Barisan Nasional (BN) dijangka mengekalkan kerusi parlimen Sibu yang akan diumumkan keputusannya malam ini.
Proses pengundian bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu berakhir apabila kesemua 45 pusat pengundian tutup pada pukul 5 petang Ahad.
Proses pengiraan sedang berlangsung dengan penjumlahan undi dilakukan di Dewan Suarah Sibu di sini.
Sepuluh pusat mengundi ditutup pada pukul 1 tengah hari, lima pada pukul 2 petang, enam pada pukul 3 petang, dua pada pukul 4 petang manakala 22 lagi pada pukul 5 petang.
Setakat 4 petang, kira-kira 31,119 atau 56.9 peratus pengundi telah keluar mengundi.
Pada pilihan raya umum 2008, peratusan mengundi ialah 67 peratus.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau kurang berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya kecil kali ini.
Keputusan pilihan raya dijangka akan diumumkan seawal-awalnya pada pukul 9 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail berkata proses pengundian berjalan dengan lancar.
"Tiada sebarang laporan mengenai perlanggaran peraturan pilihan raya. Tiada insiden yang tidak diingini berlaku cuma ejek-mengejek antara penyokong parti bertanding," katanya ketika dihubungi.
Ahad, Mei 16, 2010
Jumaat, Mei 14, 2010
AL FATIHAH BUAT ABU YA

Bekas pemimpin Darul Arqam, Ustaz Ashaari Muhammad meninggal dunia di Hospital Pakar, Ipoh semalam. Beliau yang dikenali sebagai Abu Ya pernah ditahan di bawah ISA kerana ajarannya dikatakan membahayakan masyarakat.
Darul Arqam begitu berpengaruh pada akhir 70an. Ramai profesional yang menyertai Arqam kerana mendapati pertubuhan itu bukan sahaja mendedaktkan mereka kepada agama Islam tetapi ia terlibat dalam aktiviti ekonomi seperti mengeluarkan kicap.
Pada akhir tahun 1977, saya pernah mengikuti kursus kefahaman Islam anjuran Arqam. Adik saya, Ustaz Mahir mengajak saya pergi. Mahir berjinak dengan Arqam sejak dia dalam tingkatan empat lagi ketika belajar di sebuah sekolah menengah di Kuantan. Kursus selama seminggu itu dihadiri oleh orang ramai dari seluruh negara. Anwar Ibrahim selaku Presiden ABIM turut dijemput berceramah. Dalam ceramahnya beliau memuji Arqam cuma dia tak setuju dengan ahli Arqam yang buang tv ke dalam sungai. Baginya tv itu penting untuk tengok perkembangan yang berlaku di seluruh dunia.
Selepas kursus itu adik saya kekal dengan Arqam yang kekal berjubah hijau sejak menjadi ahli Arqam. Saya tidak sertai Arqam kerana saya dapati ia tidak sesuai dengan jiwa saya. Kawan kawan selalu bergurau dengan saya, adik masuk arqam, abang suka terkam.
Adik saya, Mahir akhirnya menjadi orang kuat Ustaz Shaari. Ayah saya marahi Mahir kerana dia selalu ikut Ustaz Shaari ke luar negara seperti Jordan, Mesir, Iran tetapi tak pernah singgah buat umrah di Mekah.
Apabila Ustaz Shaari ditahan di bawah ISA, adik saya sempat lari ke London selama dua bulan. Lepas itu dia kembali ke Malaysia. Oleh kerana emak angkatnya baik dengan Datuk Megat Junid, Timbalan Menteri Dalam Negeri, akhirnya namanya dipadam dari senarai ahli-ahli Arqam yang ditahan di bawah ISA.
Saya kadangkala disalah anggap sebagai Ustaz Zabidi Mohamad, penasihat undang undang Darul Arqam yang menulis sebuah buku mengenai Arqam selepas ditahan di bawah ISA. Adik saya selepas Arqam diharamkan, terus meninggalkan Arqam tetapi bekas ahli Arqam ramai yang taksub dengan Abu Ya.Abu Ya marahi adik saya dalam sebuah sajak kepada semua bekas ahli Arqam dalam sebuah bukunya.
Mereka menyertai Rufaqa yang dikatakan jelmaan semula Arqam. Abu Ya kekal dengan pegangan Aurad Muhamadiyah. Mahir menceraikan dua isterinya kerana mereka kembali menyertai Arqam. Ternyata Arqam cuma memerah wang ahli-ahlinya. Mereka sanggup berkorban menghulur wang kepada Arqam setiap bulan tetapi apa yang Arqam buat kepada mereka?
Apabila janda Mahir, Maimun kemalangan dan koma di hospital selama 46 hari, tiada seorang pun ahli Arqam datang melawat bertanya khabar. Masa Maimun meninggal dunia, tiada seorang pun ahli Arqam datang menziarahi Maimun di kubur.
Abu Ya sudah tiada. Janganlah pulak ada ahli Arqam yang fanatik berkata Abu Ya tidak mati. Nabi Muhammad wafat takkanlah manusia biasa seperti Abu Ya tidak mati. Abu Ya berjaya mendidik ahli-ahlinya setia dengan Arqam. Walaupun sudah bertukar nama kepada Rufaqa tetapi semua orang tahu itu adalah rebranding nama Arqam. Al Fatihah buat Abu Ya.
Khamis, Mei 13, 2010
APA JASA ZAM KEPADA UMNO?

Lucu juga apabila UMNO menganugerahkan Tokoh Melayu Terbilang kepada Datuk Zainuddin Maidin (Zam). Apa jasa Zam kepada UMNO? Beliau bukan pejuang UMNO dari bawah, ketua pemuda cawangan, ketua cawangan,ketua pemuda bahagian, naib ketua bahagian, timbalan ketua bahagian dan ketua bahagian?
Nampaknya ahli panel pemilih anugerah itu perlu melihat seseorang tokoh itu sama ada dia berjuang dalam parti selama mana. Zam adalah bukan aktivis parti. Dia adalah seorang calon payung terjun.
Tiba-tiba dia dilantik Senator dan kemudiannya dilantik Setiausaha Parlimen di Kementerian Penerangan di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad. Selepas itu beliau jadi Timbalan Menteri Penerangan dan akhirnya Menteri Penerangan di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tanpa pernah berjuang di peringkat bahagian tiba-tiba dia jadi calon BN di Merbok pada tahun 2004. Oleh kerana orang Melayu masih sayangi UMNO, maka Zam yang tak pernah aktif dalam UMNO di Merbok menang sebagai ahli parlimen.
Bagaimana UMNO boleh mengiktiraf seorang stringer. Dia jadi ketua pengarang Utusan melayu bukan kerana dia lulus dari Universiti Malaya seperti Datuk Johan Jaafar. Sebaliknya sekadar ambil kursus singkat dalam bidang kewartawanan di Berlin.
Zam bukannya hebat. Kalau tidak dia tidak dipecat dari jawatan Ketua Pengarang Utusan Melayu yang mana jawatannya diambilalih oleh Johan Jaafar. Dr Mahathir menyingkirkan Zam tetapi akhirnya Dr Mahathir menerima semula Zam setelah beliau membodek Dr Mahathir dengan menulis buku MAHATHIR DI SEBALIK TABIR.
Cakap Inggeris pun merapu. Sebagai Menteri Penerangan, Zam memalukan apabila al Jazeera mewawancaranya tidak lama dahulu. Orang seperti inikah yang mahu diangkat sebagai Tokoh Melayu Terbilang?
Apa jasa Zam kepada UMNO? Dia tidak ada jasa. UMNO yang berjasa kepada Zam kerana melantiknya sebagai setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri. Apa jasa Zam kepada Orang Melayu? Dia berjaya memecahbelahkan orang Melayu melalui Utusan Malaysia. Beliau sepatutnya merapatkan UMNO-PAS tetapi dia yang banyak melagakan antara UMNO dengan PAS.
Bagi saya, Zam bukan Tokoh Melayu terbilang kerana dia bukan Melayu tulen. Barangkali dia lebih sesuai menjadi Taukeh Cendol Mamak Terbilang.
Selasa, Mei 11, 2010
SELAMAT HARI JADI, UMNO

Hari ini genap 64 tahun usia UMNO. Sejak tahun 1946, UMNO banyak berjasa kepada orang Melayu. Tanpa UMNO, barangkali nasib orang Melayu tak pasti di bumi Malaysia ini. Dengan UMNO, maka tumbanglah Malayan Union. Dengan UMNO,akhirnya Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957.
Ketika negara mencapai kemerdekaan, usia UMNO baru 11 tahun. Pada tahun 1963 lahirlah Malaysia yang merangkumi Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Ketika itu UMNO berusia 17 tahun.
Negara hampir lumpuh apabila tercetus peristiwa 13 Mei 1969. Orang Melayu baru sedar mereka banyak ketinggalan setelah negara merdeka selama 12 tahun. UMNO ketika itu berusia 23 tahun.
Perikatan kalah teruk dalam pilihanraya umum 1969. Perikatan Selangor hampir tumbang. PAS menawan Kelantan, Gerakan merampas Pulau Pinang. Selepas demokrasi dipulihkan, Tun Razak mengambilalih kepimpinan negara. Tun Razak menubuhkan Barisan Nasional pada tahun 1974 dengan keahlian yang lebih ramai termasuk MCA,MIC,PAS, Gerakan, USNO,PBB.
Tun Razak adalah Presiden UMNO yang ketiga selepas Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Beliau meninggal dunia pada tahun 1976 dan birasnya, Tun Hussein Onn meneruskan perjuangan sebagai Presiden UMNO yang keempat. PAS ditendang dari BN pada tahun 1977 dan darurat diisytiharkan di Kelantan. Selepas kerajaan Mageran ditarik balik pada tahun 1978, BN berjaya merampas Kelantan dari PAS.
Sejarah pahit UMNO bermula ketika usianya genap 41 tahun. Jawatan Presiden UMNO ditentang hebat. Tun Dr Mahathir Mohamad ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 24 April 1987 yang mana Dr Mahathir menang dengan majoriti 43 undi sahaja. Kekalahan itu menyebabkan para penyokong Ku Li membawa kes itu ke mahkamah dan mahkamah memutuskan bahawa UMNO diharamkan.
UMNO berpecah dua apabila Dr Mahathir menubuhkan UMNO (baru) dan menyebabkan Ku Li keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Semangat 46.Ketika UMNO berusia 44 tahun, Semangat 46 bergabung dengan PAS dan DAP menentang BN pada pilihanraya umum 1990. PAS berjaya menawan semula Kelantan.
Dua kali menentang UMNO dalam pilihanraya, akhirnya Ku Li kembali ke dalam UMNO pada tahun 1997 dan membubarkan Semangat 46. UMNO yang kukuh semula menjadi lemah apabila UMNO menyingkirkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Pada tahun 1999, UMNO tewas di Kelantan dan Terengganu ketika usianya 53 tahun. Dr Mahathir berundur pada tahun 2003 setelah memimpin UMNO selama 22 tahun. Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak pernah termimpi jadi Perdana Menteri menjadi Presiden UMNO yang baru.
Pada pilihanraya umum 2004 ketika UMNO berusia 58 tahun, UMNO menang cemerlang. UMNO berjaya merampas semula Terengganu tetapi kepimpinan Pak Lah yang lemah menyebabkan UMNO kalah teruk pada pilihanraya umum 2008 ketika UMNO berusia 62 tahun.Kesilapan UMNO ialah tidak memujuk Anwar Ibrahim menyertai semula UMNO setelah beliau dibebaskan dari penjara. Ini adalah kerana UMNO angkuh setelah menang besar pada pilihanraya umum 2004. Apabila Anwar berada di luar UMNO, ini menyebabkan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum 2008.
Tun Razak sudah nampak karisma Anwar ketika beliau menjadi pemimpin pelajar. Sebab itu Tun Razak pernah mempelawa Anwar bertanding pada pilihanraya umum 1974 tetapi beliau menolaknya kerana beliau mahu mengetuai ABIM.Jika Pak Lah selaku Presiden UMNO ketika itu mencontohi Tun Razak, BN tidak kalah teruk dalam pilihanraya umum 2008.
Keputusan pilihanraya umumj 2008 menunjukkan UMNO tetap kalah di Kelantan selain kalah di Kedah,Perak dan Selangor. DAP berjaya menawan Pulau Pinang. Kegagalan BN membentuk kerajaan dua pertiga majoriti menyebabkan Pak Lah menyerahkan kepimpinannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setelah menjadi Perdana Menteri selama 1 tahun 1 bulan, Najib telah membawa pelbagai perubahan. Katanya, jika UMNO tidak berubah, UMNO akan rebah pada pilihanraya umum 2012.
Selepas pilihanraya umum 2008, beberapa pilihanraya kecil diadakan sama ada wakil rakyatnya meninggal dunia atau meletakkan jawatan. BN kalah di Permatang Pauh, Bukit Gantang,Kuala Terengganu, Bukit Selambau tetapi BN menang di Bagan Pinang, Hulu Selangor dan Batang Ai.BN dijangka mengekalkan kerusi parlimen Sibu pada hari pengundian minggu depan.
UMNO semakin tua, 64 tahun tetapi UMNO belum nyanyuk.Orang tua jika sentiasa jogging akan tetap segar seperti Prof Diraja Ungku Aziz. UMNO mampu menang pada pilihanraya umum akan datang jika UMNO sentiasa berubah.
Pendekatan Najib turun padang sewajarnya diikuti oleh semua ADUN dan ahli parlimen. Jika Perdana Menteri boleh turun padang,masakan ahli parlimen dan ADUN tidak boleh berbuat demikian. Ahli-ahli UMNO semakin cerdik.Mereka tidak boleh diperbodohkan oleh wakil rakyat mereka seperti dahulu. Kebanyakan wakil rakyat berjuang bukan untuk rakyat tetapi untuk kepentingan peribadi mereka. Itulah yang merosakkan UMNO. Mereka lebih menyenangi menemui kontraktor daripada menemui rakyat biasa.
Oleh itu UMNO kena berubah dari semua aspek.Jangan ambil kesempatan dari UMNO seperti mana tiga bekas Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn yang mati di luar UMNO.UMNO hanya elok ketika mereka ada jawatan. Bila tiada jawatan, UMNO tidak elok. Di manakah letaknya keikhlasan kita menyertai UMNO?
Isnin, Mei 10, 2010
AKPK KETINGGALAN BAS

Lucu juga membaca laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai sikap orang muda yang boros. Seorang pegawai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mencadangkan supaya pengurusan kewangan dimasukkan dalam kursus praperkahwinan yang dianjurkan oleh JAKIM.
Nampak sangat pegawai itu ketinggalan bas. Sudah lama pengurusan kewangan dimasukkan dalam silibus kursus praperkahwinan. Jadi seblum buat cadangan bodoh itu, ceklah dulu dengan JAKIM. Malunya pegawai bodoh itu.
Ikutilah laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai sikpa boros orang muda ini sepertimana berikut:-
Wanita sering dikaitkan dengan hobi ‘membuang duit’ iaitu membeli-belah, namun hakikatnya lelaki muda merupakan golongan yang paling ramai dibelenggu hutang kerana kegagalan menguruskan kewangan.
Golongan itu mula mengumpul hutang sejak awal bekerja dan apabila berumah tangga, hutang semakin menimbun sehingga gagal dibayar menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk keluar daripada masalah itu.
Menurut statistik yang dikeluarkan AKPK, dari 2007 hingga Februari 2010, seramai 25,107 atau 69 peratus daripada 36,547 pelanggan perkhidmatan pengurusan kredit di agensi itu adalah lelaki.
Lelaki berusia 30 hingga 40 tahun merupakan golongan yang paling tinggi iaitu 44.6 peratus atau 16,286 orang mendapatkan khidmat itu bagi melangsaikan hutang masing-masing diikuti 14,622 orang golongan berusia lebih 40 tahun (40 peratus) dan 5,639 orang golongan berusia antara 20 hingga 30 tahun (15.4 peratus).
Golongan yang berkahwin paling ramai mendapatkan khidmat itu iaitu 28,068 orang (76.8 peratus) diikuti bujang seramai 6,260 orang (17.1 peratus) dan bercerai seramai 1,508 orang (4.1 peratus) sementara kematian pasangan seramai 711 orang (dua peratus).
Menurut statistik itu, masing-masing 25 peratus punca golongan tersebut tidak mampu membayar balik pinjaman adalah disebabkan kegagalan merancang kewangan sejak mula bekerja dan perbelanjaan perubatan yang tinggi.
Penyumbang ketiga terbesar pula ialah penggunaan kad kredit di luar kawalan iaitu sebanyak 17 peratus diikuti gagal dalam perniagaan dan hilang pekerjaan iaitu masing-masing 12 peratus.
Faktor lain ialah kematian ketua keluarga (dua peratus) diikuti kegagalan dalam pelaburan (satu peratus) dan lain-lain (enam peratus).
Jumaat, Mei 07, 2010
NOR MOHAMED KENA TAMPIL BERI PENJELASAN

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa, sikap membisu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berhubung kerugian Pos Malaysia Berhad, seolah-olah wujud cubaan melindungi 'Little Nor Mohamed' yang dikaitkan sebagai pihak bertanggungjawab dalam kerugian itu.
Sambil menyelar tindakan tersebut, Zahrain berkata, selaku Menteri Kewangan Kedua ketika itu, Nor Mohamed perlu tampil memberi penjelasan memandangkan kerugian yang dialami berjumlah ratusan juta ringgit dan skandal itu mencemarkan imej kerajaan kerana dilihat sebagai tidak cekap.
"Kita mahu penjelasan kenapa kerugian sebesar itu boleh berlaku dan bukan bagaimana ia berlaku.
"Kalau kerugian ini disebabkan pelaburan dalam Transmile, kenapa tiada kajian terperinci dibuat mengenai risiko sebelum pelaburan dimuktamadkan dan siapa yang mendapat keuntungan daripada pelaburan tersebut?
"Isu ini tidak selesai dengan sekadar penjelasan daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin kerana kerugian berlaku semasa era Noh Mohamed, malah, sebarang keputusan yang dibuat oleh Pos Malaysia, saya percaya ia dalam pengetahuan beliau," katanya hari ini.
Beliau mengulas desakan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat UMNO (Pakku) yang menuntut Nor Mohamed memberi penjelasan mengenai kerugian RM546 juta yang terpaksa ditanggung oleh Pos Malaysia.
Bagaimanapun, sehingga hari ini, Noh Mohamed dilihat lebih selesa membisu daripada memberi sebarang penjelasan dan hanya Awang Adek buat masa ini yang tampil mengesahkan kerugian Pos Malaysia tetapi menafikan jumlahnya sehingga RM546 juta sebaliknya memberitahu kerugian sebenar adalah RM227 juta.
Mengulas lanjut, Zahrain yang juga wakil rakyat Bebas berkata, tindakan berdiam diri itu juga memberi implikasi negatif kepada kepimpinan sekarang di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mementingkan nilai ketelusan, integriti serta akauntabiliti yang tinggi sejajar dengan konsep pencapaian diutamakan.
Dalam pada itu, beliau juga mendesak dan menuntut penjelasan Nor Mohamed mengenai isu pelantikan sehingga lapan individu daripada Dana Harta Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam syarikat milik kerajaan (GLC).
"Saya bukan bermaksud hendak menyerang peribadi beliau tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya hendak tahu apa kriteria pemilihan sehingga lapan orang daripada Dana Harta terpilih menjadi CEO syarikat GLC.
"Apakah mereka ini mempunyai kelayakan yang begitu hebat atau ada sejarah hubungan dengan Nor Mohamed dan apakah motif pelantikkan mereka? Pada saya jika mereka ini dilantik kerana kebolehan sudah pasti Pos Malaysia tidak akan mengalami kerugian sebegini besar," jelasnya.
Bagaimanapun, secara sinis Zahrain berkata, jika benar dakwaan bahawa semua CEO yang dilantik itu bukan dibuat berdasarkan kebolehan tetapi disebabkan kronisme, adalah wajar untuk Nor Mohamed terus berdiam diri.
Rabu, Mei 05, 2010
JANGAN SAMAKAN LIM DENGAN UMAR ABDUL AZIZ

Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional hari ini meminta supaya pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak disamakan dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz kerana ia menyentuh senstiviti umat Islam.
Shabudin Yahya (BN-Permatang Berangan) berkata Umar adalah seorang pemimpin yang disanjungi umat Islam kerana akidah, ibadah dan keperibadiannya.
"Kalau nak guna nama Abraham Lincoln atau Nelson Mandela, guna lah," katanya ketika membahaskan Usul Terima Kasih Ucapan yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.
Beliau berkata ciri-ciri kedua-dua pemimpin itu tidak sama dan jika secara berterusan mereka disamakan ia akan melukakan hati umat Islam.
"Ciri-ciri mereka tak sama, jadi boleh timbul sensitiviti dan kemarahan yang tidak boleh diubati," katanya.
Kenyataan Shabudin menyebabkan R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) tidak berpuas hati dan bangun membantah teguran Adun Permatang Berangan itu.
"Kenyataan yang dibuat (oleh Shabudin) seolah-olah Ketua Menteri tidak layak dibandingkan dengan orang itu (Khalifah Umar)," katanya.
Shabudin kemudiannya menjelaskan bahawa beliau hanya menyuarakan ketidakpuasan hati umat Islam yang meminta perkara itu disampaikan kepada kerajaan negeri.
Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain kemudiannya menjelaskan bahawa Lim hanya menjadikan cara pemerintahan Umar sebagai contoh untuk mentadbir negeri.
"Tiada perbandingan antara Ketua Menteri dan Umar. Saya akan minta Ketua Menteri jawab," katanya.
Selasa, Mei 04, 2010
MIC YANG UNTUNG

UMNO menuntut kerusi Hulu Selangor tetapi BN mengekalkan status quo dengan memberi peluang kepaa MIC bertanding pada pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
MIC menang melalui calonnya, Kamalanathan tetapi UMNO yang menggigit jari. Bukan sahaja UMNO tak dapat bertanding di Hulu Selangor malah ia tidak mendapat Senator sedangkan UMNO yang bekerja kuat untuk kemenangan BN itu.
Sekurang-kuranglah lantiklah seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Hulu Selangor sebagai Senator kerana menghargai pengorbanan UMNO yang tidak bertanding dan menghargai kerja kuat UMNO untuk kemenangan BN. UMNO yang kuat bekerja. Sehingga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun razak terpaksa turun berkempen. Belum pernah Perdana Menteri berkempen sekuat ini dalam pilihanraya kecil. Kali terakhir Dr. Mahathir berkempen pada pilihanraya kecil Johor Bhrau pada tahun 1988.
Selepas itu timbalannya yang turun berkempen sama ada Ghafar, anwar atau Pak Lah. Bila Pak Lah jadi PM, tradisi berkempen diteruskan oleh timbalannya pula, Najib. Apabila Najib jadi PM, Muhyiddin yang turun berkempen tetapi penglibatan Najib pada kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor amat luar biasa.
Presiden MIC, Samy Vellu tak nampak hidung sepanjang kempen. Yang kerja kuat ialah UMNO tetapi yang dapat Senator ialah MIC, G. Palanivel. Sekauh mana Palanivel kerja kuat untuk kemenangan BN di Hulu Selangor?
Nampaknya MIC yang untung, UMNO Selangor yang menggigit jari.
Ahad, Mei 02, 2010
JANGAN DUDUK DI TERENGGANU

Saya tertarik dengan titah Sultan Selangor yang bertitah sesiapa yang tidak suka dengan peraturan Majlis Agma Islam Selangor supaya jangan berceramah politik di masjid, jangan datang ke Selangor.
Titah itu amat tegas dan diharapkan selepas ini tiada siapa lagi orang politik yang melanggar titah tersebut. Bila terdengar titah Sultan Selangor ini, teringatlah saya pada perkembangan politik Terengganu yang mana masih ada orang politik terutamanya ADUN yang tidak dapat menerima perlantikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Sepatutnya Sultan Terengganu, Sultan Mizah buat titah yang tegas iaitu sesiapa yang tidak berkenan dengan pilihan Baginda sebagai Menteri Besar, jangan duduk di Terengganu. Berpindahlah ke negeri lain.
Maka ADUN Ajil, Datuk Rosol wahid; ADUN Paka, Zakaria Abdullah dan ADUN Bukit Payong, Alias Abdullah hendaklah berpindah ke negeri lain kerana mereka bertiga masih tidak dapat menerima Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.
Malah Rosol juga kena memulangkan semula pingat Datuk yang diterimanya dari istana Terengganu. Agaknya ke mana Rosol, Zakaria dan Alias akan berhijrah?
Jumaat, April 30, 2010
DAP PATUT DIPELAWA SERTAI BN

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek semalam menafikan dakwaan bahawa sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN) semakin merosot.
Katanya, undi kaum Cina pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor sebenarnya meningkat .
Menurut beliau, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 menunjukkan 35 peratus pengundi Cina di Selangor menyokong BN dan jumlah itu menurun kepada 14 peratus tidak lama selepas negeri itu dikuasai pakatan pembangkang.
"Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil di Hulu Selangor Ahad lalu, MCA mendapati undi Cina ialah sekitar 28 peratus dan ini menunjukkan peningkatan.
"Ia membuktikan pengundi Cina menyokong BN dan telah menunjukkan keyakinan mereka terhadap parti,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Presiden MCA di Wisma MCA semalam.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata orang Cina tidak mengundi BN sebelum Perkasa ditubuhkan lagi.
Katanya, pada pilihanraya umum 2008, masyarakat Cina tidak mengundi MCA.
"Oleh itu menyalahkan Perkasa jadi punca masyarakat Cina tidak mengundi BN, adalah ssesuatu yang tidak betul," katanya.
Jika benar masyarakat Cina telah menolak MCA dan Gerakan mewakili mereka, maka BN perlu menarik DAP menyertai BN.
Pada tahun 1969, Gerakan mengalahkan MCA di Pulau Pinang. Gerakan pada mulanya parti pembangkang. Apabila ia sudah membentuk kerajaan negeri, akhirnya Gerakan menyertai BN.
Oleh kerana DAP sudah membentuk kerajaan di Pulau Pinang, apa salahnya DAP dipelawa menyertai BN kerana DAP kini mewakili masyarakat Cina. Bagi mereka, MCA dan Gerakan sudah tidak relevan lagi.
DAP jika ditawarkan empat kerusi menteri pusat menggantikan MCA mungkin menerima tawaran BN jika kementerian yang diberikan itu sesuai dengan tuntutan DAP.
Rabu, April 28, 2010
PENGUNDI CINA SEPERTI PENGUNDI KELANTAN

Jika trend pengundi Cina masih bersama pembangkang seperti yang ditunjukkan pada pilihanraya kecil Hulu Selangor Ahad lalu, ini bermakna BN sukar mendapat majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum akan datang.
Maka kajian perlu dibuat kepada pengundi Cina masih bersama PKR sedangkan kerajaan BN mengumumkan pelbagai peruntukan untuk kaum Cina. Apa lagi yang kaum Cina hendak? Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata masyarakat Cina marah dengan kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mahu kerajaan BN menghukum para pengundi Cina di Hulu Selangor.
Kenapa pengundi Cina perlu dihukum? Mereka sebenarnya cerdik seperti orang Kelantan yang tetap mengundi PAS walaupun kerajaan pusat mengumumkan pelbagai peruntukan untuk rakyat Kelantan. Sebab itu walaupun PAS menang pada pilihanraya kecil di kelantan, pengundi di situ tetap mendapat jambatan yang diumumkan oleh kerajaan pusat.
Orang Cina mengikut jejak langkah orang Kelantan. Oleh itu di masa akan datang janganlah BN menabur janji lagi di kawasan mereka kerana mereka tetap tidak mengundi BN.
Sementara itu, Pemuda UMNO mahu pengundi Cina juga perlu diambil kira dan bukan "dihukum" kerana tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
Dari segi perbandingan walaupun sokongan orang Melayu dan kaum India adalah lebih baik kepada BN di Hulu Selangor, kebanyakan pengundi Cina sekali lagi memilih untuk mengundi pembangkang.
"Mengesampingkan masyarakat Cina adalah tidak sihat terutama apabila pegangan BN terhadap masyarakat utama yang lain tidak akan menjadi mutlak," kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin semasa memberikan respons kepada beberapa cadangan daripada beberapa pihak tertentu bahawa pengundi Cina perlu diajar dengan menarik balik peruntukan yang dijanjikan kepada mereka semasa kempen pilihan raya.
"Politik bukan hanya setakat undi; ia juga mengenai sesuatu yang ideal, prinsip dan melakukan apa yang betul.
"Saya pasti jika kita terus membantu semua masyarakat dengan penuh keadilan dan kesaksamaan, persepsinya akan bertambah baik. Saya percaya ramai yang tidak mengundi kita kekal sinis dan mahu kita menunaikan janji sebelum menyokong BN, kata Khairy ketika memberikan respons mengenai trend mengundi yang ditunjukkan pada pilihan raya kecil Hulu Selangor yang menyaksikan BN menang dengan majoriti 1,725 undi.
Khairy yakin bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan tetap dengan laluan 1Malaysia dan membawa pembaharuan sehingga semua pengundi dari pelbagai kaum yakin bahawa perubahan akan terus menjadi kenyataan.
"Saya tidak sangsi bahawa jika kita terus komited dan menyokong sepenuhnya perubahan yang dibawa Perdana Menteri, BN akan melihat perubahan yang positif menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Jadi, kita mesti ikhlas melaksanakan 1Malaysia, kita tidak boleh meninggalkan kepimpinan PM yang inklusif, hanya kerana kita tidak melihat satu kaum masih belum lagi memberikan respons dalam pilihan raya."
Sementara Hulu Selangor memberikan BN satu peluang untuk memenangi pilihan raya kecil parlimennya yang kedua sejak pilihan raya umum ke-12, ia merupakan petanda keutamaan pengundi.
Ketua Pemuda UMNO itu memerhatikan bahawa BN menunjukkan satu perubahan yang signifikan dalam corak pengundian pengundi muda di kawasan yang mempunyai majooriti kaum Melayu dan Inida.
"Dalam pilihan raya kecil ini, BN hanya dapat memperoleh 28 peratus daripada undi kaum Cina berbanding 37 peratus semasa pilihan raya umum lalu.
"Dengan memenangi di hampir kesemua pusat mengundi yang mempunyai majoriti orang Melayu, BN tewas di hampir kesemua pusat mengundi yang mempunyai majoriti kaum Cina. Kita (juga) hilang sokongan di kalangan pengundi muda (dari kaum Cina).
"Sebagai contoh, di Kg Baharu Kalumpang, perbezaan dalam margin kemenangan bagi PKR dalam "saluran muda" melompat kepada 130 undi. Di Kg Baru Rasa, majoriti bagi PKR meningkat dengan 241 undi.
"Ini menunjukkan, antara lain, sokongan (bagi BN) daripada pengundi muda Cina juga menurun," kata Khairy.
Pada pilihan raya umum 2008, BN hanya menang di 11 pusat mengundi yang dikategorikan sebagai terdiri kebanyakannya pengundi muda, manakala PKR menang di 34 pusat mengundi. Kali ini BN menang 30 dan PKR 23.
Pilihan raya kecil Hulu Selangor juga menunjukkan bahawa kira-kira 1,329 pengundi muda beralih menyokong BN berbanding 2008 pada peringkat parlimen.
Khairy berkata perkembangan ini juga isyarat kepada BN supaya melakukan perkara yang betul bagi semua rakyat Malaysia.
Walaupun pilihan raya kecil ini menunjukkan terdapat perubahan ketara dalam rentak pengundian di kalangan pengundi muda terhadap BN, beliau berkata secara strategiknya boleh disangsikan jika terus bergantung dengan undi kaum Melayu dan India.
"Walaupun Hulu Selangor mungkin menampakkan sokongan kaum Melayu dan India yang lebih baik berbanding pada 2008, terdapat satu perkadaran yang besar bagi kedua-dua kaum yang menyokong pakatan pembangkang.
"Tanggapan mengenai perpaduan orang Melayu sukar difahami, terutama dalam soal pilihan mengundi. Akan sentiasa wujud perkadaran yang besar daripada 30 kepada 50 peratus dalam mana-mana kawasan yang akan menyokong pembangkang terutama mereka yang setia dengan PAS.
"Sementara itu, pengundi kaum India juga telah menunjukkan kearifan mereka dan semuanya bergantung bagaimana mereka melihat perubahan dalam MIC dan pelaksanaan janji-janji yang telah dibuat kepada mereka," kata Khairy.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga berkata bahawa adalah tidak betul untuk mengesampingkan pengundi Cina di Hulu Selangor kerana disebabkan trend pengundian.
Beliau berkata bahawa BN, sebagai parti pelbagai kaum, perlu membantu rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
Isnin, April 26, 2010
KEMENANGAN BN TIDAK MENGEJUTKAN

Kemenangan BN merampas semula kerusi parlimen Hulu Selangor semalam tidaklah mengejutkan kerana tiga kerusi DUN telah dimenangi oleh BN pada pilihanraya umum lalu. Sebaliknya calon PKR, Arwah Datuk Zainal Abidin Ahmad yang terkejut apabila diumumkan menang dengan majoriti 108 undi.
Oleh itu kemenangan calon BN, Kamalanathan bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Beliau menang dengan majoriti 1,725 undi. Beliau mendapat 24,997 undi melebihi 2,000 undi yang dipungut oleh Palanivel pada pilihanraya umum 2008. Oleh itu jika BN meletakkan Palanivel BN tetap menang walaupun majoritinya mungkin tidak sebesar 1,725 undi.
PKR berjaya menambah hampir 100 undi sahaja. Zaid mendapat 23,272 undi melebihi undi yang dipungut oleh arwah Zainal sebanyak 23,177 undi. Ini bermakna pengaruh PKR tidak berkurangan walaupun orang kuat PKR, Dr. Halili Rahmat meninggalkan PKR sewaktu pilihanraya kecil berlangsung.
Inilah pilihanraya kecil termahal yang BN pernah belanjakan. Seorang pemimpin UMNO pernah beritahu saya BN belanjakan RM11 juta dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu dua tahun lalu tetapi BN tewas kepada calon PAS, Abdul Wahid Endut. Kalau di Kuala terengganu BN boleh belanjakan RM11 juta, apatah lagi di Hulu Selangor yang mungkin BN belanjakan lebih besar dari itu.
Kemenangan BN menunjukkan betapa baiknya orang melayu. Walaupun kerusi itu diberi kepada orang keling bertanding dalam kawasan majoriti melayu, orang Melayu tetap beri kemenangan kepada calon MIC kerana sayangkan UMNO.Kalau orang Melayu bertanding mewakili BN di kawasan majoti Cina belum tentu orang Melayu menang.Inilah baiknya orang Melayu.
Jangan harap selepas ini kerusi parlimen Hulu Selangor dikembalikan semula kepada UMNO kerana MIC sudah kuat semula. Sekurang-kurangnya empat penggal Kamalanatahan bertapak di situ dan beliaulah bakal Presiden MIC 10 tahun akan datang. Kemenangan MIC ini menunjukkan MIC memerlukan orang baru seperti Kamal. Selepas ini Samy Vellu dan Palanivel boleh bersara dari politik dan mereka patut beri laluan kepada Kamal menerajui MIC.
Belum pernah pilihanraya kecil seorang PM turun padang setiap hari seperti pilihanraya kecil Hulu Selangor. PM turun setiap hari selepas balik dari Jepun, tetapi BN cuma dapat menambah 2,000 undi sahaja. Najib turun padang kerana kebetulan beliau adalah Pengerusi BN Selangor.Oleh itu pengundi pada pilihanraya kecil yang lepastak perlu kecil hati PM tidak turun kerana kebetulan bukan PM jadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri tersebut. Kemenangan ini bermakna BN mampu menawan semula negeri Selangor pada pilihanraya umum akan datang.
Sudah setahun Najib memimpin negara. Ini menunjukkan rakyat menerima perubahan yang dilakukannya dalam masa setahun. Oleh itu PKR perlu berhati-hati pada pilihanraya umum akan datang kerana cita-cita Pakatan Rakyat mahu menawan negara tidak mungkin tercapai. Orang Melayu yang menyokong PKR dua tahun lepas telah kembali menyokong UMNO. UMNO Selangor memerlukan pemimpin baru untuk menawan semula Selangor dan sudah tentu Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Noh Omar yang akan menerajui Selangor pada masa akan datang.
Strategi PKR meletakkan Zaid Ibrahim tidak mengena. Pada pilihanraya umum akan datang, biarlah Zaid bertanding semula di Kota Bharu.Biarlah Zaid berdepan dengan Datuk Fatmi, Setiausaha Politik Najib pada pilihanraya umum akan datang di parlimen Kota Bharu.
Citarasa pengundi bandar berbeza dengan citarasa pengundi luar bandar seperti Hulu Selangor. Orang melayu jadi segan bila lihat PM turun padang. maka mereka mengundi BN kerana segankan Najib walaupun dalam hati mereka marah orang UMNO tidak diberi peluang menjadi ahli parlimen di Hulu Selangor.
BN menang di dua DUN UMNO (Hulu Bernam dan Batang Kali) tetapi kalah di DUN Kuala Kubu Bharu yang dimenangi MCA dua tahun lalu. Ini bermakna orang Cina tetap menyokong pembangkang walaupun BN mengumumkan pelbagai peruntukan untuk masyarakat Cina.
Ini membuktikan bahawa orang Melayu yang beri kemenangan kepada Kamal. Orang Cina tidak mahu Alan walaupun orang Keling boleh menerima Nathan. Maka dengan kemenangan Nathan ini, Palanivel terpaksa mencari tapak baru untuk menang pada pilihanraya umum akan datang. MIC kalah di Bukit Selambau tetapi menang di Hulu Selangor. Maka sudah sampai masanya bagi Samy Vellu melepaskan jawatan Presiden MIC kerana Pengerusi BN sendiri sudah tidak dengar kata Samy Vellu yang tidak memilih calon pilihannya, palanivel sebagai calon BN. Sebab itu setiap kali Najib turun padang, tidak kelihatan samy Vellu turun padang bersama PM kerana MIC tidak serius mahu melihat Nathan menang. Oleh kerana kamal menang kerana undi orang UMNO, maka janganlah buat kenyataan yang menyinggung perasaan orang Melayu selepas ini.
Selasa, April 20, 2010
BN TIADA ISU LAIN

Nampaknya BN tiada isu lain terpaksa menyerang peribadi Datuk Zaid Ibrahim, calon PKR dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan pada hari Ahad ini.
Dua blog gerakan anti pkr (gap) dan pisau.net telah menyiarkan gambar Zaid memegang botol arak dan gambar kuda Zaid seolah-olah semua ahli parlimen BN lain tidak pernah minum arak dan tidak pernah berjudi.
Sepatutnya BN tidak perlu guna isu peribadi kerana ia memalukan BN sendiri. Orang seperti Zaid yang ada prinsip sanggup meletakkan jawatan menteri perlu ditanya kenapa beliau tinggalkan jawatan itu sedangkan beliau dilantik oleh Pak Lah sebagai menteri? Ini menunjukkan Zaid yang telah membuat rakyat percaya semula kepada undang-undang negara tidak bersetuju apabila Tan Sri Syed hamid Albar menggunakan ISA. Bukan senang nak cari orang yang ada prinsip seperti Zaid sekarang ini.
Terpulanglah kepada para pengundi Hulu Selangor sama ada mereka mahu memilih Kamal atau Zaid. Keputusan terletak di tangan anda!
Isnin, April 19, 2010
EZAM AKAN DEDAH HUBUNGAN ANWAR DENGAN ARKITEK PERANG ISRAEL

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd. Noor akan mendedahkan bukti hubungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pihak Israel di Hulu Selangor dalam masa terdekat ini.
Menurut beliau, antara yang akan didedahkan adalah salinan surat membuktikan hubungan rapat Anwar dengan Pengerusi Bank Dunia, Paul Wolfowitz yang pernah bertugas sebagai arkitek perang Israel dan teman wanitanya, Shaha Ali Riza.
Dakwa Ezam, salinan surat itu mengandungi permintaan Anwar agar Shaha ditukarkan ke Foundation for the Future di mana penasihat PKR itu menjadi pengerusinya untuk menyelamatkan imej Wolfowitz daripada skandalnya dengan wanita itu.
Kata beliau, salinan surat itu diperolehnya daripada sumber di Bank Dunia.
"Anwar sebelum ini menuduh Kerajaan Pusat bekerjasama dengan Israel ekoran hubungan dengan Apco Worldwide tetapi pada saya ia hubungan profesional yang tidak memberi keuntungan kepada Israel tetapi kepada negara.
"Tetapi bagaimana hubungan rapatnya dengan Wolfowitz hingga sanggup melindungi lelaki itu daripada skandalnya," katanya.
Beliau ditemui selepas pengumuman peletakan jawatan dan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua pemimpin AMK, Nor'isham Manap dan Muhammad Ali Mukhtar di sini hari ini.
Ditanya mengenai kenyataan yang mengatakan calon PKR Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim dapat membantu rakyat di kawasan itu kerana hubungan baiknya dengan kerajaan negeri, Ezam menjawab:
"Ahli Parlimen PKR sebelum ini juga mempunyai hubungan yang baik malah sangat rapat dengan kerajaan negeri, tetapi apa yang telah dilakukan kepada rakyat?"
MINUM ARAK CERITA LAMA

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor Datuk Zaid Ibrahim berkata dakwaan beliau meminum arak adalah cerita lama.
"Itu cerita lama. Kalau mereka nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf dengan Allah S.W.T.
"Apapun kelemahan saya, apapun ketidaksempurnaan, saya adalah seorang manusia dan mampu jadi wakil rakyat. Saya tidak hipokrit, apa yang silap, silaplah," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa berkempen dari rumah ke rumah di Kerling di sini.
Zaid berkata apa yang membezakan antara beliau dengan pemimpin lain ialah beliau tidak bersikap hipokrit.
"Kalau orang tanya kes-kes tertentu, mereka kata terlalu kecil. Tetapi bagi saya, saya jawab. Saya percaya rakyat Hulu Selangor boleh menilai manusia Zaid Ibrahim ini sama ada dia layak jadi wakil rakyat. Kalau layak saya menang lah, kalau tak layak, tak layaklah," katanya.
Zaid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beliau adalah seorang kaki botol tegar seperti dilaporkan oleh beberapa blog.
Pada pilihan raya kecil 25 April ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Zaid, calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan dan dua calon Bebas iaitu V.S. Chandran dan Johan Md Diah.
Kerusi Parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.
Ahad, April 18, 2010
SIAPA MENANG AHAD DEPAN?

Siapa menang dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor Ahad depan menarik perhatian kita. Adakah calon BN, Kamalanathan atau calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim? Dua calon Bebas dikatakan tidak ada harapan untuk menang setakat 100 undi sorang bolehlah pungut.
Jika kedua calon Bebas ini berjaya memecahkan undi para penyokong BN, maka calon PKR yang menang. Ahli-ahli UMNO kecewa kerana BN meletakkan calon MIC untuk merampas kerusi itu dari PKR. Pada masa yang sama para penyokong bekas ahli parlimen mereka, Palanivel turut kecewa kerana Planivel tidak dicalonkan semula.
Sewaktu Zaid dalam BN tidak timbul dia peminum arak. Bila masuk PKR, barulah timbul isu ini. Kenapa sewaktu beliau dalam BN tidak pernah disebut bahawa dia adalah peminum arak tegar? Itulah politik. BN tidak ada isu lain terpaksa membawa isu peribadi Zaid kerana dia adalah seorang menteri yang berprinsip.
Kalau mahu dengar suara kuat di Dewan Rakyat, hantarlah Zaid ke sana. Jika tidak bila BN menang, Palanivel terpaksa mencari kerusi lain pula dalam pilihanraya umum akan datang. Selamat mengundi para pengundi Hulu Selangor/
Jumaat, April 16, 2010
DIN ADAM BUKAN ORANG BESUT

Pada minggu lepas ketika berada di Tingkat 4, The Mall saya ternampak buku KEMELUT POLITIK TERENGGANU oleh Zainal Yusof di sebuah kedai buku. Saya terus membelinya. Saya pun tak kenal siapa Zainal Yusof ini kerana saya tak pernah dengar namanya walaupun dia ada blognya sendiri, citrabangsa.
Saya terus membaca buku yang tebal itu. Banyak isu diulang beberapa kali dalam tulisan sebelumnya. Ini tidaklah menghairankan kerana ia dipetik dari tulisannya yang tersiar dalam blognya. Malah blog lesungbatu pun turut dipetiknya yang dimiliki oleh Zakaria Bidin.
Saya tidak mahu mengulas panjang buku ini yang kononnya Datuk Din Adam telah beri amaran kepada Hambali Latif yang kononnya dia terlibat dalam penulisan buku tersebut. Ada beberapa fakyat yang silap dalam buku itu kononnya Din Adam berasal dari Besut. Sedangkan dia berasal dari jerung, Marang.
Saya pernah duduk satu asrama dengannya di Sekolah menengah Sultan Sulaiman pada tahun 1978. Beliau adalah junior saya. Din memang seorang pelajar yang nanor di asrama ketika itu. Siapa sangka dia yang nanor boleh masuk politik dan jadi Exco Kerajaan Negeri. Itulah tuah badan Din Adam.
Dia bukan orang Bukit Besi. tetapi oleh kerana dia bekerja di Ketengah sebagai juruteknik, maka dia masuk UMNO di cawangan Bukit Besi. Nasibnya baik bila dia menentang wahab untuk jawatan ketua pemuda bahagian Dungun, maka dia menang pada tahun 1998.
Selepas itu dia dilantik ketua pemuda UMNO negeri terengganu yang kebetulan ketika itu Datuk Seri Hishamuddin jadi Ketua [pemuda UMNO Malaysia. Pada tahun 2004, beliau bertanding kali pertama di DUN Bukit besai dan terus dilantik Exco Kerajaan Negeri oleh menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh.
Seperti kata Zainal Yusof dalam bukunya itu, Datuk Ahmad said pernah menawarkan jawatan Exco kepada Din tetapi Din menolaknya kerana terlalu patuh kepada Idris. Kini idris sudah meninggalkan Idris kerana dilantik pegawai khas kepada Hishamuddin.
Banyak yang menarik ditulis oleh Zainal dalam buku itu. syabas kepadanya.
ORANG LAMA -Vs- ORANG BARU

BN telah mengumumkan calon baru bagi pilihanraya kecil Hulu Selangor, Kamalanathan, 44, berbanding dengan calon PKR, Datuk zaid Ibrahim, 59 tahun. Langkah BN tidak meletakkan semula wakil rakyat empat penggal sebagai calon, G. palanivel merupakan satu langkah yang bijak.
Jika Palanivel bertanding dan kalah ia akan menjejaskan nama baik MIC kerana Palanivel akan mewarisi kepimpinan MIC dalam tempoh 12 bulan akan datang. Oleh itu jika Kamalanathan kalah, ia tidak akan menjejaskan masa depan politik Palanivel.
Sebagai Presiden baru MIC, Palanivel boleh pilih kawasan lain yang lebih selamat untuknya pada pilihanraya umum akan datang. Mampukah MIC merampas kembali kerusi Hulu Selangor pada 24 April ini?
Zaid adalah bekas ahli parlimen Kota Bharu dari tahun 2004 hingga 2008. Pada pilihanrayaumum 2008, beliau tidak dipilih sebagai calon tetapi dilantik senator oleh Pak Lah dan dilantik menteri di jabatan perdana menteri yang menjaga undang-undang.
tetapi beliau adalah menteri yang berprinsip. Apabila menteri dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar menahan beberapa ahli politik dalam ISA, maka beliau meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan ISA. Memang susah nak cari menteri yang berprinsip seperti Zaid.
Sebab itu PKR merasakan perlu menghantar orang seperti zaid ke parlimen supaya suaranya yang lantang terus kedengaran di parlimen. Mampukah Zaid mengekalkan kerusi PKR ini berhadapan dengan Kamalanathan yang merupakan anak tempatan?
Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad bekas ahli parlimen Hulu Selangor bukan anak tempatan. Beliau orang Hulu langat tetapi menang dengan majoriti tipis 108 undi sedangkan semua tiga kerusi DUN dimenangi oleh UMNO dan MCA. Jadi dapatkah Kamalanathan menyekat kemaraan Zaid ini dengan isu anak tempatan?
Pilihanraya kecil ini amat penting kepada MIC sama ada MIC masih relevan dalam BN atau tidak. Jika BN kalah, kedudukan MIC perlu dikaji semula kerana masa ada kerusi majoriti pengundi India di negara ini. Selama ini MIC menang kerana bertanding di kerusi Melayu. Tetapi PKR bijak meletakkan calon Melayu kerana mahu menarik undi orang UMNO yang mahu BN meletakkan calon UMNO bertanding di situ. Setakat ini PKR yang meletakkan calon melayu menang dua kerusi di kerusi MIC, Hulu Selangor dan Teluk Kemang. Apakah PKR dapat mengekalkan kerusi Hulu Selangor ini?
Khamis, April 08, 2010
SEPERTI DIDUGA BN KEKALKAN STATUS QUO

Seperti diduga BN mengekalkan status quo untuk bertanding pada pilihanraya kecil hujung bulan ini. Datuk Seri Najib tidak bernai buat perubahan. Jika dia buat perubahan, ini bermakna dia tidak menyokong gagasan 1Malaysia yang dilaung-laungkannya.
Biarpun Hulu Selangor penuh dengan majoti pengundi Melayu,biarlah MIC yang bertanding kerana itulah status quo sebelum ini. Siapa calonnya sudah pasti Timbalan Presiden MIC. G. Palanivel yang sudah empat penggal jadi ahli parlimen kawasan tersebut.
Adakah orang UMNO yang pada mulanya menuntut kerusi tersebut akan beri sokongan kepada G. Palanivel yang bakal mewarisi MIC daripada Datuk Seri Samy Vellu? Adakah orang India akan solid mengundi BN? Bagaimana pula sokongan kaum Cina? Jika semua kaum bersatu ada harapan bagi BN untuk merampas kembali kerusi itu dari PKR dalam suasana PKR berpecah.
Ini semua bergantung kepada siapa calon PKR? Adakah PKR akan meletakkan orang Melayu sekali lagi sebagai calon? Ini semua yang akan dijawab pada hari pengundian nanti.
Rabu, April 07, 2010
DUA KALI DIGODAM
Mulai hari ini blog saya memo-belakang.blogspot.com sudah ditukar nama kepada catatanzabidi.blogspot.com. Ini adalah bertujuan untuk keselamatan setelah dua kali blog saya digodam. Kali pertama pada bulan Januari lalu dan paling terbaru, pada 1 April lalu.
Walaupun blog saya tidak popular, ia menjadi phobia kepada sesetengah orang sehingga dia sanggup menggodam blog saya dengan menukar namanya kepada belakangmain.blogspot.com. Saya tahu siapa yang menggodam blog saya. Oleh itu saya minta orang itu bertaubatlah. Kalau tidak puas hati dengan tulisan saya, jawablah dalam majalahnya dan bukannya mengkhianati blog saya.
Saya beri amaran terakhir kepada manusia durjana ini. Jika dia buat lagi selepas ini, saya tidak teragak-agak akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada manusia yang tidak berhati perut ini.
Walaupun blog saya tidak popular, ia menjadi phobia kepada sesetengah orang sehingga dia sanggup menggodam blog saya dengan menukar namanya kepada belakangmain.blogspot.com. Saya tahu siapa yang menggodam blog saya. Oleh itu saya minta orang itu bertaubatlah. Kalau tidak puas hati dengan tulisan saya, jawablah dalam majalahnya dan bukannya mengkhianati blog saya.
Saya beri amaran terakhir kepada manusia durjana ini. Jika dia buat lagi selepas ini, saya tidak teragak-agak akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada manusia yang tidak berhati perut ini.
Langgan:
Catatan (Atom)