Rabu, September 09, 2009

KETUA PEMUDA TAK PERLU ADA HAD UMUR


Pada hemat saya, jawatan Ketua Pemuda UMNO tidak perlu dihadkan umur seperti dicadangkan oleh ketuanya, Khairy Jamaluddin. Sejarah menunjukkan pemuda yang diketuai oleh orang yang lebih dari umur 45 tahun memang hebat seperti Datuk Harun Idris dan Tan Sri Syed Jaafar Albar.


Jadi cadangan pemuda supaya hadkan umur pemuda akan melemahkan pemuda lagi. Dalam isu hangat Indonesia-Malaysia ini, ke mana perginya suara pemuda. Kalau pemuda di zaman Datuk Harun dulu, mereka sanggup bangun mengganyang kerajaan Indonesia. tetapi kenapa exco pemuda kini lesu dan tidak bermaya? Ini adalah kerana mereka ada kepentingan bisnes. Mereka takut kontrak mereka dibatal. Jadi mereka berjuang bukan kerana kepentingan orang Melayu tetapi kerana kepentingan perut terlebih dahulu.


Inilah bezanya perjuangan exco pemuda sekarang dengan pemuda dahulu. Sebab itu bila ADUN Bagan Pinang, Azman Mohd. Noor meninggal dunia, saya terkejut apabila UMNO sedia membantu keluarga Allahyarham kerana keluarganya tinggal di rumah sewa dan anak-anaknya masih kecil bersekolah.


Memang di zaman sekarang sukar mahu cari wakil rakyat "miskin" seperti Azman kerana biasanya wakil rakyat yang baru sudah pandai kumpul harta sama ada melalui cara sah atau cara haram.


Sebab itu sekarang rakyat menyampah dengan wakil rakyat UMNO kerana baru sepenggal menjadi YB, YB sudah ada rumah besar tersergam indah dan ada beberapa kereta mewah. Tetapi apa yang berlaku kepada bekas ADUN Bagan Pinang perlu jadi contoh kepada pemimpin UMNO yang lain supaya tidak mengaut harta sewenang-wenangnya bila berkuasa. Oleh itu exco pemuda janganlah asyik mengejar kemewahan semata-mata hingga sanggup menggadai perjuangan parti.


Pemuda UMNO mencadangkan usia kelayakan bertanding bagi jawatan ketuanya dihadkan kepada 45 tahun berbanding tiada had umur ketika ini.


Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pada masa ini sesiapa juga dibenarkan untuk bertanding merebut jawatan tertinggi dalam sayap parti itu asalkan mereka melepasi kriteria tertentu selain mendapat pencalonan mencukupi.


''Ini antara pembaharuan yang dicadang untuk dipinda dalam perlembagaan parti. Kami berpandangan pemilihan individu berusia 45 tahun ke bawah selaras dengan aspirasi perjuangan Pemuda,'' katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.


Turut hadir, Setiausahanya, Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid dan Ketua Penerangan, Datuk Reezal Merican Naina Merican.


Selain itu, Pemuda UMNO turut mencadangkan agar pemilihan parti dibuat di peringkat mesyuarat perwakilan bahagian dan bukan lagi pada perhimpunan agung selain penghapusan sistem kuota.


''Kita juga meminta perwakilan bahagian ditambah sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah sedia ada termasuk melibatkan ketua-ketua sayap cawangan untuk menentukan jawatan tertinggi dalam UMNO.


''Dengan cara itu, lebih 100,000 ahli UMNO berpeluang membuat pilihan dan ia selari dengan hasrat kita untuk terus mengembangkan demokrasi di dalam parti ini,'' katanya.


Mesyuarat itu turut mencadangkan agar syarat kelayakan bertanding untuk sebarang jawatan dalam parti dilonggarkan.


Sebagai contoh katanya, untuk jawatan di peringkat awal seperti Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian, kelayakan bertanding hanyalah setahun menjadi ahli.


''Bagi jawatan lebih tinggi seperti Naib Ketua Pemuda dan Ketua Pemuda pula, mereka hanya perlu menjawat jawatan Exco Pemuda UMNO selama satu penggal atau Ketua Pemuda UMNO bahagian, juga satu penggal sebelum layak bertanding,'' ujarnya.