Jumaat, Mac 11, 2011

MENTERI YANG TAK MINAT POLITIK


Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala membayangkan beliau tidak akan menyertai politik selepas menamatkan kontrak perkhidmatan dengan kerajaan.

Malah, beliau juga tidak dapat menentukan apa yang akan dilakukan selepas bersara, sama ada menceburi diri dalam perniagaan, melancong atau sekadar berdiam diri di rumah.

‘’Saya meletakkan semuanya kepada takdir dan masa yang akan menentukan. Buat masa ini, saya tidak dapat memastikan apa yang perlu dilakukan selepas bersara.

‘’Ia mengingatkan saya seperti mana cita-cita saya yang ingin mengikuti pengajian undang-undang di New Zealand dan menjadi peguam suatu masa dahulu, namun, akhirnya saya mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia yang menentukan takdir bertemu isteri, mempunyai dua anak lelaki, berkhidmat dengan syarikat minyak Shell, menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Airline System Bhd. (MAS), menjadi menteri dan kini CEO PEMANDU,’’ kata beliau di sini, hari ini.

Idris berkata demikian bagi menjawab soalan peserta seminar Prinsip Transformasi Kepimpinan mengenai tempoh perkhidmatan Idris dalam PEMANDU dan apa yang akan dilakukannya selepas tamat perkhidmatan dengan kerajaan.

Hadir sama pada majlis ialah Pengerusi Audit Bureau of Circulations Malaysia (ABC), Margaret Lim, Presiden Persatuan Ejen Pengiklanan Akredit Malaysia, Datuk Vincent Lee dan Pengerusi Persatuan Penerbit-penerbit Akhbar Malaysia (MNPA), Datuk Nasir Ali.

Mengulas lanjut tentang transformasi, Idris menambah, ia akan berlaku sekiranya enam prinsip dilaksanakan iaitu melakukan perkara yang mustahil, diterajui indeks petunjuk prestasi, disiplin dalam tindakan kepimpinan mengikut situasi, gabungan kemenangan (winning coalition) dan gangguanbaik (divine intervention).

Menurut beliau keenam prinsip itu juga telah digunakan sewaktu beliau berkhidmat dengan Shell, MAS dan PEMANDU.

‘’Keenam-enam prinsip rahsia transformasi ini amat berkesan dalam menentukan perubahan dalam sesebuah pentadbiran,’’ katanya.

Selain itu, Idris turut menyatakan peranan wanita amat penting dalam kerajaan dan sektor swasta di negara ini.

Katanya, hampir 50 peratus wanita menyumbang kepada guna tenaga di dunia dengan memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi.

‘’Pelajar-pelajar paling cemerlang di negara ini juga dikuasai wanita dan ini menunjukkan betapa negara perlu menggunakan guna tenaga golongan ini dengan sebaiknya,’’ ujarnya.

Selasa, Mac 08, 2011

PM MAHU BANK PERMUDAHKAN PINJAMAN


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar semua institusi kewangan yang terlibat di bawah Skim Rumah Pertamaku mempermudahkan segala urusan pembiayaan bagi membolehkan golongan muda memiliki rumah pertama mereka.

"Saya amat berharap bahawa segala urusan berhubung dengan skim ini dipermudahkan oleh institusi kewangan dan bukanlah sebaliknya.

"Mungkin skim ini tidak boleh memberi keuntungan yang besar kepada institusi kewangan tapi ini merupakan satu skim yang amat-amat bermakna kepada rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Skim Rumah Pertamaku di sini Selasa.

Najib turut mempelawa bank-bank yang belum menyertai skim ini supaya melibatkan diri dengan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat dengan sepenuhnya.

Beliau berkata sehingga kini skim ini berjaya melibatkan penyertaan lebih daripada 20 institusi kewangan termasuk institusi kewangan Islam.

"Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan golongan tertentu terutamanya mereka yang baru bekerja dan berpendapatan rendah atau sederhana rendah terlepas peluang memiliki rumah sendiri," kata Najib.

Skim Rumah Pertamaku yang diumumkan Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober lepas sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan rumah mampu dimiliki oleh rakyat berpendapatan rendah terutamanya di kawasan bandar.

Di bawah skim ini, kemudahan diberikan terutamanya kepada golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah mereka sendiri.

Melalui skim ini, individu terutama golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000 boleh mendapat pinjaman sebanyak 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 30 tahun.

Ini bermakna kerajaan melalui Cagamas akan menjamin bayaran pendahuluan atau wang deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli rumah tersebut dan permohonan boleh dibuat secara langsung di cawangan-cawangan perbankan di seluruh negara mulai hari ini.

Beliau juga berharap skim ini juga akan menggalakkan pemaju supaya membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat di Malaysia.

"Ini adalah komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti hidup rakyat dalam usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju.

"Kita selalu berpegang kepada prinsip keterangkuman (inklusif). Inklusif bererti bahawa kekayaan negara kita mestilah dibahagikan secara adil dan saksama dan di samping itu menegakkan satu prinsip yang sangat unggul yakni skim keadilan sosial," katanya.

Sementara itu, Najib berkata dalam usaha untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, kerajaan telah mengenalpasti betapa pentingnya peningkatan kualiti hidup rakyat serta kewujudan persekitaran yang sesuai untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi dengan adanya perumahan mampu milik bagi rakyat.

Katanya, keadaan ekonomi yang pesat berkembang serta penghijrahan ke bandar dan peningkatan keseluruhan dalam pendapatan boleh guna akan mengakibatkan peningkatan harga hartanah, terutama di kawasan bandar yang boleh menjangkau lebih daripada 30 peratus.

KES DAPHNE IKING SELESAI


Kes saman peribadi yang dikemukakan oleh bekas suami model dan pengacara TV Daphne Iking terhadap ahli perniagaan Darren Choy Khin Ming selesai hari Isnin, selepas Choy membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap bekas suami Daphne, Ryan Chong Yiing Min.

Choy, bekas pengarah urusan Adidas didakwa memikat Iking (ketika itu masih isteri kepada Chong) untuk melakukan persetubuhan dengan Iking di The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail di sini antara Julai 2007 dan September 2008.

Choy, 46, selaku defendan menghadapi saman peribadi itu yang dikemukakan oleh Chong, 33, mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah berkata mahkamah membuat keputusan selepas peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Chong memberitahu tidak bercadang untuk meneruskan pendakwaan terhadap Choy.

Wong memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya membuat cadangan untuk menarik balik pendakwaan saman itu mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Choy, membacakan surat yang ditandatangani Choy yang bertarikh 7 Mac (hari ini), yang mengandungi penafian Choy bahawa dia bukan bapa kandung kepada anak perempuan Iking, Isobel Daniella Iking Chong, tiga tahun.

Penafian tersebut berhubung dakwaan Chong dalam keterangannya pada 17 Dis lalu, yang memberitahu bahawa Isobel bukan anak kandungnya.

Choy turut meminta maaf kerana hubungan sulitnya dengan Iking telah menyebabkan Chong dan ahli keluarganya berasa malu dan terhina.

Ahli perniagaan barangan alat sukan itu turut memohon maaf kerana hubungannya dengan model tersebut telah mendorong Chong memfailkan saman terhadapnya.

Choy juga melahirkan rasa kekesalannya kerana sewaktu pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap Chong, pelbagai isu telah dibangkitkan di dalam prosiding itu menyebabkan kesan yang buruk terhadap Chong sekeluarga.

"Secara ikhlas, saya meminta maaf kepada Chong, ibu bapanya dan seluruh ahli keluarganya," kata Jagjit yang mewakili Choy membacakan surat itu.

"Ini yang diharap-harapkan oleh mahkamah kerana ia diselesaikan tanpa ada perbicaraan lanjutan mengenai kes ini. Kesemua pihak yang terlibat mendapatkan cara penyelesaian terbaik dalam kes ini.

"Oleh yang demikian, OKS (Darren Choy) dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah," kata Majistret Engku Ahmad Rashdi ketika membuat keputusan itu.

Perbicaraan kes itu yang bermula pada 29 Nov tahun lalu, telah memanggil seramai empat saksi.

Chong dan Choy yang sebelum ini sentiasa menjarakkan kedudukan mereka di dalam mahkamah sepanjang prosiding itu, dilihat bersalaman antara satu sama lain selepas prosiding selesai.

Choy yang ditemui pemberita di luar mahkamah, memberitahu, kes tersebut berjaya diselesaikan dengan situasi menang-menang antara pihaknya dan Chong.

Isnin, Mac 07, 2011

PBB TAK PERLU WARTAWAN


Menjelang pilihanraya umum negeri Sarawak, nampaknya PBB parti utama komponen BN Sarawak tidak memerlukan wartawan sehingga sanggup pegawai Taib mahmud menghalau wartawan.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak mengadakan satu mesyuarat tertutup dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di tingkat lima Kompleks Dewan Undangan Negeri Baru di Petra Jaya pagi ini.

Antara pemimpin kanan PBB yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang juga Timbalan Presiden I PBB, Menteri Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem (Ketua Penerangan), Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (Timbalan Presiden II), Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (Naib Presiden Kanan I), Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Datuk Seri Michael Manyin Jawing (Naib Presiden) dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah (Timbalan Ketua Wanita).

Turut hadir pada masyarakat tersebut ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dougles Uggah Embas (Naib Presiden Kanan II) dan Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof (Ketua Pemuda).

Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Jameson Ahip Nawie ketika ditemui media untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung pertemuan tersebut bagaimanapun enggan memberi ulasan dan menjelaskan ia hanya mesyuarat mingguan biasa ketua menteri.

"Siapa bagi arahan kamu datang sini, ini mesyuarat biasa sahaja, kalau ada pengumuman kita akan panggil media," katanya sebelum mengeluarkan arahan kepada beberapa wartawan dan jurugambar media nasional agar segera beredar dari bangunan tersebut.

Sabtu, Mac 05, 2011

FACEBOOK PUNCA CERAI


Asyik melayan 'teman maya' di laman sosial seperti Facebook sehingga lupa kepada tanggungjawab menjadi antara punca ramai pasangan Islam di negara ini bercerai.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (gambar) berkata, selain itu tidak serasi, poligami dan bermain 'kayu tiga' khususnya dengan orang gaji turut menyumbang kepada berlakunya perceraian.

Menurut beliau, perkara tersebut merupakan masalah-masalah yang sering diajukan oleh pasangan suami isteri ketika memohon untuk bercerai di Mahkamah Syariah.

''Kebanyakan yang bercerai adalah pasangan yang berkahwin selama lima tahun dan ke bawah.

''Antara punca, pasangan yang asyik melayan 'teman maya' di Facebook sehingga ada isteri yang tidak ambil peduli tentang suaminya dan begitu juga suami.

''Berdasarkan rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2009, ada ratusan ribu pasangan Islam yang telah bercerai,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, ketika merasmikan seminar sempena sambutan Maulidur Rasul bertajuk Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia di Putrajaya beliau menyatakan bahawa purata pasangan Islam yang bercerai di negara ini mencatatkan rekod mengejutkan iaitu satu pasangan setiap 15 minit.

Ujar beliau, angka itu diperoleh berdasarkan rekod Jakim pada 2009 dengan statistik perceraian terus menunjukkan peningkatan saban tahun dan ia mencetuskan kebimbangan mengenai keharmonian rumah tangga terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, kursus praperkahwinan selama sehari yang dijalankan kini juga dirasakan tidak mencukupi untuk memberikan maklumat lengkap mengenai alam perkahwinan kepada pasangan yang mahu berkahwin.

''Dahulu kita buat tiga hari, ada yang marah. Sebab itu kita buat satu hari sahaja. Kursus satu hari saya rasakan tidak cukup untuk mendidik pasangan yang mahu berkahwin dengan pelbagai perkara.

''Ada juga kita terima laporan, yang kursus satu hari pun, ada pasangan yang datang lewat. Itu pun ada juga pengendali kursus yang bagi sijil mengikuti kursus kepada pasangan berkenaan.

''Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Kita mahu pengendali kursus ada rasa tanggungjawab dan memastikan setiap pasangan benar-benar mengikuti kursus dengan sebaiknya,'' katanya.

Beliau memberitahu, kursus yang dijalankan sehari itu hanya memberikan maklumat-maklumat asas dalam melayari alam perkahwinan.

Justeru, ujarnya, setiap pasangan yang sudah berkahwin perlu berterusan mencari ilmu berkaitan kerukunan berumah tangga.

''Inilah harapan kita kepada mereka selepas berkahwin. Jangan berhenti mencari ilmu tersebut. Luangkanlah masa pergi ke kuliah-kuliah agama.

''Memanglah semua sibuk dengan urusan harian tapi kalau ada peluang, pergilah cari ilmu dan hayati ajaran agama,'' katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan pasangan yang sudah berkahwin agar menjaga hubungan sesama mentua dan ahli keluarga masing-masing.

Rabu, Mac 02, 2011

MALAYSIA RUGI RM10 BILION KERANA RASUAH


Gejala pengambilan rasuah yang berlaku di negara ini menyebabkan Malaysia mengalami kerugian kira-kira RM10 bilion pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan berkata, meskipun kajian daripada Bank Dunia itu tidak dapat disahkan sumbernya, usaha keras perlu dilakukan bagi menangani gejala itu.

"Jika dilihat daripada RM1 bilion sahaja, kita boleh membina 90 buah sekolah rendah atau 500 buah jambatan, 667 kilometer jalan luar bandar atau 6,667 kilometer jalan kampung.

"Namun rasuah menyebabkan negara kita mengalami kerugian besar. Atas sebab itu, kita perlu mencegah rasuah dan tidak mahu wang rasuah mengalir keluar," katanya ketika menyampaikan ceramah pada majlis pelancaran Hari Integriti Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2011 di Dewan Resital di Kota Kinabalu semalam.

Turut hadir, Pengarah SPRM negeri, Jalil Jaafar; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Amran Ahmed dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Kasim Mansur.

Menurut Sutinah, berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI), pada tahun lalu negara mengalami kejatuhan mata kepada 4.4 berbanding 4.5 mata pada 2009.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia masih mengekalkan kedudukannya di tempat ke-56 daripada 178 negara dalam CPI 2010.

"Berdasarkan CPI itu, Malaysia boleh dikatakan berada pada tahap tidak berapa bagus namun tidak berapa teruk dari sudut penglibatan dalam jenayah rasuah.

"Bagaimanapun, kita perlu tahu, kejatuhan satu mata dalam tahap rasuah dikaitkan dengan 16 peratus penurunan pelaburan dari luar negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, SPRM menerima kira-kira 10,000 laporan mengenai rasuah setahun.

Namun, katanya, kebanyakan laporan itu tidak mempunyai asas menyebabkan SPRM tidak dapat melakukan tindakan susulan.

Sutinah berkata, berdasarkan kepada statistik pula, penjawat awam didapati menjadi golongan yang paling ramai menerima rasuah di negara ini.

"Pihak swasta pula sama banyak antara pemberi dan penerima rasuah manakala, orang awam banyak direkodkan memberi rasuah," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Selasa, Mac 01, 2011

SUNYINYA ORANG POLITIK


Sunyinya orang politik bila dia tiada kuasa. Begitulah putaran alam. Semasa kita jadi timbalan menteri, orang ramai kerumun kita tidak kira waktu. Bila kita sudah tiada kuasa, tiada orang mahu mengejar kita.

Saya dapat rasa apa yang dialami oleh bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Haji Rahman Bakar ketika saya menziarahinya di wad tanjung, di Hospital Kuala Lumpur sebentar tadi. Beliau sudah sebulan dimasukkan ke wad VIP itu kerana mengalami sakit kaki.

Siapa yang tidak kenali Rahman Bakar yang jadi giant killer pada tahun 1986 dahulu? Beliau mengalahkan Haji Hadi Awang di parlimen Marang pada tahun 1986. Selepas itu beliau dilantik timbalan pengerusi MARA dan pernah menjadi pengerusi LKIM.

Pada tahun 1990, beliau kalah di tangan Haji Hadi. Beliau yang bermula sebagai ketua pemuda UMNO bahagian Marang akhirnya menjadi Exco Pemuda UMNO malaysia yang seangkatan dengan Zubir Embong, bekas ahli parlimen Kuala Terengganu.

Hubungan saya dengan Rahman Bakar amat unik. Pada tahun 1993, saya tulis buku DILEMA YUSOF NOOR dan saya menghentamnya dalam buku tersebut kerana beliau menyokong ketua pemuda negeri, Idris Jusoh memulau konvesyen UMNO Terengganu.

Dia marahi saya ketika saya temuinya di pejabat Dr. Yusof Noor yang menjadi menteri perusahaan awam ketika itu. Dia tanya saya berapa banyak Wan Mokhtar upah saya tulis buku itu. Saya tidak menjawab tuduhan itu kerana ternyata tuduhan itu tidak benar.

Akhirnya kami jadi kawan baik kerana dia tahu sebagai penulis saya menulis kebenaran. Saya bukannya berpihak kepada Wan Mokhtar atau Dr Yusof Noor.Saya berpihak kepada kebenaran. Jika Rahman Bakar berada di pihak yang benar, saya sokongnya. Sebab itu akhirnya kami tetap baik selepas itu kerana dia tahu bahawa saya adalah penulis yang tidak berpihak kepada sesiapa.

Pada tahun 2004, sebagai ketua UMNO Bahagian Marang beliau terpilih sebagai calon BN menentang Haji Hadi sekali lagi di parlimen Marang. Beliau menang dalam pertandingan ketiga itu. Kali pertama dia menang pada tahun 1986, kali kedua kalah pada tahun 1990 dan kali ketiga beliau menang semula pada tahun 2004.

14 tahun meninggalkan Dewan Rakyat, akhirnya Rahman kembali ke situ.Kali ini beliau dilantik sebagai timbalan menteri sumber manusia dan beliau menang dalam pertandingan ahli majlis tertinggi UMNO.

Pada tahun 2008 beliau digugurkan oleh Idris sebagai calon. Selepas itu beliau tewas kepada YB Yahya sebagai ketua UMNO Bahagian Marang kerana beliau bukan lagi ahli parlimen dan bukan lagi timbalan menteri.YB Yahya bukan sahaja ADUN pengkalan berangan malah Exco Kerjaraya. Maka tewaslah Rahman Bakar.

Bila tiada kuasa, makin ramai kawan yang melarikan diri. Bila sakit, Rahman Bakar rasa sunyi kerana tiada kawan yang datang melawatnya seperti dahulu. Adalah diharapkan selepas keluar rencana ini dalam blog ini, semakin ramai yang datang melawat beliau. Sewaktu sakit begini dia perlukan sokongan kita semua. Janganlah berkawan sewaktu sihat sahaja.

Dalam sakit pun, beliau tetap bercerita pengalamannya sewaktu muda dahulu pada tahun 1970an ketika beliau menjadi timber grader. Waktu itu gajinya besar RM12 ribu sebulan. Atas nasihat orang tuanya, akhirnya beliau jadi guru dan akhirnya beliau masuk UKM. Selepas keluar dari UKM dan berkhidmat sebagai guru semula, nasibnya baik bila beliau dipilih bertanding di parlimen Marang pada tahun 1986. Ketika itu beliau sudah menjadi ketua pemuda UMNO Bahagian Marang.

Isnin, Februari 28, 2011

PAKATAN PUN AMALKAN DINASTI


PAS mendakwa BN yang diwakili Umno mengamalkan sistem dinasti iaitu turun temurun jawatan pemimpin, dari bapa turun ke anak.

Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Kamaruddin Sidik mendakwa, amalan itu sudah lama dipraktikkan Umno dan dibuktikan dalam pilihan raya kecil Merlimau.

"Ini telah lama berlaku dalam Umno. Dari bapa kemudiannya diserahkan kepada anak seolah-olah perlakuan dalam satu dinasti.

"Orang ramai yang saya temui pun telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perkara ini," katanya hari ini.

Kamaruddin merujuk mengenai pemilihan calon BN bagi DUN Merlimau, Roslan Ahmad, iaitu anak kepada bekas ADUN Sungai Rambai, Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin.

Pandangan berkenaan diperkukuhkan lagi apabila calon berkenaan juga adalah dan anak saudara kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.

Kamaruddin berkata, ia berbeza dengan PAS yang meletakkan calon muda, Yuhaizad Abdullah, 38, di Merlimau kerana ia merupakan satu usaha parti itu mengetengahkan pemimpin muda.

Beliau menjelaskan, tindakan itu bertujuan untuk memberi peluang pemimpin muda seperti Yuhaizad, menimba pengalaman bertanding.

Menurutnya, walaupun muda, beliau yakin Yuhaizad mampu menggalas tanggungjawabnya sekiranya diamanahkan.

"PAS berharap pengundi di DUN Merlimau akan memberi peluang kepada beliau apabila tiba hari mengundi nanti.

"Kita telah mengemukakan calon yang terbaik, seorang calon yang kuat berdikari yang mampu memberikan yang terbaik kepada pengundi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini pernah menjelaskan, pemilihan Roslan sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat berdasarkan merit.

Katanya, perhubungan dan pertalian tidak boleh diambil kira dan tidak dapat dielakkan malah yang penting adalah penilaian pucuk pimpinan terhadap beliau mengenai potensi calon itu sendiri.

Menjawab tuduhan PAS, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam berkata Pakatan Rakyat pun mengamalkan dinasti.

"Kita lihat pemimpin PKR. Bukan sahaja Anwar Ibrahim yang bertanding malah anaknya Nurul Izzah pun ahli parlimen juga," kata Ali ketika menutup seminar BN Kota Raja di Balai Cerap Al Khawaizmi di Masjid Tanah semalam.

Katanya lagi, dalam DAP bukan sahaja Lim Kit Siang bertanding malah anaknya, Guan Eng dan menantunya, betty pun turut jadi YB.

"Malah Karpal Singh pun ada anaknya jadi YB. Jadi siapa yang amalkan dinasti sedangkan calon BN Ruslan jadi calon setelah ayahnya sudah lama meninggal dunia,"katanya lagi.

Ahad, Februari 27, 2011

ALI RUSTAM YANG PERIHATIN



Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam terpaksa pergi lambat ke majlis di Universiti Multi Media di Bukit Beruang kerana menguruskan mayat seorang peserta seminar BN Kota Raja di Kompleks Balai Cerap di Masjid Tanah tengahari ini.

Seorang peserta India dari MIC Kota Raja tiba-tiba terjatuh dari tingkat tiga asrama Al Biruni dan meninggal dunia ketika beliau dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Ir Kamaruzaman sedang menikmati minuman ringan.

Beliau yang perihatin dengan kejadian itu terus bergegas ke tempat kejadian dan beliau sendiri mengambil kain alas meja makan untuk menutup mayat Uncle Gopal yang berusia 50 tahun itu. Beliau menunggu sehingga pihak polis sampai 1 jam kemudian barulah beliau beredra ke MMU di Bukit beruang.

Sikap beliau dipuji oleh ahli-ahli BN Kota Raja yang menunjukkan beliau adalah Ketua Menteri yang perihatin dengan kejadian mengejut itu. Seminar tiga hari itu adalah anjuran BN Kota Raja yang ingin merampas kembali Kota Raja dari tangan pembangkang.

Terdahulu dalam ucapannya, Ali mengajak ahli-ahli BN tidak takut berhadapan dengan pembangkang dalam berkempen menentang mereka.

"Ini adalah kerana mereka semua kaki temberang dan kaki hipokrit,"katanya.

Sehubungan dengan itu beliau menyeru semua ahli BN berani menangkis isu yang dibawa oleh pihak pembangkang.

"Dahulu Lim Guan Eng hasut ADUN MCA dan MIC Melaka jangan pakai songkok bila perasmian persidangan Dewan Undangan negeri kerana katanya pakai songkok bodek UMNO, sekarang dia hadiri majlis perasmian persidangan DUN Pulau Pinang pakai songkok, dia bodek siapa? Adakah dia bodek Nik Aziz?" soalnya.

Katanya, ini jelas menunjukkan pemimpin DAP adalah hipokrit.

Ali juga menyelar pemimpin PAS yang berkata pemimpin UMNO adalah orang jahiliah.

"Sebalikmnya mereka solat di masjid yang dibina oleh pemimpin UMNo tidak pula jahiliah," katanya lagi.

Beliau juga kesal dengan sikap pemimpin PAs yang memarahi beliau mengadakan Sekolah Harapan untuk anak-anak muda yang mengandung.

"Sepatutnya mereka sokong kita kerana kita sediakan tempat remaja yang mengandung untuk teruskan persekolahan mereka. Sebaliknya ramai anak Kelantan yang mengandung telah masuk sekolah ini," kata Ali yang menempelak Nik aziz yang gagal mentarbiah anak-anak Kelantan supaya tidak terjerumus dalam gejala sosial.

Ali mendedahkan bilangan anak luar nikah semakin meningkat di Kelantan malah lebih ramai dari kes di Melaka.

"Ini menunjukkan kerajaan PAS Kelantan gagal mentarbiah rakyat mereka sebaliknya mereka suka mengkritik apa yang kita buat demi untuk kebaikan remaja kita," ujarnya lagi.

Beliau optimis BN akan menenag dengan majoriti yang lebih besar pada pilihanraya kecil merlimau pada 6 Mac ini.

"saya ucapkan terima kasih kepada 80 orang ahli BN Kota Raja yang turut menghadiri hari penamaan calon di Merlimau semalam walaupun mereka ada program seminar di sini," katanya lagi.

Sabtu, Februari 26, 2011

ROSLAN DIPILIH BUKAN KERANA FAKTOR KELUARGA


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam menolak dakwaan bahawa BN ketandusan calon sehingga terpaksa meletakkan anak bekas ahli parlimen bertanding pada pilihanraya kecil DUN Merlimau pada 6 Mac ini.

Ditanya mengenai dakwaan PAS bahawa calon BN, Roslan Ahmad dipilih atas faktor keluarga, Mohd Ali berkata perkara itu menunjukkan mereka tidak mempunyai modal untuk memburuk-burukkan BN kerana isu keluarga membabitkan semua parti termasuk PAS, PKR dan DAP.

"Walaupun beliau (Roslan) anak Datuk Ahmad tapi Datuk Ahmad dah meninggal 32 tahun dulu. Roslan kebetulan dipilih bukan dia sebab anak ahli parlimen dulu tapi kebetulan dia AJK kawasan dalam parti dicalonkan," katanya.

Beliau menambah Malaysia dijangka menerima nasib seperti Mesir yang dilanda rusuhan baru-baru ini jika PAS memerintah negara ini.

Beliau berkata ini kerana parti tersebut gemar menggunakan pendekatan demonstrasi dalam menangani sesuatu isu yang bukan saja tidak membawa kebaikan kepada rakyat malah turut memburukkan keadaan.

Sebaliknya, kata beliau sistem pilihan raya yang telah diguna pakai negara sejak sekian lama lebih patut menjadi kayu pengukur kepada siapa yang berhak memerintah.

"Rakyat boleh menyatakan pendirian melalui peti undi... demokrasi, sebab itu PAS dapat perintah Kelantan, dapat Kedah, DAP dapat Penang dan PKR dapat selangor.

"Saya percaya rakyat takkan terpengaruh untuk ikut demonstrasi, nak buat demonstrasi untuk apa, kita ada pilihan raya, gunalah, bertandinglah, lawan lah cakap...tapi janganlah fitnah, lepas itu rakyat sendiri akan tentukan," katanya kepada pemberita, di Jasin hari ini.

Beliau turut berharap pengundi di DUN Merlimau, menolak calon PAS Yuhaizad Abdullah yang menurutnya tidak berupaya membawa sebarang kebaikan untuk kawasan itu.

"Beliau ini cuma digunakan oleh PAS untuk menguji pilihan raya umum ke-13, kerana kita juga yang akan selesaikan masalah rakyat jelata, kita mendahulukan rakyat apa-apa hal mengikut dasar 1Malaysia, berbeza dengan PAS yang mendulukan DAP," katanya.

DUA PENJURU DI KERDAU DAN MERLIMAU


Tempoh untuk penyerahan kertas pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau telah ditutup 10 pagi.

Dua calon telah menyerahkan borang pencalonan iaitu daripada Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Terdahulu, calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad tiba di pusat penamaan calon dan masuk ke dalam dewan kira-kira pukul 9.05 pagi.

Beliau diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kira-kira 5,000 penyokong.

Calon Pas, Hassanuddin Salim pula masuki dewan kira-kira pukul 9 pagi.

Selain Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut mengiringi calon tersebut ialah pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

Di Merlimau pula, nama kedua-dua calon kini dipamerkan untuk memberi laluan kepada bantahan.

Calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad dan calon Pas, Yuhaizad Abdullah memasuki pusat penamaan calon di Politeknik Merlimau di sini pada pukul 9.06 pagi ini bagi menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau. – Utusan

Khamis, Februari 24, 2011

ALFATIHAH BUAT ILLANI ISAHAK


Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama, Datuk Illani Isahak, meninggal dunia pada Khamis akibat barah payu dara yang dialaminya sejak lima tahun lepas.

Illani, 58, meninggal dunia pada 6 pagi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, kata Setiausaha Kerja Wanita Umno, Noor Haiza Mariena Mat Ramli.

Jenazahnya kemudian dibawa ke kediamannya di Taman Tun Dr Ismail.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Taqwa di Taman Tun Dr Ismail sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas zohor.

Illani, yang merupakan kelahiran Kelantan, meninggalkan suami Adam Camille Rustum Mohd Ibrahim, serta tiga anak lelaki dan seorang perempuan.

Aktif dalam politik melalui Umno sama ada peringkat di negeri dan pusat serta pernah menjadi Pengerusi Biro Antarabangsa Wanita Umno Malaysia pada tahun 2004, Illani juga adalah Anggota Parlimen Kota Baharu pada penggaltahun 1990.

Presiden Majlis Hindu Malaysia Datuk R.Nadarajah menyifatkan pemergian Illani sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

"Kita akan memenuhi harapannya agar matlamat jawatankuasa persefahaman dan kehermonian antara agama ini tercapai," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

ANAK BEKAS YB JADI CALON BN MERLIMAU


Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jasin Roslan Ahmad dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau, pada 6 Mac ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan kira-kira 3,000 penyokong BN di Command Centre di Merlimau dekat sini, Rabu.

"Ini diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN selepas kita menerima cadangan dan proses penyaringan berkali-kali dan kita dapati saudara Roslan adalah calon paling sesuai," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau di sini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden PPP Datuk M Kayveas, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan barisan pimpinan BN lain.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata Roslan, 44, mempunyai rekod pengalaman dan pemimpin yang dikenali di kalangan pengundi DUN Merlimau dan beliau berharap pengundi berpuas hati atas pemilihan beliau sebagai calon.

Allahyarham bapa beliau, Datuk Ahmad Ithnin ialah bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, yang setelah persempadanan semula kawasan pilihan raya dinamakan DUN Merlimau.

Muhyiddin berharap jentera BN yang telah bersedia hampir sebulan menghadapi pilihan raya kecil itu akan dapat meningkatkan undi majoriti berbanding pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata pemilihan Roslan sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat berdasarkan merit beliau sendiri sungguhpun bapanya pernah menjadi Adun kawasan itu manakala bapa saudaranya pula, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Ithnin juga pernah dipilih sebagai Adun kawasan itu.

"Walaupun dari segi perhubungan dan pertalian itu tidak boleh kita elakkan tetapi yang penting dan dinilai oleh pucuk pimpinan ialah beliau (Roslan) sendiri, berasaskan latar belakang dan potensi beliau itulah yang paling utama," katanya.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh pengundian, manakala penamaan calon pada 26 Feb ini.

Rabu, Februari 23, 2011

SYED IBRAHIM JANJI KERJA KUAT


Saya berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik dan bekerja kuat untuk membela nasib rakyat Kerdau," itulah janji Syed Ibrahim Syed Ahmad sebaik dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Syed Ibrahim, 44, berkata pencalonan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Sri Ketumbit di sini Selasa merupakan satu amanat dan tanggungjawab besar yang harus digalas beliau sebaik mungkin.

Sambil mengucapkan jutaan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang memilihnya, anak kelahiran Kampung Kuala Tekal, Temerloh itu berkata peluang itu tidak akan disia-siakannya.

"Saya dengan rendah hati menerima pencolanan itu dan saya akan memastikan nasib rakyat akan dibela," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata walaupun pencalonan itu hanya sekadar mewakili parti, namun pemilihan sebenar hanya akan ditentukan rakyat ketika pilihan raya kecil (PRK) DUN Kerdau itu pada 6 Mac depan nanti.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan berikutan penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN meninggal dunia akibat serangan jantung pada 12 Feb lepas.

Berikutan kekosongan kerusi itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Feb sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 6 Mac.

Naib Ketua Umno Cawangan Kuala Krau dan Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Krau sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh dan di Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan.

Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Fakulti Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir dari tahun 1989 hingga 1996.

Syed Ibrahim pernah berkhidmat sebagai pembantu pegawai Yayasan Pahang di Kaherah, Mesir ketika melanjutkan pelajarannya di sana dan sekembalinya ke tanah air beliau bergelar guru Bahasa Arab dan Agama di Sekolah Menengah Agama Darul Naim di sini pada tahun 1997 hingga 2000.

Pada November hingga Disember 2000, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Jerantut dan bertugas sebagai pegawai khas kepada Menteri Besar Pahang bermula 2000 hingga kini.

Beliau berkahwin dengan seorang guru agama, Sharifah Farunai Syed Ahmad, 45, dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu As Sayed Muhammad Al-Baqir, 15, As-Syarifah Balqis, 13, dan As Syarifah Sehah, 9.

Selasa, Februari 22, 2011

TUAN IBRAHIM -VS-SYED IBRAHIM DI KERDAU?



Bahang pilihan raya dua serangkai di Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang kian terasa. Tinggal beberapa hari saja lagi untuk hari pencalonan dan pastinya esok lusa semua parti yang bertanding akan mengemukakan nama calaon masing-masing.

Paling menarik untuk diperkatakan ialah, pertembungan kali ini sekali lagi menyaksikan parti PAS (Pakatan Rakyat) akan bertemu UMNO (Barisan Nasional). Biarpun ada desas-desus mengatakan PKR berminat untuk bertanding di salah satu kerusi Kerdau atau Merlimau, namun nampaknya ia mungkin tidak menjadi kenyataan.

Malah besar kemungkinan Pengarah Pilihan Raya PAS di Merlimau, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man juga akan balik ke Pahang untuk menumpukan perhatian sepenuhnya di kawasan beliau. Harus diingat bahawa DUN Kerdau terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krau di mana Dato' Tuan adalah Yang Dipertua PAS kawasan itu. Makanya, amat wajarlah beliau balik ke Pahang untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap kempen pilihan raya kecil di Kerdau nanti.

Malah terdapat maklumat dalaman mengatakan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkemungkinan cerah akan dipilih sebagai calon di DUN Kerdau ini. Tambahan pula beliau adalah Yang Dipertua PAS Kawasan, Pesuruhjaya PAS Pahang dan Naib Presiden PAS Pusat sekarang ini. Maka, namanya lebih menonjol daripada calon-calon lain sebenarnya. Jika benar telahan ini, maka PAS berpeluang untuk menang jika mereka melipat gandakan usaha ke arah itu. Harapan nampak cerah!



Difahamkan juga, bagi pihak UMNO pula kemungkinan besar meletakkan calonnya Syed Ibrahim Syed Mohamad al Yahya. iaitu Pegawai Agama Kepada MB Pahang. Tambahan pula beliau adalan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Krau sekarang. Malahan terdapat sumber mengatakan Syed Ibrahim sudah pun berkempen sekarang termasuk mewakili Menteri Besar Pahang berucap dan menyampaikan sumbangan komputer riba kepada wakil cawangan-cawangan di majlis anjuran Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Pahang.

Program itu diadakan di Dewan Tun Razak, Temerloh dan dirasmikan oleh Presiden PBTM Datuk Muhammad Abdul Ghani. Syed Ibrahim yang berucap mewakili Adnan itu dikatakan sempat ‘berkempen’ secara isyarat kepada bekas-bekas tentera itu. Makanya memang sah yang beliau bakal menjadi calon BN di Kerdau nanti.

Jika ini berlaku maka pertembungan dua nama yang hampir sama bakal berlaku iaitu Syed Ibrahim dengan Tuan Ibrahim. Ini pastinya akan mengelirukan para pengundi di situ nanti sebenarnya.

Isnin, Februari 21, 2011

PAS KINI MENYIBUK


Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan PAS kini menyibuk apabila menyifatkan projek Melaka International Motorsport Circuit (MIMC) berhampiran Tol Plaza Ayer Keroh yang disita sejak Ogos tahun lalu sebagai projek 'gajah putih'.

Yang PAS nak sibuk-sibuk ni kenapa, mereka bukannya main go kart, mereka main fitnah. Kami orang muda main go kart jadi kerajaan negeri buatlah.

"Kita serahkan pengurusannya kepada sebuah syarikat yang biasa dengan sukan ini tetapi pihak pengurusannya iaitu sebuah syarikat dari Selangor gagal melunaskan beberapa bayaran sepatutnya termasuk sewa jadi kita rampaslah.

"Mereka tidak puas hati heret kita pergi mahkamah. Jadi kes itu sekarang masih dalam peringkat perbicaraan di mahkamah. Kita tidak bolehlah teruskan buat sementara menunggu perbicaraan.

"Apa salahnya kita tangguhkan sementara menanti keputusan mahkamah, siapa berani lawan mahkamah," katanya.

Menurut Mohd Ali hari kes berkenaan akan disebut pada 8 Mac ini.

Mengenai dakwaan PAS mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka yang langsung tiada satu kapal terbang yang mendarat, jelas Mohd Ali ia adalah satu pembohongan yang nyata oleh parti pembangkang itu.

Sedangkan katanya, pesawat boieng 737 setiap minggu beroperasi yang menghubungkan beberapa destinasi penerbangan dari Melaka ke Kepulauan Riau, Indonesia.

"Ini membuktikan PAS seperti katak di bawah tempurung yang langsung tidak tahu perkembangan semasa, jadi bagaimana mereka hendak mentadbir negara," katanya.

Merlimau,menurut ketua menteri itu, mengatasi empat negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor dari pelbagai aspek termasuk kebersihan, kadar pengangguran, kemiskinan dan kemudahan infrastruktur.

"Mereka ini memang cemburu dengan pencapaian Melaka dan kalau boleh datanglah ke Melaka dan lihatlah sendiri," katanya.

Khamis, Februari 17, 2011

FINAS AKAN TERUS BANTU FILEM KITA


Perbadanan Filem Nasional (Finas) akan terus membantu pengeluaran, pemasaran dan promosi hasil seni negara terutama filem bagi mendorong perkembangan industri berkenaan, kata pengerusinya, Datuk Seri Salleh Said Keruak pada Rabu.

Salleh menyatakan gembiranya melihat industri filem Malaysia telah mencapai kemajuan besar, dengan beberapa filemnya mendapat pengiktirafan negara luar.

Mengenai sambutan terhadap filem tempatan, Salleh berkata beliau yakin sasaran kutipan jualan tiket panggung wayang RM100 juta untuk filem tempatan tahun ini akan dapat dicapai.

Kutipan itu meningkat dari RM51 juta sebagai hasil tayangan 26 filem pada 2009 kepada RM76 juta dari 29 filem tahun lepas, katanya semasa melancarkan siri baru televisyen, "kopi O" di sini.

Salleh mengulas gesaan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini agar Finas memperhebat usaha untuk menambah baik kualiti filem tempatan ke tahap antarabangsa, yang termasuk menetapkan sasaran hasil kutipan RM100 juta tahun ini sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI).

Sementara itu, sitkom "Kopi O" 13 episod itu sedang menjalani penggambaran di Sabah, yang menampilkan artis popular dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Siri itu terbitan Pentas Wayang Production berlatarbelakangkan sebuah kedai kopi di Tenom, sebuah daerah yang terkenal dengan produk kopinya, dan menampilkan watak-watak multirasial yang menghabiskan masa luang mereka di situ, sambil membincangkan realiti kehidupan harian, sentimen dan perpaduan di kalangan kumpulan etnik di Sabah.

DR M SETUJU LAPAN TAHUN TEMPOH JADI PM


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau bersetuju cadangan supaya tempoh perkhidmatan seseorang Perdana Menteri dihadkan kepada lapan tahun.

Beliau berkata cadangan tersebut boleh dipertimbangkan dan sekiranya seseorang itu memberikan perkhidmatan yang terbaik dan tidak melakukan perkara yang memberi kesan buruk kepada negara, maka beliau wajar diberikan peluang untuk dilanjutkan tempoh perkhidmatannya.

"Kalau kita menghadkan tempoh kuasa contohnya satu penggal, ia tidak akan membolehkan seseorang pemimpin itu melakukan tugas dengan efisyen dan gagal melaksanakan apa yang dirancang," katanya.

Dr Mahathir, yang menjawat jawatan itu selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, berkata demikian pada sesi soal jawab di forum Cabaran Semasa Sistem Demokrasi dan Perlembagaan Negara Malaysia Ke Arah Pencapaian Wawasan 2020 di sini Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali yang mencadangkan agar seseorang yang menjawat jawatan Perdana Menteri dihadkan selama lapan tahun sahaja.

Dr Mahathir berkata tempoh itu relevan kerana pada kebiasaannya selepas mengambil alih tampuk pimpinan negara, seseorang itu perlu mempelajarinya terlebih dahulu.

"Tahun pertama adalah tahun mula mempelajari selok belok pemerintahan, tahun kedua pula tahun merangka dan menyusun pelbagai program, manakala tahun ketiga pula tahun untuk melaksanakan apa yang dirancang.

"Manakala tahun ke empat dah pilihan raya. Jadi mana nak sempat dia nak melakukan apa yang dirancangnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir ketika mengulas mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata akta tersebut adalah baik, namun jangan disalahgunakan.

"ISA bukanlah satu keperluan dan saya juga mencadangkan supaya ISA dihapuskan. Namun selepas mendapat nasihat daripada penasihat saya iaitu polis, maka ISA tidak dihapuskan," kata beliau.

Selasa, Februari 15, 2011

Isnin, Februari 14, 2011

SANUSI TAK SETUJU SEKOLAH CINA DAN TAMIL DIHAPUSKAN


Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid tidak setuju sekolah cina dan tamil dihapuskan sebagai respon kepada cadangan pengerusi panel, Dr Ashraf Wajdi Datuk Dusuki dalam Simposium Dilema Melayu di PWTC Sabtu lalu.

"Biarpun Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia tidak ada sekolah cina sokongan kerajaan tetapi jangan hapuskan sekolah cina di Malaysia supaya kita dapat mengenali orang Cina,"katanya.

Akibat tidak ada sekolah Cina di Thailand, kita tak sedar yang jadi PM Thailand ialah orang Cina walaupun bernama Siam, Thaksin Shinawatra, kata Sanusi.

Oleh itu sekolah cina perlu diteruskan di Malaysia supaya kita kenali siapa orang cina dan siapa bukan orang China.

Apabila Misbun Sidek main badminton di Kuala Lumpur lawan Rudi Hartono, kita ingat buruh Jawa di Kuala Lumpur sokong Misbun yang berketurunan Jawa. Sebaliknya mereka sokong Rudi Hartono yang merupakan orang Cina dan bukan orang Jawa,"kata Sanusi sambil disambut gelak-ketawa para hadirin.

Sebab itu kita kenal kekalkan sekolah cina supaya suatu hari nanti kita tidak keliru orang bernama Melayu jadi Perdana Menteri rupa-rupanya berketurunan Cina, tegas Sanusi.

Selain dari Sanusi, yang menjadi ahli panel ialah ahli parlimen pasir Mas, Datuk Haji Ibrahim Ali, bekas CEO BSKL, Datuk salleh Majid dan Timbalan Menteri kewangan, Datuk Seri Dr. Awang Adek Husin.

Beliau juga menyentuh tentang wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir. Menurut Sanusi, wawasan itu adalah wawasan yang jelas supaya rakyat Malaysia tahu hala tuju negara kita.

"Sebaliknya mereka ingat tahun 2020. Depa dah kata tahun 2020, kita terimalah,"kata Dr Mahathir kepada Sanusi yang menyebabkan para hadirin gelak-ketawa.