Memaparkan catatan dengan label yasmin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label yasmin. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 10, 2009

YASMIN DINOBATKAN PENGARAH TERBAIK


Arwah Yasmin Ahmad dinobatkan sebagai pengarah terbaik bagi filem Talentime pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22 di Kota Kinabalu Sabtu malam.


Beliau turut memenangi anugerah lakon layar terbaik bagi filem itu yang memperuntukkan hadiah berupa trofi serta wang tunai RM15,000, dan filem Talentime itu turut memenangi anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik melalui Mohd Shafie Naswip yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000


Selain itu filem Talentime bersama tiga lagi filem; Kami-The Movie, Histeria dan Geng: Pengembaraan Bermula turut menerima menerima Anugerah Khas Juri Utama.


Malam anugerah yang buat pertama kalinya diadakan di Dewan Canselori Universiti Malaysia Sabah menyaksikan Trofi serta wang tunai RM20,000 hadiah bagi Pengarah Terbaik, disampaikan kepada adik perempuan Yasmin.


Yasmin, 51, meninggal dunia pada 25 Julai lepas kira-kira pukul 11.25 malam selepas diserang strok dan mengalami pendarahan di bahagian otak.


FFM Ke-22 turut memberi penghormatan kepada pengarah itu dengan menayangkan klip video khas kira-kira dua minit yang memaparkan petikan-petikan dari filem serta iklan arahan Yasmin, dengan pelakon dan penyanyi Adibah Noor tampil sebagai suara latar.


Pemenang rancangan realiti Akademi Fantasia 6, Stacy, kemudiannya mempersembahkan lagu bertajuk 'Angel' bagi mengenang pemergian Yasmin.


Sementara itu, filem 'Papadom' arahan Afdlin Shauki memenangi anugerah filem terbaik dan membawa pulang trofi serta wang tunai RM50,000.


Afdlin sendiri memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik, manakala pelakon wanita terbaik dimenangi Liyana Jasmay, masing-masing menerusi filem Papadom, dan masing-masing membawa pulang trofi serta wang tunai RM15,000 bagi kategori berkenaan.


Papadom turut memenangi dua lagi anugerah iaitu cerita asal terbaik dan skor muzik asal terbaik.Sementara itu, filem Setem arahan Rashidi Ishak pula memenangi tiga anugerah iaitu sinematografi terbaik, penyunting terbaik serta penataan seni terbaik, dan filem Cicakman 2 terbitan KRU Studios memenangi anugerah penataan bunyi terbaik serta pereka busana terbaik.


Anugerah filem komedi terbaik pula dimenangi filem 'Los dan Faun' terbitan Vision Works, manakala pelakon pembantu wanita terbaik dimenangi Salina Saibi menerusi filem Bohsia, sementara James Lee dipilih sebagai pengarah harapan menerusi filem Histeria.


Sementara itu, FFM Ke-22 turut menyampaikan anugerah kepada Omar Man dan Mariani Ismail, masing-masing dinobatkan sebagai pelakon lelaki veteran terbaik dan pelakon wanita veteran terbaik, manakala S.Shamsudin dipilih sebagai seniman veteran terbaik.


Hadir pada malam anugerah tersebut ialah Yang Dipertua Sabah Tun Ahmadshah Abdullah, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Ahad, Julai 26, 2009

YASMIN TETAP DIKENANG


Yasmin Ahmad, yang meninggal dunia Sabtu malam, akan dikenang kerana setiap sentuhan karyanya, baik dalam filem mahupun iklan, begitu sinonim dengan garapan yang penuh dengan elemen kasih sayang, cinta, kekeluargaan dan jenaka yang disampaikan cukup bersahaja berlatarbelakangkan masyarakat majmuk di negara ini.


Pengarah filem dan iklan terkenal itu, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Damansara di sini kira-kira 11.25 malam selepas menjalani pembedahan pada Khamis lepas setelah diserang strok dan mengalami pendarahan di bahagian otak.


Dilahirkan di Bukit Treh, Muar, Johor pada 1 Julai 1958, Yasmin, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom, memenangi pelbagai anugerah di dalam negara dan antarabangsa bagi karya-karya kreatifnya.


Isteri kepada Abdullah Tan Yew Leong itu memulakan kerjaya dalam industri pengiklanan sebagai penulis iklan di Ogilvy & Mather, sebelum menyertai firma Leo Burnett sebagai pengarah kreatif bersama pada tahun 1993 sehinggalah memegang jawatan sebagai pengarah kreatif eksekutif di Leo Burnett kini.


Kehebatan Yasmin dapat dilihat dalam banyak iklan komersial Petronas kerana mampu mencuit dan meruntun hati penonton dengan sentuhan karyanya.Tidak keterlaluan sekiranya ramai yang akan merindui buah tangan pengarah kreatif itu terutamanya untuk iklan-iklan menjelang sambutan Hari Raya Aidlfitri September ini.


Sering dipuji sebagai pengarah iklan, nama Yasmin bagaimanapun cukup kontroversi di arena pefileman tanah air berdasarkan keterbukaan dan keberaniannya dalam mengupas isu-isu kemasyarakatan.


Malah tidak sah jika filem nukilan Yasmin tidak dikritik kerana sejak filem pertamanya Rabun pada 2003, filem-filem lain arahan Yasmin iaitu Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2006), Muallaf (2008) dan Talentime (2009), turut menerima nasib sama.


Bagaimanapun, di sebalik kritikan, masih ada yang menilai filem-filem Yasmin dari sudut berbeza sehingga beberapa filem beliau termasuk Sepet diangkat untuk memenangi Anugerah Filem Terbaik dan Lakon Layar Asli Terbaik pada Pesta Filem Malaysia 2005.


Filem Sepet juga memenangi anugerah di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Filem Asia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo pada 2005 dan meraih Anugerah Grand Prix di Pesta Filem Wanita Antarabangsa Creteil pada 2005.


Filem Gubra pula memenangi Anugerah Filem Terbaik dan Lakonlayar Terbaik di Pesta Filem Malaysia 2006.Filem Muhsin mencatat kejayaan dengan mengungguli Generasi kplus - Filem Cereka Terbaik dan Deutsches Kinderhilfswerk Grand Prix di Pesta Filem Antarabangsa Berlin selain diangkat sebagai Filem Asean Terbaik di Pesta Filem Antarabangsa Cinemanila 2007.


Filem Muallaf pula memenangi Anugerah Filem Asia - Sebutan Khas di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo 2008.Selain memenangi anugerah antarabangsa, filem arahan Yasmin banyak menerima pujian dan kritikan daripada masyarakat serta mendapat liputan media tempatan dan luar negara yang meluas.


Filem-filem Yasmin juga mendapat pengiktirafan dari negara luar apabila ditayangkan di Berlin, San Francisco, Singapura dan di Festival Filem Cannes yang memberi peluang kepada Yasmin untuk terus menghasilkan filem yang dikatakan mempunyai identiti tersendiri.