Selasa, September 03, 2013
UMNO AKAN HANCUR JIKA POLITIK WANG TIDAK DIBENDUNG
Umno akan hancur pada pilihanraya umum ke 14 jika politik wang tidak dibendung dalam pemilihan Umno Oktober ini.
Menurut bekas ahli jawatankuasa Umno Bahagian Batu Sapi, Sapari Idal (gambar) , politik wang masih berleluasa dalam pemilihan cawangan di bahagian tersebut.
“Saya sedih dengan fenomena ini. Jika politik wang tidak dibendung segera, saya kira Umno (BN) akan hancur pada pilihanraya umum akan datang,” katanya kepada FMT.
Beliau yang disebut-sebut sebagai calon Ketua Bahagian menentang ADUN Sekong, Shamsuddin Haji Yahya berkata beliau tidak jadi bertanding kerana perwakilan masih meminta wang dari calon.
“Saya tiada wang maka saya tak mampu membeli undi,” katanya.
Beliau kalah bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian pada tahun 2008 kerana tiada wang sedangkan ada calon yang sanggup bayar RM1,000 kepada setiap perwakilan.
Sapari selanjutnya meminta Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen memantau politik wang di setiap bahagian terutamanya di Sabah.
“Perwakilan minta wang. Kalau calon tak hulur, kalah. Jadi calon kena hulur untuk menang,” dakwanya lagi.
Beliau menambah Umno akan hancur jika fenomena politik wang ini berterusan di mana orang kaya sahaja yang dapat jadi pemimpin sedangkan cerdik pandai yang tiada wang akan tercicir.