Sabtu, Oktober 18, 2008

AWALKAN PEMILIHAN PADA DISEMBER TETAPI PERALIHAN KUASA TETAP MAC 2009


Saya pernah pertikaikan dalam blog ini kenapa Pak Lah perlu tangguh perhimpunan agung kepada Mac 2009 sedangkan beliau tidak bertanding? Kalaulah penangguhan itu hanya bertujuan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib, ia tidak perlu ditangguhkan.

Perhimpunan tetap boleh diadakan pada 17 Disember 2008. Selepas Najib jadi Presiden UMNO selama tiga bulan, jawatan Perdana Menteri bolehlah diserah kepada Najib pada Mac 2009. Hal yang sama berlaku pada tahun 1981. Selepas Dr. Mahathir Mohamad menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO pada 26 Jun 1981, Hussein Onn menyerahkan jawatan Perdana Menteri sebulan kemudian.

Jarak antara perhimpunan Disember 2008 dengan Mac 2009 hanya tiga bulan. Jadi Najib kena sabar tiga bulan untuk jadi Perdana Menteri walaupun beliau sudah jadi Presiden UMNO. Kalau Dr. Mahathir boleh sabar selama satu bulan sebelum jadi Perdana Menteri, maka takkan Najib tak boleh sabar juga. Oleh itu teruskanlah peralihan kuasa pada Mac 2009 nanti.

Oleh itu sungutan Muhyiddin semalam bahawa kempen lima bulan terlalu lama memang benar walaupun dia tidak membangkitkannya dalam mesyuarat khas majlis tertinggi baru-baru ini. Kenapa perlu sekarang beliau bangkitkannya selepas dia jauh meninggalkan Ali dan Muhammad dari segi pencalonan?

Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyokong sungutan Muhyiddin itu. Katanya, tempoh kempen pemilihan UMNO yang terlalu panjang bukan sahaja menjejaskan produktiviti malah menyebabkan gejala politik wang dan fitnah memfitnah berleluasa. Atau mungkin Zahid bimbang dengan pengedaran buku mengenai dirinya yang memukul seorang pemuda akan menjejaskan undinya kalau tempoh kempen terlalu lama?

Kalau majlis tertinggi bersetuju dengan tarikh asal perhimpunan agung UMNO iaitu Disember 2008, Pak Lah tak perlu berhenti awal sebagai Perdana Menteri. Biarlah dia serahkan jawatan itu kepada Najib pada Mac 2009 seperti mana kehendaknya. Itu kan lebih baik kerana calon tidak letih mengeluarkan wang walaupun ada calon khuatir politik wang tetapi calon yang sama hulur wang kepada para perwakilan.