Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan supaya Kementerian Dalam Negeri mengadakan persidangan meja bulat bagi membincangkan sebarang bentuk cadangan pindaan berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata langkah tersebut akan membolehkan pihak berkenaan menimbang dan mengkaji cadangan pelbagai pihak yang berkepentingan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum dilaksanakan.
"Jika ini dibuat, ia akan memudahkan Peguam Negara merangka deraf pertama sebelum dibentangkan di peringkat Parlimen untuk diluluskan.
"Sebelum draf pertama dicetak dan dibawa ke Parlimen, ia perlu dibincangkan di luar, untuk ditokok tambah segala cadangan yang dikemukakan oleh pihak yang berminat dan berkepentingan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di kediamannya di Tumpat malam tadi, lapor Bernama.
Katanya, langkah ini juga dilakukan sebagai membuktikan sikap keterbukaan kerajaan dalam melayani kemahuan pihak berkenaan berhubung isu itu.
Beliau diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, di Putrajaya Selasa lalu, untuk menyerahkan memorandum cadangan pindaan ISA.
Menurut Ibrahim, sebagai sebuah pertubuhan NGO pertama yang mengemukakan cadangan, Perkasa sudah membentuk sebuah jawatankuasa yang dianggotai peguam berpengalaman dalam menyediakan pandangan ke arah penambahbaikan cadangan itu.
Sementara itu, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas, menolak anggapan sesetengah pihak kononnya beliau kemungkinan menyertai parti pembangkang khasnya PKR sebagai platform perjuangan politiknya.
"Saya tidak ikut (Penasihat PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar yang sangat peribadi, walaupun sesetengah pihak menganggapnya sebagai idola atau ikon kepada perjuangan politik negara," katanya.
Ditanya kemungkinan menyertai Umno semula, Ibrahim berkata beliau masih belum membuat keputusan walaupun rakyat dalam kawasannya menyerahkan mandat kepada beliau untuk membuat sebarang keputusan.