Jumaat, November 16, 2018

MAT HASSAN AKAN BINCANG DENGAN PEGUAMNYA SAMA ADA MAHU BUAT RAYUAN



SEREMBAN: Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan akan berbincang dengan barisan peguamnya keperluan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan petisyen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, yang diputuskan hari ini oleh Mahkamah Tinggi di Seremban.

Beliau yang merupakan responden pertama dalam petisyen yang difailkan calon PKR, Dr S. Streram, berkata beliau menghormati keputusan mahkamah hari ini yang memutuskan kemenangannya untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada PRU yang lepas adalah tidak sah dan batal.

“Saya perlukan masa untuk berbincang dan kami ada 14 hari untuk memfailkan rayuan, sekiranya perlu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan, Mohamad berkata itu terpulang kepada parti.

“Bagi mempertahankan jawatan, sepatutnya saya bertanding tetapi sekarang terpulang pada parti dan pucuk pimpinan untuk memutuskan calon yang terbaik,” katanya.

Pada 28 April lepas, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, selain Mohamad selaku responden pertama, Dr Streram turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Sementara itu, Dr Streram berkata beliau terlalu gembira dengan keputusan hari ini yang membuktikan demokrasi berparlimen ditegakkan.




“Saya merasa sangat gembira sebab enam bulan kita berlawan dengan barisan peguam yang handal untuk memdapatkan keputusan untuk rakyat Malaysia.

“Sama ada saya akan menjadi calon PKR untuk PRK yang akan datang ini, itu terpulang kepada parti untuk memilih, walaupun saya yang mencabar keputusan pilihan raya ini,” katanya.

Sementara itu, wakil SPR berkata badan itu akan mengeluarkan notis kekosongan kerusi DUN Rantau dalam tempoh 30 hari setelah menerima sijil perakuan keputusan pilihan raya yang akan dikeluarkan mahkamah.

- Bernama

KENAPA SEMBILAN ANGGOTA ASEAN TAK BERANI KUTUK MYAMMAR SECARA TERBUKA?



SINGAPURA: Rakan Myanmar dalam ASEAN yang mempunyai 10 anggota, "membuat kritikan secara tidak langsung" dan “prihatin” terhadap isu Rohingya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Singapura pada Khamis.

Mereka berharap orang Rohingya akan dapat kembali (ke Myanmar) dengan selamat, katanya pada akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di republik itu.

Dr Mahathir terus menerus bersikap kritikal terhadap pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi, dengan berkata beliau “cuba mempertahankan apa yang tidak dapat dipertahankan.”

Ditanya sama ada negara anggota ASEAN lain "kurang memandang atau tidak mempunyai pandangan yang begitu baik” terhadap Suu Kyi, Dr Mahathir berkata : “Saya rasa mereka agak terkawal apabila menyebutnya… Mereka tidak secara terang-terangan mengutuk beliau atau Myanmar, tapi lebih banyak menyebut tentang sesuatu yang patut dilakukan dengan lebih baik.”

Dr Mahathir, 93, yang merupakan ketua kerajaan paling tua pada sidang kemuncak itu, berkata kenyataan paling keras tentang isu Rohingya disuarakan Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence.

Dr Mahathir sekali lagi menegaskan Myanmar sepatutnya mencontohi Malaysia dalam menerima orang berketurunan asing apabila ia mencapai kemerdekaan 61 tahun lepas.

“Secara tidak langsung, kami menyebut tentang bagaimana di Malaysia, kami menerima orang berketurunan asing menjadi warganegara dan kami tidak pernah menyuruh mereka meninggalkan negara kami atau melakukan sesuatu terhadap mereka. Mereka menjadi warganegara dan berada dalam kerajaan. Tetapi, saya menyebut perkara itu dalam konteks lain, saya fikir beliau tahu apa yang saya maksudkan,” kata Dr Mahathir.

Ditanya sama ada beliau berpendapat kerajaan Myanmar bersikap serius untuk menyelesaikan isu itu, Dr Mahathir menjawab :“Kita perlu faham tentang agihan kuasa di Myanmar. Aung San Suu Kyi bukan Ketua Kerajaan. Beliau sebenarnya Kaunselor Negara.”

Apabila ditanya apakah itu bermakna nasib kerajaan tidak terletak di tangannya, Dr Mahathir berkata Suu Kyi akan dapat mempengaruhi kerajaan dengan pendapat yang disuarakan semasa persidangan itu kerana hampir setiap orang membangkitkan perkara tersebut.

Menjawab soalan sama ada beliau, sebagai perdana menteri Malaysia, akan terus mengkritik Myanmar dan Suu Kyi berhubung layanan yang diberi kepada masyarakat Rohingya sekiranya tiada langkah diambil dalam masa beberapa bulan lagi, Dr Mahathir berkata: “Saya rasa beliau benar-benar tahu tentang pandangan saya dan pandangan kerajaan.”

“Ini kerana, apabila perkara ini (isu Rohingya) berlaku, saya mengutus sepucuk surat kepadanya. Beliau tidak mengaku menerima surat itu. Beliau tidak menjawabnya dan saya juga tidak bertanya beliau sama ada beliau menerimanya atau tidak.

“Tapi, beliau tentu tahu benar bahawa ketika beliau hidup dalam tahanan, kami beri sokongan penuh kepadanya. Kami berusaha dengan sedaya upaya; kami berbincang dengan (Jeneral Kanan) Than Shwe agar beliau dibebaskan dan sebagainya. Saya pun pernah sebut bahawa orang yang pernah hidup sebagai tahanan sepatutnya faham tentang penderitaan orang yang dilayan dengan teruk,” katanya.

Ditanya sama ada beliau berjabat tangan dengan Suu Kyi atau sama ada pemimpin Myanmar itu yang menghulurkan tangan terlebih dahulu, Dr Mahathir berkata:“Sikit-sikit saja.”

Beliau berkata, sekiranya Suu Kyi menghulurkan tangan, tentu beliau tidak akan mengabaikannya.

“Saya tidak tahu siapa dulu,” kata Dr Mahathir dan menambah bahawa Suu Kyi berdiri di sebelah beliau semasa sesi pertama dan pemimpin Myanmar itu berpaling untuk bercakap dengannya.

Rabu, November 14, 2018

TAHNIAH YB SALAHUDDIN TAPI KENA HATI HATI DENGAN ORANG SEKELILINGNYA

SHAH ALAM, 13 Nov (Bernama) – Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak cadangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan presidennya, Datuk Salahuddin Ayub berkata rakyat Malaysia perlu mempertahankan keharmonian, kesaksamaan dan kehidupan semua kaum di negara ini.

“Apa-apa yang bertentangan dengan perlembagaan dan budaya negara kita tidak boleh terima, kita ada sistem kita sendiri dan kita ada sikap kita sendiri. Apa terkandung dalam perlembagaan akan kita pertahankan," katanya.

Ulasan saya, saya ucapkan tahniah kepada Salahuddin Ayub yang berani bersuara mewakili Parti Amanah mengenai ICERD sedangkan DAP beriya benar mahu Malaysia menandatangani ICERD.

Ketegasan Amanah dan Bersatu membuktikan parti Melayu dalam Pakatan Harapan masih mempertahankan hak orang Melayu. Syabas Salahuddin tapi saya mahu nasihati beliau berhati-hati dengan pegawai di sekelilingnya yang boleh menjejaskan nama baik beliau.

Salahuddin terbukti seorang menteri yang mudah ditemui. Seorang kawan saya baru-baru ini mendapat surat sokongan dari setpol Perdana Menteri yang menulis surat kepada Salahuddin untuk membantunya mendapatkan  iklan dari agensi-agensi di bawah kementerian pertanian dan industri asas tani.

Portal news kawan saya memang dahulu sokong kerajaan maka apabila kerajaan sudah bertukar ia menyokong government of the day. Jadi jangan persoal kesetiaan beliau kerana beliau menyokong kerajaan semasa. Salahuddin serah surat itu kepada pegawai kanannya yang kebetulan kenali kawan saya sewaktu mereka sama sama dalam parti pembangkang.

Pegawai itu berkata kepada kawan saya kenapa dahulu lari dari perjuangan dan beliau main peranan supaya Salahuddin tidak menyokong permohonan kawan saya itu. Oleh itu saya ingin nasihati Salahuddin supaya berhati-hati dengan pegawai di sekelilingnya  yang boleh merosakkan nama baik beliau.

Kalau surat dari setpol Perdana Menteri dibuang ke dalam tong sampah oleh pegawai Salahuddin, maka Salahuddin sepatutnya disenaraikan sebagai salah seorang menteri yang patut dibuang dalam rombakan kabinet Dr Mahathir akan datang

RAKYAT MAHU ANWAR JADI TPM UNTUK ELAK SPEKULASI YANG LEMAHKAN KERAJAAN PH



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sedia melakukan rombakan Kabinet susulan berakhirnya Pemilihan PKR, kelmarin.


Dalam temu bualnya bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Dr. Mahathir tidak menolak berlakunya pertukaran anggota Kabinet jika PKR mahu mengemukakan calon-calon tertentu daripada parti tersebut.

“Mereka boleh menghantar nama, mereka boleh mengetengahkan hal mereka. Saya juga mempunyai pandangan tersendiri.

“Secara prinsipnya, Kabinet ini dipengerusikan oleh saya sebagai Perdana Menteri dan memerlukan orang yang saya selesa. Jadi sama ada saya menerima calon-calon daripada mereka, ia bergantung kepada saya untuk memutuskannya,” katanya dalam temu bual tersebut yang disiarkan hari ini.

Perkara itu ditanya ekoran wujudnya spekulasi berlaku rombakan Kabinet, terutama melibatkan beberapa menteri yang dikritik hebat, selain Dr. Mahathir sendiri menyatakan beliau tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi barisan jemaah menteri sejak dilantik memegang portfolio masing-masing.

Pada masa sama, Dr. Mahathir turut mengulangi komitmen untuk menyerahkan kedudukan Perdana Menteri kepada bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepertimana yang telah dipersetujui oleh Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Tetapi dengan mengandaikan rakyat mahu menyatakan pandangan mereka sendiri, maksud saya sebagai sebuah negara demokrasi, kita perlu mendengar pandangan rakyat.

“Jika anda meletakkan seorang Perdana Menteri yang tidak diterima baik oleh rakyat, ia menimbulkan masalah,” katanya.

Laporan The Straits Times menyedari hasil Pemilihan PKR kali menunjukkan kebanyakan pemimpin dalam parti itu kini dikuasai oleh orang yang rapat dengan penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dengan memetik sumber PKR yang tidak dinamakan, kemenangan kem Mohamed Azmin yang begitu meyakinkan itu membuatkan Anwar mungkin perlu ‘mengadakan perjanjian’ dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut bagi memastikan kestabilan parti.

Ulasan saya, sepanjang Dr Mahathir menjadi PM selama 22 tahun ketika mengetuai kerajaan BN, setiap kali ada pemilihan parti komponen BN, beliau akan buat rombakan kabinet di atas pengesyoran Presiden parti komponen.

Nampaknya Dr Mahathir akan meneruskan tradisi tersebut dalam kerajaan PH apabila beliau tidak menolak berlakunya rombakan kabinet selepas pemilihan parti PKR. Selaku Presiden baru PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh mencadangkan nama baru sebagai menteri kuota PKR jika beliau tidak berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Dr Xavier Jayakumar sebagai menteri.

Terpulang kepada Dr Mahathir untuk menerima cadangan tersebut kerana kuasa melantik menteri adalah kuasa prerogatif beliau sebagai Perdana Menteri. Kita harus ingat Tan Sri Muhyiddin pernah kalah bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan Umno 1996, tetapi Dr Mahathir kekalkan beliau sebagai menteri kabinet.

Oleh itu jika Rafizi Ramli yang kalah bertanding timbalan presiden PKR boleh dicadangkan Anwar dilantik menteri setelah dilantik senator kerana itu hak PKR untuk mencadangkan kepada Dr Mahathir. Beliau kena akur dengan pilihan Anwar kerana jika Dr Mahathir menolaknya ia akan mencetuskan krisis antara Dr Mahathir dengan Anwar.

Sebaik-baiknya PKR menggugurkan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri supaya ia diambilalih Anwar Ibrahim supaya lebih jelas pengganti Dr Mahathir selepas ini adalah Anwar Ibrahim  tanpa menimbulkan sebarang prasangka buruk yang merugikan kestabilan kerajaan PH.

Jawatan menteri wanita, keluarga dan masyarakat boleh diisi Zuraida Kamaruddin manakala Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri boleh memegang portfolio Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Anwar boleh mencadangkan rombakan kabinet kuota PKR kepada Dr Mahathir namun demikian terpulang kepada Perdana Menteri mahu mengikut cadangan Anwar atau tidak.


Isnin, November 12, 2018

AZMIN MENDAHULUI RAFIZI KERANA TERDAPAT BERIBU RIBU UNDI RAGU BELUM DIPROSES

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- "Belum menang, tetapi mendahului," itu respons Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Rashid Din mengenai tindakan mengumumkan kemenangan oleh kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Rashid yang dihubungi Bernama berkata proses pengiraan undi bagi pemilihan itu masih belum selesai kerana masih terdapat beribu-ribu undi ragu belum diproses dan keputusan di tiga cabang yang masih ditangguh iaitu Tawau, Pensiangan serta Julau.

"Dia memang 'leading', jadi perkataan 'menang' itu perlu ditukar kepada 'mendahului', proses (kira undi) masih belum selesai, banyak lagi kerja kita (JPP), keputusan muktamad hanya selepas semua undi ragu dibuka (proses)," katanya.

Rashid bagaimanapun tidak memberi perincian mengenai jumlah undi ragu tersebut.

Menurut laman https://www.pemilihankeadilan2018.com setakat ini hanya enam negeri yang telah mempunyai keputusan muktamad iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan.

Dilaporkan kem Mohamed Azmin mengumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu telah menewaskan bekas Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan memenangi saingan dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.

Ahad, November 11, 2018

MACAM MANA RAZIF PILIH BUKAN ORANG POLITIK JADI CALON BN?

KUALA TERENGGANU: Heboh satu negara apabila Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad membayangkan kemungkinan bekas calon parlimen BN Kuala Nerus Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad akan menyertai Parti Amanah.

Namun demikian beliau tidak hadiri majlis Makan Malam Pemuda Parti Amanah Terengganu dua malam lepas dan beliau menafikan akan meninggalkan Umno.

Beliau mengaku bahawa Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda adalah bekas pelajar Motivasi Alihan Pelajar beliau dan rakan beliau.

Dr Tengku Asmadi dijemput menghadiri majlis tersebut dan beliau tidak sangka pula kesedian beliau untuk hadiri majlis itu menimbulkan pelbagai persepsi negatif.

Beliau akhirnya tak jadi hadir apabila ia telah menjadi viral.

"Saya bukan orang politik saya orang motivasi. Saya bersetuju hadir atas sifat orang motivasi maka saya bebas memenuhi apa juga jemputan daripada mana-mana pihak," katanya lagi.

Itu yang peliknya macam mana bekas ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Razif Abdul Rahman memilih bukan orang politik sebagai calon BN parlimen Kuala Nerus.

Sepatutnya orang yang ada jawatan di bahagian yang diutamakan sebagai calon BN. Tetapi oleh kerana Razif mahu menonjolkan kawan baiknya yang ada kelulusan PhD maka pengundi Kuala  Nerus menolak Dr Tengku Asmadi.

Beliau dikalahkan calon PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dengan majoriti 8,447 undi. Khairuddin mendapat 37,974 undi manakala Dr Tengku Asmadi memungut 29,527 undi dan calon PKR, Abdullah Muhamad mendapat 4,604 undi.

Kesimpulannya, setinggi mana pun kelulusan yang ada, selalu keluar di kaca televisyen belum menentukan kemenangan calon BN kerana beliau dianggap sebagai calon payung terjun. Oleh itu untuk PRU akan datang BN kena pilih calon yang disukai pengundi tempatan yang bergaul dengan penduduk Kuala Nerus selama lima tahun. Jangan pilih lagi calon payung terjun kerana zaman BN meletakkan songkok sebagai calon sudah berlalu.


LUCU SERU BOIKOT FILEM TANPA TONTON FILEM TAPI BACA SINOPSIS SAHAJA



KUALA LUMPUR: Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Md Nor  (gambar )hari ini menggesa rakyat Malaysia memboikot filem Polis Evo 2 yang kini ditayangkan di pawagam.

Beliau mendakwa filem itu cuba memberi imej buruk kepada Islam dan tindakan boikot itu boleh memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat dalam filem itu.

"Apabila saya membaca sinopsis filem (Polis) Evo 2 yang diarahkan pengarah suam-suam kuku yang cuba memalitkan imej buruk pada umat Islam, maka saya mengajak rakyat memboikot filem sampah ini.

"Berikan pengajaran kepada penerbit, pengarah bahkan pelakon yang berada dalam industri seni negara ini, hargailah nikmat keamanan negara dan hormatilah perasaan umat Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Filem bergenre aksi komedi itu mengisahkan tindakan polis membanteras sekumpulan pengganas yang menduduki sebuah pulau terpencil, bersama beberapa ratus penduduk.

Konflik timbul apabila kumpulan itu - diketuai Hafsyam Jauhari lakonan Hasnul Rahmat - menjadikan penduduk pulau itu sebagai tebusan.


Menerusi trailer yang dimuat naik di Youtube, Hafsyam dilihat mengenakan serban dan memberikan ceramah berbentuk agama. Dia juga dipaparkan mendesak polis memulangkan seorang individu bernama "Imam Husyairi".

Mengulas lanjut, Riduan berkata memaparkan Islam sebagai agama pengganas bukanlah perkara baru di luar negara, tetapi beliau mempersoalkan mengapa filem tempatan juga perlu mengikut jejak langkah sama.

"Kini industri filem Malaysia juga terjebak dalam naratif jelik menyudutkan Islam sebagai pemicu keganasan.

"Dalam drama Melayu, watak antagonis bertudung labuh, berjubah dan meminta serban sejak dekad 1980-an melatari drama dan filem Melayu. Tajuk seperti Fenomena, Guru Yahya dan puluhan yang lain adalah memualkan intelek," katanya lagi.

Beliau mengambil pengajaran sebuah filem Mesir bertajuk Irhabi yang memaparkan watak seorang imam sebagai pengganas yang akhirnya gagal di pawagam kerana diboikot orang ramai.

Filem tersebut diterbitkan pada 1994 menampilkan pelakon terkenal negara itu, Adel Imam.

"Watak antagonis ini disolek dengan lebam hitam pada dahinya...susuk seorang pengganas ini diwajahkan dengan berpakaian serban, berjubah dan antisosial."

Katanya, bantahan orang awam serta ancaman golongan radikal menyebabkan filem itu tidak mendapat sambutan.

"Selepas kegagalan filem propaganda itu, penerbit filem di Mesir lebih berhati-hati berkenaan sentuhan pada ajaran Islam dan watak berpakaian agama...penggiat filem (di negara itu) telah belajar sesuatu, menghormati Islam dan penganutnya.

"Ayuh buktikan, rakyat Malaysia. Tolak perlecehan kepada mana-mana agama. Diam kita akan membenarkan kebejatan mereka," katanya lagi.

Sabtu, November 10, 2018

AHLI KELUARGA MANGSA BUNUH TAK SETUJU HUKUMAN MATI MANDATORI DIMANSUHKAN



KUALA LUMPUR: Ahli keluarga mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi hari ini tampil mendesak kerajaan supaya tidak memansuhkan hukuman mati mandatori.

Antara yang hadir adalah ahli keluarga, jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan pegawai bank, Wong Jing Kui.

Menurut mereka pemansuhan hukuman mati adalah tidak adil dan hanya akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah berat di negara ini. Mereka diwakili oleh peguam Christina Teng.

“Kes ibu saya makan masa selama lapan tahun. Anak saya yang kecil dah nak masuk darjah dua. Satu masa yang sangat lama untuk jatuhkan hukuman pada pesalah... jadi bila dapat tau hukuman mati itu, saya sangat gembira dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

“Baru tahun lepas selesai. Tahun ni pula hukuman mati ini nak dimansuhkan.

“Memang kerajaan sekarang menghala ke arah kemanusiaan. Tapi adakah pesalah fikir pasal kemanusiaan pada keluarga mangsa?” soal Erni Dekritawati Yuliana Buhari, anak sulung Sosilawati yang mati dibunuh.

Erni tidak dapat menahan emosinya dan menangis semasa sidang akhbar yang diadakan di Desa Pandan, Kuala Lumpur, hari ini.

Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap tiga lelaki yang didapati bersalah atas pembunuhan Sosilawati.

Dia dan tiga pembantunya dibunuh pada 2010 di sebuah ladang oleh seorang lelaki yang mempunyai gelaran "Datuk" dan dua orang rakannya. Badan mereka kemudian dibakar.

Mangsa dilaporkan hilang selepas mereka ke Banting untuk urusan tanah.




Sementara itu, adik bongsu Anthony Kevin, Richard Morais, berkata dia masih trauma terhadap apa yang berlaku.

“Kejadian itu berlaku pada 2015, namun setiap hari saya masih mengenangkan nasib mendiang yang dibunuh secara kejam dengan disimen dan diletakkan di dalam tong.

“Menyentuh mengenai kes mendiang, ia masih berjalan. Namun, jika hukuman mati dimansuhkan, sudah tentu pesalah akan terlepas dari tali gantung,” katanya

Khamis, November 08, 2018

MAHATHIR SEKOLAHKAN MENTERI DAN TIMBALAN MENTERI PH MENGENAI ASAL USUL KITA

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan satu pertemuan tertutup dengan menteri dan timbalan menteri Melayu di sini bagi mengingatkan mereka tentang sejarah negara.

Ditanya mengenai pertemuan kira-kira dua jam di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini itu, Dr Mahathir berkata : “Saya kena memberitahu sejarah negara kita supaya semua faham asal usul kita. Dengan itu, kita tidak akan lakukan perkara-perkara tidak baik yang mungkin pernah berlaku.”

Antara yang hadir pada pertemuan itu termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Difahamkan pertemuan itu turut membincangkan Belanjawan 2019 dan isu berkaitan agenda Bumiputera.

Turut ditanya isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Poh Kong Gold Note of Hope di sini, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu melakukan pelbagai pertimbangan sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Yang itu kita kena timbang kerana ada peruntukan-peruntukan yang tidak sesuai dengan negara kita,” katanya.

Ditanya sama ada Belanjawan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 November lepas akan disemak semula, Dr Mahathir berkata kerajaan akan membentangkan belanjawan tambahan selepas ia dilaksanakan nanti.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan bahawa beberapa pakar ekonomi yang mencadangkan Belanjawan 2019 disemak semula untuk membantu masyarakat luar bandar.

-- BERNAMA

Rabu, November 07, 2018

PKR DI AMBANG PERPECAHAN APABILA BALUN SESAMA SENDIRI?



PETALING JAYA 7 Nov. - Lawatan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ke Sarawak menjelang pemilihan terakhir parti berkenaan Sabtu ini dipertikai.

Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya berkata, lawatan berkenaan tidak wajar dan sangat dipersoalkan, kerana beberapa isu membabitkan bahagian berkenaan.


Peguam PKR itu berkata, antaranya Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sendiri kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain pertambahan mendadak ahli di kawasan itu kepada 13,000 orang.

Pertambahan mendadak keahlian itu, kata beliau, menjadi Julau merupakan kawasan bagi ramai ahli PKR dan mampu menentukan keputusan atau `King Maker’ pemilihan.

Pada masa yang sama Sng, kata Latheefa, turut secara terbuka mengumumkan kesetiaannya kepada kem yang diketuai Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Dalam satu kenyataan hari ini, Latheefa berkata Wan Azizah, yang juga timbalan perdana menteri dilihat bersama pula bergambar dengan Sng semasa lawatannya.

“Tiada alasan yang dapat difikirkan mengapa lawatan Wan Azizah mesti dibuat menjelang pemilihan PKR di Sarawak. Kenapa timbalan perdana menteri tidak melawat selepas pemilihan parti?”

Beliau mendakwa lawatan Wan Azizah juga melibatkan kedudukannya dan aset kerajaan, dengan menyatakan Wan Azizah mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk jalan di Julau.

“Ini diumumkan dengan kehadiran Sng, yang juga calon di bahagian Julau dan jawatankuasa pusat parti.

“Dalam keadaan ini, penting bagi timbalan perdana menteri menerangkan sebab lawatannya ke Julau menjelang pemilihan PKR Sarawak. Orang ramai berhak tahu,” katanya.


MENTERI,TIMBALAN MENTERI DAN SETIAUSAHA POLITIK PH SOMBONG?

KUALA LUMPUR: Sudah enam bulan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat. Namun demikian bukan senang mahu berurusan dengan menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik PH.

Berdasarkan pengalaman saya, mereka mudah ditemui di parlimen tetapi amat payah nak dapatkan temujanji di pejabat. Maklumlah mereka sibuk.

Saya pernah temui seorang menteri PH di parlimen. Bukan main ramah dia. Bila nak buat temujanji dengannya dia suruh hubungi pegawainya. Dah dua bulan minta tarikh, sampai sekarang belum dapat temui menteri berkenaan.

Ada pula timbalan menteri yang ditemui di parlimen beri nombor handphonenya. Bila whatsapp beliau untuk temuinya dia hanya baca whatsapp tapi tak pernah jawab whatsapp. Lebih baik tak payah beri nombor telefon kepada wartawan seperti saya.

Saya puji Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang terus jawab whatsapp saya dan dapat temuinya di pejabatnya pada keesokan harinya.

Ada orang yang baru jadi setiausaha politik tak pernah jawab whatsapp. Minta nombor handphone setiausaha akhbar untuk interbiu menteri pun tidak diberinya. Baru jadi setiausaha politik dah sombong. Rosak menteri dapat setiausaha politik macam ini.

Tapi bukan semua setiausaha politik tidak mesra wartawan. Ada yang mesra macam Zahid Mat Arip, Abu Bakar Yahya, Datuk Dahlan Maamor dan Pritchard. Mereka amat mesra kerana jika mereka sombong nama baik boss mereka yang terjejas.

Saya berharap selepas membaca berita ini semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik jangan takut temui rakyat walaupun tak kenal. Mereka ada hajat supaya urusan mereka diselesaikan. Soal berjaya atau tidak hajat mereka ditunaikan itu soal kedua. Soal pertama jumpalah mereka dengan niat untuk menolong kerana rakyat pilih mereka dalam PRU lalu untuk berkhidmat kepada rakyat.

Selasa, November 06, 2018

IBRAHIM YAKIN PERISTIWA 1998 TIDAK AKAN BERULANG



KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali menggesa semua pihak untuk tidak lagi membuat spekulasi berkenaan dakwaan pergeseran antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu peralihan jawatan perdana menteri.

Beliau berkata ia selepas perdana menteri sekali lagi menegaskan akan menyerahkan kedudukan itu kepada Anwar selepas tempoh dua tahun.

Ia susulan BERSATU Setiawangsa yang membentangkan usul agar Mahathir melengkapkan tempoh lima tahunnya sebagai perdana menteri, dalam persidangan pertamanya pada 31 Oktober lalu.

Ibrahim yang juga presiden PERKASA berkata spekulasi itu diperkatakan di mana-mana saja tetapi beliau yakin ia tidak akan terjadi.

"Penegasan Mahathir amat terpuji dan tiada yang lebih mulia untuk setiap individu berbanding menunaikan janji yang telah dipersetujui dan diketahui umum

"Saya yakin beliau akan mengotakan janji kepada Anwar. Jika peristiwa 1998 berulang, ia akan membawa kesan buruk kepada kestabilan politik negara dan rakyat akan terus berpecah, terutama di kalangan penyokong tegar.

"Semua pihak mesti memainkan peranan untuk memastikan pisang tidak berbuah dua kali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Spekulasi itu muncul sekali lagi selepas dakwaan sejumlah 40 anggota parlimen Umno akan keluar parti itu dengan sebahagiannya akan menyertai BERSATU.

Ia dikatakan bagi memperkukuhkan kedudukan BERSATU dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dan kerajaan.

Ibrahim berkata lagi cakap-cakap mengenai perkara itu oleh pemimpin politik hanya akan membuat rakyat terus berpecah-belah.

"Saya pernah terlibat dan menyaksikan perebutan kuasa dan akhirnya ahli parti dan rakyat menjadi mangsa. Tukang kipas, tukang cucuk dan batu api bersorak dapat cari makan kerana masing-masing diberi peranan oleh bos mereka," katanya tanpa menyebut perkara itu secara khusus.

"Utamakanlah kehidupan rakyat yang diberi janji penuh harapan," katanya lagi.

Isnin, November 05, 2018

PELIK TAPI BENAR. WANITA JADI KETUA PEMUDA MCA

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Nicole Wong Siaw Ting dipilih sebagai Ketua Pemuda MCA bagi penggal 2018-2021, menjadikannya wanita pertama menyandang jawatan tersebut dalam parti itu.

Wong yang sebelum ini merupakan Naib Pengerusi Pemuda MCA memperoleh 136 undi, mengalahkan pesaingnya Ng Kiam Nam yang meraih 82 undi.

Jawatan itu tidak dipertahankan Datuk Chong Sin Woon yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan.

Sementara itu, jawatan Timbalan Ketua Pemuda pula dimenangi Tan Chee Hiong yang menerima 146 undi, berbanding 72 undi yang diraih Naib Pengerusi Pemuda Johor Kang Chong Nge.

Bercakap kepada pemberita selepas keputusan diumumkan, Wong berkata fokus utama sayap itu ialah mengambil tahu perkembangan di akar umbi memandangkan parti tersebut kini terlalu jauh dari masyarakat dan rakyat..

Ahad, November 04, 2018

MAS ERMIEYATI MAHU KEKAL SEBAGAI AHLI PARLIMEN BEBAS

KUALA LUMPUR: Ahli parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati mahu kekal sebagai ahli parlimen Bebas sehingga PRU akan datang.

Katanya, beliau lebih selesa begini kerana bebas jumpa siapa sahaja.

"Selepas ini saya mahu jumpa Timabalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Baharin mahu minta tolong beliau  untuk rakyat Masjid Tanah," katanya ketika ditemui di parlimen.

Beliau yang juga bekas Ketua Puteri Umno mengejutkan semua ahli Umno kerana meninggalkan Umno selepas pembentukan kerajaan PH.

"Pengundi Masjid Tanah faham dengan tindakan saya tetapi mereka tak berani ke hadapan kerana mereka masih ahli Umno," katanya.

Beliau enggan mengulas apabila ditanya beliau tidak ngam dengan Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, Datuk Rauf Yusoh punca beliau keluar dari Umno.

"Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat Masjid Tanah. Sama ada saya akan bertanding semula dalam PRU akan datang, itu soal lain," katanya lagi.

Sabtu, November 03, 2018

1,645 ORANG BACA BERITA ISA SAMAD PADA BULAN OKTOBER 2018

Seramai 1,645 orang baca berita calon Bebas PRK Port Dickson, Tan Sri Isa Samad bertajuk " Orang yang kata PD tidak membangun kena cek mata" yang disiarkan dalam blog ini pada 10 Oktober lalu menjuarai rating tertinggi bagi bulan Oktober 2018.

10 rating tertinggi bagi bulan Oktober lalu ialah:-

1. Orang yang kata PD tidak membangun kena cek mata (10.10.18) - 1,645 hits
2. Apa jasa menteri dalam masa lima bulan dapat Datuk Seri? (14.10.18)
3. Pesara guru jadi ibu ayam (21.10.18)
4. Dr Mazlee tak tahu sejarah penubuhan Unisza (11.10.18)
5. Apa motif Kadir Jasin ungkit isu Kelantan tarik balik gelaran DK? (11.10.18)
6. DAP dakwa Bersatu rasuah 40 orang ahli parlimen Umno (30.10.18)
7. Sepetang di Port Dickson (4.10.18)
8. Penerima penyapu Dr Khir Toyo dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur (2.10.18)
9. Pengundi PD sudah pilih Anwar, Anwar kena balik ke PD setiap dua minggu (14.10.18)
10. Bekas ahli parlimen MIC kempen untuk Anwar (1.10.18)

PERKASA EKONOMI DIGITAL PACU PERSIAPAN NEGARA MENUJU INDUSTRI 4.0

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Cadangan kerajaan dalam Belanjawan 2019 untuk memaksimumkan potensi kuasa ekonomi baharu dan digital dilihat akan merancakkan persiapan negara bagi menghadapi Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).

Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia Dr. Wan Azman Saini Wan Ngah yang dihubungi Bernama hari ini berkata usaha kerajaan memperkasa bidang itu bakal membuka lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi negara khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Ekonomi digital adalah trend terkini di peringkat global sejajar dengan peralihan kepada Industri 4.0, maka penerokaan potensi bidang itu dengan teknologi baharu secara langsung akan meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.

"Bidang ini juga sebenarnya amat membantu PKS yang ketika ini kebanyakannya masih menggunakan kaedah yang konvensional dan agak ketinggalan," katanya.

Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan menyenaraikan beberapa inisiatif bagi memperkasa ekonomi baharu dan digital di bawah fokus ketiga iaitu Memupuk Budaya Negara Usahawan.

Antara inisiatif itu termasuklah menyediakan geran RM2 billion menerusi Dana Pelaburan Berkaitan Kerajaan, menubuhkan Dana Pelaburan Bersama (English: Co-Investment Fund) berjumlah RM 50 juta, melaksanakan pembanguanan infrastruktur jalur lebar menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan peruntukan RM 1 bilion dan meneruskan Insentif Penerbitan Filem Malaysia (MIFI)dengan nilai RM30 juta bagi memacu industri perfileman tempatan

Khamis, November 01, 2018

TRANSAKSI HARIAN TIDAK BOLEH LEBIHI RM25,000 MULAI 1 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) – Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengurangkan laporan transaksi tunai (CTR) harian kepada RM25,000 daripada RM50,000 pada masa ini, berkuat kuasa 1 Jan 2019.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata langkah itu akan menjadikan CTR Malaysia setara dengan negara lain, memandangkan had semasa adalah terlalu tinggi dan tidak menepati saiz ekonomi negara, terutama apabila berkaitan dengan kuasa beli.

“Oleh itu, sudah tiba masanya kita mencari pendekatan memperkukuh kawalan tersebut dalam mengurangkan jenayah kewangan, iaitu dengan keperluan CTR,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2018 di sini, hari ini.

Menurut laman web BNM, CTR merujuk kepada transaksi tunai melebihi RM50,000 (atau sebarang jumlah lain yang dinyatakan) melibatkan mata wang fizikal (mata wang domestik atau asing) dan instrumen boleh runding pembawa seperti cek pengembara, tidak termasuk draf, cek, pindahan elektronik atau pembiayaan semula atau pembaharuan deposit tetap.

Ia juga termasuk transaksi melibatkan pengeluaran tunai daripada akaun atau tukaran instrumen boleh runding pembawa bagi tunai. Pada masa ini, hanya institusi perbankan dan kasino berlesen diwajibkan menyediakan CTR.

DR XAVIER YAKIN DAPAT KEKALKAN JAWATAN NAIB PRESIDEN

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar yakin beliau dapat mengekalkan jawatannya dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung sekarang.

Beliau yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata beliau kini berada dalam ranking ketiga dalam senarai calon calon Naib Presiden PKR yang ditandingi Nurul Izzah Anwar, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Datuk Johari Abdul.

Mengenai pemilihan PKR di Sabah minggu depan, beliau telah menemui semua ahli Sabah dan beliau berharap mereka dapat mengundinya.

Bercakap mengenai isu keahlian yang kecoh di satu cabang di Sarawak, beliau berkata apa yang ada di atas mejanya mengenai keahlian baru PKR sudah beliau selesaikan.

"Apa yang dikata oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Ismail Nasution tidak betul," katanya

Rabu, Oktober 31, 2018

PARTI POLITIK BOLEH TUBUH CAWANGAN DI UNIVERSITI SELEPAS AUKU DIPINDA

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Cawangan parti politik boleh ditubuhkan di Universiti Awam (UA) apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda kelak, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Maszlee berkata pindaan itu juga selari dengan cadangan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Dengan perubahan AUKU yang akan dilakukan, akan ada Kelab Mahasiswa Barisan Nasional (BN) di UA, akan ada Kelab Pakatan Harapan (PH), Kelab Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan kelab-kelab lain yang ingin ditubuhkan sebagaimana di negara maju.

“Ini selaras dengan penurunan umur mengundi yang akan kita cadangkan nanti. Jika diturunkan umur mengundi kepada 18 tahun, maka pelajar akan bebas berpolitik, boleh mencalonkan diri mereka, boleh mengundi tanpa sebarang sekatan,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang ingin tahu sama ada kementerian bersetuju untuk mewujudkan cawangan parti politik di UA.

Bagaimanapun Maszlee berkata penubuhan cawangan parti politik itu hanya terpakai di UA yang tertakluk kepada AUKU

Selasa, Oktober 30, 2018

DAP DAKWA BERSATU RASUAH 40 AHLI PARLIMEN UMNO?

TAIPING, 29 Okt (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran menyiasat dakwaan 40 Anggota Parlimen UMNO diramal keluar parti dan menyertai Bersatu bagi mengelakkan kemungkinan terdapatnya unsur rasuah.

Naib Pengerusi DAP Perak, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata langkah itu perlu kerana dibimbangi jika ia ada melibatkan janji tawaran jawatan dan sebagainya.

Katanya daripada segi undang-undang tiada peruntukan yang boleh menyekat penghijrahan wakil rakyat pembangkang ke parti dalam kerajaan.

"Namun begitu dari segi moral, perkara ini tidak baik jika benar kerana mereka dipilih sebagai wakil rakyat atas tiket parti asal dan jika mereka melompat sesuka hati, senario ini tidak sihat untuk kestabilan politik negara.

"Apakah janji dibuat kepada mereka dan adakah tawaran jawatan dan sebagainya? Spekulasi ini saya fikir mungkin SPRM boleh siasat dan teliti perkembangannya," katanya dalam sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (Keptan) di sini hari ini.

Abdul Aziz yang juga Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri mengulas kenyataan Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin yang mendakwa kesemua anggota UMNO itu dikatakan berpotensi berbuat demikian kerana sudah beberapa kali berjumpa dengan kepimpinan tertinggi parti.

Selain itu, Abdul Aziz berkata penghijrahan wakil rakyat UMNO beramai-ramai ke dalam parti dalam Pakatan Harapan perlu ditangani dengan baik.

Beliau turut meminta rakyat supaya menyuarakan pandangan dan suara mereka terhadap spekulasi ini di samping mengingatkan media untuk melaporkannya secara objektif tanpa disulami agenda tersendiri.

-- BERNAMA