Memaparkan catatan dengan label kelantan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kelantan. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 15, 2012

KELANTAN TIDAK PUNYA KUASA

Kerajaan Pas Kelantan tidak mempunyai kuasa ke atas penemuan sebarang sumber asli di luar tiga batu nautika dari pantai negeri ini. Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, hanya Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa penuh sekiranya sumber asli tersebut ditemui di luar daripada jarak berkenaan. Menurutnya, sempadan bagi menentukan kekuasaan di antara negeri dan Kerajaan Pusat itu ditentukan ketika penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada Februari 1948. "Untuk menjelaskan soal ini, selain daripada sempadan yang dibuat di peringkat pemisahan negeri dan negeri lain, maka di seberang laut atau pun di pesisiran air telah pun ditentukan supaya kekuasaan negeri berkenaan dilanjutkan sehingga tiga batu nautika. "Selebihnya akan dikuasai oleh Kerajaan Pusat. Kalau ada sebarang penemuan sama ada bijih timah atau pun apa juga yang berfaedah, kalau ditemui dalam kawasan kurang daripada tiga batu nautika maka ia menjadi hak dan milik negeri tetapi kalau ditemui di luar tiga batu nautika, ia menjadi hak dan milik Kerajaan Persekutuan seperti ditentukan pada 1948 itu," katanya. Beliau berkata demikian ketika dipetik daripada video yang bertajuk, Tengku Razaleigh 2012 - Tunaikanlah Apa Yang Dalam Perjanjian (Royalti) di http://www.youtube.com/watch?v>nM-9q6N_NU0. Video berdurasi 12 minit itu dimuat naik di laman Youtube oleh Signal On pada 3 Oktober lalu. Sebelum ini, Kerajaan Pas Kelantan mendakwa, mereka berhak mendapatkan royalti hasil daripada minyak yang dikeluarkan oleh Petronas kerana ia terletak dalam perairan negeri itu. Perkara itu kemudiannya menjadi polemik yang berpanjangan apabila pemimpin Pas memainkan sentimen di atas pentas ceramah biarpun ia telah dibawa ke mahkamah untuk diadili. Kesemua telaga minyak yang dituntut oleh Kerajaan Pas Kelantan berada lebih 60 batu nautika dari pantai negeri ini. Sementara itu, Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata, beliau telah ditugaskan untuk berunding dengan kerajaan Sarawak ketika penubuhan awal syarikat tersebut selepas timbul pertikaian. "Saya telah dikirim oleh Kerajaan Pusat untuk berunding dengan Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tun Abdul Rahman Yaakob dan saya telah berjaya mendapat persetujuan dalam rundingan itu supaya kita menyelesaikan perkara yang dibangkitkan di Mahkamah Kuala Lumpur. "Segala-galanya ditentukan dengan persetujuan yang dibuat apabila kita meletak hak masing-masing sama ada pusat dan negeri dalam satu badan yang dinamakan Petronas. "Dengan sokongan kerajaan negeri, Sarawak telah mencadangkan juga supaya Petronas yang akan dibentuk ketika itu akan membayar lima peratus kepada kerajaan Negeri Sarawak dan untuk menjaga keseimbangan antara negeri dan pusat, Kerajaan Pusat juga meletak hak minyak mereka dalam Petronas dan mendapat bayaran yang sama iaitu lima peratus," katanya. Beliau turut diminta supaya berunding dengan setiap negeri di Tanah Melayu pada ketika itu untuk penubuhan Petronas.

Rabu, April 28, 2010

PENGUNDI CINA SEPERTI PENGUNDI KELANTAN


Jika trend pengundi Cina masih bersama pembangkang seperti yang ditunjukkan pada pilihanraya kecil Hulu Selangor Ahad lalu, ini bermakna BN sukar mendapat majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum akan datang.

Maka kajian perlu dibuat kepada pengundi Cina masih bersama PKR sedangkan kerajaan BN mengumumkan pelbagai peruntukan untuk kaum Cina. Apa lagi yang kaum Cina hendak? Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata masyarakat Cina marah dengan kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mahu kerajaan BN menghukum para pengundi Cina di Hulu Selangor.

Kenapa pengundi Cina perlu dihukum? Mereka sebenarnya cerdik seperti orang Kelantan yang tetap mengundi PAS walaupun kerajaan pusat mengumumkan pelbagai peruntukan untuk rakyat Kelantan. Sebab itu walaupun PAS menang pada pilihanraya kecil di kelantan, pengundi di situ tetap mendapat jambatan yang diumumkan oleh kerajaan pusat.

Orang Cina mengikut jejak langkah orang Kelantan. Oleh itu di masa akan datang janganlah BN menabur janji lagi di kawasan mereka kerana mereka tetap tidak mengundi BN.


Sementara itu, Pemuda UMNO mahu pengundi Cina juga perlu diambil kira dan bukan "dihukum" kerana tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Dari segi perbandingan walaupun sokongan orang Melayu dan kaum India adalah lebih baik kepada BN di Hulu Selangor, kebanyakan pengundi Cina sekali lagi memilih untuk mengundi pembangkang.

"Mengesampingkan masyarakat Cina adalah tidak sihat terutama apabila pegangan BN terhadap masyarakat utama yang lain tidak akan menjadi mutlak," kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin semasa memberikan respons kepada beberapa cadangan daripada beberapa pihak tertentu bahawa pengundi Cina perlu diajar dengan menarik balik peruntukan yang dijanjikan kepada mereka semasa kempen pilihan raya.

"Politik bukan hanya setakat undi; ia juga mengenai sesuatu yang ideal, prinsip dan melakukan apa yang betul.

"Saya pasti jika kita terus membantu semua masyarakat dengan penuh keadilan dan kesaksamaan, persepsinya akan bertambah baik. Saya percaya ramai yang tidak mengundi kita kekal sinis dan mahu kita menunaikan janji sebelum menyokong BN, kata Khairy ketika memberikan respons mengenai trend mengundi yang ditunjukkan pada pilihan raya kecil Hulu Selangor yang menyaksikan BN menang dengan majoriti 1,725 undi.

Khairy yakin bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan tetap dengan laluan 1Malaysia dan membawa pembaharuan sehingga semua pengundi dari pelbagai kaum yakin bahawa perubahan akan terus menjadi kenyataan.

"Saya tidak sangsi bahawa jika kita terus komited dan menyokong sepenuhnya perubahan yang dibawa Perdana Menteri, BN akan melihat perubahan yang positif menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Jadi, kita mesti ikhlas melaksanakan 1Malaysia, kita tidak boleh meninggalkan kepimpinan PM yang inklusif, hanya kerana kita tidak melihat satu kaum masih belum lagi memberikan respons dalam pilihan raya."

Sementara Hulu Selangor memberikan BN satu peluang untuk memenangi pilihan raya kecil parlimennya yang kedua sejak pilihan raya umum ke-12, ia merupakan petanda keutamaan pengundi.

Ketua Pemuda UMNO itu memerhatikan bahawa BN menunjukkan satu perubahan yang signifikan dalam corak pengundian pengundi muda di kawasan yang mempunyai majooriti kaum Melayu dan Inida.

"Dalam pilihan raya kecil ini, BN hanya dapat memperoleh 28 peratus daripada undi kaum Cina berbanding 37 peratus semasa pilihan raya umum lalu.

"Dengan memenangi di hampir kesemua pusat mengundi yang mempunyai majoriti orang Melayu, BN tewas di hampir kesemua pusat mengundi yang mempunyai majoriti kaum Cina. Kita (juga) hilang sokongan di kalangan pengundi muda (dari kaum Cina).

"Sebagai contoh, di Kg Baharu Kalumpang, perbezaan dalam margin kemenangan bagi PKR dalam "saluran muda" melompat kepada 130 undi. Di Kg Baru Rasa, majoriti bagi PKR meningkat dengan 241 undi.

"Ini menunjukkan, antara lain, sokongan (bagi BN) daripada pengundi muda Cina juga menurun," kata Khairy.

Pada pilihan raya umum 2008, BN hanya menang di 11 pusat mengundi yang dikategorikan sebagai terdiri kebanyakannya pengundi muda, manakala PKR menang di 34 pusat mengundi. Kali ini BN menang 30 dan PKR 23.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor juga menunjukkan bahawa kira-kira 1,329 pengundi muda beralih menyokong BN berbanding 2008 pada peringkat parlimen.

Khairy berkata perkembangan ini juga isyarat kepada BN supaya melakukan perkara yang betul bagi semua rakyat Malaysia.

Walaupun pilihan raya kecil ini menunjukkan terdapat perubahan ketara dalam rentak pengundian di kalangan pengundi muda terhadap BN, beliau berkata secara strategiknya boleh disangsikan jika terus bergantung dengan undi kaum Melayu dan India.

"Walaupun Hulu Selangor mungkin menampakkan sokongan kaum Melayu dan India yang lebih baik berbanding pada 2008, terdapat satu perkadaran yang besar bagi kedua-dua kaum yang menyokong pakatan pembangkang.

"Tanggapan mengenai perpaduan orang Melayu sukar difahami, terutama dalam soal pilihan mengundi. Akan sentiasa wujud perkadaran yang besar daripada 30 kepada 50 peratus dalam mana-mana kawasan yang akan menyokong pembangkang terutama mereka yang setia dengan PAS.

"Sementara itu, pengundi kaum India juga telah menunjukkan kearifan mereka dan semuanya bergantung bagaimana mereka melihat perubahan dalam MIC dan pelaksanaan janji-janji yang telah dibuat kepada mereka," kata Khairy.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga berkata bahawa adalah tidak betul untuk mengesampingkan pengundi Cina di Hulu Selangor kerana disebabkan trend pengundian.

Beliau berkata bahawa BN, sebagai parti pelbagai kaum, perlu membantu rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

Rabu, Disember 02, 2009

MAGERAN DI KELANTAN?


Apakah akan berlaku mageran di Kelantan jika Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak berundur sebagai menteri besar Kelantan? Adakah rakyat Kelantan akan terus mendesak Nik Aziz berundur setiap hari di bangunan SUK?

Adakah peristiwa 1978 akan berulang? Pada tahun 1978 BN berjaya merampas Kelantan setelah mageran dikuatkuasakan di negeri itu pada tahun sebelumnya. Jika peristiwa semalam merupakan kemuncak kepada kemarahan rakyat kepada Nik Aziz, berapa lama lagi dia akan bertahan sebagai MB?

Sampai bila MB tidak dapat mentadbir negeri ini dengan baik jika gangguan seperti ini terus berlaku? Atau adakah PAS akan menggantikan Nik Aziz dengan Datuk Ahmad Yakob untuk meredakan keadaan?

Kemelut kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin membahang apabila orang ramai di sini hari ini secara terbuka menunjukkan rasa tidak senang hati mereka dan memintanya melepaskan jawatan.

Beratus-ratus orang yang menggelarkan diri mereka sebagai Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK) berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan pentadbiran Kota Darulnaim di sini mulai pukul 9 pagi ini.

Mereka menyerahkan memorandum menyuarakan bantahan terhadap Menteri Besar Kelantan itu berhubung pelbagai isu yang timbul sejak kebelakangan ini terutama doa meminta kepada Allah supaya memusnahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

Wakil JRPK, Che Johan Che Pa menyerahkan memorandum itu melalui Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Anual Bakri Haron pada pukul 10.30 pagi dan kemudiannya bersurai.

Memorandum itu mengandungi dua tuntutan:

Pertama, mendesak Nik Abdul Aziz menarik balik kenyataan 'doa kemusnahan' dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini termasuk Perdana Menteri serta jemaah menterinya.

Kedua, memandangkan kekecohan berlarutan dan Nik Abdul Aziz telah lama memegang jawatan Menteri Besar sehingga pentadbiran Kelantan kaku, kehidupan rakyat terjejas dan isu penyelewengan dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), maka JPRK mendesak Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Perhimpunan secara aman itu bersurai hampir sejam kemudian selepas arahan diberikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Turut hadir pada perhimpunan itu ialah bekas Ahli Dewan Ulama Pas Pusat, Mohd. Noor Idris; Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Afandi Mohd. Yusoff; Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Zahari Kechik; Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kelantan, Mohd. Rosdi Abdul Aziz dan beberapa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian di negeri ini.

Sementara itu, Che Johan berkata, perhimpunan itu adalah permulaan desakan kepada Mursyidul Am Pas itu supaya sedar dengan tindakannya yang telah memecah belahkan umat Islam dengan pelbagai kenyataan serta isu moral melibatkan menantunya dalam PMBK.

"JRPK adalah sebuah badan yang ditubuhkan secara ad hoc melibatkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negeri ini yang membawa suara rakyat.

"Kami rakyat Kelantan yang prihatin mewakili pelbagai lapisan masyarakat Melayu Islam Kelantan dan NGO merasa kesal yang amat sangat terhadap kenyataan doa kemusnahan.

"Kepimpinan Nik Abdul Aziz di peringkat pentadbiran Kelantan yang sekian lama telah kucar-kacir dan terbaru skandal yang berlaku dalam PMBK melibatkan menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman telah menimbulkan kekecohan, penyelewengan dan kemelut yang berpanjangan," katanya.

Kemelut mula melanda pentadbiran Kelantan, apabila media mendedahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Ariffahmi pada 5 November lalu.

Susulan itu, Nik Abdul Aziz mengakui menerima tajaan haji bersama keluarganya termasuk Abdul Ariffahmi berharga RM65,000 setiap seorang tetapi beliau kemudian membuat keputusan menolak tajaan tersebut disebabkan tekanan dari pelbagai pihak.

Ekoran desakan pelbagai pihak dan nasihat daripada kepimpinan Pas Pusat yang diketuai oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nik Abdul Aziz bersetuju mengarahkan menantunya melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK.

Kemudian timbul permintaan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah supaya Nik Abdul Aziz menamakan penggantinya bagi memastikan proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar.

Namun, pada Khamis lalu, Nik Abdul Aziz mengejutkan semua pihak apabila menyebut nama 'Kolonel Mat' sebagai perancang untuk menjatuhkannya dan kerajaan Pas Kelantan tetapi sehingga kini ia terus menjadi misteri walaupun diasak oleh wartawan supaya mendedahkannya.

Keesokannya, pada Hari Raya Aidiladha, Nik Abdul Aziz meminta orang ramai mendoakan agar Najib mengubah fikiran supaya memberikan royalti minyak dan jika tidak doakan supaya pemimpin nombor satu negara itu bersama konco-konconya diturunkan bala.