Rabu, Julai 17, 2013

PRK KUALA BESUT 1

KUALA BESUT: Siapa yang akan lawan siapa pada pilihanraya kecil Kuala Besut pada 24 Julai ini sudah diketahui umum malam tadi. Petang semalam, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, sebagai calonnya manakala Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang mengumumkan di sebelah malam calonnya, Haji Azlan@Endut bin Yusof,48. Walaupun DAP mencadangkan supaya PAS memboikot pilihanraya kecil Kuala Besut, PAS tidak mengindahkan cadangan itu kerana ini peluang bagi PAS untuk menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. Kini DUN Terengganu mempunyai 16 ADUN BN manakala PAS mempunyai 15 ADUN. Jika PAS menang, maka DUN Terengganu akan tergantung kerana mempunyai kerusi yang sama banyak 16-16 dengan BN. Oleh itu pilihanraya kecil Kuala Besut amat penting bagi PAS. Tambahan pula PAS pernah menang pada pilihanraya umum 1969, 1974 dan 1999 di kawasan tersebut.Ini memberi semangat kepada PAS untuk merampas kerusi Kuala Besut. Yang menariknya, kedua-dua calon adalah anak tempatan. Tengku Zaihan anak kelahiran Kampung Nail dan pernah menjadi jurutera JPS Daerah Besut manakala Haji Azlan pula anak kelahiran Kampung Baharu seorang kontraktor yang juga Bendahari PAS Bahagian Besut Kalau dahulu BN meletakkan doktor (Dr Abdul Rahman Mokhtar), kini BN meletakkan seorang jurutera pula. Ini menggambarkan kehendak Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang sentiasa mengalu-alukan golongan profesional sebagai wakil rakyat BN. Khabarnya Idris telah mencalonkan nama Tengku Zaihan sebagai calon BN pada pilihanraya umum lalu tetapi Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mahu Dr Abdul Rahman dikekalkan sebagai calon walaupun beliau baru menjalani pembedahan jantung. Sudah tentu berdasarkan kelulusan, calon PAS yang lulus SPM tidak setaraf dengan calon BN. Tetapi dalam politik, rakyat tidak pandang kelulusan tinggi jika calonnya tidak mesra rakyat. Pada tahun 2008, calon BN,Dr Abdul Rahman mengalahkan Nik Zawawi Nik Salleh(PAS) dengan majoriti 2,631 undi. Pada pilihanraya umum lalu, Dr Abdul Rahman menang lagi tetapi dengan majoriti yang menurun 197 undi iaitu sebanyak 2,434 undi mengalahkan calon wanita dari PAS, Napisah Ismail. Oleh itu peluang PAS untuk menang dalam pilihanraya kecil ini agak tipis kecuali PAS meletakkan calon profesional yang setaraf dengan calon BN. Tetapi untuk menang dengan majoriti 4,000 undi seperti yang diramalkan Idris Jusoh agak samar. Pemerhati politik yakin BN tetap menang tetapi dengan majoriti yang kurang dari 2,434 undi kerana jentera Pakatan Rakyat akan berkempen habis-habisan untuk pastikan PAS dan BN dapat kerusi yang sama banyak dalam DUN Terengganu. PAS perlu kerja kuat untuk menang, Ia pernah menang di Kuala Besut pada tahun 1999. Akan tetapi PAS kena ingat PAS menang pada tahun 1999 kerana orang Umno sendiri yang mengundi PAS. Ketika itu orang Umno protes kerana Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad masih bertanding walaupun sudah 25 tahun menjadi Menteri Besar. Terpulanglah kepada para pengundi Kuala Besut untuk memilih jurutera atau kontraktor sebagai wakil rakyatnya. 17,683 orang pengundi akan memberi jawapan pada 24 ( dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)