Selasa, September 03, 2013

UMNO GUA MUSANG MILIK SIAPA?

Umno Gua Musang yang selama ini diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang kini terbuka ekoran pengumuman pemimpin tersebut untuk melepaskan jawatannya. Pada hari Jumaat lalu Bernama melaporkan Ku Li sebagai berkata bahawa pilihan raya umum ke 13 ialah pilihan raya terakhir. Beliau turut menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan ketua bahagian Gua Musang yang disandangnya selama 51 tahun. Persoalan kini timbul berkenaan siapa yang akan mengambil alih kepimpinan Umno Gua Musang. Seorang sumber menyatakan bahawa sentimen ahli Umno di peringkat akar umbi di Gua Musang masih berpihak kepada Ku Li. “Sambutan buat masa sekarang masih berpihak kepada Ku Li,” kata sumber. Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Datuk Bazlan Baharuddin mahu bertanding jawatan ketua bahagian. “Bazlan kecewa kerana tidak mendapat sokongan penuh dari akar umbi. Beliau tidak popular,” dakwa sumber. Sementara itu sumber FMT berkata bahawa bekas calon pilihan raya umum 12 di Galas, Mohd Saufi Deraman berhasrat untuk bertanding untuk jawatan timbalan ketua bahagian. “Terdapat ura-ura bahawa Saufi Deraman mahu menyertai PAS kerana tidak dicalonkan untuk bertanding di Galas meskipun menjadi Adun Galas selama sepenggal selepas menang dalam pilihan raya tahun 2004,” kata sumber. Timbalan Ketua Bahagian Umno Gua Musang Mat Yusoff Abdul Ghani (gambar) enggan mengambil alih kepimpinan ketika persoalan samada beliau akan mengambil alih kepimpinan di Gua Musang diajukan kepada beliau. “Saya akan tunggu pengumuman pucuk pimpinan dan sentimen akar umbi. Saya pernah memberitahu Ku Li berkenaan hasrat untuk tidak bertanding tapi beliau kata jangan buat begitu,” kata Mat Yusoff yang juga adalah Adun Nenggiri.