Memaparkan catatan dengan label lantang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lantang. Papar semua catatan

Khamis, Ogos 22, 2013

SALLEH MAKIN LANTANG

KOTA BELUD: Kebelakangan ini Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak ada beberapa kali membuat gesaan atau lebih tepat “teguran” kepada beberapa kementerian persekutuan berhubung Sabah. Yang terbaru ialah gesaannya supaya Kementerian Pendidikan pusat memberikan lebih kuasa autonomi kepada Jabatan Pelajaran Sabah dalam perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan pendidikan di negeri kedua terbesar itu. Sebelum ini Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri, juga “menembak” sekurang-kurangnya dua kementerian persekutuan yang kebetulan diterajui dua pemimpin Umno Sabah sendiri. Salleh menegur dua kementerian khusus untuk pembangunan luar bandar dan juga perumahan supaya mengubah tabiat mereka daripada melaksanakan sendiri projek-projek di bawah kementerian masing-masing kepada merujuk kerajaan negeri dan menyalurkan terus peruntukan yang banyak dari dua kementerian itu kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. Dua kementerian yang terkena itu ialah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang diterajui Datuk Seri Shafie Apdal dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diterajui Datuk Abdul Rahman Dahlan. Musa juga merupakan Ketua Perhubungan Umno Sabah, dan dilaporkan kurang senang dengan cara kementerian pembangunan luar bandar mengendalikan projek di Sabah tanpa merundingi dan melibatkan kerajaan negeri pimpinannya. Sementara itu Salleh juga menyebut peruntukan lain untuk infrastruktur dan pertanian sepatutnya disalur terus kepada kerajaan negeri. Shafie, Naib Presiden Umno, yang dianggap tidak sebulu dengan Musa, memang dingin kepada gesaan seperti ini manakala Abdul Rahman yang dikira orang Musa tetapi saingan Salleh sendiri di Kota Belud, turut mendiamkan diri. Salleh ketika membuat teguran yang terbaru pada suatu majlis hari raya di Kota Belud beberapa hari lepas dilaporkan berkata , “Perwakilan kuasa perlulah disokong dengan dana mencukupi dan mengurangkan proses birokrasi”. Beliau mendakwa banyak usaha pembangunan pendidikan di Sabah terjejas berikutan amalan gemar merujuk ke Putrajaya berkaitan perkara-perkara remeh. “Banyak bangunan sekolah di Sabah memerlukan usaha penambahbaikan dan projek pendidikan tidak dilaksanakan secara sistematik kerana amalan ini,” katanya memberi alasan kuasa yang lebih kepada Jabatan Pelajaran Negeri adalah selari dengan tranformasi bidang pendidikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Kebetulan Pengarah Pendidikan Sabah yang baru, Jame Alip, adalah dari Kota Belud, sama daerah dengan Salleh dan dikatakan sentiasa berbincang berhubung permasalahan pembangunan pelajaran Sabah khususnya projek infrastruktur yang dikatakan bertimbun-timbun. Menuntut Janji Ditepati Dalam gesaannya yang disiarkan dalam bentuk kenyataan kepada media massa, nyata Salleh merujuk kepada janji-janji Menteri Pendidikan sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang telah bersetuju mewakilkan kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak bagi menguruskan projek-projek pembangunan pendidikan di kedua-dua negeri berkenaan. Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika merasmikan Konvensyen Tahunan ke-26, Parti Bersatu Sabah (PBS) di KDCA, Penampang dipetik sebagai berkata, ia adalah munasabah untuk mewakilkan kuasa itu, memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang besar dari segi jumlah dan juga saiz sekolah. “Saya melihat kesesuaian dalam mewakilkan kuasa ini kepada Sabah dan Sarawak. Satu cara adalah mewakilkan kuasa itu kepada Pengarah Pelajaran Negeri untuk melihat bagaimana sesetengah projek yang kita laksanakan di peringkat negeri boleh sama-sama diuruskan,” Muhyiddin dipetik sebagai berkata. Kenapakah Salleh semakin lantang membuat teguran-teguran sedemikian? Kenapa “hentam” kementerian-kementerian tertentu sahaja dan tidak hentam terus Kerajaan Persekutuan pimpinan Najib sebab Najiblah yang berkuasa menentukan gaya Kabinetnya? Atau ia sudahpun berupa hentaman kepada pimpinan Najib? Cuma media massa dan para penganalisis gagal membaca mesej politik dari Sabah? Apabila seseorang pemimpin kanan seperti Salleh menegur cara layanan kabinet Najib kepada Sabah, adakah ia amaran awal Umno Sabah akan bersuara keras, kalau tidak berpaling tadah, pada perhimpunan agung Umno Oktober ini? Atau adakah inilah yang dikatakan “kuasa politik penentu” Sabah dan Sarawak bagi memaksa Kuala Lumpur mendengar rintihan dan gesaan dari Sabah. Tetapi kenapa Salleh berseorangan dalam membuat gesaan? Tiada yang menyokong saranannya setakat ini. Di Sabah, Musalah yang paling berkuasa dalam Umno mahupun kerajaan negeri. Sebelum pilihanraya umum lalu memang ada desas-desus Najib mungkin membuat rombakan di Sabah tetapi semua itu tidak menjadi. Musa terus juga Ketua Menteri. Persoalan yang semakin menarik sekarang ialah apakah Salleh akan terus mengekalkan rentak dan momentum tegurannya terhadap dasar Umno kepada Sabah, atau sekadar setakat ini sahaja. Jika ia, adakah Salleh sedang menyediakan “exit point” yang strategik untuknya pada pilihanraya umum akan datang, yang menunjukkan trend menyokong pembangkang. Adakah ini ada kaitan dengan semakin tipisnya peluang Salleh kembali ke dalam kabinet Sabah, sesuatu yang tidak mustahil berlaku memandangkan beliau adalah ahli dewan undangan negeri sekali gus orang kedua paling penting dalam Umno Sabah…? (dipetik dari freemalaysiatoday.com)

Sabtu, Mei 02, 2009

DR KHIR SEMAKIN LANTANG


Sebulan sesudah pertandingan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya berpeluang menemui salah seorang calon yang kalah, Datuk Seri Dr. Khir Toyo di pejabatnya di Glemanrie, Subang Khamis lalu.



Ini adalah kali kedua saya berpeluang menemubualnya. Kali pertama sebulan sebelum pertandingan pada 25 Mac lalu. Dalam wawancara kali pertama, beliau banyak bercakap terus terang. Beliau kalah tipis di tangah ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin. Ramai yang mengharapkan beliau menang dalam pertandingan tiga penjuru itu di antara Khairy-Dr.Khir-Datuk Mukriz Mahathir.



Ramai yang bosan dengan pertelingkahan antara Dr. Mahathir Mohamad dengan Abdullah Ahmad badawi, merasakan mengundi Dr. Khir dapat menyelesaikan masalah ini yang mana jika Khairy menang, Dr. Mahathir kecil hati dan jika Mukhriz menang, Pak Lah kecil hati. Mereka mengaggap Dr. Khir adalah calon alternatif yang dapat meredakan keadaan. Tetapi kemenangan berpihak kepada Khairy. Walaupun menang, Khairy berada di luar kabinet sedangkan yang kalah, Mukriz dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mengulas ketiadaan jawatan Khairy, Dr. Khir berkata jika beliau menang pun, beliau menolak tawaran berada dalam kabinet. Beliau adalah ADUN Sungai Panjang dan Ketua Pembangkang dalam DUN Selangor. Andainya beliau menanag dan dilantik Senator untuk dilantik menteri atau timbalan menteri mewakili kuota ketua pemuda, beliau enggan kerana katanya, "Sebagai ketua pemuda lebih baik tak ada jawatan supaya lebih mudah menegur dasar kerajaan".


Dr. Khir tak nampak Khairy bersikap lantang sehingga ini. Mungkin Khairy masih menunggu masa yang sesuai untuk bersikap lantang menegur beberapa dasar baru yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.



Inilah kali pertama Dr. Khir tidak berada dalam majlis tertinggi UMNO setelah tewas dalam pertandingan ketua pemuda. Pada tahun 2004, beliau menang majlis tertinggi UMNO di tangga pertama. Biasanya pemenang majlis tertinggi UMNO nombor satu akan menang dalam pertandingan naib presiden UMNO berikutnya tetapi Dr. Khir ukur baju di badan sendiri. UMNO Selangor yang diterajuinya sudah kalah dalam pilihan raya umum 2008. Maka beliau berundurbertanding ketua pemuda yang juga setaraf dengan naib presiden UMNO.



Tetapi percubaan pertamanya ini gagal. Kegagalan ini tidak mematahkan semangatnya kerana sebagai ketua pembangkang di Selangor, Dr. Khir tetap mampu bersuara lantang. Beliau kesal dengan pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang mana kementerian ini amat banyak membantu orang Melayu.



"Jika MECD dianggap sebagai kementerian yang pro Melayu apa salahnya dilantik dua timbalan menteri dari orang China dan India di kementerian tersebut kerana kemiskinan juga banyak terdapat di kalangan bukan Melayu?," soal beliau.



Beliau juga kurang setuju dengan keputusan kabinet yang memutuskan bahawa anak-anak kekal dalam agama asal jika bapa atau emaknya memeluk Islam.



"Saya rasa kabinet tak perlu buat keputusan begini. Biar soal status anaknya sama ada kekal dalam agama asal atau tidak ditentukan oleh mahkamah," tegasnya lagi.



Menyentuh tentang liberalisasi, beliau berkata ia adalah langkah yang baik tetapi ia hanya membuka tingkap dan tidak membuka pintu.



Beliau mengalu-alukan perlantikan Najib sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor kerana Selangor adalah negeri paling penting di Malaysia.



"Jadi dengan Presiden UMNO sendiri menerajui UMNO Selangor, ia memberi kelebihan kepada BN untuk menawan semula Selangor dalam pilihanraya umum akan datang. Dengan Presiden sendiri di barisan hadapan serta dengan peruntukan yang banyak, saya yakin BN mampu menawan semula Selangor," katanya lagi.



Beliau percaya walaupun Najib sibuk dengan urusan negara tetapi sebagai pemimpin yang mahu melihat Selangor kembali ke pangkuan BN, sepatutnya usaha menawan negeri itu lebih mudah.



Beliau berharap dalam tempoh enam bulan ini lebih banyak perubahan yang bakal dibuat oleh UMNO, jika tidak, katanya, BN akan hanyut dalam pilihanraya umum akan datang.



UMNO perlu buat perubahan seperti menghapuskan kuota pencalonan dan menambah bilangan naib presiden. Dari dulu sampai sekarang sudah 63 tahun UMNO ada tiga orang naib presiden.



"Mungkin bilangan naib presiden boleh ditambah menjadi lima orang dan ahli majlis tertinggi UMNO, 30 orang supaya lebih ramai berpeluang menajdi pemimpin di peringkat negara," katanya lagi.



Serentak dengan itu Dr. Khir berharap Biro Penerangan UMNO lebih agresif menjawab persoalan yang ditimbulkan dalam blog-blog yang bercambah. Jika UMNO gagal menjawabnya, Dr. Khir berkata orang akan lebih percaya kepada blog. Oleh itu katanya lagi jangan pandang ringan kepada pengaruh blog yang lebih diminati oleh generasi muda.



Beliau berharap Khairy selaku ketua pemuda UMNO yang baru dapat menjalankan aktiviti-aktiviti yang dapat menarik golongan muda untuk menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang.