Selasa, September 03, 2013

KUNYIT HITAM

Kisah saya tulis minggu lepas “Jenglot boleh angkat kereta?” telah menarik perhatian 3,705 orang pembaca. Terima kasih kepada semua yang membaca kisah itu walaupun ada pembaca yang berkata cerita itu bodoh. Minggu ini saya ingin bercerita tentang kunyit hitam. Yang sering kita dengar kunyit warna merah, tetapi yang mahu saya ceritakan pengalaman Ali dan Zaki mendapatkan kunyit hitam. Kunyit hitam ialah sejenis kunyit yang begitu jarang dijumpai dan mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Sesetengah kepercayaan menganggap kunyit ini mempunyai nilai mistik. Di India kunyit ini ditanam secara komersial kerana nilai perubatannya. Kalau nak test lihat keindahan Kunyit Hitam, ambil tiga ruas tebu dan pangkah di setiap hujungnya. Warna hitam dari Kunyit akan bersambung di tengah-tengah tebu sehingga hitam kesemuanya. Pangkah di nasi sehingga warna hitam mengubah keputihan nasi dan pada batang pisang. Sapukan di pangkal pokok dan perhatikan warna hitam berapa tinggi boleh naik ke atas. Masih ada lagi pelbagai cara untuk melihat keindahan Kunyit Hitam. Kunyit Hitam ni ada dua jenis. Pertamanya digunakan untuk bidang perubatan seperti mana yang semua maklum. Keduanya digunakan untuk dijadikan ibu duit. Seperti biasa setiap minggu Ali dan Zaki menghadap Ustaz Mukhlis di rumahnya di Seri Gombak. Ustaz Mukhlis berasal dari Jawa Tengah dan sudah lama menetap di situ. Dia gunakan kepandaiannya untuk berubat orang sakit. “Kamu tahu siapa yang ada kunyit hitam?” tanya Ustaz Mukhlis kepada Ali. “Nak buat apa Ustaz?” tanya Ali kembali. Pertukaran “Kita nak buat pertukaran. Ada kawan saya di Ampang mencari kunyit hitam untuk buat pertukaran,” kata Ustaz Mukhlis. “Banyak ke nilai pertukarannya Ustaz?” Zaki yang duduk di sebelah Ali menyampuk. “Billion ringgit,”kata Ustaz Mukhlis. “Haji Jurit pernah beritahu saya bahawa kawannya di Gunung Jerai ada kunyit hitam,” beritahu Ali. “Nanti kami usahakan,” tambah Zaki. Sekembalinya ke bilik mereka di Kepong, Ali hubungi Haji Jurit dengan handphonenya. “Assalamualaikum Ayah,” kata Ali. “Mualaiakumusalam Ali,” jawab Haji Jurit yang dipanggil ayah, seorang pemimpin dalam sebuah pertubuhan macam Pekida. “Ustaz Mukhlis yang kita jumpa hari tu cari kunyit hitam nak buat pertukaran di Ampang,” kata Ali. “Nanti ayah tanya kawan ayah di Gunung Jerai,” kata Haji Jurit yang duduk di Teluk Intan. Hai Jurit sudah berumur 63 tahun tapi kelihatan muda. Apatah lagi dia selalu ditemani isteri mudanya yang berusia 26 tahun. Khabarnya dia isteri keempat Haji Jurit. “Esok ayah call Anuar,” kata Haji Jurit. Alam ghaib Malam itu Ali bercerita kepada Zaki yang jahil tentang kunyit hitam. Ali pernah jumpa Ustaz Mazlan dari Kuantan yang juga mencari kunyit hitam untuk tarik duit dari alam ghaib. “Kalau ada kunyit hitam, Ustaz Mazlan suruh parking lori kecil di Janda Baik. Secepat kilat lori itu penuh dengan duit yang diambil dari alam ghaib,” cerita Ali kepada Zaki. Zaki terlopong mendengar cerita Ali. Dia tak pernah dapat rezeki seperti ini tetapi Ali pernah merasa duit hasil tarik duit walaupun tidak banyak sekadar RM22 ribu sahaja. Esoknya tepat jam 11 pagi Haji Jurit call Ali. “Ali, kunyit hitam memang ada di Gunung Jerai dengan kawan ayah. Jadi ayah kena pergi sana,” kata Haji Jurit. “Bila ayah nak pergi?” tanya Ali yang excited. “Secepat mungkin,” jawab Haji Jurit. “Kalau begitu pergilah esok ayah,” desak Ali. “Ayah boleh pergi hari ini tapi kena beri duit minyak dan duit hotel sekurang-kurangnya RM500 untuk bawa tuannya sekali ke Kuala Lumpur,” beritahu Haji Jurit. Bincang “Banyak mana? RM500? Nanti saya bincang dengan Zaki,” kata Ali. Petang itu Zaki yang baru balik dari kerja diberitahu kena sediakan RM500 untuk ambil kunyit hitam di Kedah. “Saya setakat RM200 adalah,” kata Zaki jujur. “Yang lebih saya cari,” jawab Ali. Dua hari kemudian, Zaki bank in RM500 kepada Haji Jurit yang berada di Teluk Intan. “Ayah pergi hari ini juga ke Kedah,” kata Haji Jurit kepada Ali dalam handphone. “Agaknya bila ayah datang KL?” tanya Ali. “Lusa terus datang dan suruh Ustaz Mukhlis siap sedia untuk buat pertukaran,” kata Haji Jurit. Dua hari kemudian Ali call Haji Jurit tanya perkembangan kunyit hitam. Haji Jurit tak angkat call. Setiap hari Zaki tak putus asa menelefon Haji Jurit. “Sabarlah,” kata Haji Jurit. “Ustaz Mukhlis tanya saya bila sampai kunyit hitam, macam mana saya mahu sabar ayah?” tanya Ali. Cukup seminggu Haji Jurit tak sampai-sampai di Kuala Lumpur dengan kunyit hitam. “Agak-agaknya kita kena tipu dengan Haji Jurit?” soal Zaki. “Takkan Haji Jurit yang tak tinggal solat lima waktu tipu kita?” kata Ali. “Orang yang kuat solat kuat diuji iblis sama ada solatnya itu ok atau tidak,” kata Zaki. “Terkena lagi kita nampaknya,” kata Ali kecewa.