Sabtu, Jun 06, 2009

MAAFKAN SAYA, TOK HIM


Pagi ini sepatutnya saya berada di Kota Bharu, Kelantan membuat liputan Konvensyen Pembangunan Pasir Mas. Manusia cuma merancang tetapi Allah yang menentukannya. Hasrat hati saya untuk membuat liputan majlis Datuk Ibrahim Ali (Tok Him) tetapi tidak kesampaian.

Sesampainya di Hentian Putra, Kuala Lumpur Khamis lalu dari Kuala Terengganu pada jam 5.15 petang, saya mahu beli tiket bas ke Kota Bahru sebanyak dua keping pada malam esoknya (Jumaat) tetapi semua kaunter sudah kehabisan tiket bas. Maka saya buat keputusan terpaksa bawa kereta ke Kota Bharu yang memang saya tak suka memandu jauh begitu.

Dari petang Khamis sampai tengah hari semalam, saya cuba hubungi jurugambar, Pak Lah untuk bertolak awal pagi semalam tetapi dia tutup handphonenya sejak petang Khamis lagi. Lepas solat Jumaat semalam, saya pergi ke kedai anaknya di Sentul mencari Pak Lah. Anaknya beri nombor telefon rumahnya di Taman Samudera, Gombak. Baru saya dapat bercakap dengan Pak Lah dan beritahunya kena bertolak sekarang juga kerana tiket bas ke Kota Bharu sudah habis untuk perjalanan malam tadi.

Tepat jam 4 petang semalam kami berdua bergerak ke Kota Bharu melalui Bentong-Gua Musang. Kami singgah di rumah penulis buku politik terkenal di Janda Baik, Syed Hussein Al Atas memberitahunya saya tak dapat hadir esoknya majlis perkhawinan cucunya (hari ini lah) kerana terpaksa ke Kota Bharu. Pak Habib tiada di rumah dan saya callnya. Dia ada di Kuala Lumpur dan dia kata terima kasih kerana kami sudi singgah walaupun tak dapat hadir majlis itu.

Jam 6.30 petang kami singgah di rumah sepupu saya, Adik Ti di Benta.Kebetulan suaminya, Hatta seorang peniaga sate. Mereka ajak kami makan sate terlebih dahulu di kedainya. Jam 8.30 malam baru kami bertolak ke Kota Bharu dari Benta.

Jam 9.30 malam kami tiba di Kuala Lipis dan batu tanda perjalanan menunjukkan Gua Musang lebih kurang 100 kilometer lagi, tiba-tiba semua kenderaan di hadapan kami bergerak perlahan. Bila kami tanya orang kampung di tepi jalan, mereka kata ada kemalangan tidak jauh dari situ yang menyebabkan jalam jem yang menyebabkan jalan ke Gua Musang ditutup. Semua kenderaan diarah berpatah balik ke Bentong dan jika mahu ke Kota Bharu kena melalui LPT ke Kuantan dan ikut Kuala Terengganu.

Kami sampai di Bentong pada jam 12 malam. Kalau kami mahu ke Kota Bharu ikut Kuantan-Kuala Terengganu. maknanya kami akan sampai di Kota Bharu pada jam 9 pagi. Tetapi kami kena bergilir pandu kereta. Sepanjang malam kami tidak tidur dan bila sampai di Kota Bharu, kami tak boleh buat liputan ambil berita kerana letih memandu dan tidak tidur sepanjang malam dan Pak Lah pula tak dapat ambil gambar. Jadi kami buat keputusan balik ke Kuala Lumpur dan kami tiba di Kuala Lumpur pada jam 1.15 pagi.

Pagi tadi jam 9, staf Tok Him, Nazri call saya tanya kami ada di mana. Saya jawab kami tersadai di Kuala Lipis kerana jalan tutup akibat kemalangan besar di antara Kuala Lipis-Gua Musang. Anehnya bila saya baca surat khabar hari ini tidak ada pula berita kemalangan itu sedangkan semua kenderaan ke Kota Bhrau terputus sejak jam 5 petang semalam lagi.

Sepatutnya bila jalan ditutup pada jam 5 petang, pihak polis Kuala Lipis hendaklah segera memaklumkan kepada polis Bentong. Dan polis Bentong pula memaklumkan kepada pihak tol Karak. Maka jurutol boleh beritahu semua pemandu yang mahu ke Kota Bhrau lalu ikut jalan Kuantan-Kuala Terengganu dan mereka tidak perlu memandu sampai ke Kuala Lipis dan berpatah balik ke Bentong. Nampaknya di zaman canggih ada handphone dan sms, pihak polis masih lagi tidak cekap memaklumkan jalan ditutup kepada pihak tol Karak.

Oleh itu saya memohon maaf kepada Tok Him kerana tidak dapat buat liputan majlis konvesyen Datuk pada hari ini. Saya yakin konvesyen ini memang hangat kerana ia akan menentukan masa depan Datuk sama ada mahu menyertai semula UMNO atau kekal sebagai ahli parlimen Bebas.Saya yakin majlis Datuk hari ini tetap mendapat liputan semua media tempatan.


Jumaat, Jun 05, 2009

MB MESRA RAKYAT


Sekali lagi Rabu lalu saya berada di Kuala Terengganu. Saya yang baru tiba dari Kuala Lumpur pada jam 7 pagi terus check in di sebuah hotel dua bintang apabila semua hotel murah di bandar itu penuh di musim cuti sekolah.

Tujuan kedatangan saya ke ibu negeri Terengganu itu untuk menemui Menteri Besar, Datuk Ahmad Said. Kebetulan beliau adalah bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman apabila saya menang bertanding jawatan ahli jawatankuasa pemuda pada tahun 1995. Beliau melantik saya sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman selepas dipilih jawatan ahli jawatankuasa.

Ketika beliau jadi Exco, beliau pernah menolong saya. Sebagai Menteri Besar, inilah kali pertama saya mahu minta pertolongannya. Sejak beliau menjadi Menteri Besar mulai 23 Mac 2008, inilah kali kedua saya menemuinya. Kali pertama pada bulan Mei tahun lepas. Saya mahu temuinya di pejabatnya tetapi orang terlalu ramai menyebabkan saya tak sempat menemuinya di pejabat. Saya terus menemuinya di rumahnya sebelah malam bersama Mubin Ismail dan Othaman Ibrahim.

Rabu lalu adalah kali kedua saya datang ke pejabatnya. Hari itu saya datang awal kerana ingatkan beliau akan masuk pejabatnya terlebih dahulu sebelum mempengerusikan mesyuarat Exco pada jam 9.30 pagi. Apabila bodyguardnya, Abu Bakar tiba jam 9.30 pagi, Bakar beritahu bahawa MB akan masuk pejabat selepas mesyuarat Exco, saya terus beredar dari situ ke Hotel Perimula menemui Hambali Latif yang menemui seorang rakannya dari Kuala Lumpur.

Selepas selesai menemui Hambali, beliau hantar saya balik ke hotel untuk caj bateri handphone yang tinggal satu bar. Jam 12.30 tengah hari saya ke pejabat MB semula dengan Othaman. Ramai kawan-kawan wartawan yang mahu hadiri sidang akhbar MB saya temui seperti Khalid Abdullah dari RTM, Aziah dari Utusan Malaysia, Khairul dari Harakah dan Shahrom dari TV3. Shahrom pernah bernikah dengan anak saudara janda saya (arwah Noriah). isteri Shahrom sudah lama meninggal dunia, lebih awal meninggal dunia dari janda saya yang meninggal tiga tahun lepas. Kahlid bercerita pengalamannya baru balik dari Surabaya manakala Aziah cerita pengalamannya baru balik dari Bangkok.

Hambali mengajak saya masuk sama sidang akhbar MB tetapi saya seganlah kerana saya bukan lagi editor akhbar WATAN (sudah sebulan lebih WATAN tidak diterbitkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan). Lagipun tujuan saya menemui MB bukannnya untuk mewawancaranya tetapi kerana urusan lain.

Menurut seorang kakitangan pejabat MB, Tengku Shamsuddin Tengku Ibrahim, setiap Rabu memang ramai orang yang mahu menemui MB. Ahmad Said meneruskan tradisi di zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang mudah ditemui rakyat setiap kali berada di pejabat. Wan Mokhtar akan melayan setiap karenah rakyat yang terdiri dari pelbagai lapisan yang mahu menemuinya.

Pada hari Rabu lalu, saya kira hampir 100 orang yang mahu menemui MB termasuk ibu yang membawa anak kecil, orang cacat yang berkerusi roda dan orang buta. Oleh kerana orang terlalu ramai maka MB terpaksa memanggil enam orang sekali gus ke biliknya untuk melayan kehendak mereka. Turut kelihatan beberapa orang bekas YB yang mahu menemui MB termasuk bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Engku Bijaya Sura Datuk Syed Omar Syed Mohamad dan bekas ADUN Rantau Abang, Shafie Daud.

Jam 5 petang, perjumpaan orang ramai dengan MB terpaksa ditangguhkan sebentarkerana MB ada temujanji dengan Menteri Belia dan Sukan yang baru sudah melawat bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh.

Pada jam 5.45 petang apabila Shabey beredar dari pejabat MB, perjumpaan MB dengan rakyat diteruskan. Shabery turut terkejut melihat betapa ramainya rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat yang ingin menemui MB.

Inilah kelebihan Ahmad Said yang mesra rakyat. Beliau meneruskan tradisi Wan Mokhtar yang mudah ditemui. Sebagai anak penyadap kelapa, Ahmad tahu betapa susahnya rakyat datang dari jauh mahu menemuinya. Kadangkala masalah mereka boleh diselesaikan oleh ADUN mereka, tetapi mereka lebih suka mengadu masalah mereka kepada MB. MB terpaksa melayan mereka walaupun beliau penat selepas menghadiri mesyuarat Exco.

Jam 7 petang, baru saya berpeluang menemui MB. Ketika saya balik masih ada 30 orang yang belum menemui MB termasuk Ali Nathan dari Kijal dan Pak Awi dari Kerteh. Saya pun tak pasti pukul berapa MB balik dari pejabatnya pada hari tersebut.

Stail Ahmad Said melayan rakyat setiap hari Rabu tidak mungkin ditemui di pejabat MB lain di Semenanjung. Ketika Datuk Seri Salleh Said Keruak menjadi ketua Menteri Sabah, beliau melayan rakyat sehari dalam seminggu di bangunan Yayasan Sabah. Saya tak pasti Datuk Seri Musa Aman mencontohi tindakan Salleh ini.

Kalaulah ini stail Ahmad Said melayan rakyat, rakyat suka kepadanya walaupun 18 orang ADUN tidak menyukainya. Oleh itu teruskanlah sikap mesra rakyat ini.

Cuma saya ingin mencadangkan supaya biar kerani yang jaga kaunter di pintu masuk pejabat MB memberi keutamaan kepada yang datang terlebih awal mengikut giliran. Saya tengok pada hari Rabu lalu ada yang dapat giliran lebih awal sedangkan orang itu baru sampai. Macam saya tak kisahlah menunggu dari jam 12.30 tengah hari hingga 7 petang, kerana saya nak tengok gelagat orang ramai.

Kalau saya nak jumpa MB lebih awal memang boleh, kerana Hambali ajak saya masuk sidang akhbar tetapi biarlah saya ikut giliran supaya saya tahu betapa susahnya orang kampung menunggu giliran untuk menemui MB.

Syabas saya ucapkan kepada Ahmad Said, MB yang mesra rakyat!

DR RAMZI MULA DIDAKWA DI MAHKAMAH


Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu semalam atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), April lalu.

Setiausaha Politik bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh itu yang memakai suit hitam serta bertali leher merah kelihatan tenang ketika membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Ramzi, 37, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada ADUN Paka, Mohd. Ariffin Abdullah untuk menimbulkan kegentaran kepada beliau.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit, di sini kira-kira pukul 11.21 malam, 13 April lalu.

Ketika melakukan ugutan tersebut, Ahmad Ramzi didakwa menyembunyikan nama dan tempat tinggalnya.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Ahmad Ramzi juga menghadapi tuduhan kedua dan ketiga iaitu didakwa melakukan perbuatan sama kepada ADUN Permaisuri, Abd. Halim Jusoh pada pukul 11.21 malam dan ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid pada pukul 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dia turut menghadapi tuduhan pilihan iaitu menggunakan perkhidmatan Internet melalui alamat Internet Protokol 60.53.155.148 secara sedar menghantar SMS 'Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?' yang mengancam sifatnya kepada Mohd. Ariffin, Abdul Halim dan Rosol untuk menganiayai Wan Ahamad Wan Muda pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi tuduhan pilihan ini, dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Bekas calon kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac tahun lalu itu juga menghadapi tuduhan memfitnah Wan Ahamad dengan menghantar SMS mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd. Ariffin, Abd. Halim dan Rosol.

Ahmad Ramzi dituduh menghantar SMS yang sama kepada mereka melalui laman web http://ownsms biz.com/v1 menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad antara pukul 11.21 malam dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Rosli Abdul Rahman.

Mahkamah membenarkan Ahmad Ramzi yang bertugas sebagai pegawai khas kepada Idris yang kini Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan menyerahkan pasport antarabangsanya sebagai syarat jaminan.

Hakim menetapkan 19 Julai ini sebutan semula kes itu bagi membolehkan pihak pembela mendapatkan beberapa dokumen dari pihak pendakwa.

Selasa, Jun 02, 2009

SPRM PERLU SIASAT


Sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang bernilai RM280 juta di Kompleks Sukan Gong Badak di sini yang baru setahun digunakan, runtuh pada jam 9.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 1, Pauzan Ahmad, berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan tetapi runtuhan itu menyebabkan sebuah kereta dan tiga motosikal serta sebuah jentera berat yang diletakkan di sekitar stadium itu ranap.

"Kami mendapat maklumat pada jam 9.45 pagi dan tiga jentera yang bergegas ke tempat kejadian sampai tujuh minit kemudian dan terus membuat penilaian bagi memastikan tiada mangsa terperangkap dan menentukan adakah akan berlaku lagi runtuhan," katanya ditemui di tempat kejadian.

Amatlah sedih apabila stadium yang baru diguna setahun sudah runtuh bumbungnya. Oleh itu SPRM perlu menyiasat kontraktor yang berkenaan sama ada terdapat unsur penyelewengan dan rasuah. Dahulu heboh kontraktor yang dapat tender itu disuruh buat V.O tapi duit tak masuk ke dalam akaun kontraktor. Jadi siapa yang sapu duit itu? Ini yang SPRM kena siasat.

Sabtu, Mei 30, 2009

AL FATIHAH UNTUK OTHMAN AWANG

Rabu lalu saya tiba semula di Kuala Terengganu. Setiap kali saya ke Kuala Terengganu, ada rakan yang bimbang. Seorang kawan bertanya Marzuki Muda kenapa saya berjumpa dengan Hambali Latif. Padahal Hambali adalah rakan lama yang pernah jadi consultant di akhbar WATAN terbitan Kumpulan Karangkraf. Malah Hambali yang mencadangkan kepada pengurusan WATAN supaya menghantar saya ke Sabah pada tahun 1989 dahulu.

Jadi kenapa perlu bimbang bila saya berjumpa dengan Hambali. Malam itu saya minum bersama dengan Othaman Chendering, dua pupu saya, Radzi Mohd Shah dan blogger terkenal, Abdul Mubin Ismail di Ganu Cafe. Blognya Jarang Anak Melayu kini amat popular di kalangan orang politik Terengganu. Mubin turut hairan kerana saya asyik balik ke Kuala Terengganu setelah sekian lama tidak balik.

Saya tidak lama di Kuala Terengganu. Hanya dua malam kerana terpaksa balik ke Kuala Lumpur. Dua pupu saya, Radzi atau lebih dikenali dengan nama Rabbi beritahu kisah kematian calon BN Wakaf Mempelam, Othman Awang, 51, yang juga tiga pupu kami pada minggu lepas.Dia bahasakan dirinya dengan saya sebagai Abang Man.

Nenek saya memang berasal dari Paloh. Saudara mara saya masih ramai di Paloh termasuk Datuk Ghazali Mohd. Noor bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan dendang yang kini menetap di Dungun. Datuk Ghazali pun berasal dari Paloh. Begitu juga saudara kami Tan Sri Razali Abdul Rahman Pengerusi Peremba yang berasal dari Paloh juga. Ayahnya, Che Man lama tinggal di Pasir Gajah pada tahun 40an. Setiap kali hari raya bila saya ke Paloh, kalau saya tak naik ke rumah saudara yang ini, saudara yang itu kecil hati. Tak larat nak ziarahi semua rumah.

Bapa saudara Abang Man, Ayah Cik Man duduk di Binjai. Setipa kali hari raya Ayah Cik Man akan berhari raya di Paloh rumah emak Abang Man. Ketika saya bertugas dengan Warta Parlimen Kepala batas pada tahun lepas sebelum pilihan raya umum 2008, setiap malam Abang Man call saya tanya dapat tak dia jadi calon. Saya pening kepala. Saya bertugas dengan akhbar Pak Lah tetapi saya mana ada kuasa untuk beritahu Pak Lah supaya ambilnya sebagai calon. Mujurlah dia dapat jadi calon di Wakaf mempelam. Sebagai bekas Penolong Pegawai daerah Kuala Terengganu, abang Man beri tentangan yang sengit kepada calon PAS, Abdul Wahid Endut. Sudah 30 tahun PAS bertapak di Wakaf mempelam, jadi agak sukar bagi Abang man untuk menang.

Pada tahun 1985, Abang Man minta TCS bersama saya. Saya gagal tetapi Abang man setiap hari berjumpa Datuk Abu Bakar Daud. Maka dapatlah Abang man jadi TCS sebagai calon yang disokong oleh Datuk Bakar Daud. Saya masa itu belum kenal dengan Menteri besar. Tan Sri wan Mokhtar Ahmad. Maka saya tidak lobi jawatan TCS dengan Wan Mokhtar. Saya gagal TCS tetapi saya bangga kerana saya adalah salah seorang peserta terbaik di kalangan calon TCS yang menyertai kursus khas untuk calon-calon TCS di Pusat Pupuk Semangat, Kemaman.

Ketika Abang Man bertugas sebagai ADO di Kemaman, beliau sering kali berkunjung ke rumah saya di pasir Gajah. Ketika itu aruah nenek saya yang Abang man panggil Mak Long jarah masih hidup. Minggu lepas, 5 hari sebelum Abang Man meninggal, dia sms saya, minta nombor handphone Setiausaha Politik Perdana Menteri. Saya terkilan kerana saya tak sempat memenuhi permintaannya itu kerana beliau dipanggil menghadap ilahi. al Fatihah buat Abang Man.

Selasa, Mei 26, 2009

PECAT SARAVANAN


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib tun Razak perlu memecat Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan kerana menghadiri majlis perhimpunan haram menyokong Tamil Elam di Batu Caves Ahad lalu.


Apa nak jadi dengan Saravanan? Kerajaan Malaysia menyokong resolusi Sri Langka berhubung dengan pengganas Tamil Elam. Oleh itu Saravanan kenalah menyokong kerajaan kerana memang jadi dasar kerajaan Malaysia tidak campur tangan urusan dalam negara orang.


Samy Vellu turut mencadangkan supaya kerajaan Malaysia tidak menyokong resolusi itu kerana menyinggung perasana orang India. Ini bukan soal menyinggung perasaan orang India kerana apa yang dibuat oleh Talim Elam adalah dikutuk juga oleh kerajaan India termasuk membunuh Rajiv Ghandi. Dalam soal pengganas, Malaysia tetap konsisten mengutuk Talim Elam yang terlibat dalam pembunuhan ramai rakyat Sri Langka.


Oleh itu usaha menyokong Tamil Elam di Malaysia adalah sama menyokong pengganas. Adakah saravanan yang menyokong pengganas tamil Elam wajar dikekalkan dalam kabinet? oleh itu Najib perlu serius dalam soal ini.

Jumaat, Mei 22, 2009

SEPAGI DI THE MALL


Selepas balik dari MINDEF pagi ini menemui PA kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pertahanan, saya singgah di The Mall. Lama juga saya tak lepak di the Mall kerana sibuk uruskan beberapa urusan kawan-kawan.

Ada kawan nak jumpa Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi pun cari saya. Nasib baik Dr. Zahid jawab sms saya di depan kawan saya itu menyebabkan kawan saya percaya saya baik dengan Dr. Zahid. Padahal Dr. Zahid layan saya sebagai seorang wartawan yang sudah lama saya kenali sejak tahun 1989 lagi ketika beliau menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya bawak kawan saya jumpa Dr. Zahid. Terpulang kepada Dr. Zahid sama ada mahu menolong kawan saya itu. Saya banyak terhutang budi kepada Dr. Zahid. Beliau yang banyak membantu saya sepanjang lima bulan WATAN tak bayar gaji saya.

Ramai kawan-kawan lepak di Hotz cafe The Mall itu berbincang politik semasa ketika saya sampai. Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Rahim Husin kelihatan berbual dengan bekas Ketua Pemuda PKR Terengganu, Fakrul Azman dan AJK UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Zakri. Kemudian datang Ketua Pemuda UMNO Terengganu yang baru, Saiful anak bekas SUK Terengganu, Datuk Baharuddin yang juga Ketua Pemuda UMNO Marang yang baru. Turut hadir ialah Setiausaha Pemuda UMNO Negeri yang baru yang juga Ketua Pemuda UMNO Kuala Nerus yang baru.

"Dahulu Saiful tiada musuh, sejak jadi Ketua Pemuda negeri yang baru, semakin ramai musuh Saiful," kata Zakri yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Hulu Terengganu.

"Percayalah cakap saya. Bukan senang nak buat program pemuda kerana ADUN yang ada takut kepada kita akan ambilalih tempatnya," kata Zakri lagi kepada dua tokoh muda itu. Beliau bercakap berdasarkan pengalamannya sebagai ketua pemuda ketika bahagian Hulu Terengganu diketuai oleh Datuk Ahmad Sidi ismail yang juga Exco kerajaan negeri terengganu. Sebab itu beliau tidak dapat jadi calon walaupun beliau adalah ketua pemuda bahagian. Namun begitu sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya, beliau tidak pernah kalah G7 dari Hulu terengganu.

Rahim Husin tidak dapat lama di The Mall kerana terpaksa balik ke Besut untuk menghadiri majlis tahlil sempena genap setahun kematian ayahnya di Jerteh pada malam ini. Saya tidak dapat lama berada di The Mall kerana terpaksa pergi ke masjid yang tidak jauh dari situ untuk menunaikan solat Jumaat.

POLITIK TERENGGANU BELUM STABIL

Pertemuan ADUN BN dengan ketua perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammudin Hussein malam tadi belum menemui jalan penyelesaian terhadap kemelut politik di negeri itu, kata ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

nawi mohamad adun hulu besut 210509Nawi (foto) yang turut menghadiri pertemuan tersebut di pejabat Hishammmudin di Putrajaya, mendakwa masih sukar untuk dua kumpulan penyokong yang saling bertentangan itu, untuk berbaik-baik semula.

Dua kumpulan tersebut terdiri daripada penyokong Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan satu lagi bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

"Tiada jalan lain (untuk penyelesaian) melainkan pucuk pimpinan tertinggi melihat punca kemarahan ADUN-ADUN Terengganu sehingga mencetuskan kemelut tersebut.

"Mereka kena tengok prestasi Ahmad sebagai menteri besar, Ini perkara yang penting," katanya.

Sebelum ini, sebahagian ADUN BN Terengganu mahu Ahmad digantikan atas alasan tidak berkeupayaan mentadbir negeri itu.

Manakala 10 daripada mereka tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu baru-baru ini apabila tiga daripada mereka menerima SMS ugutan.

ahmad said idris jusoh terengganuBagaimanapun mereka menghadiri hari terakhir sidang DUN tersebut atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malam tadi, Hishammuddin yang juga naib presiden Umno mengadakan pertemuan berasingan dengan ketua-ketua Umno bahagian dan kemudiannya diikuti pertemuan dengan ADUN BN Terengganu.


Sementara itu, ketua Umno bahagian Dungun Datuk Rosli Mat Hassan, ketika ditemui malam tadi, mendakwa semua ketua Umno bahagian tidak ada masalah dengan Ahmad.

Beliau juga mendakwa tidak berlaku kemelut politik yang berlaku di negeri itu sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Rosli berkata, dalam pertemuan itu, semua ketua bahagian, termasuk Idris (Besut) setuju dengan permintaan Hishammuddin supaya mereka sama-sama menyelesaikan kemelut tersebut.

Difahamkan dalam pertemuan semalam, tiga ADUN - Rosol (Ajil), Zakaria Ariffin@ Abdullah (Paka) dan Datuk Din Adam (Bukit Besi) - bercakap panjang lebar mengenai kemelut politik Terengganu.

Beberapa ADUN lain turut mencelah, tetapi Idris dan Ahmad yang hadir sama dalam pertemuan tersebut, hanya sekadar mendengar sahaja.

Idris dan Ahmad kelihatan keluar bersama tetapi tidak bercakap ketika menuju ke kereta masing-masing, selepas tamat pertemuan tersebut.

Kedua-dua mereka enggan ditemubual media untuk mendapatkan pandangan mengenai hasil pertemuan dengan Hishammuddin malam tadi.

Ahad, Mei 17, 2009

AHMAD SAID KEKAL MB


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kepimpinan negeri ini akan terus diterajui Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memberitahu, isu pertukaran jawatan menteri besar tidak berbangkit malah tiada perbincangan mengenainya dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

"Siapa kata (ada pertukaran), setakat ini saya tak dengar apa-apa pun tentang perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru 2009 Peringkat Kebangsaan bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu semalam.

Muhyiddin mengulas desas-desus kononnya Menteri Besar Terengganu akan ditukar berikutan kemelut politik melanda negeri ini.

Isu itu timbul berikutan ura-ura undi tidak percaya terhadap Ahmad pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, namun ia tidak berlaku.

Bagaimanapun, pada hari kedua persidangan, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) tidak hadir atas alasan keselamatan selepas tiga daripada mereka iaitu Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima sistem pesanan ringkas (SMS) ugutan dipercayai berikutan polemik itu.

ADUN-ADUN berkenaan selepas itu turut melahirkan rasa tidak percaya terhadap kepimpinan Ahmad dan mahu beliau ditukarkan.

Muhyiddin menegaskan, beliau mahu melihat situasi politik di Terengganu menjadi bertambah baik dengan semua pihak mengutamakan perhatian untuk membina kekuatan UMNO dan BN di negeri itu.

Beliau percaya semua kepimpinan UMNO negeri termasuk wakil rakyat dan kepimpinan bahagian akan cuba mengorak langkah baru untuk mewujudkan satu persefahaman yang lebih baik di kalangan mereka.

"Kita sayangkan Terengganu. Rakyat telah beri kepercayaan dan kita kena tumpukan perhatian untuk membangunkan negeri ini kerana Terengganu mempunyai banyak sumber, hasil negeri banyak, minyak pun ada.

"Saya kira rakyat masih mahu lihat pembangunan yang lebih banyak, jadi ia mesti diutamakan," ujarnya.

Katanya, walaupun ada perselisihan faham sesama sendiri, mereka perlu memberi keutamaan untuk menyelesaikannya.

"Sama ada ADUN, bukan ADUN, pemimpin parti, berjawatan atau tidak, jika berganding bahu, kalau pentingkan rakyat dan mahu pertahankan kedudukan di Terengganu, jangan abaikan rakyat yang beri keyakinan kepada kita untuk mentadbir negeri ini," ujarnya.

Sabtu, Mei 16, 2009

EMPAT JAM DI KUALA TERENGGANU


Tiga hari lepas saya menerima panggilan dari Pegawai Penyelidik Kanan Menteri Besar, Hambali Latif yang mahu menemui saya. Saya yang kebetulan sibuk di Kuala Lumpur terpaksa balik ke Terengganu untuk memenuhi undangan Hambali itu. Saya pun sudah lama tidak balik ke Terengganu.


Sekian lama tidak menjejak kaki di Kuala Terengganu, saya berpeluang ke Kuala Terengganu pagi ini dari Kemaman. Sepatutnya temujanji saya dengan Hambali Abdul Latif pada pagi esok tetapi pagi esok beliau ke Tasik Kenyir bersama Datuk Ahmad Said, maka temujanji kami terpaksa diawalkan sehari.


Saya naik bas saja dari Kemaman dengan bas jam 11 pagi. Dalam bas, saya menerima sms dari seorang rakan di UDM, Wan Muhammad Wan Ismail yang menulis hari ini geng 10 menghadiri majlis TPM di Taman Tamadun Islam. Tulisnya, geng 10 takut hadiri sidang dewan kerana ugutan bunuh tetapi tak takut pula hadiri majlis sambutan Hari Guru di Taman Tamaddun Islam. Logik juga sms Wan Muhammad itu.


Pada jam 1.30 tengah hari saya sudah tiba di stesen bas MPKT. Kawan saya, Marzuki Muda menyambut saya di situ. Selesai kami makan, dia hantar saya ke Batu Buruk. Di situ seorang lagi kawan, Othaman Chendering sambut saya. Kami ke hotel Primula selepas itu kerana temujanji saya dengan Hambali tepat jam 4 petang.


Oleh kerana beliau sibuk dengan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, maka temujanji itu ditangguhkan hingga jam 4.45 petang. Sementara menunggu ketibaan Hambali, saya tak sedar Setiausaha Perhubungan, Datuk Rosli Mat Hassan dan rakan-rakannya di coffee house. Jika tidak, dapat saya join sekali mereka mendengar perkembangan politik semasa.


Tepat jam 4.45 petang, Hambali tiba. Hambali sudah lama saya kenali sejak di Berita Harian lagi. Selama 45 minit, kami bertiga berbual isu semasa termasuk isu penahanan Dr. Ramzi Zubir. Nampaknya politik Terengganu tetap hangat mutakhir ini dan dengan kenyataan Muhyididin bahawa Ahmad Said tetap kekal Menteri Besar Terengganu sudah tentu mengecewakan kumpulan 18.


Jam 5.30 petang Hambali menghantar saya ke stesen bas MPKT kerana saya bertolak ke Kemaman dengan bas 6 petang. Saya terpaksa balik juga kerana Menteri Besar merasmikan mesyuarat agung berkelompok seluruh cawangan UMNO Bahagian Kemaman pada jam 9 malam.


Di stesen bas MPKT, Datuk Bandar, Datuk Razali Kassim masih bersama pegawai-pegawai MBKT yang baru sahaja menerima lawatan Muhyiddin ke stesen bas tersebut. Kebetulan dua pupu saya, pegawai kanan MBKT, Mohd. Radzi Mohd. Shah ada bersama mereka. Saya sempat menemuinya sekejap sebelum menaiki bas jam 6 petang.

Rabu, Mei 13, 2009

DR RAMZI DITAHAN DI HOTEL


Polis Kontinjen Terengganu menahan Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, 42, di sebuah hotel di sini, jam 8.30 pagi semalam.

Polis yang mendapat maklumat Ahmad Ramzi tiba dari Kuala Lumpur jam 5 pagi dan menginap di hotel itu, menahannya bagi membantu siasatan kes penghantaran SMS ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), pada 14 April lalu.

Yang anehnya kenapa Dr Ramzi tidak balik ke rumahnya setibanya dari Kuala Lumpur. Sebaliknya beliau menginap di hotel sedangkan pihak polis sudah lama mengekorinya. Nampak sangat tindakan Dr Ramzi kurang bijak. Sepatutnya beliau menyerah diri dari awal lagi kepada polis untuk memudahkan siasatan polis.

Kita bukannya menuduh Dr Ramzi menjadi dalang dalam sebaran sms ini kepada tiga orang ADUN. Tetapi jika beliau tidak bersalah, kenapa beliau takut menyerah diri kepada polis sehingga polis terpaksa mengeluarkan waran tangkap kepadanya.

Kita berharap pihak polis dapat menyelesaikan isu ini secepat mungkin kerana ia sedikit sebanyak telah mencemari nama baik Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang mana kononnya sms itu dihantar oleh SUSK beliau, Wan Ahmad.

Sehubungan dengan itu kita berharap pihak polis dapat menyiasat kes ini secara adil dan hasil siasatan ini dapat membersihkan nama Wan Ahmad yang telah tercemar.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II, Hamzah Mohd Jamil, berkata polis membawa Ahmad Ramzi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk siasatan lanjut dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah jika siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam tempoh 24 jam.

"Polis turut merampas dua komputer riba dan sebuah modem dari rumah Ahmad Ramzi di Kampung Kubang Parit di sini, kira-kira jam 3 petang, kelmarin," katanya di IPK di sini, semalam.

Hamzah berkata, siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah, Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memfitnah serta Seksyen 233 Akta Telekomunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan.

Jika sabit kesalahan Ahmad Ramzi boleh didenda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu.

Hamzah berkata, dengan tertangkapnya Ahmad Ramzi, polis percaya siasatan kes SMS itu dapat diselesaikan dan dapat meredakan ketidaktentuan dan kebimbangan orang ramai berikutan kes berkenaan.

Jumaat lalu, Polis memberi tempoh tiga hari hingga jam 3 petang Isnin (kelmarin) kepada Ahmad Ramzi supaya tampil ke IPD bagi membantu siasatan dan jika dia gagal berbuat demikian, waran tangkap akan dikeluarkan.

Hamzah berkata, polis sudah mengeluarkan makluman sejak 25 April lalu kepada keluarga Ahmad Ramzi supaya hadir bagi bantu siasatan kes itu.

Katanya, siasatan dibuat setakat ini mendapati SMS ugutan bunuh diterima tiga Adun BN, Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Mohd Ariffin Abdullah (Paka) bukan dihantar daripada telefon mudah alih yang didaftarkan sebagai milik Setiausaha Sulit Kanan (SUSK), Menteri Besar Terengganu.

Pada 14 April lalu, Rosol, Abdul Halim dan Zakaria Abdullah membuat laporan polis selepas menerima SMS ugutan yang dikatakan dihantar daripada nombor telefon mudah alih SUSK Menteri Besar.

Berikutan SMS itu, tujuh lagi Adun BN yang bersimpati dengan tiga Adun berkenaan bersepakat tidak hadir pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selagi tidak mendapat jaminan keselamatan polis.

Semua Adun berkenaan bagaimanapun hadir pada hari ketiga sidang DUN setelah diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan jaminan keselamatan daripada polis.

Selasa, Mei 12, 2009

KERAJAAN PERPADUAN JALAN PENYELESAIAN


Malam tadi saya turut hadiri majlis sambutan ulangtahun UMNO yang ke 63 di Dewan Merdeka, PWTC. Saya masuk pintu belakang dan meja dalam dewan yang besar itu dipenuhi dengan hadirin. Pak Hamid Satar mempelawa kami duduk di meja yang terdapat di hujung dewan itu. Saya hanya mahu berdiri saja mendengar ucapan Datuk Seri Najib, tetapi oleh kerana Pa Kahmid sudah pelawa saya dan rakan saya ke meja itu, maka kami terpaksa duduk sehingga majlis itu berakhir.

Semalam sempena harilahir yang ke 63, Mahkamah Tinggi memutuskan Datuk Seri Nizar Jamaluddin adalah MB Perak yang sah. Sedih rasanya kerana majlis sambutan UMNO dicemari dengan keputusan yang berpihak kepada Pakatan Rakyat. Tetapi sebagai ahli UMNO, kita kena hormati keputusan mahkamah.

Hari ini Mahkamah Rayuan membuat keputusan supaya keputusan mahkamah tinggi semalam ditangguhkan terlebih dahulu. Maka Dr. Zambri dapat kembali menjadi MB Perak sehingga BN menunggu keputusan akhir Mahkamah Rayuan.

Pening rakyat Perak dibuatnya. Jadi saya rasa jalan terbaik ialah mengadakan kerajaan perpaduan antara kerajaan Pakatan Rakyat dengan BN. Calon MB boleh diambil dari parti yang terbanyak, UMNO. Jika Nizar enggan menerima Dr. Zamri maka BN boleh mengemukakan calon baru.

Kerajaan perpaduan ini BN, PAS, DAP, PKR boleh dibuat sebagai perintis di Perak. PKR, PAS dan DAP tidak perlu masuk BN. Mereka cuma berpadu dalam kerajaan Perak sehingga pilihanraya umum akan datang. Bila tiba pilihan raya, maka BN akan berlawan dengan PKR, PAS dan DAP sekali lagi untuk mendapat mandat rakyat.

Sudah tiga bulan krisis kerajaan Perak tidak selesai. Yang rugi adalah rakyat. Maka jalan terbaik BN perlu berpakat dengan PAS, DAP dan PKR untuk menubuhkan kerajaan perpaduan ini.

Isnin, Mei 11, 2009

POLIS LAMBAT DEDAHKAN ANGKARA SMS


Meneliti kisah politik Kuala Terengganu yang berkisar di kalangan UMNO sahaja, rasanya malu pula saya dengan parti komponen lain terutama MCA dan MIC yang tidak berbunyi apa pun.


Mungkin mereka berbual sesama sendiri mengatakan ‘teruknya politik Melayu ni’. Sementara itu, PAS Terengganu pun sibuk menggumpul data untuk dijadikan bahan menyerang BN dalam pilihan raya umum akan datang atau apabila sekiranya berlaku pilihan raya kecil nanti.


Jembalang 10 yang memulakan kemelut politik di Terengganu sebenarnya merupakan satu kumpulan kecewa yang menyerupai ‘gangstar’ bertujuan mahu menjatuhkan menteri besar, Datuk Ahmad Said dengan secara tidak langsung telah membinasakan UMNO dan BN yang kini bukan sesihat yang kita lihat dengan mata kasar.


Mereka gagal melihat seruan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berusaha dengan jentera baru UMNO mahu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan BN.


Atas sifat itu, Jembalang 10 boleh dianggap sedang mengkhianati parti yang mereka anggotainya.


UMNO ada perlembagaan dan ada jawatankuasa disiplin yang sudah patut bertindak terhadap mereka yang sudah terang-terang cuba mencabuli perlembagaan parti. Mereka sudah layak dipanggil dan menunjukkan sebab masing-masing mengapa mereka begitu mengganas dan hilang setia kepada pemimpin yang sedia ada.


Mereka begitu celubar, begitu cabul dalam memberi kenyataan media dan tidak segan silu memutarbelitkan faktar dalam blog-blog yang diwujudkan untuk menyampaikan hasrat mereka dalam mengejar niat jahat mereka mengerjakan Ahmad Said yang tidak nampak sedang melakukan apa-apa kesalahan dalam mentadbir Negeri Terengganu.


Kalau tiga orang sahaja yang menerima SMS diugut tidak hadir persidangan, mengapa yang 7 lagi juga turut tidak hadir? Dengan fakta itu sahaja sudah cukup untuk disimpulkan mereka sekumpulan yang pasti ada ketuanya. Dan siapa ketuanya? Mungkinkah kita mahu kekal mempercayai Idris Jusoh ketuanya? Atau apakah ada orang lain yang berselindung disebalik kumpulan ini yang lebih bahaya?


UMNO tidak sepatutnya memandang bulu, memandang darjat atau siapa dalam soal ini kerana kalau mereka tidak ditegur, tidak diberi amaran atau tidak diambil apa-apa tindakan dari sekarang yang sudah agak lewat, mereka akan merebak dan tentunya menjejaskan kredibiliti pemimpin sedia ada seperti Ahmad Said yang mahu terus buat kerja untuk rakyat dengan tenang.


Kerja mereka sepatutnya memberi kerjasama dan menunjukkan taat setia, beri sokongan dan mendekati pemimpin mereka yang sudah menududuki tempat menteri besar supaya pemimpin UMNO di semua peringkat dilihat merapatkan jurang dan ia dengan sendirinya akan memantapkan UMNO dan BN.


Apabila Najib mengarahkan mereka hadir persidangan keesokan harinya, mereka boleh pula turuti dan tidak ada siapa pun yang kena bunuh! Mereka semua masih hidup seperti sedia kala!
Adalah satu perkara malang apabila SMS yang dikesan tersebar kepada ADUN kepada Datuk Rosol Wahid (Ajil), Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) telah pun menemui puncanya datang dari seorang kerani swasta dari Selangor.


Sipengirim telah ditahan dan dibawa ke Terengganu untuk disoalsiasat. Tetapi selepas tempoh reman yang dilanjutkan, tidak ada siapa pula yang dikaitkan untuk didedahkan kepada orang ramai yang terlalu ingin mengetahui siapa dan apa tujuan SMS itu dihantar.


Apabila kita kata tindakan pihak polis lambat, ada pihak yang melenting kerana pada polis, perkara ini dalam siasatan dan tidak boleh diungkit. Pada hal kita bukan mahu ungkit, tetapi mahu tahu kesinambungannya dan siapa yang polis sedang cari, apakah polis memerlukan bantuan orang ramai kalau mereka yang dicari itu sudah hilang.


Kes ini sebenarnya serius. Kita tidak boleh beri suspens lama-lama. Ia sepatutnya sudah mendedahkan lanjutan siasatan itu setelah yang direman itu tentunya sudah mengeluarkan butir-butir untuk polis menyiasat selanjutnya.


Bukan sahaja rakyat Terengganu mahu tahu, malah mereka yang mengikuti perkembangan itu mahu tahu siapa disebaliknya. Kalau gang 10 tidak terlibat pun, dedahkan supaya wasangka ini tidak berlarutan. Setakat ini semua percaya gang 10 terlibat secara langsung. Ia menimbulkan prasangka buruk yang berpanjangan.


Dalam menghadapi masalah mengacau ketenangan Terengganu, kita tidak boleh membiarkan Ahmad Said seorang sahaja yang terus menerus ditekan sedangkan tidak pihak lain yang menekan gang 10 yang memulakan angkara yang merosakkan parti, nama BN dan negara amnya.


Kumpulan yang tidak senang dengan Ahmad Said lagi bertambah gelisah mendengarkan kata Datuk Seri Hishamuddin berkata jawatan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu akan dikembalikan kepada menteri besar sebaik sahaja kemelut politik di negeri itu selesai.


Rencana ini ditulis oleh Zakaria Bidin

Ahad, Mei 10, 2009

MAJLIS DR.ZAHID TETAP RAMAI ORANG


Dari dahulu sampai sekarang setiap kali Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi mengadakan majlis, majlisnya tetap ramai orang mengunjunginya. Malam kelmarin (Sabtu), saya berpeluang mengikuti majlis meraikan kemenangannya sebagai Naib Presiden UMNO di rumah mentuanya di Durian Daud, Masjid Tanah, Melaka.

Bersama dua orang rakan, Datuk Nordin Ahmad dan Dollah Karim,kami sampai di rumahnya pada jam 9 malam. Kanopi yang disediakan di luar pagar penuh dengan orang ramai. Kawan-kawan Dr. Zahid dari Kuala Lumpur ramai yang datang termasuk Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Tiger.

Saya sempat bertemu dengan bekas Exco Melaka, Datuk Ibrahim Durum yang merupakan kawan baik Musli Oli. Sehingga jam 12 malam orang masih ramai di rumah Dr. Zahid kerana menunggu kedatangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.

Kami balik jam 12.30 malam. Ketika itu Ali Rustam belum tiba lagi. Sudah menjadi tradisi Ali, beliau akan datang ke rumah orang walaupun hari sudah lewat malam. Melihat betapa ramainya orang, masa depan Dr. Zahid amat cerah. Beliau tetap seperti dulu mesra dengan semua orang. Sebab itulah walaupun beliau mendapat pencalonan yang kurang dari Hishamuddin Hussein Onn, tetapi beliau lebih popular dari Hishamuddin. Semoga Kementerian Pertahanan yang diterajuinya sekarang akan melonjak namanya dalam tempoh tiga tahun akan datang. Selamat maju jaya Dr. Zahid!

Sabtu, Mei 09, 2009

POLIS CARI DR.RAMZI


Sudah seminggu saya tak update blog saya kerana saya agak sibuk minggu ini. Walaupun saya belum bekerja tetap setelah berhenti dari akhbar WATAN pada 1 April lalu, saya ada banyak temujanji yang perlu saya penuhi sehingga tidak sempat menguptodate blog saya.

Haji Yusof, kawan lama dari Kuala Terengganu telah sms saya semalam tanya kenapa sudah lama saya tidak update blog saya. Saya jawab, saya agak sibuk minggu ini menguruskan perjalanan saya ke Sabah minggu depan. Hari ini saya ingin memetik kembali sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam mengenai bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Ramzi Datuk Zubir.

Dua minggu lepas apabila saya tulis mengenai Dr. Ramzi, nombor yang saya tidak kenali telah sms saya mengugut akan menyaman saya kerana mengaitkan nama Dr. Ramzi dengan penyebaran sms ugutan kepada tiga orang ADUN sedangkan tulisan ini berdasarkan kepada sidang akhbar polis.

Jadi apabila polis mengadakan sidang akhbar semalam, saya harap orang yang menghantar sms kepada saya tidak menghantar sms lagi untuk menyaman saya. Berikut ialah petikan dari Utusan Malaysia hari ini:-

Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir diminta tampil membantu polis melengkapkan siasatan kes khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner (SAC II), Hamzah Mohd Jamil, berkata Ahmad Ramzi diberi tempoh tiga hari sehingga Isnin untuk datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan jika dia gagal waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya.

Beliau berkata, sehingga kini, Ahmad Ramzi yang kini mungkin berada di luar negara, belum tampil memberi keterangan kepada polis, walaupun sudah diminta berbuat demikian pada 25 April lalu.


Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Hadzwan Zulkefle, talian 09-62... dalam masa terdekat.

Hamzah berkata, polis sudah mencari Ahmad Ramzi di kediamannya di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur tetapi gagal mengesannya.

"Polis sudah selesai menjalankan kes dan hanya menunggu Ahmad Ramzi tampil memberi keterangan. Kita tidak menolak kemungkinan beliau berada di negara yang tidak diketahui, tetapi akan meminta kerjasama Jabatan Imigresen untuk semakan," katanya, semalam.

Hamzah berkata, siasatan setakat ini mendapati SMS ugutan bunuh yang diterima tiga Adun BN itu bukan dihantar daripada telefon Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu.

Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan polis dijangka selesai apabila Ahmad Ramzi memberi keterangan kepada polis.

Hamzah meminta sesiapa yang mengetahui lokasi Ahmad Ramzi boleh menghubungi Polis Terengganu supaya dapat memanggilnya datang memberi keterangan.

Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan seorang kerani berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta, di Bandar Baru Bangi pada 23 April lalu serta merampas beberapa peralatan termasuk komputer peribadi yang dipercayai untuk menghantar SMS berkenaan.

Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes penyebaran SMS ugutan itu bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

Sabtu, Mei 02, 2009

DR KHIR SEMAKIN LANTANG


Sebulan sesudah pertandingan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya berpeluang menemui salah seorang calon yang kalah, Datuk Seri Dr. Khir Toyo di pejabatnya di Glemanrie, Subang Khamis lalu.



Ini adalah kali kedua saya berpeluang menemubualnya. Kali pertama sebulan sebelum pertandingan pada 25 Mac lalu. Dalam wawancara kali pertama, beliau banyak bercakap terus terang. Beliau kalah tipis di tangah ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin. Ramai yang mengharapkan beliau menang dalam pertandingan tiga penjuru itu di antara Khairy-Dr.Khir-Datuk Mukriz Mahathir.



Ramai yang bosan dengan pertelingkahan antara Dr. Mahathir Mohamad dengan Abdullah Ahmad badawi, merasakan mengundi Dr. Khir dapat menyelesaikan masalah ini yang mana jika Khairy menang, Dr. Mahathir kecil hati dan jika Mukhriz menang, Pak Lah kecil hati. Mereka mengaggap Dr. Khir adalah calon alternatif yang dapat meredakan keadaan. Tetapi kemenangan berpihak kepada Khairy. Walaupun menang, Khairy berada di luar kabinet sedangkan yang kalah, Mukriz dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mengulas ketiadaan jawatan Khairy, Dr. Khir berkata jika beliau menang pun, beliau menolak tawaran berada dalam kabinet. Beliau adalah ADUN Sungai Panjang dan Ketua Pembangkang dalam DUN Selangor. Andainya beliau menanag dan dilantik Senator untuk dilantik menteri atau timbalan menteri mewakili kuota ketua pemuda, beliau enggan kerana katanya, "Sebagai ketua pemuda lebih baik tak ada jawatan supaya lebih mudah menegur dasar kerajaan".


Dr. Khir tak nampak Khairy bersikap lantang sehingga ini. Mungkin Khairy masih menunggu masa yang sesuai untuk bersikap lantang menegur beberapa dasar baru yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.



Inilah kali pertama Dr. Khir tidak berada dalam majlis tertinggi UMNO setelah tewas dalam pertandingan ketua pemuda. Pada tahun 2004, beliau menang majlis tertinggi UMNO di tangga pertama. Biasanya pemenang majlis tertinggi UMNO nombor satu akan menang dalam pertandingan naib presiden UMNO berikutnya tetapi Dr. Khir ukur baju di badan sendiri. UMNO Selangor yang diterajuinya sudah kalah dalam pilihan raya umum 2008. Maka beliau berundurbertanding ketua pemuda yang juga setaraf dengan naib presiden UMNO.



Tetapi percubaan pertamanya ini gagal. Kegagalan ini tidak mematahkan semangatnya kerana sebagai ketua pembangkang di Selangor, Dr. Khir tetap mampu bersuara lantang. Beliau kesal dengan pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang mana kementerian ini amat banyak membantu orang Melayu.



"Jika MECD dianggap sebagai kementerian yang pro Melayu apa salahnya dilantik dua timbalan menteri dari orang China dan India di kementerian tersebut kerana kemiskinan juga banyak terdapat di kalangan bukan Melayu?," soal beliau.



Beliau juga kurang setuju dengan keputusan kabinet yang memutuskan bahawa anak-anak kekal dalam agama asal jika bapa atau emaknya memeluk Islam.



"Saya rasa kabinet tak perlu buat keputusan begini. Biar soal status anaknya sama ada kekal dalam agama asal atau tidak ditentukan oleh mahkamah," tegasnya lagi.



Menyentuh tentang liberalisasi, beliau berkata ia adalah langkah yang baik tetapi ia hanya membuka tingkap dan tidak membuka pintu.



Beliau mengalu-alukan perlantikan Najib sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor kerana Selangor adalah negeri paling penting di Malaysia.



"Jadi dengan Presiden UMNO sendiri menerajui UMNO Selangor, ia memberi kelebihan kepada BN untuk menawan semula Selangor dalam pilihanraya umum akan datang. Dengan Presiden sendiri di barisan hadapan serta dengan peruntukan yang banyak, saya yakin BN mampu menawan semula Selangor," katanya lagi.



Beliau percaya walaupun Najib sibuk dengan urusan negara tetapi sebagai pemimpin yang mahu melihat Selangor kembali ke pangkuan BN, sepatutnya usaha menawan negeri itu lebih mudah.



Beliau berharap dalam tempoh enam bulan ini lebih banyak perubahan yang bakal dibuat oleh UMNO, jika tidak, katanya, BN akan hanyut dalam pilihanraya umum akan datang.



UMNO perlu buat perubahan seperti menghapuskan kuota pencalonan dan menambah bilangan naib presiden. Dari dulu sampai sekarang sudah 63 tahun UMNO ada tiga orang naib presiden.



"Mungkin bilangan naib presiden boleh ditambah menjadi lima orang dan ahli majlis tertinggi UMNO, 30 orang supaya lebih ramai berpeluang menajdi pemimpin di peringkat negara," katanya lagi.



Serentak dengan itu Dr. Khir berharap Biro Penerangan UMNO lebih agresif menjawab persoalan yang ditimbulkan dalam blog-blog yang bercambah. Jika UMNO gagal menjawabnya, Dr. Khir berkata orang akan lebih percaya kepada blog. Oleh itu katanya lagi jangan pandang ringan kepada pengaruh blog yang lebih diminati oleh generasi muda.



Beliau berharap Khairy selaku ketua pemuda UMNO yang baru dapat menjalankan aktiviti-aktiviti yang dapat menarik golongan muda untuk menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang.









Rabu, April 29, 2009

MB SEDIA LEPASKAN JAWATAN


Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said rela melepaskan jawatannya jika rakyat mendapati beliau gagal menjalankan tugas.



Katanya, hanya rakyat yang layak memberi penilaian sama ada beliau berjaya atau gagal mentadbir negeri ini.
Jika rakyat berasakan beliau gagal menjalankan tugas yang diberikan, maka katanya, mereka berhak menggantikan beliau dengan pemimpin lain.



''Sama ada rakyat masih mahukan saya memimpin mereka atau sebaliknya, terserah. Jika saya gagal, gantilah saya.



"Tetapi untuk masa yang singkat ini berilah saya peluang membuktikan keikhlasan dan kesungguhan memperjuangkan nasib rakyat.



''Jangan diletak halangan di hadapan saya yang bertujuan menggagalkan saya. Jika kita semua berjiwa besar dan ikhlas dalam perjuangan, bantulah saya untuk memakmurkan rakyat dan negeri," ujarnya.



Beliau berkata demikian selepas melancarkan kemudahan sistem televisyen litar tertutup tanpa wayar di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang dua hari lepas.




Isu mengenai kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar timbul berikutan tindakan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) tidak hadir pada hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.



Mereka bertindak demikian atas alasan bimbang keselamatan masing-masing berikutan penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) berbau ancaman kepada Datuk Rosol Wahid (Ajil), Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dipercayai berhubung kemelut politik di negeri ini.



Ditanya kenapa beliau mendiamkan diri sejak isu tersebut timbul, Ahmad menjelaskan, beliau bersikap demikian kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan serta menambah kekeliruan rakyat terhadap kemelut yang berlaku.



''Elok saya berdiam diri dan kini kebenaran telah mula terungkai. Kita perlu ikhlas dalam perjuangan. Rakyat menjadi hakim dan kebiasaannya hukuman yang dijatuhkan oleh rakyat menggambarkan sentimen mereka," ujarnya.



Ahmad mengaku kemelut yang berlarutan sejak beliau dilantik menjadi Menteri Besar hingga ke hari ini adalah merupakan sejarah hitam dalam perjuangan UMNO di Terengganu.



Katanya, perasaan semua ahli UMNO seharusnya dijaga dan yang lebih penting ialah perasaan rakyat yang sekian lama menaruh harapan kepada UMNO untuk membela mereka.



''Kepada ahli UMNO, pilihlah jalan yang benar dan berbaik kerana kita sekarang bukan hanya berhadapan parti lawan tetapi kerenah dalaman yang akan membuat rakyat hilang kepercayaan kepada parti.




Berdasarkan kenyataan Ahmad Said di atas, ternyata beliau ikhlas mahu membangunkan negeri Terengganu tetapi menerima halangan daripada 18 ADUN yang masih menyokong Idris Jusoh. Inilah kesilapan besar Ahmad Said. Sepatutnya dalam tempoh satu tahun berkuasa, isu ini sudah selesai dengan menambat hati 18 ADUN ini dengan melayan kehendak mereka. Mereka mahu jawatan, beri jawatan. Mereka mahu projek, beri projek. Jadi mereka tidak melawan Ahmad Said.




Akibat kedegilan Ahmad Said terus menindas mereka sehingga mereka dibuang Pengerusi Penyelaras DUN walaupun mereka adalah ADUN, maka mereka membalas dendam dan melaporkan kepada Presiden UMNO yang baru, Najib Razak. Hasilnya Ahmad Said diturunkan pangkat menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Beliaulah satu-satunya Menteri Besar yang tidak berada dalam majlis tertinggi UMNO.




Di Perlis kumpulan Shahidan Kassim bergaduh dengan kumpulan Dr. Mat Isa Sabu tetapi Dr. Isa dilantik Pengerusi Perhubungan UMNO perlis. Kenapa Najib tak hantar Naib Presiden UMNO sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis? Adakah kerana Perlis tidak memberi keuntungan kepada calon Naib Presiden kerana Perlis ada tiga Bahagian UMNO sahaja sedangkan Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu mempunyai banyak UMNO Bahagian?




Rosol Wahid dalam blognya menulis adakah Ahmad Said akan melepaskan jawatan Menteri Besar? Pada hemat saya, Ahmad Said tak perlu letak jawatan kecuali dia buat salah kepada rakyat seperti melakukan rasuah. Ahmad Said berjaya membawa balik royalti minyak ke negeri Terengganu. Nak harap kepada Idris Jusoh, Idris hanya layan projek Patrick Badawi saja sehingga tak bersuara untuk desak Pak Lah serahkan semula royalti minyak kepada negeri.




Oleh itu rakyat akan menilai sama ada Ahmad Said ikhlas berjuang untuk rakyat suatu hari nanti. Pedulikanlah 18 ADUN yang keras kepala ini. Mereka lebih pentingkan diri sendiri dan bukannya pentingkan rakyat. Cuma jangan layan sangat kerabat diraja.




Rakyat marah kerana banyak sangat projek dibolot oleh kerabat diraja. Zaman Wan Mokhtar dulu ada Seri Terukun yang dianggap sebagai kontraktor ditaja. Kita tidak mahu di zaman Ahmad Said rakyat mencemuh beliau kerana semua projek mahu disapu kerabat diraja hinggakan yang kecil-kecil pun kerabat diraja mahu sapu. Sebagai Menteri Besar, berlakulah adil mengagihkan projek kepada rakyat dan bukannya kepada kroni semata-mata.




Jika anda berlaku adil, Allah akan menolong anda ketika dilanda krisis seperti ini. Bersabarlah Ahmad Said. Digugurkan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu tidak bermakna anda sudah tidak bagus kerana kuasa masih ada di tangan anda sebagai Menteri besar. Jadi gunakanlah kuasa itu untuk kepentingan rakyat.


Isnin, April 27, 2009

BILA ORANG LUAR JADI PENGERUSI PERHUBUNGAN


Apa nak jadi dengan negeri Terengganu? Orang terengganu bergaduh sesama sendiri, maka dapatlah orang luar jadi Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Padan dengan muka. Cucu kepada ahli parlimen Parti Negara dari kawasan Kuala Terengganu pada tahun 60an (Datuk Onn Jaafar) kini menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu seperti diumumkan Jumaat lepas.

Saya ada menerima sms dari nombor yang tidak dikenali 0145078780 yang mengatakan dua orang tidak menandatangani memorandum dari 8 ketua bahagian yang menyokong Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Mereka ialah Idris Jusoh (Besut) dan Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus). Pengirim sms itu yang dikrim pada jam 12.05 tengah malam 25 April lalu hairan kenapa Nasir enggan menandatangani memorandum itu.

Inilah demokrasi UMNO. Enam ketua bahagian sokong Ahmad said tetapi Ahmad said digugurkan sebagai pengerusi perhubungan. Perlu apa hantar Haishamuddin ke Terengganu sebagai pengerusi perhubungan? Ia akan menyulitkan keadaan lagi kerana Ahmad Said adalah Menteri Besar sedangkan Hishamuddin adalah Menteri Dalam negeri. Kalau Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin yassin yang dihantar ke Terengganu, keadaan lebih mudah dikawal kerana beliau adalah Timbalan Perdana Menteri.

Pada tahun 1999, selepas BN tewas di Terengganu, Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dihantar mempengerusikan Badan Perhubungan UMNO Terengganu. Pak Lah adalah TPM maka beliau dihormati oleh semua ketua bahagian. Menghantar Hishamuddin tidak akan menyelesaikan masalah UMNO Terengganu. Sebaliknya lebih mudah PAS menawan Terengganu pada pilihanraya umum akan datang.

Yang jelas Ahmad Said selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri masih di situ dan sudah tentu Hishamuddin akan banyak menyerahkan tugasnya kepada Ahmad Said. Yang jelas mungkin dilantik Setiausaha Perhubungan ialah Din Adam (ADUN Bukit Besi) dan bendahari Sabry Alwi (bekas Ketua Pemuda Negeri).

Dapatkah Hishamuddin mempertahankan Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang? Ia bergantung kepada sokongan kedua kem, kem Idris Jusoh dan kem Ahmad said. semoga hishamuddin dapat menyatukan kedua-dua kem ini.

Khamis lepas saya berada di the Mall. saya bertemu dengan seorang G7 dari Hulu terengganu. Beliau memberitahu Dr. Ramzi Zubir bekas setiausaha politik Idris Jusoh jadi dalang mengirim sms ugut tiga orang ADUN. Sabtu lalu polis mengesahkan sedang mencari Dr. Ramzi. Maknanya hebat juga puak Idris mahu memalukan Ahmad Said terpaksa mencipta sms ugutan sendiri, sehingga tujuh orang yang tidak menerima ugutan pun tidak menhadiri sidang Dewan Undangan negeri.

Jika benar Dr. Ramzi terlibat, maka 10 ADUN ini perlu letak jawatan kerana mereka tidak ada niat lain selain memalukan kerajaan BN sendiri. Oleh itu Najib Razak selaku Presiden UMNO perlu melihat kes ini secara serius. Inilah ujian pertama bagi hishamuddin sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Semoga beliau dapat mempertahankan Terengganu dari jatuh ke tangan PAS? Janganlah dalam sejarah nanti, nama anda disebut sebagai pengerusi perhubungan UMNO Terengganu ketika BN Terengganu tumbang pada pilihanraya umum 2012.

Rabu, April 22, 2009

NAJIB TENTUKAN KEDUDUKAN MB


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyerahkan kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Beliau berkata, keputusan sama ada mengekalkan kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan itu atau sebaliknya, terletak di tangan Najib.


Katanya, beliau akan menerima segala keputusan Perdana Menteri.


"Saya tidak mahu komen. Kita tunggu dan lihat (keputusan itu nanti).
"Saya tidak bimbang dan tiada masalah. Saya okey," katanya ketika ditemui di Setiu semalam.


Beliau berkata demikian selepas melawat penduduk Kampung Penarik di sini yang mengalami kerosakan rumah akibat angin kencang di sini semalam.


Najib dijangka mengumumkan rombakan jawatan tertinggi UMNO selepas mesyuarat pertama Majlis Tertinggi UMNO (MT) Jumaat ini termasuk senarai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri.


Dalam pada itu, beliau enggan mengulas pertemuannya dengan Najib berhubung kemelut politik yang melanda Barisan Nasional (BN) Terengganu minggu lalu.


Pada hemat saya, Najib hendaklah mengekalkan Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu selagi beliau menjadi Menteri Besar Terengganu. Majoriti Ketua UMNO bahagian menyokong Ahmad Said. Jadi Najib tak perlu tunduk kepada 10 ADUN yang enggan menerima Ahmad Said. Mereka adalah kumpulan yang sudah kalah dalam pemilihan bahagian lalu seperti Din Adam, Rosol Wahid. Jadi mereka tak perlu dilayan oleh Najib.


Seperti mana ditegaskan oleh saya sebelum ini yang boleh menentukan kedudukan Ahmad Said ialah Sultan Terengganu sendiri. Jika Baginda tidak mahu lagi Ahmad Said, maka beliau akan berundur dari jawatan itu. Maka sebaik-baiknya ikutlah arahan Sultan Terengganu dan janganlah jadi penderhaka seperti 10 orang ADUN itu.

Isnin, April 20, 2009

BN TERENGGANU DI AMBANG KEHANCURAN


Hairan juga kenapa selepas Najib Razak jadi Perdana Menteri tiba-tiba krisis politik Terengganu meletup? Apa motif 10 orang pemberontak ini yang kononnya enggan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri minggu lalu kerana diugut nyawa mereka melalui SMS?


Yang peliknya tiga ADUN yang diugut nyawa tetapi tujuh ADUN lain pula bersekongkol sekali mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel pada hari tersebut. Jadi apa sebenarnya yang berlaku?


Nampaknya 10 pemberontak ini tidak belajar dari sejarah kekalahan BN pada tahun 1999. Kekalahan BN Terengganu pada tahun 1999 kerana wujudnya kem Wan Mokhtar dan kem Yusof Noor. Kebetulan mereka adalah Ketua UMNO Bahagian Kemaman dan Ketua UMNO Bahagian Besut.


Sejarah berulang. Kini wujud pula kem Ahmad Said dan kem Idris Jusoh yang juga mereka berdua Ketua UMNO Bahagian Kemaman dan Ketua UMNO Bahagian Besut. Nampaknya orang Kemaman dan Besut dari era Wan Mokhtar lagi tetap bermusuh dalam politik.


Peteh keting antara penyokong Wan Mokhtar dan Yusof Noor menyebabkan BN kalah teruk pada tahun 1999. Nampaknya pada pilihanraya umum akan datang, 2012, BN Terengganu akan menerima nasib yang sama apabila penyokong Ahmad Said dan penyokong Idris Jusoh terus bertelagah.


Siapa rugi bila 10 pemberontak ini berterusan mempertikai kepimpinan Ahmad Said. Sudah tentu rakyat yang rugi kerana 10 orang pemberontak ini sudah kaya raya. Mereka semua ada rumah besar, kereta mewah. Yang menderita adalah rakyat yang tidak dapat cari makan akibat tindakan mereka yang menyebabkan politik Terengganu tidak setabil.
Menurut seorang rakan yang duduk serumah tetapi jarang datang dari Kuala Terengganu, Abdul Mubin Ismail, punca kemarahan 10 pemberontak ini ialah kerana dua orang sahaja. Satu, mereka marah kepada Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu, Rosli Mat Hassan yang menyebabkan mereka tidak dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras DUN walaupun mereka adalah ADUN. Dua, mereka marah kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Wan Ahmad. Wan Ahmad terlalu berkuasa menyebabkan TCS marah kepada Ahmad said.


Jika dua orang ini punca kepimpinan Ahmad Said dimarahi rakyat Terengganu, maka Ahmad Said kena tukar mereka berdua dengan orang lain. Bertindak segera sebelum terlambat. Jika Ahmad Said tidak gantikan mereka, silap-silap BN Terengganu akan kecundang dalam pilihan raya umum akan datang.


Yang boleh menurunkan Ahmad Said ialah Sultan Terengganu yang juga Yang Dipertuan Agong. Ahmad Said tidak pernah bermimpi mahu menjadi Menteri Besar tetapi oleh kerana Yang Dipertuan Agong tidak mahu Idris Jusoh, maka Baginda tidak ada pilihan lain selain dari melantik Ahmad sebagai pengganti Idris Jusoh. Itulah yang dikatakan rezeki Ahmad Said sedangkan pada mulanya namanya turut digugurkan sebagai calon BN di DUN Kijal.


Oleh kerana Yang Dipertuan Agong yang melantik Ahmad Said maka Baginda juga yang dapat menurunkan beliau jika benar dalam masa setahun ini tindak-tanduk beliau menimbulkan kemarahan rakyat Terengganu. Tidak ada sebab rakyat mahu marah kepada Ahmad kerana beliau dapat mengembalikan semula royalti minyak ke pangkuan negeri Terengganu. Yang marah kerana 10 pemberontak ini adalah orang yang kecewa, tidak dapat projek dan tidak dapat jadi pengerusi anak syarikat kerajaan negeri.


Mereka ini sudah ditolak oleh ahli UMNO di peringkat bahagian masing-masing. Rosol Wahid kalah mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Bahagian Hulu Terengganu. Beliau sendiri penakut lawan Ketua UMNO Bahagian, Tengku Putera Tengku Awang.


Din Adam kalah kepada Rosli Mat Hassan di Dungun. Zakaria kalah di tangan Zaabar di Dungun bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian. Mereka ini tidak ada niat lain selain untuk memalukan Ahmad Said dengan harapan Najib menukar Ahmad Said dengan orang lain sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.


Sejauh mana Ahmad Said bertahan sebagai menteri besar banyak bergantung kepada Yang Dipertuan Agung. Najib sendiri tidak berani campur. Kononnya Najib hantar nama Idris sebagai Menteri Belia dan Sukan kepada Yang Dipertuan Agong dan Baginda tidak perkenan Idris dilantik menteri, maka Ahmad Shabery Cheek dikekalkan sebagai menteri dalam kabinet Najib heboh diperkatakan orang. Takkan Najib sebodoh itu mahu hantar nama Idris sedangkan Najib tahu nama Idris sudah ditolak oleh Baginda sebagai Menteri Besar Terengganu. Takkan Najib mahu cari nahas dengan Yang Dipertuan Agong.


Justru itu jika Baginda masih mahu Ahmad Said sebagai menteri besar, 10 orang pemberontak ini hendaklah akur. Janganlah tindak-tanduk anda merugikan UMNO pada pilihan raya umum akan datang. Jika Ahmad Said terus dikekalkan sebagai menteri besar, maka beliau perlu tukar Rosli Mat Hassan dan Wan Ahmad secepat mungkin. Jika tidak BN Terengganu di ambang kehancuran!


Kumpulan 10 ini jika Najib masih mengekalkan Menteri Besar dan pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, maka terimalah Ahmad said. Jika tidak letak jawatanlah sebagai ADUN. Dahulu Rosol kata beliau mahu letak jawatan ADUN Ajil, maka inilah masa yang sesuai untuk letak jawatan walauoun beliau tidak boleh bertanding semula dalam tempoh lima tahun. ternyata tindakan 10 orang pemberontak ini menguntungkan PAS pada pilihan raya umum akan datang.