bertanding di situ. Perbalahan di antara PAS-PKR menguntungkan BN. Sebab itu Tan Sri Anuar Musa berkata Kuala Besut tetap kubu kuat BN. “Walaupun Kuala Besut bersempadan dengan Kelantan, tetapi pengaruh PAS di Kelantan tidak menular ke Kuala Besut,” katanya. Terpulanglah kepada pengundi Kuala Besut untuk membuat penilaian siapa yang layak jadi wakil rakyat mereka. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)