Selasa, September 03, 2013

KETUA WIRA PERKASA TIDAK SEDAR DIRI

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan kenyataan Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris yang mendesak Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sebagai tidak ‘berpijak di bumi nyata’. “Presiden anda (Ibrahim Ali) pun sudah kalah dalam pilihan raya lepas tu perasan nak minta Perdana Menteri letak jawatan. “Anda perlu tahu kedudukan anda dulu. Apa Pemuda Perkasa ini?” katanya ketika ditemui pemberita di majlis Jamuan Raya Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Bukit Kiara di sini hari ini. Khairy berkata, Irwan Fahmi langsung tidak berhak mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana kapasitinya yang hanya ketua sayap kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya parti politik. “Saya rasa dia patut letak jawatan dulu. Siapa dia nak minta Perdana Menteri letak jawatan? “Dia bukan Ketua Pemuda Umno. Dia Pemuda Perkasa…Perkasa ada apa,” soalnya. Irwan Fahmi dalam entri blognya “Sudah Cukup Segalanya Digadai, Hj Najib Wajar Meletakkan Jawatan.” berkata kepimpinan Najib terbukti gagal apabila tidak mendapat sokongan majoriti rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu. Beliau berkata slogan 1 Malaysia yang dibawa Najib gagal mendapat sokongan kaum Cina, malah menganggap Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang kononnya membantu rakyat sebenarnya adalah rasuah yang di halalkan oleh kerajaan. “Laungan 1 Malaysia ini dilaungkan oleh pengampu-pengampu, saya mahu tanya apakah 1 Malaysia ini berjaya? Jika pada pandangan saya ianya terbukti gagal,” katanya Ahad lalu. Filem Tanda Putera Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan kepada panggung wayang supaya tidak memainkan filem Tanda Putera, Khairy berkata perkara itu tidak munasabah. “Saya harap mereka teruskan. Kalau ada usaha mereka nak halang, saya minta Jabatan Penerangan hantar wayang pacak dan tayangkan kepada orang ramai,” katanya. Katanya, sebagai parti yang mengagungkan demokrasi dan memperjuangkan kebebasan bersuara, DAP perlu membenarkan tayangan tersebut kerana ia tidak ada kaitan dengan mana-mana pemimpin parti itu. “Tanda Putera ialah cerita tentang Tun Razak dan Tun Dr Ismail selamatkan negara kita selepas tragedi 13 Mei. Ini tiada kena mengena langsung dengan DAP. “Kenapa Guan Eng terasa? Kenapa perasan sangat? Tak ada kena mengena dengan beliau ataupun (Lim) Kit Siang,” katanya.