Rabu, September 05, 2018

ISTERI KETIGA DITAHAN REMAN BUNUH SUAMI



KUALA LUMPUR: Polis hari ini menahan isteri Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan bagi membantu siasatan terhadap kes pembunuhan Nazrin pada 14 Jun lalu.

Wanita itu adalah isteri ketiga mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berkata, pihaknya turut menahan bekas suami wanita itu.

Kes itu pada mulanya disiasat sebagai kematian mengejut, tetapi pada 6 Ogos lalu polis menklasifikasikannya semula sebagai kes bunuh selepas menerima laporan penuh bedah siasat dan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata lelaki itu ditahan di Sepang pada satu pagi tadi.

Wanita itu pula ditahan sejam kemudian di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail, kuala Lumpur.

Fadzil berkata, lelaki dan wanita itu - kedua-duanya berusia 43 tahun - telah mendapat perintah reman selama tujuh hari oleh Mahkamah majistret Petaling Jaya bermula hari ini.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan siasatan mendedahkan letupan telefon bimbit, yang pada mulanya didakwa sebagai punca kebakaran yang meragut nyawa Nazrin, tidak pernah berlaku.

Kederaan di badan mangsa juga tidak menunjukkan ada serpihan daripada letupan, kata sumber itu.

"Ada kesan petrol di badannya...dan kecederaan di kepala."

Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum ini menafikan dakwaan anggota keluarga Nazrin bahawa punca kematiannya adalah kecederaan akibat letupan telefon bimbit, yang dicaj berhampiran katil ketika dia sedang tidur.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat selangor Azmi Osman menjelaskan siasatan pihaknya tidak mendapati perkara itu dan berkata dakwaan itu dibuat keluarga mangsa sendiri.

Menurut laporan, adik ipar mangsa berkata di media sosial yang salah satu daripada dua telefon Nazrin telah meletup.

"Jika anda masih ingat, di hari Nazrin mati, tidak lama selepas itu ada mesej tular yang mengaitkan kematiannya dengan letupan telefon bimbit. Siapa yang tulis mesej itu? Insiden itu tidak pernah berlaku...dan syarikat telekomunikasi boleh saman pihak yang terlibat," kata seorang lagi sumber.

Sumber itu berkata selama beberapa minggu, penyiasat bekerja keras untuk mencari kaitan seorang individu yang dipercayai memainkan peranan dalam pembunuhan itu, berdasarkan bukti yang ada.

"Klu menunjukkan kepada seorang...tetapi ia bukan sesuatu yang mudah kerana penyiasat perlukan bukti kukuh yang mendakwa orang itu di mahkamah," katanya.

Beliau berkata, seorang yang rapat dengan Nazrin menjadi berang selepas membaca laporan bahawa kematian Nazrin melibatkan hal di luar kebiasaan.

Bulan lalu, isteri Nazrin Nazrin, Samirah Muzaffar berkata dia dan keluarga tidak diberitahu langsung tentang perkembangan siasatan dan bomba enggan memberikan salinan laporan siasatan mereka.

Selasa, September 04, 2018

SUDAH SAMPAI MASA BERI KUASA PENUH KEPADA SPRM MENDAKWA PESALAH RASUAH



KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak pernah dibincangkan dengan pengurusan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dakwa beberapa sumber.

Sumber berkenaan yang termasuk pegawai penyiasat kanan suruhanjaya itu turut memberitahu bahawa, peguam Lim tersilap dalam mendakwa pegawai SPRM yang memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.

"Arahan untuk menarik diri daripada kes ini tidak datang daripada SPRM. Jika ada, sudah pasti (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Datuk Seri Shukri (Abdul) tidak akan mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan suruhanjaya itu terkejut dengan keputusan itu.

"(Mohd) Masri (Daud) juga bukan pegawai SPRM. Beliau ialah timbalan pendakwa raya yang mewakili Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Beliau (Masri) tidak berbincang dengan SPRM mengenai menggugurkan pertuduhan," kata salah seorang pegawai suruhanjaya itu.

Sumber berkata pegawai SPRM cuma berperanan sebagai penyiasat dan pihaknya tidak boleh membuat sebarang pertuduhan di mahkamah tanpa persetujuan pendakwa raya awam.


Menurut pegawai itu, hal ini kerana prinsip pemisahan kuasa antara pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman yang termaktub dalam perlembagaan.

Seorang lagi pegawai berkata mahkamah yang patut memutuskan kes terhadap Guan Eng dan bukan menggugurkan semua pertuduhan terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

"Orang ramai perlu diberitahu hal (menggugurkan kes) ini tidak ada kena-mengena dengan SPRM.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah berhubung dakwaan penukaran status tanah negeri dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Mahkamah itu juga membebaskan ahli perniagaan Phang Li Koon, yang merupakan bekas pemilik rumah sewa Lim, daripada pertuduhan bersubahat dengan Lim untuk mendapatkan banglo pada kos bawah nilai pasaran.

Berikutan itu, SPRM segera mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengatakan bahawa mereka "amat terkejut" dengan keputusan itu, manakala peguam bela Guan Eng, Ramkarpal Singh mengeluarkan kenyataan yang menegur SPRM.

Ramkarpal dalam kenyataannya berkata SPRM tidak sepatutnya berbuat tidak tahu-menahu dengan pembebasan Lim daripada pertuduhan itu "apabila pengarah bahagian undang-undang dan pendakwaan (SPRM) sendiri, Mohd Masri Daud" menjadi orang yang memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik pertuduhan itu.

Sementara itu, Masri ketika dihubungi enggan memberikan sebarang ulasan mengenai dakwaan beliau tidak membincangkan dengan SPRM keputusan menarik balik pertuduhan terhadap Guan Eng.

"Saya tidak mempunyai sebarang komen (pada masa ini). Saya akan meminta pandangan pihak atasan saya terlebih dahulu, kerana saya tidak boleh mengatakan apa-apa mengenai perkara ini.

"Sama ada terdapat perbincangan atau tidak, saya tidak tahu," katanya.

Ulasan saya, sudah sampai masanya SPRM diberi kuasa penuh mendakwa pesalah rasuah dan bukan lagi kuasa mendakwa diberi kepada Peguam Negara.  Apa yang berlaku sekarang pegawai SPRM menyiasat satu kes rasuah siang dan malam tiba tiba bila ia dibawa kepada Peguam Negara ia ditolak.

Yang lebih mengejutkan yang menolak kes Lim Guan Eng adalah Peguam Negara yang pernah menjadi peguam Lim Guan Eng dalam kes rasuah tersebut. Seperti kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, sudah tentu tindakan Tommy Thomas boleh dianggap sebagai konflik kepentingan.

SPRM sepatutnya kecewa dengan keputusan Peguam Negara dan bukannya terkejut kerana SPRM sedar bahawa  di bawah perlembagaan  Akta 145 kuasa Peguam Negara bebas membuat apa apa keputusan sama ada mahu mendakwa atau menarik balik dakwaan.

Ramai yang marahi SPRM kononnya SPRM menarik balik kes tersebut sedangkan Masri adalah pegawai Jabatan Peguam Negara dan bukannya pegawai SPRM.  Apa yang dimohon oleh Masri ialah DNAA terhadap Lim Guan Eng  (dilepaskan tanpa dibebaskan). Sebaliknya mahkamah melepaskan Lim Guan Eng. Apabila DNAA diluluskan oleh mahkamah, ini bermakna SPRM boleh menangkap semula Lim Guan Eng jika ada bukti yang cukup. Tetapi mahkamah tak mahu kes itu dibicarakan secara berperingkat maka Lim Guan Eng dilepaskan dan dibebaskan.

Oleh itu supaya rakyat Malaysia menghormati SPRM sebagai badan bebas, maka kerajaan perlu beri kuasa mendakwa kepada SPRM sendiri dan bukannya melalui Jabatan Peguam Negara lagi.

Kesnya hampir sama dengan kes bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo yang dijatuhkan hukuman penjara satu tahun. Jika Dr Khir kena penjara kenapa kes Lim Guan Eng begitu istimewa?

Apabila Peguam Negara mencadangkan  Lim Guan Eng dilepaskan tanpa dibebaskan maka rakyat sudah tidak percaya kepada ketelusan kerajaan Pakatan Harapan. Sepatutnya kes itu diteruskan dan biar mahkamah yang menentukannya. Soal kes itu lemah seperti kata Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan / Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria tidak timbul kerana biar hakim yang buat keputusan.

Hanafiah berkata beliau buat keputusan tanpa pengaruh luar tetapi apa yang berlaku seolah olah beliau sendiri sudah bertindak sebagai hakim tanpa memberi peluang perbicaraan diteruskan.






Isnin, September 03, 2018

931 ORANG BACA BERITA "JOHARI JANGAN PIJAK ORANG YANG SUDAH JATUH"

Seramai 931 orang baca berita "Johari jangan pijak orang yang sudah jatuh" yang disiarkan dalam blog ini pada 8 Ogos lalu. Terima kasih kepada semua pembaca.

10 rating tertinggi bagi Ogos 2018 untuk blog ini ialah:-

1. Johari jangan pijak orang yang sudah jatuh (8 Ogos)- 931 hits
2. Najib kena contohi Pak Lah (10 Ogos)
3. PRK Rantau tak dapat dielak? (29 Ogos)
4. Perkasa akhirnya jadi parti politik (18 Ogos)
5. Londeh melondeh dalam pemilihan PKR (13 Ogos)
6. Abdullah Sani diberi surat amaran? (21 Ogos)
7. Mahkamah tolak reman Musa Aman (23 Ogos)
8. Razali Idris antara 12 Senator baharu (28 Ogos)
9. 500 penerbangan akan terjejas di KLIA dari 27 hingga 31 Ogos (23 Ogos)
10. Bukan Islam jadi PM, berita yang ditunggu DAP (29 Ogos)

Sabtu, September 01, 2018

ASTRO AWANI JEMPUT HALIMEY BUKAN UNTUK BERDEBAT TAPI BUAL BICARA

SHAH ALAM, 1 Sept (Bernama) -- Stesen televisyen swasta, Astro Awani menjelaskan bahawa program yang dirancang untuk menemukan dua calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia bukanlah berkonsepkan debat tetapi bual bicara.

Pengarang kanannya, Ashwad Ismail berkata timbul salah faham apabila tular di media sosial menyatakan calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar menarik diri apabila diajak bersemuka dengan pihak lawannya dalam program itu.

Katanya, disebabkan Halimey memaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir, maka program itu pada Rabu lepas diteruskan dengan calon PAS, Dr Halimah Ali sebagai tetamu tunggal.

Bagaimanapun, calon PH itu pula, menurut Ashwad, telah dijemput ke program yang sama pada Isnin ini, namun masih menantikan pengesahan kehadiran.

"Tiada isu dalam hal ini. Program bual bicara (Agenda Awani) adalah medan meraikan ilmu dan kepelbagaian idea.

?"Dalam konteks ini, idea-idea calon itu yang penting untuk warga Seri Setia dan bukannya pertentangan politik semata-mata," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

TOMMY THOMAS TAK BERANI BERHADAPAN DENGAN SHAFEE ABDULLAH?

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) – Peguam terkemuka Datuk Sulaiman Abdullah dilantik mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula 12 Feb 2019, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Thomas juga mengumumkan pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, yang juga seorang peguam terkenal sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk mengendalikan keseluruhan proses pendakwaan berhubung urusan 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB).

"Dengan pelantikan dua individu terkemuka dalam Majlis Peguam ini, komitmen kami untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kleptokrasi terbesar dalam sejarah dunia dengan amat serius dan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat Malaysia, sesungguhnya memang tidak boleh diragukan lagi,” katanya.

Thomas berkata Sulaiman merupakan salah seorang peguam terkemuka negara yang berpengalaman luas dalam undang-undang jenayah, termasuklah jenayah kolar putih.

”Kemahirannya tiada tolok bandingnya, dan kebijaksanaannya tiada saingannya. Datuk Sulaiman berintegrti tinggi, dan sesungguhnya merupakan seorang peguam yang berperinsip. Datuk Sulaiman telah bermurah hati bersetuju melepaskan kesemua yuran guaman dan berbesar hati untuk memberikan khidmat bakti beliau atas dasar ‘pro bono’

Khamis, Ogos 30, 2018

BALAKONG DARI PERKATAAN BALAK DAN KONG



BALAKONG, 30 Ogos (Bernama) -- Siapa sangka, Balakong yang penuh dengan kawasan perindustrian, pusat membeli belah dan kondominium ini, satu ketika dahulu merupakan kawasan pertanian, pembalakan dan sawah padi?

Sejak negara mencapai kemerdekaan, kawasan ini boleh dikatakan berubah hampir sepenuhnya, dengan menawarkan pelbagai jenis pekerjaan dan industri baharu yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Penduduk di Kampung Sungai Balak, yang merupakan antara empat kampung terawal orang Melayu di Balakong antara saksi awal perubahan demi perubahan di Balakong, menandakan kaum itu juga dalah antara penduduk awal di kawasan berkenaan.

Malah, bekas ketua kampung berkenaan, Makzin Manap, 82, ketika ditemui Bernama menarik perhatian bahawa nama Balakong itu sendiri datangnya daripada perkataan balak, dan kong, merujuk kepada kongsi Cina atau penempatan kaum Cina satu ketika dahulu.

“Dulu di sini, hutan, dan orang-orang di kongsi Cina ini tebang balak, dan hanyutkan balak melalui Sungai Balak, sebelum di hantar ke tempat proses di Kajang,” katanya.

Selain hutan yang memberi sumber kayu balak, Makzin yang merupakan generasi ketiga daripada keluarganya membesar di Kampung Sungai Balak berkata kawasan berkenaan juga dahulunya dipenuhi sawah padi.

“Dari Sungai Sekamat sehingga ke Batu 14 di Kajang, semuanya sawah padi, sekarang tak ada dah sebab laluan air dah tak ada, semua dah jadi daratan dah buat kampung.

“Masa saya mula sekolah dahulu, tahun 1947 masa tu sawah padi memang banyak lagi, lepas itu saya berhenti sekolah tahun 1953, darjah enam masa itu pun masih ada lagi sawah padi,” kata bapa kepada 10 orang anak berkenaan.

Selain Kampung Sungai Balak, kampung lain dengan penduduk Melayu sepenuhnya di Balakong ialah Kampung Simpang Balak, Kampung Sungai Jernih dan Kampung Sri Jambu.

Kaum Melayu merangkumi kira-kira 30 peratus pengundi dari keseluruhan 62, 219 pengundi di Balakong yang akan menyaksikan Pilihan Raya Kecil 8 September ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.

Kaum Cina merupakan majoriti dengan jumlah keseluruhan merangkumi kira-kira 60 peratus.

Seorang lagi bekas ketua Kampung Sungai Balak, Ahzan Saad, 58 menarik perhatian bahawa keempat-empat kampung berkenaan berusia hampir 100 tahun.

Masing-masing menurutnya sudah di penghujung tempoh pajakan tanah selama 99 tahun dan dalam pelbagai proses untuk memohon memanjangkan tempoh pajakan daripada kerajaan.

“Setakat ini yang telah memohon untuk memanjangkan tempoh pajakan ialah Kampung Sri Jambu, mereka dah pohon sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi, kampung yang lain termasuk kampung saya ini akan tamat tempoh pajakan 99 tahun dalam penghujung tahun ini.

“Kalau boleh kita nak mohon dan kami sangat berharap ia akan diluluskan,” katanya.

Penempatan di Balakong yang bermula seawal 100 tahun lepas, diurus pentadbiran British pada ketika itu dengan prinsip ‘pecah dan perintah’ yang menyaksikan setiap kaum ditempatkan di penempatan berasingan.

Mengambil suasana kempen PRK Balakong yang sedang berjalan, seorang penduduk di Taman Taming Jaya, sebuah perumahan teres di Balakong, Ramli Suban, 62 ketika diminta reaksinya berkata bahawa beliau cuma mahu seorang wakil rakyat yang mengambil berat isu-isu sensitiviti agama dan kaum.

“Perkara-perkara ini akan menjamin keharmonian berterusan di kawasan ini,” kata beliau yang tidak lagi bersara.

PRK berkenaan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki, 32 dan calon MCA Tan Chee Teong, 40.

-- BERNAMA

Rabu, Ogos 29, 2018

BUKAN ISLAM BOLEH JADI PM, BERITA YANG PALING DITUNGGU DAP



PETALING JAYA: Seorang pakar undang-undang berkata kritikan berhubung pelantikan orang bukan-Islam ke jawatan kanan kerajaan tidak mempunyai asas, dan menambah rakyat Malaysia harus bersedia menerima kesaksamaan, termasuk menerima orang bukan-Melayu sebagai perdana menteri.

“Memang ada kemungkinan pada suatu masa kelak orang Sarawak, Sabah atau bukan-Melayu dilantik menjadi perdana menteri” kata profesor undang-undang dari Universiti Malaya, Shad Saleem Faruqi pada satu forum mengenai ras dan agama malam tadi.

“Beliau hanya perlukan sokongan majoriti di Dewan Rakyat,” katanya, dan menambah perlembagaan persekutuan tidak mengkhususkan jawatan tersebut kepada mana-mana ras, agama atau gender.

Beliau berkata, jawatan ketua menteri atau menteri besar juga terbuka kepada orang bukan-Melayu dan amalan semasa di beberapa negeri memastikan jawatan itu dipegang oleh orang Melayu dibuat kerana realiti demografinya.

“Tetapi perlu diingat bahawa konvensyen bukan undang-undang,” katanya.

Shad berkata, dalam perlembagaan persekutuan telah tersedia jaminan berhubung perlindungan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera daripada “diketepikan” seperti dakwaan sesetengah pihak.

Katanya kritikan berhubung pelantikan peguam negara, menteri kewangan dan ketua hakim negara adalah tidak wajar.

“Ras dan agama tidak ada tempat sama sekali dalam isu sebegini,” katanya, merujuk kepada pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Tommy Thomas sebagai peguam negara dan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara.

Thomas merupakan orang bukan-Melayu pertama dilantik sebagai peguam negara dalam tempoh 50 tahun, sementara Richard Malanjum adalah orang bukan-Islam dan anak Malaysia Timur pertama dilantik ke jawatan kehakiman tertinggi negara.

Shad berkata sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia seharusnya menjadi masa sesuai untuk mempromosi kesaksamaan dan menolak diskriminasi.

PRK RANTAU TIDAK DAPAT DIELAK?



RASAH 29 Ogos - Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini menolak bantahan awal Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Dr. S. Streram.


Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas menolak lapan bantahan dikemukakan pihak responden iaitu Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau.


“Setelah meneliti dan menimbang segala afidavit dan hujahan bertulis responden pertama (Mohamad), mahkamah mendapati ketidakpatuhan yang ditimbulkan oleh responden tidak mempunyai merit dan alasan tersebut tidak mewajarkan responden membatalkan petisyen ini,” kata Azimah dalam penghakimannya.

Turut berada di mahkamah untuk mendengar keputusan itu ialah Mohamad dan Streram.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu diwakili lima peguam diketuai Datuk Hafizam Harun manakala Streram diwakili empat peguam dengan diketuai Hanif Kathri.

Dalam prosiding pada 9 Ogos lalu, responden kedua dan ketiga iaitu Pegawai Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik balik bantahan awal yang difailkan bersama Mohamad.

Sehubungan itu, ketiga-tiga responden perlu hadir perbicaraan bagi petisyen yang dikemukakan Streram pada 12, 13, 14, 27 dan 28 September serta 1 dan 2 Oktober depan.

Pada 28 April lalu, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Rantau oleh Amino Agus selepas Streram gagal menghantar borang penamaan calon kerana tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan di Rembau ekoran kegagalan mempamerkan pas calon SPR


Selasa, Ogos 28, 2018

RAZALI IDRIS ANTARA 12 SENATOR BAHARU

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Tetap Kongres Nasional PKR Ismail Yusop antara 12 individu yang mengangkat sumpah sebagai Senator hari ini di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Pelantikan Ismail dan tiga lagi iaitu Anggota Jawatankuasa (AJK) DAP Perak Nga Hock Cheh, Setiausaha DAP Pulau Pinang Lum Hui Ying dan bekas Anggota Parlimen Balik Pulau, Pulau Pinang Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dicadangkan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Lapan lagi diusulkan oleh kerajaan pusat iaitu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu Datuk Razali Idris, Ketua Bersatu Bahagian Gelang Patah Md Nasir Hashim dan AJK Parti Amanah Negara (Amanah) Pusat Raj Munni Sabu.

Turut dilantik kerajaan pusat ialah Penasihat Undang-undang Parti Warisan Sabah Datuk Theodore Douglas Lind, Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling Sie Kiong, Pengarah Pendidikan DAP Sabah Adrian Banie Lasimbang serta Ketua Cabang PKR Bera Monalan Mohamad dan bekas Anggota Parlimen Lumut Mohamad Imran Abd Hamid.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa yang sebelum ini dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Senator hari ini ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian

Isnin, Ogos 27, 2018

CALON PAS TERIMA SOKONGAN PARTI KAUM INDIA

SHAH ALAM, 26 Ogos (Bernama) -- PAS menerima kerjasama parti berasaskan kaum India seperti MIC dan Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) yang berikrar memastikan calon diketengahkan parti Islam itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali menerima sokongan masyarakat India.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kedua-dua parti itu mula turun padang bersama-sama Dr Halimah ketika berkempen selain memujuk anggota dan penyokong MIC dan IPF yang merupakan pengundi di DUN Seri Setia untuk mengundi calon PAS itu.

"Selain UMNO, kita mula menerima sokongan daripada MIC dan IPF dan beberapa badan bukan kerajaan yang berikrar untuk membantu calon PAS (di Seri Setia).

"Cuma di pihak MCA, kami tak nampak kesan terus lagi (dari segi sokongan kepada calon PAS) sebab mungkin mereka sibuk bertumpu kempen PRK DUN Balakong yang diadakan serentak dengan PRK Seri Setia iaitu 8 Sept ini," katanya dalam sidang media di pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor di sini, hari ini. Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dan Dr Halimah.

Dr Halimah berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar pada PRK berkenaan yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN itu, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas akibat kanser usus.

Sabtu, Ogos 25, 2018

PERTIMBANG SEMULA PERATURAN PEMILIHAN PKR

BUKIT MERTAJAM, 24 Ogos (Bernama) -- Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menimbang semula peraturan yang diperkenalkan pada pemilihan parti kali ini agar lebih realistik demi kepentingan semua calon yang bertanding.

Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh berkata adalah sukar jika peraturan baharu yang diperkenalkan oleh JPP tidak pratikal kerana pemilihan PKR sangat mencabar berikutan ia melibatkan 800,000 anggota di seluruh negara.

"Ya, saya tahu ada beberapa calon yang bertanding dalam pemilihan PKR kali ini menyuarakan pandangan dan ada yang tidak setuju dengan beberapa peraturan baharu oleh JPP yang dilihat tidak realistik dan pratikal.

"Saya sendiri juga melihat perkara itu (peraturan baharu) tidak sesuai dan sepatutnya JPP mengambil kira beberapa perkara sebelum buat peraturan tersebut kerana pemilihan PKR adalah satu-satunya parti yang menjalankan undi terus dari semua anggota parti yang mendaftar," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Kesyukuran dan Korban Perdana anjuran pertubuhan bukan kerajaan Yayasan MyPrihatin di Guar Perahu di sini hari ini yang turut menyaksikan yayasan tersebut menyerahkan dua ekor lembu untuk dikorbankan dan dan dimasak dalam kenduri untuk penduduk Permatang Pauh tersebut

Khamis, Ogos 23, 2018

MAHKAMAH TOLAK REMAN MUSA AMAN

KOTA KINABALU, 23 Ogos (Bernama) -- Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang sedang menjalani rawatan kesihatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur telah ditangkap pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din ketika mengesahkan penangkapan itu berkata Musa ditangkap kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Betul, dia Musa) ditangkap jam 10 pagi. (Bagaimanapun, permohonan) Reman ditolak oleh Majistret,” katanya kepada Bernama.

Musa yang sebelum ini dilaporkan mendapat rawatan di London, pulang ke tanah air selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, jam 6.45 petang, pada 21 Ogos, dari Seletar, Singapura.

Musa, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, dilaporkan meninggalkan negara ini ke London pada 16 Mei untuk menjalani rawatan perubatan di London.

500 PENERBANGAN AKAN TERJEJAS DI KLIA DARI 27 HINGGA 31 OGOS INI

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 500 penerbangan akan terjejas berikutan penutupan ruang udara sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selama lima hari bermula 27 Ogos untuk pertunjukan udara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pengangkutan berkata penerbangan yang terjejas termasuk yang akan tiba dan berlepas dari KLIA dan klia2 dalam tempoh tertentu bermula dari 27 hingga 31 Ogos antara jam 9 pagi hingga 10.30 pagi, bagi tujuan raptai, latihan dan “flypast” sebenar.

Berikutan kedudukan Putrajaya yang begitu hampir dengan KLIA dan klia2, Kementerian Pengangkutan berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah diarahkan untuk menutup ruang udara di sekitar KLIA dan klia2 serta kawasan berhampiran dengannya.

“Penutupan sementara ruang udara KLIA dan klia2 adalah penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan flypast Hari Kebangsaan 2018, dan paling utama adalah untuk memastikan keselamatan ruang udara dan peramalan pergerakan pesawat berjadual di KLIA dan klia2.

“Oleh yang demikian, Kementerian Pengangkutan dan CAAM ingin mengingatkan syarikat penerbangan supaya mengemaskini maklumat penerbangan yang terjejas dan memaklumkan kepada penumpang terlebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos akan menampilkan pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan beberapa agensi penguatkuasaan yang lain.

Rabu, Ogos 22, 2018

SABAH TETAP TUNTUT 20 PERATUS ROYALTI MINYAK

KOTA KINABALU, 21 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sabah tetap dengan pendirian untuk menuntut royalti minyak sebanyak 20 peratus berdasarkan untung kasar dan bukannya untung bersih, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya kerajaan negeri telah berjumpa dengan syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) selain pihaknya akan turut bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membincangkan perkara itu demi manfaat rakyat Sabah.

"Saya percaya ini (tuntutan royalti minyak 20 peratus) akan dapat direalisasikan. Saya telah menyatakan pendirian teguh kerajaan Sabah kepada Petronas bahawa Kabinet negeri telah membuat keputusan 20 peratus royalti minyak itu adalah berdasarkan untung kasar.

"Saya yakin jika perkara ini dibincangkan secara baik ia akan menjadi kenyataan sekali gus membolehkan kerajaan negeri mempunyai sumber kewangan bagi mengurus tadbir Sabah memandangkan Sabah adalah sebuah negeri besar dan memerlukan lebih banyak kewangan untuk pembangunan.

"Ini termasuk menyediakan lebih banyak sektor dan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah sekali gus mengurangkan penghijrahan mereka ke Semenanjung bagi mendapatkan pekerjaan," katanya dalam sidang media bersempena 100 hari Parti Warisan Sabah (Warisan) menerajui kerajaan negeri di sini, hari ini.

Selasa, Ogos 21, 2018

ABDULLAH SANI DIBERI SURAT AMARAN?

PETALING JAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Dua calon yang bertanding bagi pemilihan PKR tahun ini diberi surat amaran kerana melanggar etika pemilihan apabila mengeluarkan kata-kata kesat dan berbentuk tuduhan terhadap calon lain yang bertanding.

Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin PKR, Dr Syed Hussin Ali berkata tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap kedua-duanya jika mereka mengulangi kesalahan itu selepas ini.

“Kita beri surat amaran kerana mereka melakukan kesalahan itu sebelum tempoh rasmi berkempen yang bermula hari ini, namun jika mereka ulangi lagi dalam tempoh rasmi berkempen ini kita akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas sesi cabutan nombor calon yang bertanding dalam pemilihan PKR 2018 di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Syed Husin bagaimanapun enggan mendedahkan nama kedua-dua calon berkenaan dan memberi amaran sama kepada semua calon lain yang bertanding agar tidak melakukan kesalahan itu.

Beliau berkata pihaknya menerima 25 bantahan terhadap calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini dengan 24 daripada bantahan untuk calon-calon yang bertanding di peringkat negeri iaitu Terengganu dan Kelantan, manakala satu bantahan untuk calon yang bertanding di peringkat pusat.

Ahad, Ogos 19, 2018

CEP ADAKAN 261 MESYUARAT DALAM MASA 100 HARI



KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) - Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) akan sampai ke hari ke-100 penubuhannya pada hari Isnin dan persoalan timbul sama ada majlis itu perlu dibubarkan atau tidak.

Ditubuhkan pada 12 Mei oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, majlis itu bertindak sebagai penasihat mengenai perkara ekonomi, kewangan dan lain-lain semasa tempoh peralihan kuasa dan 'jangka hayatnya dilaporkan secara meluas hanya untuk 100 hari'.

Bagaimanapun, perdana menteri minggu lalu berkata kerajaan masih akan mengekalkan CEP dan tidak akan dibubarkan lagi kerana perkhidmatannya, terutama sekali mengenai kepercayaan panjangnya yang dibicarakannya, masih diperlukan, mencetuskan pelbagai tindak balas daripada orang ramai, pemerintahan berkuasa dan pembangkang.

Tanpa dibebaskan oleh isu-isu di sekitar operasi operasi, sidang akhbar dijadualkan esok oleh majlis itu, yang jelas dipimpin oleh Menteri Kewangan dua kali, Tun Daim Zainuddin, yang percaya dalam penentuan dan segala-galanya mesti dilakukan tepat pada waktunya.

Daim yang berumur 80 tahun mempengerusikan 261 sesi, antaranya, bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Ir Azman Mohd, Pengerusi Telekom Malaysia Bhd Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dan  Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Seri Sabin Samitah.

Yang lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Wan Ahmad Wan Yusoff dan Pengarah Bahagian BRIM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Badri Basiran,

Beliau dijangka membentangkan laporan keseluruhan mengenai tugas besar yang dilakukan sepanjang 100 hari, serta penemuan dan cadangannya kepada kerajaan yang dibantu oleh bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Marican, hartawan perniagaan Robert Kuok dan ahli ekonomi yang bernas Dr Jomo Kwame Sundaram.

CEP mengadakan  mesyuarat terakhirnya pada hari Jumaat lalu.

Daim sebelum ini memberitahu Bernama bahawa keseluruhan idea CEP "adalah untuk memastikan keadilan bagi semua orang".

"Kami akan melindungi perlembagaan," katanya.

Majlis itu mengadakan mesyuarat pertama mereka sebaik sahaja pengumuman pembentukannya dan menurut Daim: "Saya mahu ini selesai dalam tempoh 100 hari. Selepas itu saya mahu tidur ".

Pasukan itu telah mengadakan pelbagai mesyuarat dan taklimat harian, mengkaji pelbagai isu terutamanya mengenai hutang negara, ringgit, subsidi bahan bakar, bayaran tol dan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) - menetapkan perubahan arah asas, termasuk melaksanakan reformasi institusi.

"Ini adalah perkara utama. Kami membuat cadangan kepada kerajaan. Pada akhirnya, mereka (kerajaan) akan membuat keputusan, "katanya.

Daim berkata walaupun berumur mereka, anggota majlis komited dan melakukan ini sebagai perkhidmatan kebangsaan secara sukarela dan disokong oleh sekretariat muda, sangat rajin dan efisien ", diketuai oleh ahli ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid dan pasukannya.

CEP juga memainkan peranan penting dalam mengembalikan keyakinan para pelabur terutamanya selepas minggu yang tegang yang mengikuti pemasangan kerajaan baru di Putrajaya, dan satu siri pembatalan projek utama.

Daim menjelaskan bahawa membatalkan projek-projek mega tidak bermakna bahawa negara sedang memindahkan tumpuan ekonomi, tetapi hanya didorong oleh fakta bahawa beberapa projek ini tidak masuk akal.

Oleh itu, kerajaan hanya bertanggungjawab secara fiskal dalam perbelanjaan untuk menguruskan kedudukan hutang fiskal, jelasnya.

"Tidak ada sebab untuk meletakkan ekonomi dalam keadaan yang lebih teruk (daripada sebelumnya)," kata konglomerat kecil yang diketahui menyimpan kawalan yang ketat terhadap kewangan semasa hari korporatnya.

CEP juga mempunyai dua jawatankuasa di bawah bidangnya, iaitu Jawatankuasa Pembaharuan Institusi dan jawatankuasa yang melihat skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC), yang ditubuhkan untuk membuat cadangan kepada kerajaan mengenai beberapa institusi kebangsaan utama, telah mengemukakan laporan akhirnya kepada CEP dan Jabatan Perdana Menteri pada bulan Julai.

Majlis itu sedang dibakar baru-baru ini apabila Daim dilaporkan telah melawat China dalam usaha untuk merundingkan semula pinjaman dan kontrak yang Putrajaya sebelum ini memeterai dengan syarikat China, yang mendorong beberapa pihak dari kerajaan dan pembangkang untuk mempersoalkan peranan CEP, yang memperingatkan bahawa majlis itu mungkin melepaskan peranan penasihatnya.

Antara mereka adalah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang meminta kerajaan membubarkan CEP dengan segera kerana ia dilihat bertindak bukan hanya sebagai penasihat, tetapi sebagai intervensi dalam perkara kerajaan.

Bagaimanapun, menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk VK Liew berkata peranan CEP hanya dalam kapasiti penasihat dan ia tidak mempunyai kuasa eksekutif.

Kerajaan tidak terikat dengan pandangan atau keputusan yang dibuat oleh CEP, katanya kepada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

PH GUNA LOGO BARU DI PRK SERI SETIA DAN BALAKONG

PETALING JAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada 8 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan PAS.

Ia melibatkan calon PH bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Halimey Abu Bakar, 46, dan calon PAS, yang juga bekas anggota Exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali, 58.

Pegawai Pengurus PRK DUN Seri Setia, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain membuat pengumuman itu pada pukul 10.37 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata pihaknya menerima borang pencalonan daripada calon PH pada pukul 9.10 pagi, manakala daripada calon PAS, pukul 9.15 pagi.

Proses penamaan calon yang berlangsung selama sejam ditutup pada 10 pagi.


Sementara itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada 8 Sept ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PH) dan MCA.

PH yang buat pertama kali menggunakan logonya menampilkan pemimpin muda wanita daripada parti gabungannya DAP Wong Siew Ki manakala MCA mempertaruhkan ahli perniagaan Tan Chee Teong.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam satu kemalangan jalanraya 20 Julai lepas.

Keputusan pencalonan diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Balakong Datuk Rosli Othman kira-kira 10.30 pagi di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, di sini.

Proses pencalonan yang berlangsung selama satu jam ditutup pada pukul 10 pagi.

Terdahulu, hampir 500 penyokong dari kedua-dua pihak telah berkumpul seawal 7.30 pagi di sekitar Pejabat Daerah Hulu Langat sebagai tanda sokongan terhadap calon masing-masing.

Rombongan PH yang diketuai Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Setiausaha Kebangsaan parti dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, mula bergerak ke pusat penamaan calon dari pusat operasinya yang terletak kira-kira 18 km dari sini.

Wong, 32, telah menyerahkan borang penamaan beliau pada pukul 9.13 pagi.

Pencalonan beliau dicadang oleh Pengerusi DAP Kajang Baru Sia Wei Shien dan disokong anggota DAP Lim Chin Yuan

Sabtu, Ogos 18, 2018

PERKASA AKHIRNYA JADI PARTI POLITIK

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Parti politik baharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) akan membawa agenda menjaga kepentingan umat Islam dan kaum Melayu di samping mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Penubuhan parti yang menggunakan lambang ‘tanjak’ itu diumumkan presiden penajanya, Datuk Dr Ibrahim Ali pada sidang media di sini hari ini.

“Parti ini ditubuhkan setelah saya menerima banyak permintaan daripada pelbagai pihak yang kurang senang dengan situasi politik sekarang.

"Kami berharap ia akan menjadi alternatif buat orang Islam di negara ini,” katanya.

Ibrahim berkata pihaknya kini menunggu maklum balas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan susulan permohonan pendaftaran yang dikemukakan pada 13 Ogos lalu.

Selain Ibrahim yang merupakan bekas Anggota Parlimen Pasir Mas, PUTRA turut diterajui bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Khalid Yunus yang bertindak sebagai timbalan presiden.

Jumaat, Ogos 17, 2018

FILEM TAMIL TEMPATAN PERTAMA KUTIP LEBIH RM1.1 JUTA

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Filem Tamil tempatan ‘Vedigundu Pasangge’ mencatat sejarah sebagai filem bahasa Tamil pertama box office apabila mengutip lebih RM1.1 juta.

Penerbitnya Denes Kumar berkata kutipan tersebut diperoleh setelah dua minggu filem itu disiarkan di 55 pawagam di seluruh negara dan di lima pawagam di United Kingdom bermula 26 Julai lepas.

“Saya sangat gembira kerana filem ini berjaya mengutip RM1.1 juta dan mencatat box office di Malaysia. Saya rasa promosi, pengarahan dan mutu penggambaran filem yang menggunakan kamera berteknologi tinggi serta sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) banyak membantu filem ini mencapai kejayaan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Trilogi Pasanga selepas ‘Vilayaatu Pasangge’ (2011) dan ‘Vetti Pasangge’ (2014) itu memecahkan rekod empat tahun yang dipegang filem ‘Maindhan’, arahan C. Kumaresan yang membuat kutipan sebanyak RM903,000.

‘Vedigundu Pasangge’ turut memecahkan rekod apabila memasuki pasaran antarabangsa setelah dilancarkan di United Kingdom pada Julai dan sedang menunggu untuk disiarkan di Singapura pada hujung bulan ini.

Khamis, Ogos 16, 2018

SUARAM SIFATKAN KERAJAAN PH BERDOLAK DALIK DALAM ISU ROYALTI MINYAK DAN TOL



KUALA LUMPUR: Menjelang 100 hari kerajaan baru, beberapa pemimpin NGO menyifatkan prestasi Pakatan Harapan (HARAPAN) belum memuaskan terutama dalam soal menunaikan janji dalam manifesto PRU ke-14.

Penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Kua Kia Soong menyifatkan kerajaan berdolak-dalik dalam beberapa janji, antaranya isu royalti kepada negeri pengeluar minyak dan penghapusan tol lebuh raya.

"Pendapatan daripada royalti minyak dijanjikan kepada penduduk Pantai Timur. (Kerajaan) flip flop dalam royalti, (dan juga) tol lebuh raya," katanya ketika membentangkan laporan 100 hari janji HARAPAN di Dewan Perhimpuna Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) hari ini.

Isu berhubung royalti timbul apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan janji 20 peratus adalah daripada keuntungan dan bukannya pengeluaran hasil seperti tanggapan awal.

Kelantan tetap mahukan lima peratus royalti daripada pengeluaran hasil, manakala Terengganu pula akan meneliti secara terperinci berhubung perkara itu.

Azmin juga berkata kerajaan tidak dapat menyegerakan penyaluran 20 peratus royalti minyak kerana perlu meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Antara perkara lain yang dibangkitkan Kua adalah ketiadaan siasatan terhadap Yang di-Pertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarganya yang tidak mengisytiharkan aset.

Untuk rekod, Menteri Undang-undang Datuk Liew Vui Keong berkata Taib telah dibersihkan daripada salah laku pada 2013, manakala SPRM berkata telah membuka 15 kertas siasatan tetapi didapati tiada pertuduhan dan memerlukan maklumat baru.

Kua juga mendakwa kerajaan lebih berminat mencari kesalahan kerajaan lalu.

“Kita baca berita tentang wang GST yang hilang tapi apa tindakan susulan? Sudahkah polis atau peguam negara bertindak? Sepatutnya kita diberitahu apa jadi pada wang itu dalam masa seminggu,” katanya lagi.


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) 2.0 juga tidak berpuas hati dalam soal janji manifesto tetapi memahami kesukaran yang dihadapi kerajaan mewarisi pentadbiran daripada BN.

“Tak (puas hati) tapi secara umum okey, kita faham bukan senang nak betulkan masalah selama 60 tahun. Kalau sesetengah menteri kata dia datang rumah sudah buruk, tiba-tiba nak kemas memang susah.

“Tetapi kita tak boleh biarkan kerajaan bergerak dengan kadar yang bersahaja tanpa ada desakan dan komentar daripada takyat,” kata pemangku pengerusinya Shahrul Aman Mohd Shaari

Beliau bagaimanapun gembira apabila kerajaan hari ini membuka ruang untuk NGO menyuarakan kritikan berbanding pentadbiran lalu yang melabel mereka sebagai propembangkang.

Penolong Profesor Fakulti Sains Sosial University Nottingham, Gayathry Venkiteswaran pula berharap kerajaan baru berhenti menjadi 'pembersih' dan mula menjadi 'pembaharu' seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Mereka (kerajaan) mahu beri gambaran yang BN sangat teruk. Benar, BN bertanggungjawab terhadap banyak perkara.

"Tetapi kerajaan perlu mengubah sikap agar lebih terbuka untuk membuat pembaharuan," katanya lagi.