Memaparkan catatan dengan label putra. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label putra. Papar semua catatan

Jumaat, Mei 10, 2019

PUTRA AKAN TANDING DI SELANGOR DAN PERAK PRU 15

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bercadang memberikan fokus di negeri Selangor dan Perak dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata presiden penajanya Datuk Dr Ibrahim Ali.

Ibrahim, yang juga bekas Anggota Parlimen Pasir Mas berkata kedua-dua kawasan berkenaan dikategorikan sebagai ‘kawasan kritikal’ berikutan parti bukan Melayu dilihat lebih banyak mendominasi pemerintahan negeri.

“Kita berhasrat untuk memenangi PRU15, justeru bagi pemilihan anggota parti, kita akan tentukan beberapa kriteria penting yang perlu ada pada setiap anggota parti. Dari segi komitmen perjuangan Putra adalah kita ingin mendaulatkan Islam serta menjaga kedudukan kaum bumiputera.

Perjuangan kita berteraskan mendukung asas perlembagan negara serta meletakkan agama, bangsa dan negara sebagai asas tunjang,” katanya pada sidang media sempena mengumumkan kelulusan pendaftaran parti itu oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) di sini hari ini.

Pada 15 Mac lepas, Ibrahim memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar tindakan RoS yang tidak menjawab permohonan pendaftaran Putra.

Beliau mengemukakan permohonan kebenaran itu menurut Aturan 53 Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan dalam permohonan itu, Ibrahim memohon perintah mandamus supaya responden meluluskan permohonan pendaftaran parti tersebut yang telah dikemukakan pada Ogos 2018.

Surat kelulusan pendaftaran Putra yang diluluskan semalam, kemudiannya ditandatangani oleh Ketua Pengarah RoS Masyati Abang Ibrahim mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984.

Penubuhan parti yang menggunakan lambang ‘tanjak’ itu juga berikutan permintaan daripada pelbagai pihak yang kurang senang dengan situasi politik sekarang.

Putra akan mengadakan mesyuarat agung pertamanya tidak lama lagi bagi melantik ahli-ahli jawatankuasa serta penubuhan cawangan parti di setiap negeri seluruh Malaysia.

-- BERNAMA

Sabtu, Ogos 18, 2018

PERKASA AKHIRNYA JADI PARTI POLITIK

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Parti politik baharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) akan membawa agenda menjaga kepentingan umat Islam dan kaum Melayu di samping mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Penubuhan parti yang menggunakan lambang ‘tanjak’ itu diumumkan presiden penajanya, Datuk Dr Ibrahim Ali pada sidang media di sini hari ini.

“Parti ini ditubuhkan setelah saya menerima banyak permintaan daripada pelbagai pihak yang kurang senang dengan situasi politik sekarang.

"Kami berharap ia akan menjadi alternatif buat orang Islam di negara ini,” katanya.

Ibrahim berkata pihaknya kini menunggu maklum balas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan susulan permohonan pendaftaran yang dikemukakan pada 13 Ogos lalu.

Selain Ibrahim yang merupakan bekas Anggota Parlimen Pasir Mas, PUTRA turut diterajui bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Khalid Yunus yang bertindak sebagai timbalan presiden.