Memaparkan catatan dengan label janji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label janji. Papar semua catatan

Sabtu, April 30, 2011

MCA KENA TUNAI JANJI


MCA tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan pusat dan negeri sekiranya keputusan yang diperoleh oleh parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang lebih rendah daripada keputusan yang dicapai pada PRU ke-12.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata pada PRU ke-12, MCA memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen dan 31 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti tersebut.

"Oleh kerana kita (MCA) tidak mendapat sokongan daripada masyarakat Cina maka untuk menghormati masyarakat Cina kita buat keputusan, kita tidak seharusnya memegang jawatan dalam kerajaan pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden di sini, Jumaat.

Jika MCA kalah lagi kali ini, ia perlu menunaikan janjinya untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan.

Dr Chua berkata namun begitu, MCA akan terus menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana parti itu masih yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya dalam program tranformasi ekonomi dan tranformasi negara.

"Kami yakin beliau mampu dan mempunyai kewibawaan untuk memimpin masyarakat majmuk untuk mencapai gagasan 1Malaysia dan berpendapatan tinggi dan mencapai status sebagai sebuah negara maju," katanya.

Dr Chua berkata keputusan yang dicapai sebulat suara anggota mesyuarat tersebut tidak ada kaitan dengan keputusan pilihan raya negeri Sarawak 16 April lepas apabila pengundi Cina lebih memihak kepada pembangkang.

Ditanya sama ada keputusan untuk tidak menerima jawatan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Dr Chua berkata perkara itu mungkin dibawa ke mesyuarat agung tahunan MCA pada 2 Okt depan untuk mendapat perakuan terlebih dahulu.

Mengenai keputusan bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting yang tidak akan bertanding pada PRU akan datang, Dr Chua berkata MCA mengucapkan terima kasih kepada Ong atas sumbangannya kepada parti dan negara.

"Ini satu contoh yang baik di mana pemimpin memberi laluan kepada muka baru dan kita berharap beliau terus beri sokongan dan tunjuk ajar kepada kepimpinan MCA," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Chua berkata MCA bercadang untuk menubuhkan sebuah muzium di Melaka bagi mempamerkan sumbangan masyarakat Cina dalam mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara ini.

Katanya MCA akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengenai penubuhan muzium itu.

Rabu, Februari 23, 2011

SYED IBRAHIM JANJI KERJA KUAT


Saya berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik dan bekerja kuat untuk membela nasib rakyat Kerdau," itulah janji Syed Ibrahim Syed Ahmad sebaik dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Syed Ibrahim, 44, berkata pencalonan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Sri Ketumbit di sini Selasa merupakan satu amanat dan tanggungjawab besar yang harus digalas beliau sebaik mungkin.

Sambil mengucapkan jutaan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang memilihnya, anak kelahiran Kampung Kuala Tekal, Temerloh itu berkata peluang itu tidak akan disia-siakannya.

"Saya dengan rendah hati menerima pencolanan itu dan saya akan memastikan nasib rakyat akan dibela," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata walaupun pencalonan itu hanya sekadar mewakili parti, namun pemilihan sebenar hanya akan ditentukan rakyat ketika pilihan raya kecil (PRK) DUN Kerdau itu pada 6 Mac depan nanti.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan berikutan penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN meninggal dunia akibat serangan jantung pada 12 Feb lepas.

Berikutan kekosongan kerusi itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Feb sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 6 Mac.

Naib Ketua Umno Cawangan Kuala Krau dan Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Krau sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh dan di Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan.

Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Fakulti Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir dari tahun 1989 hingga 1996.

Syed Ibrahim pernah berkhidmat sebagai pembantu pegawai Yayasan Pahang di Kaherah, Mesir ketika melanjutkan pelajarannya di sana dan sekembalinya ke tanah air beliau bergelar guru Bahasa Arab dan Agama di Sekolah Menengah Agama Darul Naim di sini pada tahun 1997 hingga 2000.

Pada November hingga Disember 2000, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Jerantut dan bertugas sebagai pegawai khas kepada Menteri Besar Pahang bermula 2000 hingga kini.

Beliau berkahwin dengan seorang guru agama, Sharifah Farunai Syed Ahmad, 45, dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu As Sayed Muhammad Al-Baqir, 15, As-Syarifah Balqis, 13, dan As Syarifah Sehah, 9.

Rabu, Januari 14, 2009

JANJI ORANG POLITIK



Sebaik-baik saja Datuk Wan Farid Wan Salleh diumumkan sebagai calon BN pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Nyamuk sms kepada beliau minta sponsor hotel kepada wartawan WATAN yang datang dari Kuala Lumpur yang akan bertugas sepanjang pilihan raya kecil berlangsung.


Beliau jawab sms itu, “insya allah dan hubungi timbalan saya”.


Nyamuk terus hubungi timbalannya, Sabri Alwi atau lebih dipanggil Adik Mat. Adik Mat kata semua hotel sudah penuh. Dia suruh cari rumah sewa dan dia akan bayar. Nyamuk pun cari dan dapat sebuah rumah di Durian Burung berharga RM3,000.


Adik Mat minta kurangkan sewa dengan tuan rumah. Tuan rumah setuju sewa dikurangkan kepada RM2,800. Tiga hari sebelum hari penamaan calon, Adik Mat call Nyamuk tanya bila mahu masuki rumah itu. Nyamuk jawab pada 5hb, satu hari sebelum hari penamaan calon.


Oleh kerana Nyamuk sibuk di pejabat, maka Nyamuk suruh wartawan WATAN yang pergi ke Kuala Terengganu berurusan dengan Adik Mat pada hari penamaan calon tersebut. Terkejut wartawan Nyamuk bila dia jumpa Adik Mat, Adik Mat kata Wan Farid tak beritahu pun.


Nyamuk ingin bertanya adakah Adik Mat sabotaj Wan Farid? Nyamuk terus call Adik Mat tapi dia tak angkat handphonenya sampai sekarang. Nyamuk sms Adik Mat, tapi dia tak jawab sms itu. Begitulah janji orang politik.


Nyamuk – sudah tak percaya orang politik


(dipetik dari akhbar WATAN, 18-24 Januari 2009)