Memaparkan catatan dengan label zahidi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label zahidi. Papar semua catatan

Khamis, Januari 25, 2018

MHONLINE TERIMA PENGHARGAAN DARIPADA IKIAM



AMPANG: MH Online satu satunya berita portal yang sedang meningkat naik turut mendapat penghargaan daripada Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dalam majlis malam media IKIAM di sini malam tadi.

Editor kanan MH Online, Zabidi Saidi menerima sijil penghargaan tersebut daripada Pengerusi IKIAM, Datuk Zahidi Zainul Abidin. Turut menerima penghargaan ialah Utusan Malaysia, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro, RTM, TV3, TV Al Hijrah, Astro Awani dan Agro Malaysia.

IKIAM juga  turut melancarkan Tabung Kebajikan Bekas Wartawan untuk membantu bekas wartawan yang uzur.

Zahidi  berkata IKIAM mengambil inisiatif ini untuk membantu bekas wartawan yang uzur dan sebagainya.

"Memandangkan bekas wartawan bukannya ada pencen maka IKIAM terpanggil untuk melancarkan tabung ini. Saya berharap semua rakyat Malaysia dapat memberi sumbangan ikhlas kepada tabung tersebut," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sekalung Budi Bersama Media, di sini, malam tadi.

Buat permulaan beliau mengumumkan sumbangan IKIAM sebanyak RM2,000 untuk tabung tersebut.

IKIAM juga buat pertama kalinya akan mengadakan Persidangan Antarabangsa Gerakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Asean dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Zahidi berkata persidangan dengan objektif memperkasakan sektor ekonomi umat Islam itu akan berlangsung pada Mac ini.

Beliau berkata, untuk merealisasi hasrat itu, IKIAM akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

"Antara agenda besar yang akan kita bincangkan dalam persidangan ini adalah pengenalan logo Produk Ummah yang berfungsi membezakan produk halal milik usahawan Islam dengan bukan Islam.

"Logo Produk Ummah sama fungsinya seperti logo halal JAKIM. Terapi, bezanya...Logo ini menandakan produk berkenaan halal, selamat dan bersih digunakan umat Islam sekali gus dapat membantu usahawan kecil untuk memasarkan produk mereka.

"Tidak seperti logo halal yang dikeluarkan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), ia terbuka untuk dipohon oleh usahawan Islam dan bukan Islam. Usahawan kecil juga menghadapi kesukaran memohon kerana perlu mempunyai kilang sebagai syarat," katanya.

Mengulas lanjut syarat memohon logo Produk Ummah, Zahidi berkata, usahawan hanya perlu membayar fi memproses dan peguam kira-kira RM200 serta diwajib membayar zakat.

Katanya, IKIAM dan RISDA memperkenalkan logo Produk Ummah susulan kurang syarikat Islam memperoleh halal dari JAKIM.

"Dianggarkan, 73 peratus syarikat bukan Islam mendapat status halal.

"Kita harap usaha yang kita lakukan ini dapat membantu memperkasa dan merancakkan ekonomi umat Islam di rantau Asia Tenggara serta negara anggota OIC," katanya.

Selain itu, sektor pelancongan dan kewangan berasaskan Islam turut diketengah sebagai agenda untuk diperbincang dalam persidangan itu.

Sabtu, Oktober 18, 2008

AWALKAN PEMILIHAN PADA DISEMBER TETAPI PERALIHAN KUASA TETAP MAC 2009


Saya pernah pertikaikan dalam blog ini kenapa Pak Lah perlu tangguh perhimpunan agung kepada Mac 2009 sedangkan beliau tidak bertanding? Kalaulah penangguhan itu hanya bertujuan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib, ia tidak perlu ditangguhkan.

Perhimpunan tetap boleh diadakan pada 17 Disember 2008. Selepas Najib jadi Presiden UMNO selama tiga bulan, jawatan Perdana Menteri bolehlah diserah kepada Najib pada Mac 2009. Hal yang sama berlaku pada tahun 1981. Selepas Dr. Mahathir Mohamad menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO pada 26 Jun 1981, Hussein Onn menyerahkan jawatan Perdana Menteri sebulan kemudian.

Jarak antara perhimpunan Disember 2008 dengan Mac 2009 hanya tiga bulan. Jadi Najib kena sabar tiga bulan untuk jadi Perdana Menteri walaupun beliau sudah jadi Presiden UMNO. Kalau Dr. Mahathir boleh sabar selama satu bulan sebelum jadi Perdana Menteri, maka takkan Najib tak boleh sabar juga. Oleh itu teruskanlah peralihan kuasa pada Mac 2009 nanti.

Oleh itu sungutan Muhyiddin semalam bahawa kempen lima bulan terlalu lama memang benar walaupun dia tidak membangkitkannya dalam mesyuarat khas majlis tertinggi baru-baru ini. Kenapa perlu sekarang beliau bangkitkannya selepas dia jauh meninggalkan Ali dan Muhammad dari segi pencalonan?

Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyokong sungutan Muhyiddin itu. Katanya, tempoh kempen pemilihan UMNO yang terlalu panjang bukan sahaja menjejaskan produktiviti malah menyebabkan gejala politik wang dan fitnah memfitnah berleluasa. Atau mungkin Zahid bimbang dengan pengedaran buku mengenai dirinya yang memukul seorang pemuda akan menjejaskan undinya kalau tempoh kempen terlalu lama?

Kalau majlis tertinggi bersetuju dengan tarikh asal perhimpunan agung UMNO iaitu Disember 2008, Pak Lah tak perlu berhenti awal sebagai Perdana Menteri. Biarlah dia serahkan jawatan itu kepada Najib pada Mac 2009 seperti mana kehendaknya. Itu kan lebih baik kerana calon tidak letih mengeluarkan wang walaupun ada calon khuatir politik wang tetapi calon yang sama hulur wang kepada para perwakilan.

Selasa, Oktober 07, 2008

ZAHIDI CALON KETUA PEMUDA BERKECUALI


Para perwakilan pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO Disember ini perlu memilih Ketua Pemuda yang dapat memahami kehendak akar umbi.
Menurut calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Zahidi Zainol Abidin, UMNO semakin lemah apabila bekas Presidennya, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengkritik Presiden sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
“Jika perwakilan pemuda memilih Datuk Mukriz Tun Dr. Mahathir atau Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda, ia akan menyebabkan perbalahan antara Dr. Mahathir dan Pak Lah kian melebar. Justru itu pemuda perlukan pemimpin yang berkecuali seperti saya yang tidak mewakili puak Dr. Mahathir mahupun puak Pak Lah,”katanya yang mengesahkan bahawa beliau tetap bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada Disember ini.
Sehingga ini dua orang sudah mengesahkan bertanding jawatan Ketua Pemuda iaitu Mukhriz dan Zahidi manakala bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo dan Ahli Parlimen Jelebu, Khairy Jamaluddin belum mengesahkannya lagi.
Ditanya sejauh mana sokongan terhadapnya, Zahidi menjelaskan bahawa kalau pemuda mahukan Ketua Pemuda bangsawan pilihlah Mukhriz atau Khairy iaitu anak bekas Perdana Menteri atau menantu Perdana Menteri, tetapi jika mahu perjuangan pemuda membela nasib rakyat miskin, pilihlah dirinya yang lebih mengetahui betapa susahnya orang miskin.
Beliau akui betapa sukarnya merubah minda pemuda kerana pemuda sudah dicop menyokong pemimpin kerana mahu wang dan projek.
“Saya beri kesedaran kepada pemuda bahagian untuk mencalonkan orang seperti saya sebagai calon alternatif di antara Mukhriz dan Khairy,”katanya lagi sambil mengesakan bahawa beliau yakin dapat kuota yang cukup (40 pencalonan) untuk bertanding jawatan tersebut.