Rabu, Ogos 12, 2009

NASIB KASITAH DIKETAHUI HARI INI


Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada hari ini sama ada bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam perlu mengemukakan pembelaan terhadap dakwaan rasuah dan penipuan.


Hakim Suraya Othman dijadual menyampaikan keputusannya sebelah pagi.Pada 12 Feb 2004, Kasitah, 61, juga bekas Pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB), didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi SLDB untuk kepentingan kewangannya dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan untuk meluluskan penjualan 16.8 juta saham Sapi Plantations yang dipegang oleh lembaga tersebut kepada Briskmark Enterprise Sdn Bhd.


Dia juga didakwa menipu SLDB dengan tidak mengumumkan tawaran PPB Oil Palms Sdn Bhd untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi setiap saham Sapi Plantations dalam cadangan PPB untuk disenaraikan pada Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE), kini Bursa Malaysia.


Sejumlah 31 saksi pendakwa telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan itu sejak ia pertama kali didengar pada awal 2007.Antara saksi yang dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Tan Sri Joseph Kurup dan bekas Ketua Pegawai Operasi CIMB Bank Berhad Tan Sri Munir Majid.

Selasa, Ogos 11, 2009

MUHYIDDIN OKEY


‘‘Saya okey, tiada masalah dan tidak terkejut,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menceritakan pengalaman apabila helikopter yang dinaikinya terpaksa melakukan pendaratan tidak dijadual di Tuaran semalam.


Helikopter Nuri yang membawa Timbalan Perdana Menteri dan 14 yang lain melakukan pendaratan tidak dijadual di Impian Jadi Resort, Tuaran akibat cuaca buruk.


Muhyiddin dalam perjalanan dari Kudat ke Kota Kinabalu untuk merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Penampang.


‘‘Saya lega kita ada juruterbang yang bagus yang merasakan adalah tidak wajar untuk meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu kerana cuaca buruk.


‘‘Jadi kita mendarat di Tuaran. Tiada perkara pelik berlaku. Dia (juruterbang) telah melakukan perkara yang betul,” katanya pada sidang akhbar di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini selepas mengakhiri lawatan sehari ke Sabah.


Kelewatan akibat cuaca buruk itu memaksa Timbalan Perdana Menteri membatalkan rancangan merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Penampang.


Kejadian yang menimpa Muhyiddin ini mengingatkan saya ketika Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu. Anwar ke Perlis dengan helikopter Nuri dan helikopter yang sama dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur terhempas selepas menghantar Anwar.


Oleh itu orang politik berhati-hatilah menaiki helikopter Nuri.

TIONG DERMA RM10 JUTA


Dua puluh empat jam selepas satu laporan polis dibuat terhadap syarikat pemaju Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), pegawai tingginya membuat satu pendedahan yang mengejutkan.


Ketua Pegawai Eksekutif KDSB Tiong King Sing - yang juga pengerusi Kelab Penyokong BN - mendakwa beliau telah 'menderma' RM10 juta kepada Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat tahun lalu.


Wang tersebut, tambahnya, adalah untuk aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahagian-bahagian MCA.


Timbalan Tiong dalam KDSB, Datuk Faizal Abdullah berkata Ong telah menggunakan jet peribadi milik syarikat tersebut sebanyak lima kali dan 'berhutang' kepada mereka sebanyak AS$40,000bagi perkhidmatan tersebut.


Bercakap kepada Malaysiakini, Tiong mendakwa beliau telah menyumbangkan berjuta-juta ringgit selepas diminta berbuat demikian oleh Ong.Wang tersebut dibayar secara tunai dalam tiga peringkat sewaktu pertemuan dengan presiden MCA itu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

APA MALANGNYA ORANG PERMATANG PAUH


Baru satu tahun lima bulan pilihan raya umum 2008 berlalu tetapi di kawasan parlimen Permatang Pauh, pengundinya berpeluang menghadapi pilihan raya kecil sebanyak tiga kali dalam tempoh 17 bulan. Ia adalah satu rekod yang pertama kali dalam sejarah satu kawasan parlimen.




Selepas Dr. Wan Azizah menangi kerusi Permatang Pauh pada 8 Mac tahun lalu dengan majoriti 13,398 undi mengalahkan Pirdaus Haji Ismail dari BN, beliau letakkan jawatan untuk beri laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim aktif semula dalam politik.




Maka pilihan raya kecil Permatang Pauh diadakan pada 26 Ogos 2008 selepas lima bulan pilihan raya umum. Anwar menang dengan majoriti yang lebih besar dari majoriti yang diperolehi isterinya. Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi manakala calon BN, Arif Shah Omar Shah dapat 15,524 undi, lebih kecil dari undi yang dipungut oleh Pirdaus, 16, 950 undi. Anwar dapat peningkatan undi sebanyak 31,195 undi berbanding dengan isterinya yang dapat 30,348 undi.




Kemenangan besar Anwar menandakan Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR. Sebab itu apabila ADUN Penanti, Mohamad Fairus meletakkan jawatan atas sebab-sebab peribadi pada 16 April lalu, BN tidak meletakkan calon pada pilihanraya kecil DUN Penanti pada 31 Mei lalu.




BN tidak bertanding atas alasan pilihanraya kecil itu diadakan bukan kerana mengisi kekosongan akibat kematian wakil rakyat. Maka BN rasakan ia adalah satu pembaziran. Maka calon PKR, Dr. Mansor Othman menang dengan majoriti 5558 undi lebih besar dari majoriti Mohamad Fairus yang dapat majoriti 2219 undi mengalahkan calon BN, Jalil Abdul majid.




Dr. Mansor yang dapat 6052 undi mengalahkan tiga calon Bebas, Aminah Abdullah yang dapat 392 undi, Nai Khan Ari yang dapat 494 undi dan Kamarul Ramizu idris yang dapat 56 undi. Undi yang dipungut Dr. Mansor sebanyak 6052 undi bagaimanapun lebih rendah dari undi yang dipungut oleh Mohamad Fairus pada tahun lalu sebanyak 7,346 undi.




Sekali lagi pilihanraya kecil terpaksa diadakan di kawasan parlimen Permatang Pauh apabila wakil rakyat tunggal PAS, ADUN Permatang Pasir, Mohd. Hamdan Abdullah meninggal dunia pada bulan lepas.




SPR telah menetapkan hari pembuangan undi pada 25 Ogos ini. Pada tahun lepas, Hamdan menang dengan majoriti 5433 undi mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib yang mendapat 5571 undi. Hamdan dapat 11,004 undi.




PAS akan mempertahankan kerusi Permatang Pasir dan BN akan bertanding kerana ia diadakan akibat kematian wakil rakyat. Oleh itu BN akan berhempas pulas untuk merampas kerusi PAS ini.




Sudah dua pilihanmraya kecil diadakan di dalam kawasan parlimen Permatang Pauh di DUN Penanti dan DUN Permatang Pasir. Kita harap selepas ini tidak ada pula pilihanraya kecil di satu lagi DUN dalam Permatang pauh, DUN Seberang jaya yanmg dimenangi calon BN, Raja Arif Shah selepas ini. Jika tidak, para pengundi dalam parlimen Permatang pauh kena keluar mengundi lagi.


Pilihan raya kecil ini amat menarik kerana ia adalah satu ujian kepada Pengerusi baru Badan perhubungan UMNO Pulau Pinang, Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Isnin, Ogos 10, 2009

SELAMAT PENGANTIN BARU


Saya ucapkan selamat pengantin baru kepada rakan saya, Fairus binti Zabidi, 46 tahun, dengan pasangannya Zakaria, 39 tahun,pada hari Sabtu, 8 Ogos lalu di Ipoh, Perak. Ini adalah pernikahan Fairus yang ketiga manakala yang kedua bagi Zakaria.




Saya mendapat tahu berita itu semalam dari rakan-rakan Zakaria yang main snuker dengannya. Semoga pernikahan ini kekal ke anak cucu. Kali terakhir Fairus menghubungi saya pada malam Jumaat, 7 Ogos lalu tetapi dia tidak pula memberitahu saya akan menamatkan zaman jandanya pada keesokan harinya.




Suami pertamanya, Idrus telah meninggal dunia 10 tahun lalu. Manakala dia bercerai dengan suami keduanya, Abdul Rahman pada bulan November 2008. Selamat pengantin baru buat kalian berdua.

SPEAKER PAKATAN ADIL


Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo pada Isnin diarah keluar daripada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana keengganannya menarik balik perkataan "perompak" terhadap Barisan Nasional (BN).


"Saya minta Yang Berhormat Datuk Keramat untuk tarik balik perkataan itu atau saya terpaksa arahkan keluar dewan," kata Speaker Datuk Abdul Halim Hussain.Speaker mengarahkan Jagdeep keluar dewan pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari berikutan Adun Datuk Keramat itu enggan berbuat demikian kerana mendakwa beliau tidak merujuk kepada kepada mana-mana individu yang berada dalam dewan.


Kekecohan berlaku ketika Jagdeep bangun untuk mendapatkan penjelasan daripada Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy berhubung isu Kampung Buah Pala.


"Kerajaan negeri dahulu merompak Kampung Buah Pala dan "dia" berada di sini," katanya.


Ketua pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Jagdeep itu meminta Abdul Halim mengarahkan Jagdeep untuk menarik balik kenyataannya.Jagdeep akhirnya akur dengan arahan Speaker dan meminta Abdul Halim menyatakan tempoh hukuman terhadapnya itu.


"Tempohnya sampai tengah hari ini," kata Abdul Halim.Tindakan Speaker mengarahkan Jagdeep keluar dewan itu menyebabkan R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) tidak berpuas hati dan meminta Speaker mengarahkan Azhar keluar dewan sehingga menimbulkan pertikaman lidah antara kedua-dua wakil rakyat itu


."Saya tidak mahu isu ini dipanjangkan lagi, kalau tidak Yang berhormat pun keluar dewan juga," kata Speaker.

BILA RADIO SYOK SENDIRI


Nampaknya Radio Suria FM sudah tidak ada modal. Anak boss pun boleh masuk dalam konti. Hebat sangatkah anak Engku Emran? Janganlah Engku Emran kejar glamour, mentang-mentang awak kahwin dengan Erra Fazira.Kalaulah begini caranya radio syok sendiri, akhirnya pendengar akan cabut lari.


Sejak memulakan operasi penyiaran lima tahun lalu, inilah kali pertama Suria FM bersiaran bersama tetamu paling kecil, Engku Aleesya Engku Emran yang merupakan anak kepada pelakon popular, Erra Fazira dan juga Ketua Pegawai Operasi stesen berkenaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin.


Minggu lalu, memasuki konti Suria FM seawal pukul 7.30 pagi, Ungku Aleesya yang masih lena dalam dakapan ibunya memenuhi undangan bersiaran bersama krew Breakfast@Suria, Tuah dan Zizi.


Sepanjang 90 minit bersiaran, pelbagai topik serta pertanyaan dilayangkan oleh penyampai mahupun pendengar Suria FM sendiri kepada kedua-dua tetamu istimewa itu. Hampir kesemua soalan yang diajukan menjurus kepada si comel itu.


Pelbagai gelagat serta aksi bersahaja si comel itu dipertontonkan secara langsung di suria.tv yang boleh ditonton menerusi laman sesawang rasmi Suria FM, www.suriafm.com.my khas buat tontonan pendengar setia mereka.


"Dia tidak banyak ragam, kecuali jika dia lapar dan hendak tidur," kata Erra mengenai tabiat puteri sulungnya itu.


Benar seperti yang dikatakan oleh ibunya, Engku Aleesya tidak banyak ragamnya. Si kecil bermata bundar ini memerhati dan bertindak balas dengan keadaan sekeliling.


Bagaikan sudah terbiasa dikerumuni dan diperhatikan khalayak, dia tidak sedikit pun menunjukkan aksi kurang senang tatkala 'diusik' oleh kedua-dua penyampai tersebut.


Biarpun baru mencecah usia empat bulan, seperti ibu dan ayahnya, Engku Aleesya turut mewarisi 'kemahsyuran' kedua-dua selebriti itu.


Kemana sahaja dia dibawa pasti puteri comel berkulit cerah itu menjadi perhatian ramai.


Malah sejak dalam kandungan lagi ramai yang begitu teruja menanti kelahirannya. Malah, sesudah dilahirkan bertambah ramai yang setia menunggu kesediaan Erra dan suami merelakan wajah anak sulungnya itu dirakamkan.


Dilahirkan seberat 4.04 kilogram (kg) di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu, Engku Aleesya kini hampir mencecah berat 8 kg.


Bertuah menjadi Engku Aleesya. Biarpun telah direncanakan rancangan pendidikan sempurna oleh ibu dan ayahnya, dia juga pada masa yangsama sudah mengumpul ribuan malah mungkin jutaan peminat menerusi program Gugu Gaga Erra.


Menariknya, program tersebut merupakan antara program yang cukup mendapat perhatian ramai di saluran Ria (saluran 104, Astro) ketika ini.


Selepas muncul di kaca televisyen, Engku Aleesya muncul pula sebagai tetamu undangan di radio, apa lagi selepas ini?

YASMIN DINOBATKAN PENGARAH TERBAIK


Arwah Yasmin Ahmad dinobatkan sebagai pengarah terbaik bagi filem Talentime pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22 di Kota Kinabalu Sabtu malam.


Beliau turut memenangi anugerah lakon layar terbaik bagi filem itu yang memperuntukkan hadiah berupa trofi serta wang tunai RM15,000, dan filem Talentime itu turut memenangi anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik melalui Mohd Shafie Naswip yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000


Selain itu filem Talentime bersama tiga lagi filem; Kami-The Movie, Histeria dan Geng: Pengembaraan Bermula turut menerima menerima Anugerah Khas Juri Utama.


Malam anugerah yang buat pertama kalinya diadakan di Dewan Canselori Universiti Malaysia Sabah menyaksikan Trofi serta wang tunai RM20,000 hadiah bagi Pengarah Terbaik, disampaikan kepada adik perempuan Yasmin.


Yasmin, 51, meninggal dunia pada 25 Julai lepas kira-kira pukul 11.25 malam selepas diserang strok dan mengalami pendarahan di bahagian otak.


FFM Ke-22 turut memberi penghormatan kepada pengarah itu dengan menayangkan klip video khas kira-kira dua minit yang memaparkan petikan-petikan dari filem serta iklan arahan Yasmin, dengan pelakon dan penyanyi Adibah Noor tampil sebagai suara latar.


Pemenang rancangan realiti Akademi Fantasia 6, Stacy, kemudiannya mempersembahkan lagu bertajuk 'Angel' bagi mengenang pemergian Yasmin.


Sementara itu, filem 'Papadom' arahan Afdlin Shauki memenangi anugerah filem terbaik dan membawa pulang trofi serta wang tunai RM50,000.


Afdlin sendiri memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik, manakala pelakon wanita terbaik dimenangi Liyana Jasmay, masing-masing menerusi filem Papadom, dan masing-masing membawa pulang trofi serta wang tunai RM15,000 bagi kategori berkenaan.


Papadom turut memenangi dua lagi anugerah iaitu cerita asal terbaik dan skor muzik asal terbaik.Sementara itu, filem Setem arahan Rashidi Ishak pula memenangi tiga anugerah iaitu sinematografi terbaik, penyunting terbaik serta penataan seni terbaik, dan filem Cicakman 2 terbitan KRU Studios memenangi anugerah penataan bunyi terbaik serta pereka busana terbaik.


Anugerah filem komedi terbaik pula dimenangi filem 'Los dan Faun' terbitan Vision Works, manakala pelakon pembantu wanita terbaik dimenangi Salina Saibi menerusi filem Bohsia, sementara James Lee dipilih sebagai pengarah harapan menerusi filem Histeria.


Sementara itu, FFM Ke-22 turut menyampaikan anugerah kepada Omar Man dan Mariani Ismail, masing-masing dinobatkan sebagai pelakon lelaki veteran terbaik dan pelakon wanita veteran terbaik, manakala S.Shamsudin dipilih sebagai seniman veteran terbaik.


Hadir pada malam anugerah tersebut ialah Yang Dipertua Sabah Tun Ahmadshah Abdullah, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Jumaat, Ogos 07, 2009

JEFF OOI DIGESA TARIK BALIK KENYATAAN


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta Anggota Parlimen Jelutong, Jeff Ooi supaya menarik balik kenyataannya yang menamakan Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebagai pertubuhan 'ekstremis agama'.


Katanya jika Ooi ada mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan JIM sebagai sebuah pertubuhan ekstremis agama, beliau berpendapat Ooi perlu meminta maaf, namun menurutnya bagi kerajaan negeri pula ia tidak pernah menganggap pertubuhan itu sebagai ekstremis.


Bercakap kepada pemberita di sini Khamis Lim berkata beliau bagaimanapun menyerahkan perkara itu untuk ditangani oleh Ooi sendiri, yang kini berada di luar negara.


Ooi yang merupakan ketua staf di Pejabat Ketua Menteri dilaporkan berkata ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Razali Abdullah adalah ekstremis agama kerana beliau dikaitkan dengan Jemaah Islah Malaysia (JIM).


Ooi juga dilaporkan berkata MPPP tidak seharusnya membenarkan seorang "ekstremis agama" berada di dalam pentadbirannya dan kerajaan negeri dilihat mewujudkan teladan yang berbahaya apabila membenarkan seorang ekstremis agama menyusup masuk ke dalam sistem kerajaan tempatan.


Terdahulu wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang Khairil Annuar Kamarudin menghantar satu memorandum yang menggesa Lim supaya meminta Ooi meminta maaf terhadap kenyataannya itu.


"Kami mungkin akan membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang terhadap Ooi sekiranya dia masih enggan memohon maaf," katanya.


Khairil Anuar berkata AMK cuma akan memaklumkan tindakan selanjutnya selepas 48 jam jika Ooi gagal untuk menarik balik kenyataan beliau.


Semalam Forum Penyelarasan Umat Pulau Pinang (Forum) turut menggesa Ooi memohon maaf kepada kaum Muslim dan meletak jawatan sebagai ketua staf pejabat Ketua Menteri kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina Islam

Khamis, Ogos 06, 2009

RONNIE LIU PERLU DIPECAT EXCO


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu perlu digugurkan segera daripada barisan Exco Selangor kerana beliau sudah menjadi liabiliti kepada kerajaan negeri itu.


Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin menganggap desakan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali ke atas Liu yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan semalam adalah tepat.


"Sekiranya beliau (Liu) enggan meletakkan jawatan, saya mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya mengambil langkah segera menggugurkan Liu daripada barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor.


"Ini perlu dilakukan sebelum rakyat mengambil tindakan menggugurkan kerajaan pakatan pula," katanya dalam laman blog beliau http://zul4kulim.blogspot.com/.


Hassan semalam mendesak portfolio kerajaan tempatan yang dipegang Liu ditarik balik berikutan beberapa aduan mengenai tindakannya membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai lalu, yang mempertikaikan keputusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan tugas.


Tambah Hassan, ini termasuk dalam operasi arak dan maksiat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Bandar Sunway beberapa hari lalu.


Zulkifli yang terkenal dengan pendirian tegasnya dalam isu melibatkan umat Islam membuat saranan itu dalam entri terbarunya berkaitan rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor.


"Desakan ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebelum ini dipercayai kerana terdapat persepsi masyarakat umum khususnya di kalangan ahli perniagaan di Selangor bahawa kalau mahu mendapat sesuatu perkara bergerak di Selangor, 'jumpalah dua tiga Exco ni, sure lulus punya!!!'.


"Hari ini (semalam) Dr. Hassan Ali dalam kenyataannya secara terbuka mendesak supaya Liu digugurkan daripada barisan Exco kerana banyak tindakan beliau menimbulkan masalah kepada masyarakat umum," jelasnya.

Rabu, Ogos 05, 2009

UMNO TAK PERLU TAKUT DENGAN ANWAR


UMNO tidak pernah takut berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pengkhianat bangsa itu sememangnya bertanggungjawab kepada perpecahan perpaduan orang Melayu, tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.


“Siapa dia Anwar ? Pengkhianat bangsa Melayu yang mengamalkan dasar pecah belah dan memperalatkan orang Melayu untuk memuaskan nafsu politik peribadinya,” jelasnya.


Menurut beliau, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah banyak menyusahkan rakyat dan kestabilan negara menerusi gerakan politik jalanan termasuk berdemontrasi.


Syed Ali menegaskan, parti pembangkang termasuk Anwar hanya menggunakan isu ‘saman’ apabila terdesak.


“Pemimpin UMNO bukan pengecut dan kita akan tentang mana-mana pihak termasuk Anwar yang cuba menghancurkan perpaduan dan kepentingan orang Melayu,” tegasnya.


Katanya, semalam Anwar telah memfailkan saman berjuta ringgit ke atas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mendakwa beliau sebagai pengkhianat bangsa.


“Memang dia pengkhianat bangsa Melayu, saya harap semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian akan menggelarkan Anwar sebagai pengkhianat kerana perlakuan politiknya telah memecahbelahkan perpaduan umat,” tegasnya


Beliau berkata, pemimpin UMNO tidak perlu takut dengan ancaman saman yang akan dilakukan oleh Anwar kerana majoriti rakyat di negara ini sudah meluat dengan putarbelit beliau.


Syed Ali menegaskan demikian ketika berucap di majlis penutup Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Cheras, yang disempurnakan Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, malam tadi.


Hadir sama di majlis tersebut Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wiayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abiddin, Ketua-Ketua UMNO Bahagian serta ketiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan.


Menurut Syed Ali lagi, Anwar sengaja mendalangi demontrasi jalanan memansuhkan akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kuala Lumpur Sabtu lalu kerana ada agenda tertentu.


Katanya, Anwar sengaja mencetuskan kekecohan dan galakkan segelintir pengikutnya berhimpun secara haram supaya beliau ditangkap dan ditahan dengan harapan kes liwatnya akan ditunda.


“Inilah taktik beliau, kes liwatnya sudah tentu akan ditunda entah keberapa kali dan akhirnya kes itu semakin hilang daripada perhatian rakyat,” katanya.


Beliau juga melahirkan rasa hairan kenapa Mahkamah Tinggi asyik tunda kes Anwar sehingga rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kredibiliti sistem perundangan.


Dalam nada kecewa, Syed Ali sekali lagi mendesak Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein supaya tegas dan menahan mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram di bawah akta ISA.


“Saya kecewa kementerian berkenaan hanya keluarkan amaran demi amaran, tetapi bertindaknya tidak, sepatutnya tahan pemimpin mereka di bawah ISA kerana mendalangi demontrasi baru-baru ini,” tegasnya.


(dipetik dari blog umno bahagian cheras)

MASIHKAH KAU INGAT?

Maafkan aku kerana terlambat mengucapkan harijadi kepadamu Pah. Semalam aku dah ingat, 4 Ogos, harijadimu yang ke 49 tetapi aku terlalu sibuk untuk ucapkan harijadi kepadamu dalam blog aku ini.

Hari ini baru ada masa untuk aku ucapkan padamu dalam blogku ini. Apa khabar Pah? Sudah 30 tahun kita tidak berjumpa tetapi aku tidak pernah lupa hari jadimu setiap 4 Ogos. Semoga kau berbahagia di samping suami dan anak-anak.
Aku percaya anak-anakmu dah besar seperti anak-anakku juga. Anakku yang sulung dah berusia 27 tahun, sudah nikah pun tetapi aku belum dapat cucu lagi. Yang kedua, 25 tahun, yang ketiga, 23 tahun diikuti 20, 19, 17, 16 dan 15. Lapan orang semua. Berapa orang anakmu Pah?
Aku percaya anak perempuanmu secantik dan seputihmu Pah. Kulitmu pun putih melepak macam orang Cina. Sewaktu aku bekerja di Kuala Terengganu dahulu, aku sering terserempak dengan suamimu, Zulkifli tetapi dia segan menegur aku. Aku buat selamba saja menegurnya kerana dia pernah jadi guruku di Maktab Adabi dulu.
Masihkah kau ingat Maktab Adabi Terengganu di Jalan Tok Lam? Di situlah kita bertemu buat kali pertama pada 9 Mei 1979. Sudah 30 tahun berlalu, tetapi aku rasakan peristiwa itu baru saja berlaku semalam.
Terlalu cepatnya waktu berlalu. Cikgu-cikgu kita di Adabi kita hebat-hebat belaka, Hussein Embong, Azlan Dagang. Malah suamimu pun hebat juga.
Aku tidak bercadang menulis panjang di sini. Sekadar mengenang peristiwa 30 tahun lalu bersamamu. Kenangan itu amat indah tetapi memang kita tiada jodoh. Aku ucapkan selamat panjang umur dan berbahagialah sentiasa di samping keluarga tercinta.
Maafkan Encik Zul, kerana aku mengucapkan harijadi kepada isterimu, Tengku Sharafah Landan. Sesungguhnya aku tidak pernah melupakannya. Kau sendiri tahu bahawa kamilah pasangan yang ideal ketika di Adabi dahulu. Ketika itu kau baru keluar dari Universiti Malaya dan mengajar kami. Aku cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada Pah melalui blog ini kerana di atas dorongannya aku berjaya mendapat keputusan cemerlang di Adabi dan memasuki Universiti Malaya pada tahun 1980. Terima kasih Pah!

MUHYIDDIN TIDAK GENTAR DISAMAN


Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau tidak akan memohon maaf atau menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Batu Pahat, Johor, Ahad lalu.


Timbalan Perdana Menteri turut mengakui kenyataan tersebut datang dari mulutnya sendiri dan bukan satu pembohongan.


"Saya nak beritahu, saya tak kan minta maaf. Memang itu kenyataan yang saya buat, saya bukan bohong," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 di Putrajaya semalam.


Beliau diminta mengulas tuntutan Anwar yang mahu dirinya menarik balik kenyataan yang dibuat semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, Ahad lalu.


Berikutan kenyataan tersebut, Anwar menerusi peguamnya menghantar surat tuntutan ganti rugi sebanyak RM100 juta kepada Muhyiddin dan Utusan Malaysia.


Selain Utusan Malaysia, kenyataan Muhyiddin itu turut disiarkan oleh New Sunday Times dan Berita Harian.


Muhyiddin memberitahu, beliau sudah menerima surat tuntutan tersebut dan telah menyerahkannya kepada peguam untuk tindakan lanjut.


Mengenai gesaan supaya kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan dalang demonstrasi haram di ibu negara Sabtu lalu, beliau menjelaskan, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.


Timbalan Perdana Menteri menambah, beliau tidak mahu sebarang tindakan termasuk penggunaan ISA dijadikan perangkap oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab bagi memburuk-burukkan kerajaan.


Menurutnya, kerajaan juga tidak pernah tidak mengendahkan suara rakyat supaya ISA dikaji semula bahkan telah pun memulakannya.


"Sebarang kajian akan mengambil masa kerana kita perlu mendengar pandangan pelbagai pihak dan saya harap semua pihak bersabar," jelasnya.

Selasa, Ogos 04, 2009

POLIS KAJI BENARKAN BERHIMPUN DI STADIUM


Polis akan mengkaji cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membenarkan perhimpunan aman di stadium bagi mengelakkan perhimpunan di jalanan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Isnin.


Katanya, polis menyambut baik cadangan Perdana Menteri itu namun setiap permohonan untuk membuat perhimpunan perlu dikaji sebelum kelulusan diberikan.


"Saya rasa itu cadangan yang baik bagi menjaga keamanan serta ketenteraman awam dan memastikan kejadian (perhimpunan haram baru-baru ini) tidak berulang lagi. Kita akan mempertimbangkan permohonan seumpama itu terlebih dahulu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.


Semalam, Najib berkata kerajaan bersedia menyediakan tempat yang sesuai kepada mereka yang mahu berhimpun secara aman seperti di stadium untuk mengelak daripada menganggu ketenteraman awam.


Sementara itu Ismail berkata polis akan mengambil tindakan terhadap dalang dan penganjur perhimpunan haram Gerakan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua hari lepas, sebaik sahaja mempunyai bukti yang mencukupi untuk mendakwa mereka.


"Kita kena siasat dahulu. Semuanya bergantung pada laporan siasatan. Sekiranya cukup bukti dan keterangan, kita tidak teragak-agak untuk mendakwa penganjur yang terlibat," katanya.


Sementara itu, Gerakan yang turut menyambut baik cadangan Perdana Menteri itu berkata adalah lebih baik perhimpunan diadakan di tempat tertutup bagi memastikan ia lebih aman dan memudahkan polis mengawal keadaan.


Naib Presidennya Datuk Mah Siew Keong dalam kenyataan berkata mana-mana perhimpunan perlu memberi faedah kepada kedua-dua pihak iaitu membenarkan peserta menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dan di pihak kerajaan untuk memahami isu di depan mereka.


"Rakyat berhak menyuarakan pandangan mereka manakala kerajaan juga perlu mempunyai saluran untuk mendengar pandangan rakyat. Orang ramai, perniagaan dalam aliran trafik juga tidak boleh diganggu dan dijejaskan tanpa sebab," katanya.


Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tan Sri Panglima Simon Sipaun dalam kenyataannya menegaskan bahawa rakyat berhak menyertai perhimpunan secara aman.


Beliau mencadangkan dalam keadaan apabila polis perlu untuk mengawal dan menyuraikan orang ramai, kaedah sesuai dan tidak ganas patut dilaksanakan.


Presiden Majlis Peguam Malaysia Ragunath Kesavan sementara itu berkata majlis itu menyelar tindakan kerajaan yang menggunakan kuasa secara keterlaluan dalam menyekat hak orang ramai dalam mengadakan perhimpunan dan menyuarakan pandangan mereka dalam perhimpunan membantah ISA itu."


Kami juga menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan desakan bagi dilakukan pembaharuan daripada segi undang-undang dan hak asasi manusia, termasuk hak semua individu untuk berhimpun secara aman untuk menyuarakan pendapat mereka," katanya dalam kenyataan.

Isnin, Ogos 03, 2009

IR. ROSLI DITAHAN SPRM


Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu Ahad ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM20,000.


Adun berkenaan dipercayai menerima wang suapan terbabit bagi membolehkan sebuah syarikat mendapat projek lanskap di Kuala Lumpur.


Difahamkan, semasa ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi di Kijal, dekat Kemaman, Terengganu, SPRM telah menemui wang tunai RM5,000 pada Adun berkenaan.


Ketika ditahan, Adun berkenaan berada bersama rakannya dan difahamkan beliau telah dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk siasatan lanjut.Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, ketika dihubungi, mengesahkan mengenai penahanan Adun terbabit tetapi enggan mengulas lanjut.


Malam tadi saya banyak menerima call dari rakan-rakan di Terengganu yang bertanya siapakah ADUN berkenaan. Menurut sumber, ADUN itu ialah Ir. Rosli dari Kemasik. Beliau memang kaki pau duit. Sebelum jadi YB pun dia sentiasa pau duit orang semasa dia jadi consultant. Oleh itu tidak hairanlah beliau diperangkap kali ini.
Nampaknya nyawa beliau sebagai ADUN hanya sepenggal sahaja. Orang Kemasik mahu anak kemasik jadi YB selepas Datuk Abu Bakar Ali jadi YB dari Kerteh selama enam penggal. Maka Ir Rosli dipilih sebagai calon tetapi dengan kes ini, sudah tentu hanya sepenggal sahaja orang Kemasik jadi YB.

Ahad, Ogos 02, 2009

SIAPA KATA PEMIMPIN UMNO-PAS TIDAK BOLEH DUDUK SEMEJA?


Saya baru balik mengikuti Expo Franchise International di PWTC sebentar tadi. Nampaknya tidak ramai orang mengunjungi expo tersebut. Malah syarikat franchise yang menyertainya tidak banyak. Mungkin Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang menganjurnya tidak serius mempromosi expo tersebut.


PNS tidak banyak menolong syarikat Melayu. Sebagai bekas eksekutif PNS, saya telah memohon iklan untuk majalah saya, BUSINESS KINI. Bukannya banyak. Setakat RM5000 saja.
Menurut eksekutif PNS, Zamri, CEO tidak minit apa-apa di atas surat kami. Nampak sangat CEO ini payah menolong syarikat kecil macam kami. CEO ini orang Arab, entah apa namanya. Syed apa. Orang Arab memang susah tolong orang Melayu. Bercakap tentang orang Arab, saya teringat kepada pantun Daud Irahim, orang Arab pakai kasut berderap-derap, tengok punggung penuh kurap.
Saya masih ingat kepada bekas CEO yang pernah saya bekerja dahulu pada tahun 2001.Saya lupa namanya. Kini beliau di Tradewind Berhad. Bila saya hantar kertaskerja kepadanya, terus diminitnya untuk tindakan terus.
Tidak macam CEO ini yang lembab.Untuk tolong syarikat kecil iklan RM5,000 pun tak boleh, tak payahlah bantu usahawan jadi franchisee. Buang duit kerajaan saja tubuh PNS untuk bantu usahawan franchisee. Kalau duduk di kerusi CEO, tidak ada semangat nak tolong usahawan melayu, lebih baik letak jawatan.


Dari PWTC saya singgah di Hotz Cafe di The Mall. Saya join meja bekas ahli parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun. Turut bersamanya ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali. Ada sama ialah Setiausaha UMNO Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad yang datang ke majlis PESAT di Bukit Jalil malam tadi. Rosli sempat bertanya saya, tak balik ke minggu depan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kemaman. Saya jawab, balik.


Siapa kata pemimpin UMNO-PAS tidak boleh duduk semeja? Pak Li begitu mesra dengan Cikgu Pa. Cikgu Pa mengalahkan Datuk Aziz @Ibrahim Awang pada pilihanraya umum 1999 di Dungun. Pada tahun 2004 Pak Li pula mengalahkan Cikgu Pa di kawasan parlimen yang sama. Pada pilihanraya tahun lepas Cikgu Pa kalah kepada Matulidi pula.


Banyak yang dibualkan di antara mereka berdua. Orang kampung yang fanatik dengan PAS tidak tegur sapa orang UMNO. Sebaliknya pemimpin PAS dan UMNO bila terserempak dapat duduk semeja. Semangat inilah yang perlu diterapkan selalu. Biar perbezaan pendapat, tetapi bila ada peluang duduk semeja, duduklah semeja. Barangkali banyak perkara yang boleh dibincangkan bila duduk semeja. Kita perlu ramai lagi pemimpin PAS dan UMNO yang bersifat terbuka seperti Pak Li dan Cikgu Pa ini.

DARI DULU NIK AZIZ MERENDAH DIRI


Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dari dulu merendah diri. Setiap kali Perdana Menteri datang ke Kelantan beliau menyambutnya di lapangan terbang. Tidak kira di zaman Dr. Mahathir atau di zaman Pak Lah, Nik Aziz tetap sama. Semalam Najib datang ke Kelantan beliau tetap menyambutnya di lapangan terbang.


Sepatutnya Menteri Besar dan Ketua Menteri pembangkang yang lain mencontohi Nik Aziz. Kita tak pernah dengar Menteri besar Kedah, Azizan menyambut Najib di lapanganterbang Alor Setar.


Begitu juga kita tak pernah dengar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyambut Najib di lapangan terbang Pulau Pinang. Begitu juga kita tak pernah dengar Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim menyambut Najib di mana-mana majlis di Selangor.


Apa salahnya mereka merendah diri seperti Nik Aziz. Haji hadi Awang ketika menjadi Menteri Besar Terengganu tidak pernah menyambut Dr. Mahathir dan Pak Lah di lapangan terbang Kuala Terengganu.


Ini yang membezakan Nik Aziz dengan Haji Hadi yang ramai orang nampak Nik Aziz berjiwa besar walaupun ramai orang UMNO menghentamnya dalam suratkhabar baru-baru ini berikutan ucapannya mengatakan pergi jahanam UMNO.


Kita dengar apa kata Nik Aziz seterusnya. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pertemuan singkat yang disifatkannya sebagai satu jaminan positif untuk meningkatkan kerjasama di antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.


Nik Abdul Aziz ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini sebelum berangkat ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kelihatan gembira dan ceria ketika menjawab soalan daripada pemberita malah beliau turut menggambarkan pertemuan empat itu berlangsung dalam penuh kemesraan.


Katanya, pada pertemuan itu, Najib memintanya supaya tidak memberikan reaksi terhadap provokasi yang diajukan oleh wartawan berhubung kerjasama di antara negeri dan Pusat.


''Saya ucap terima kasih kerana semacam jaminan yang positif untuk kerjasama di antara negeri dan Pusat. Alhamdulillah nampak air muka beliau bagus.


''Cuma dia sebut kalau boleh Tok Guru jangan cepat sangat menjawab provokasi wartawan, tapi dia faham kalau saya tak jawab kami tak ada surat khabar, kami tak ada televisyen, kami tak ada radio nak jawab.


''Kalau saya buat pekak telinga begitu tak boleh, nanti pula pengikut pakatan (pembangkang) akan jadi bermasalah pula, saya terpaksa jawab, tak boleh saya diam begitu. Pihak Perdana Menteri orang nak kata apa pun, kalau dia senyap pun tak apa, dia ada radio, televisyen, dia boleh jawab bila-bila masa,'' katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan ringkasnya dengan Najib di lapangan terbang tersebut pada sebelah pagi ketika Perdana Menteri tiba untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu dan Majlis Mesra Rakyat di sini.


Ketika berucap pada majlis tersebut, Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau terkejut apabila mendapati salah seorang yang menunggunya ialah Nik Abdul Aziz.


Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 20 minit itu, Najib turut meminta supaya Nik Abdul Aziz tidak mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan ahli UMNO.


Sementara ketika ditanya adakah beliau akan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan seperti itu, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, beliau tidak akan berhenti selagi ada pihak yang menyerangnya.


''Saya memang tak kacau orang, tetapi kalau orang kacau saya, macam mana. Tidak boleh, kalau saya senyap, saya tak boleh jawab melalui radio, televisyen, saya tak ada apa, nak bercakap mulut, ceramah mana boleh," katanya.


Beliau turut membangkitkan soal tuntutan royalti minyak pada pertemuan tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut.


''Saya sebut balik pasal royalti minyak, jadi Najib kata kita dalam pertimbangan undang-undang macam dia ulangi perkara lama. Tak apa, insya-Allah saya harap Allah SWT buka pintu hati kita, Kelantan akan dapat hak dia, jadi hidup kita akan aman damai," katanya.

Sabtu, Ogos 01, 2009

ZAID IBRAHIM YANG UNTUNG


Tak tanding pilihanraya, dapat jadi menteri. Itulah nasib yang dialami oleh seorang peguam terkenal, Zaid Ibrahim, bekas ahli parlimen Kota Bharu. Sebagai menteri yang jaga undang-undang, beliau banyak buat pembaharuan. Bila Syed Hamid Albar menggunakan ISA untuk menahan beberapa orang termasuk wartawan Cina, beliau letak jawatan sebagai menteri.


Ramai yang puji Zaid sebagai menteri yang berprinsip. Sekarang Zaid sudah masuk PKR kerana lebih yakin dengan perjuangan Anwar Ibrahim untuk semua rakyat Malaysia. Dah sah Zaid kini sudah jadi ahl parti pembangkang. Tetapi nampaknya beliau yang untung. Di sebalik beliau menghentam kerajaan BN, BN masih beri makan kepada Zaid. Firmanya, Zaid Ibrahim & Co masih jadi panel peguam kepada Perbadanan Nasional Berhad (PNB) yang melancarkan Amanah Saham 1Malaysia semalam.


Jadi sampai bila PNB akan lantik Zaid Ibrahim ini sebagai panel peguam PNB? Ramai pemimpin UMNO yang tak sedar hal ini. Oleh itu Presiden dan CEO PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah perlu tamatkan syarikat Zaid ini seberap segera sebelum pemimpin UMNO marah.


Tak ada gunanya beri makan kepada orang yang masuk parti pembangkang. Bagi setengah orang, perkara ini hal remeh temeh tapi kalau Zaid lebih berprinsip, sepatutnya syarikatnya tidak jadi panel kepada mana-mana agensi kerajaan. Kalau begini, orang lebih hormatinya. Ini maki UMNO tapi syarikatnya sendiri cari makan dengan agensi kerajaan yang didukung oleh BN dan UMNO.

AMANAH SAHAM 1MALAYSIA UNTUK SEMUA


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan peruntukan sebanyak 100 unit percuma Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) kepada hampir 50,000 pelajar tahun satu peringkat ijazah pertama di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2009.


Peruntukan yang membabit sejumlah RM5 juta disumbangkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bank, RHB Bank dan Pos Malaysia.


Pengumuman khas itu dibuat sempena pelancaran AS1M dengan jumlah dana sebanyak RM10 bilion, saiz terbesar unit amanah yang pernah ditawarkan PNB setakat ini.


AS1M yang dibuka kepada warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas adalah dana berharga tetap pada RM1 seunit yang dibuka untuk langganan dalam tempoh tawaran awal selama 30 hari mulai 5 Ogos hingga 3 September.


Pelancaran AS1M itu mengotakan janji Najib kepada rakyat yang dibuat semasa ucapan 100 hari pentadbirannya tiga minggu lalu.


Najib berkata, sebagai pewaris negara, kerajaan mahu melihat golongan muda yang mendapat pendidikan peringkat ijazah menjadi warganegara berwawasan dan progresif serta bijak dalam bidang pelaburan dan perancangan kewangan.


Daripada jumlah itu, sebanyak 50 peratus diperuntukkan untuk bumiputera, 30 peratus Cina, 15 peratus India dan selebihnya untuk kaum-kaum lain.


''Penetapan peruntukan ini dibuat berdasarkan pola kependudukan rakyat Malaysia.


''Selepas tamat tempoh tersebut, unit-unit AS1M yang masih ada akan dibuka untuk langganan semua rakyat Malaysia.


''Saya berpendapat cara ini adalah yang paling adil dan telus untuk PNB mendapatkan pelabur-pelabur yang benar-benar berminat, sementara rakyat Malaysia semua mempunyai peluang yang sama untuk melabur,'' katanya ketika berucap pada majlis pelancaran AS1M di sini semalam.


Majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.


Dana amanah terbaru itu boleh dilanggan dengan jumlah pelaburan permulaan minimum 100 unit dan pelaburan tambahan minimum pula sebanyak satu unit.


Bagi memastikan penyertaan menyeluruh daripada rakyat Malaysia, had langganan maksimum bagi AS1M ditetapkan pada 50,000 unit bagi setiap pelabur berumur 18 tahun hingga 55 tahun.
Had langganan maksimum bagi mereka yang berumur melebihi 55 tahun pula 100,000 unit dengan tujuan memberi pilihan kepada golongan itu mempelbagaikan pelaburan bagi merancang keperluan persaraan mereka.


Perdana Menteri berkata, pelancaran AS1M akan memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia, sekali gus mencapai sasaran tebaran pelabur yang lebih luas dan saksama.


Tambahnya, agihan yang besar diberikan kepada warga emas sebagai anugerah sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi selama ini.


Beliau berkata, selain itu pelancaran dana tersebut dapat meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat melalui pemegangan dana amanah serta membantu merangsang ekonomi negara melalui pelaburan dalam pasaran saham dan instrumen-instrumen lain.


''Dengan adanya tabung yang menawarkan saiz dana terbesar ini, ia bukan sahaja memberi suntikan kepada pasaran ekuiti sebaliknya menjadi kepada pemangkin pertumbuhan negara.


''Malah, dengan adanya dana ini, PNB berupaya melabur dalam syarikat-syarikat tertentu yang kukuh dan membentuk syarikat-syarikat baru.


''Akhirnya rakyat juga yang akan mendapat faedah,'' ujar beliau.


Dalam ucapannya, Najib berkata, meskipun PNB sudah membuktikan kejaguhannya di negara sendiri tetapi kerajaan berharap kejayaan itu dapat dilebarkan ke peringkat antarabangsa.


Hamad Kama Piah dalam satu sidang akhbar berasingan berkata, langganan AS1M boleh dibuat di semua pejabat Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan Pos Malaysia mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.


Manakala urus niaga dengan ejen-ejen ASNB seperti Maybank, CIMB Bank dan RHB Bank pula pada pukul 9.15 pagi hingga 4.30 petang, bergantung kepada waktu urus niaga masing-masing.

Jumaat, Julai 31, 2009

DATUK SHAHIR DALAM KENANGAN

Bekas Imam Besar Masjid Negara Datuk Ahmad Shahir Daud, sempat menyambung tugas arwah bapanya mengajar agama di surau di kampung kelahirannya di Kampung Selingsing di sini sebelum meninggal dunia akibat barah usus, petang semalam.
Menurut balunya, Datin Naimah Mohd Nawi, 60, itulah khidmat terakhir Allahyarham sebelum menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai pendakwah selepas berkhidmat dengan kerajaan selama 24 tahun.Ahmad Shahrir, 73, pernah menjadi Pegawai Agama Istana Negara, berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara dari 1975 hingga 1980 dan dari 1984 hingga 1992. Allahyarham adalah juga bekas pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malasyia (Jakim)
."Arwah lebih suka bercakap (berceramah) daripada menulis, sebab itu bila berkhutbah di masjid dia tidak suka membaca teks, walaupun disediakan pihak berkenaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Lorong Merican, Jalan Telipot, di sini Khamis.
Beliau berkata, Allahyarham merupakan pendakwah yang dedikasi, kerana walaupun dalam keadaan uzur beliau sanggup menyampaikan ceramahnya dan semasa hayatnya arwah sering diundang menyampaikan ceramah di Radio Televisyen Malaysia (RTM) cawangan Kota Baharu.
Menurut Naimah lagi, allahyarham uzur sejak beberapa tahun lalu selepas terjatuh ketika mengubah suai rumahnya.Ahmad Shahir meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, kira-kira jam 5.30 semalam, selepas dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit barah usus pada Selasa lepas.
"Itulah khidmat terakhir arwah sebagai mewarisi tugas arwah ayahnya, Tuan Guru Haji Daud Mohd Amin," kata Naimah. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tok Kenali, Kubang Kerian, dekat sini jam 11 pagi tadi. Allahyarham meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang lelaki serta tujuh cucu.