Khamis, Februari 24, 2011

ALFATIHAH BUAT ILLANI ISAHAK


Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama, Datuk Illani Isahak, meninggal dunia pada Khamis akibat barah payu dara yang dialaminya sejak lima tahun lepas.

Illani, 58, meninggal dunia pada 6 pagi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, kata Setiausaha Kerja Wanita Umno, Noor Haiza Mariena Mat Ramli.

Jenazahnya kemudian dibawa ke kediamannya di Taman Tun Dr Ismail.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Taqwa di Taman Tun Dr Ismail sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas zohor.

Illani, yang merupakan kelahiran Kelantan, meninggalkan suami Adam Camille Rustum Mohd Ibrahim, serta tiga anak lelaki dan seorang perempuan.

Aktif dalam politik melalui Umno sama ada peringkat di negeri dan pusat serta pernah menjadi Pengerusi Biro Antarabangsa Wanita Umno Malaysia pada tahun 2004, Illani juga adalah Anggota Parlimen Kota Baharu pada penggaltahun 1990.

Presiden Majlis Hindu Malaysia Datuk R.Nadarajah menyifatkan pemergian Illani sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

"Kita akan memenuhi harapannya agar matlamat jawatankuasa persefahaman dan kehermonian antara agama ini tercapai," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.