Khamis, Ogos 16, 2018

SUARAM SIFATKAN KERAJAAN PH BERDOLAK DALIK DALAM ISU ROYALTI MINYAK DAN TOL



KUALA LUMPUR: Menjelang 100 hari kerajaan baru, beberapa pemimpin NGO menyifatkan prestasi Pakatan Harapan (HARAPAN) belum memuaskan terutama dalam soal menunaikan janji dalam manifesto PRU ke-14.

Penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Kua Kia Soong menyifatkan kerajaan berdolak-dalik dalam beberapa janji, antaranya isu royalti kepada negeri pengeluar minyak dan penghapusan tol lebuh raya.

"Pendapatan daripada royalti minyak dijanjikan kepada penduduk Pantai Timur. (Kerajaan) flip flop dalam royalti, (dan juga) tol lebuh raya," katanya ketika membentangkan laporan 100 hari janji HARAPAN di Dewan Perhimpuna Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) hari ini.

Isu berhubung royalti timbul apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan janji 20 peratus adalah daripada keuntungan dan bukannya pengeluaran hasil seperti tanggapan awal.

Kelantan tetap mahukan lima peratus royalti daripada pengeluaran hasil, manakala Terengganu pula akan meneliti secara terperinci berhubung perkara itu.

Azmin juga berkata kerajaan tidak dapat menyegerakan penyaluran 20 peratus royalti minyak kerana perlu meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Antara perkara lain yang dibangkitkan Kua adalah ketiadaan siasatan terhadap Yang di-Pertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarganya yang tidak mengisytiharkan aset.

Untuk rekod, Menteri Undang-undang Datuk Liew Vui Keong berkata Taib telah dibersihkan daripada salah laku pada 2013, manakala SPRM berkata telah membuka 15 kertas siasatan tetapi didapati tiada pertuduhan dan memerlukan maklumat baru.

Kua juga mendakwa kerajaan lebih berminat mencari kesalahan kerajaan lalu.

“Kita baca berita tentang wang GST yang hilang tapi apa tindakan susulan? Sudahkah polis atau peguam negara bertindak? Sepatutnya kita diberitahu apa jadi pada wang itu dalam masa seminggu,” katanya lagi.


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) 2.0 juga tidak berpuas hati dalam soal janji manifesto tetapi memahami kesukaran yang dihadapi kerajaan mewarisi pentadbiran daripada BN.

“Tak (puas hati) tapi secara umum okey, kita faham bukan senang nak betulkan masalah selama 60 tahun. Kalau sesetengah menteri kata dia datang rumah sudah buruk, tiba-tiba nak kemas memang susah.

“Tetapi kita tak boleh biarkan kerajaan bergerak dengan kadar yang bersahaja tanpa ada desakan dan komentar daripada takyat,” kata pemangku pengerusinya Shahrul Aman Mohd Shaari

Beliau bagaimanapun gembira apabila kerajaan hari ini membuka ruang untuk NGO menyuarakan kritikan berbanding pentadbiran lalu yang melabel mereka sebagai propembangkang.

Penolong Profesor Fakulti Sains Sosial University Nottingham, Gayathry Venkiteswaran pula berharap kerajaan baru berhenti menjadi 'pembersih' dan mula menjadi 'pembaharu' seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Mereka (kerajaan) mahu beri gambaran yang BN sangat teruk. Benar, BN bertanggungjawab terhadap banyak perkara.

"Tetapi kerajaan perlu mengubah sikap agar lebih terbuka untuk membuat pembaharuan," katanya lagi.