Ahad, Julai 29, 2018

ORANG TAK BETUL PUN BERSATU LAYAN



KOTA BHARU: Seorang wakil rakyat Umno disebut-sebut bakal meninggalkan parti itu tidak hadir ke program khas pengumuman mengenainya di Machang, Kelantan, hari ini.

Dalam program yang dinamakan Hijrah 2.0 anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan itu, spekulasi mengenai kedudukan anggota dewan undangan negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha, akhirnya ditamatkan.

Namun tanpa Bakri, program Hijrah 2.0 itu tetap diteruskan seperti dijadualkan. Lebih 500 pimpinan Umno di peringkat akar umbi parti terbabit mengisytiharkan keluar dari parti tersebut.

Mengetuai mereka ialah bekas ADUN Bukit Tuku, Datuk Mohd Zain Ismail.

Timbalan Pengerusi BERSATU Kelantan Datuk Sazmi Miah berkata, beliau sememangnya mengadakan perbincangan dengan beberapa wakil rakyat Umno Kelantan yang berhasrat untuk keluar daripada parti itu.

Bagaimanapun katanya setakat ini belum ada antara ADUN terbabit yang memutuskan untuk bersama BERSATU.

"Ini kerja tuhan belaka, mungkin bukan hari ini. Tapi akan berlaku juga nanti, mereka (Umno) tak boleh nak tahan.

"Hari ini 500 bekas pemimpin akar umbi Umno berhijrah," katanya ketika berucap di program tersebut.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan spekulasi seorang ADUN Umno Kelantan akan menyertai BERSATU.

Bagaimanapun, Mohd Bakri yang dijangka ADUN yang terbabit semalam muncul membuat penafian.

Sementara itu, program Hijrah 2.0 turut dihiburkan dengan kemunculan Mat Tere yang tidak ketinggalan mengisytiharkan dirinya keluar dari Umno.

Mat Tere - atau nama sebenarnya, Muhammad Zul Apis Baharum - merupakan orang kurang upaya (OKU) yang pernah menggemparkan negara apabila dikatakan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui satu rakaman video, tahun lalu.

"Saya Mohd Zul Apis Baharum isytihar keluar Umno, dan akan berjuang bersama BERSATU, " katanya ketika diminta berucap sebentar.

Hadir sama Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor.

Sabtu, Julai 28, 2018

SEBELUM MANSUH SOSMA KAJI KESAN PEMANSUHAN ISA

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Apa yang berlaku selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 harus menjadi pengajaran kepada kerajaan hari ini dalam pertimbangannya untuk memansuhkan undang-undang pencegahan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), kata bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

"Kita sudah mansuh ISA dan Ordinan Darurat (EO) dan pemansuhan itu menyebabkan peningkatan ketara dalam kes jenayah berat khasnya yang melibatkan kumpulan kongsi gelap yang berebut kawasan masing-masing.

"Saya tidak setuju kalau ia dimansuhkan, kalau boleh kaji dan teliti dahulu...tanpa SOSMA, POCA dan POTA kita tidak mampu mengekang aktiviti pengganas yang terlatih seperti kumpulan Daesh, kumpulan penjenayah terancang yang bersenjata lengkap dan ganas," katanya dalam temu ramah eksklusif bersama Bernama, di sini.

Pada 22 Julai, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memansuhkan undang-undang yang banyak menindas rakyat khususnya SOSMA. Turut dikaitkan dengan langkah pemansuhan itu adalah POCA dan POTA.

Bagi pegawai polis veteran ini, undang-undang pencegahan yang tegas perlu senantiasa ada untuk melindungi negara serta rakyat sekali gus menyekat pergerakan kumpulan ekstremis, kumpulan militan dan kumpulan jenayah terancang dewasa ini.

Jumaat, Julai 27, 2018

SIAPA LEBIH BERSIH ANTARA AZMIN DENGAN RAFIZI?




KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli mengesahkan beliau akan bertanding untuk jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR Ogos ini.

Jika penyandangnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memilih untuk mempertahankan jawatan itu nanti, keputusan Rafizi itu akan menyaksikan persaingan di antara dua pemimpin PKR terbabit, yang sudah berbahang untuk beberapa tahun, akan mencapai kemuncaknya.

Setakat ini Azmin masih berahsia berhubung perancangannya, walaupun ada spekulasi mendakwa beliau mungkin akan mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan presiden.

"Saya akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden... Saya tidak berminat dengan apa-apa jawatan kerajaan tetapi saya masih berhutang dengan anggota PKR untuk tidak berundur (daripada parti) begitu saja," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau yang kini merupakan naib presiden berkata akan membuat pengumuman rasmi Ahad ini.


Ditanya tentang apakah yang menyebabkannya mahu merebut kerusi nombor dua itu, rafizi menyifatkannya sebagai pertandingan antara ahli politik (career politician) dengan reformis dalam PKR.

"Dalam PKR ada ramai seperti saya, yang tidak pernah berada dalam politik atau berminat dengan politik, tetapi 'terjaga' selepas apa yang berlaku pada 1998 (gerakan Reformasi).

"Persaingan idea antara apa yang digelar sebagai kumpulan reformis dengan mereka yang sudah menjadi ahli politik seumur hidup mereka akan sentiasa ada.

"Jadi saya fikir tidak pelik jika (perbezaan) idea ini ditunjukkan di peringkat timbalan presiden," katanya lagi.

Ulasan saya, perwakilan PKR kena undi calon Timbalan Presiden yang bersih. Antara Azmin Ali dengan Rafizi Ramli, saya kira Rafizi yang lebih bersih. Tun Dr Mahathir Mohamad mahu semua menteri jangan terlibat dengan rasuah. Sepatutnya beliau tidak lantik Azmin sebagai menteri kerana Azmin bukanlah menteri yang bersih.

Justru itu jika benar PKR parti anti rasuah, sewajarlah mereka mengundi Rafizi Ramli.

Khamis, Julai 26, 2018

PEGUAM NEGARA TARIK BALIK KES RASUAH LIM GUAN ENG?

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan kononnya badan itu akan menarik dua pertuduhan kes rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita hari ini.

SPRM, dalam kenyataan, memberitahu suruhanjaya itu tu tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan perkara seumpama itu bagi mana-mana kes pendakwaan sebaliknya ia tertakluk kepada kuasa Pejabat Peguam Negara.

Sebuah portal memetik laporan China Press yang melaporkan bahawa SPRM berkemungkinan akan menarik balik dua pertuduhan terhadap Lim apabila perbicaraan kes rasuah Lim dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, pada 30 Julai ini.

Lim didakwa dengan dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran di Pulau Pinang ketika menjadi ketua menteri negeri itu.

Lim mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut.

Selasa, Julai 24, 2018

ZAHID TEMUI KU LI RUNDING MASA DEPAN UMNO





KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengunjungi Tengku Razaleigh Hamzah, pesaing beliau dalam pemilihan parti itu bulan lalu, bagi membincangkan masa depan Umno.

"Alhamdulillah, saya baru saja menziarahi Tengku Razaleigh Hamzah. Bertanya khabar dan membincangkan hala tuju Umno demi ke arah yang lebih baik. Kami bersifat semangat setiakawan," ciap Zahid di Twitter.

Beliau berkongsi gambar pertemuannya dengan Anggota Parlimen Gua Musang itu di kediaman Razaleigh yang dikenali sebagai replika Rumah Putih.

Zahid menewaskan Razaleigh dalam pertarungan tiga penjuru merebut jawatan presiden Umno bulan lalu yang turut menampilkan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Razaleigh mendapat undi paling sedikit dalam pertandingan itu.

Perjumpaan dengan Razaleigh selepas Khairy menjarakkan dirinya daripada kepimpinan Umno di bawah Zahid.

Khairy enggan menerima sebarang jawatan dalam Umno supaya beliau dapat terus bersikap kritikal.

Menurut pemerhati politik, tindakan Zahid merendah diri mengunjungi Ku Li di pejabatnya menunjukkan Zahid berjiwa besar kerana selaku Presiden Umno beliau tidak perlu tunduk kepada Ku Li.

Tetapi Zahid menghormati Ku Li sebagai bekas Menteri Kewangan di zaman Tun Hussein Onn dan pemerhati politik berharap pertemuan mereka berdua dapat menguatkan lagi Umno.




Isnin, Julai 23, 2018

ZAHID NAFI ADA ADIK IPAR BERNAMA AMIN

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan pembabitannya dalam syarikat Bestinet Sdn Bhd yang dilaporkan melakukan penipuan pengambilan pekerja dari Nepal, serta bersedia disiasat.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata syarikat tersebut bukan miliknya atau anggota keluarganya dan beliau tidak memiliki sebarang saham dalam syarikat berkenaan.

"Sila kemukakan bukti jika saya terlibat atau ada salah menggunakan kuasa atau mana-mana anggota keluarga saya yang terlibat.... saya sedia berdepan (siasatan)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Parlimen di sini.

Presiden UMNO itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita yang mendakwa Bestinet dimiliki oleh adik iparnya iaitu Amin Abdul Nor yang terlibat dalam sindiket penipuan pekerja dari Nepal.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri berkata beliau tidak mempunyai anggota keluarga bernama Amin Abdul Nor seperti yang didakwa.

"Orang Bangladesh la Amin tu, saya tidak mempunyai adik ipar bernama Amin. Saya difahamkan syarikat itu telah memulakan perniagaan sebelum saya masuk (menyertai) Kementerian Dalam Negeri lagi," katanya.

RUNDING DENGAN PAS HANTAR SATU CALON PEMIKIRAN BAHARU UMNO



REMBAU 22 Julai (Bernama) -- Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS dan UMNO seperti 'adik beradik' dalam meletakkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, sebagai suatu tanggapan yang baik.

Beliau berkata, tidak salah untuk mereka mencapai kata sepakat demi kebaikan dan yang penting adalah kebersamaan demi masa depan negara, bangsa dan agama supaya tiada sesiapa rugi kerana ego sendiri.

"Itu namanya adik beradik, siapa patut beralah dia akan beralah. Tetapi beralah kerana mencari kebaikan bukan kerana sesuatu yang tidak baik. Kita perlu meneroka pemikiran politik baharu yang tidak menyebabkan berpecah belah kerana ini boleh menyebabkan rakyat kucar kacir dan negara kerugian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Maahad Tahfiz Al Ammar di Kompleks Al Ammar, Kampung Kanchong, Rantau di sini, hari ini oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata rundingan dengan PAS supaya menghantar seorang sahaja calon dari parti pembangkang adalah konsep pemikiran baharu yang cuba dilakukan UMNO.

Sabtu, Julai 21, 2018

AHLI PARLIMEN JENIS APA NI, TONY PUA

KUALA LUMPUR: Ahli parlimen jenis apa ni, tanya ahli parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman kepada ahli parlimen Damansara, Tony Pua.

Katanya, ahli parlimen DAP itu ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat Khamis lalu menuduh Umno menerima wang 1MDB.

"Saya bangun mencelah tanya apa buktinya Umno terima wang 1MDB. Beliau jawab rujuk kepada Malaysiakini," jelas bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani kepada MH Online di luar Dewan Rakyat.

Tajuddin menambah takkan laporan Malaysiakini boleh dijadikan bukti.

Beliau juga mencelah apabila Tony Pua mengatakan kos LRT3 meningkat RM16 billion sedangkan bekas ahli parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengatakan kos sebenar RM9 billion dan belum ditender.

"Saya bertanya siapa yang cakap bohong. Kalau Najib cakap bohong buatlah usul di parlimen bahawa ahli parlimen Pekan telah mengelirukan ahli Dewan Rakyat tetapi Tony Pua tak berani bawa usul," jelas beliau lagi.

Tajuddin berkata ahli parlimen DAP membuat tuduhan  tanpa bukti dan menggunakan Dewan Rakyat untuk bercakap kerana apa yang dicakap di Dewan Rakyat tak boleh disaman kecuali beliau ungkitkan perkara tersebut di luar Dewan Rakyat.

BANGSA MELAYU AKAN JADI DINOSAUR JIKA TAK BERANI BERUBAH MINDA

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Bangsa Melayu perlu berani melakukan perubahan minda secara radikal dalam mengharungi cabaran landskap negara yang kini telah berubah secara fizikal, sosial, ekonomi dan politik, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah baginda, orang Melayu yang gagal melakukan pengubahsuaian minda untuk menghadapi senario baru dalam negara, dibimbangi akan menghadapi nasib kepupusan seperti dinosaur.

"Dinosaur mempunyai tubuh yang besar tetapi minda yang kecil, minda yang tidak berupaya melakukan pengubahsuaian selaras dengan perubahan persekitaran, memilih kekal hidup dengan habitat lama.

"Lalu populasinya mengecil dan akhirnya pupus, yang tinggal hanyalah bahan-bahan fosil dan dipamerkan di muzium dan dijadikan bahan kajian," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Malam Semarak Perjuangan Sempena Anugerah Tokoh Srikandi 2018 anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini, malam tadi.

Khamis, Julai 19, 2018

ZAHIDI CADANGKAN KHALED NORDIN DILANTIK KETUAI BIRO PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainol Abidin mencadangkan supaya Naib Presiden Umno, Datuk Seri Khaled Nordin dilantik sebagai Pengerusi Biro Pindaan Perlembagaan Umno.

Katanya, sebagai bekas peguam Khaled layak mengetuai biro tersebut daripada mengetuai Umno Negeri Perlis.

"Beliau pernah memimpin Umno Johor yang ada 25 bahagian. Jadi beliau tidak layak mengetuai Umno Perlis yang ada tiga bahagian. Seolah-olah turun pangkat pula," kata Zahidi yang juga ahli parlimen Padang Besar ketika ditemui di parlimen petang tadi.

Katanya, Khaled layak mengetuai biro pindaan perlembagaan Umno supaya Umno mengadakan pemilihan Umno setiap lima tahun sekali selepas PRU dan bukannya tiga tahun sekali seperti sekarang.

"Pemilihan Umno hendaklah diadakan selepas PRU supaya parti tidak berpecah. Oleh itu perlembagaan Umno perlu dipinda. Maka Khaled sebagai peguam yang berpengalaman lebih layak menjaga biro ini daripada menjaga negeri Perlis yang kecil," katanya sambil berkata Umno Perlis akan menemui Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyatakan supaya Umno Perlis diketuai oleh anak tempatan dan bukannya orang luar.

ROZMAN RELA JADI PEMBANGKANG

oleh ABDULLAH KARIM

KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen Labuan tidak sama sekali meninggalkan parti UMNO biarpun tawaran lumayan menanti beliau sekiranya menyertai sebuah parti politik di Sabah.

Datuk Rozman Isli menegaskan adalah baik beliau setia bersama pembangkang iaitu UMNO daripada menyertai parti yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah iaitu Warisan.

Beliau berkata memang benar beliau bakal berdepan masalah untuk membangunkan kawasannya kerana tidak memperolehi peruntukkan daripada kerajaan persekutuan, namun beliau rela dan ingin sehidup semati bersama UMNO dan Presidennya iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Tidak mengapa saya tidak dapat bantuan kerajaan persekutuan asalkan saya tetap setia bersama ahli parti yang telah memilih saya sebagai ketua mereka," katanya ketika di temui di Parlimen.

Ruzman menegaskan apalah ertinya bantuan tersebut iaitu sebanyak RM500,000 peruntukkan kerajaan pusat kepada anggota parlimen kerajaan tetapi pada hakikatnya rakyat serta pemimpin UMNO akan mengutuk beliau kerana tidak setia kepada parti.

"Biarlah saya jadi pembangkang asalkan saya tidak dikutuk oleh masyarakat.

"Sebagai ketua di Labuan saya tahulah bagaimana nak membangunkan rakyat di Labuan ini," ujarnya.

Rabu, Julai 18, 2018

RSN RAYER YANG "MABUK TODI" PATUT DIHALAU JUGA DARI DEWAN

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh hari ini mencipta sejarah apabila menjadi wakil rakyat pertama dari kerajaan yang diarahkan keluar Dewan Rakyat dan digantung, kerana mengingkari arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Mohamad Ariff membuat keputusan itu mengikut Peraturan Mesyuarat 44(2) setelah persidangan dewan bersambung pada sebelah petang kerana Ramkarpal enggan menarik balik perkataan 'gangster' yang dilemparkan kepada pemuda UMNO semasa mencelah Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul yang membahaskan titah ucapan Yang di-Petuan Agong hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Ariff tidak menyatakan tempoh penggantungan Ramkarpal.

"Saya beri amaran pertama, (sila) tarik balik. Kita ingin meneruskan dengan ucapan (perbahasan) Sungai Petani. Anda hormat. Ini adalah perjalanan mesyuarat hari ini. Tarik balik...Bentara, sila jalankan tugas," kata Mohamad Ariff merujuk kepada perintah membawa keluar Ramkarpal.

Ketika ditemui media di ruang legar Parliamen, Ramkarpal tidak berganjak mengatakan bahawa beliau tidak melakukan kesalahan dan mendakwa speaker pada sessi pagi iaitu Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon telah membuat keputusan dengan hanya memberi amaran tanpa mengarahkannya keluar.

Sementara itu Bernama melaporkan bahawa gara-gara mengungkit kisah lama dan penggunaan perkataan 'samseng', persidangan hari pertama Dewan Rakyat hari ini menjadi kecoh apabila Anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang saling bertikam lidah dan 'menyerang' sesama sendiri kerana tidak puas hati.
Keadaan riuh tercetus dan berlarutan selama hampir dua jam bermula semasa Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang juga Anggota Parlimen pertama diberi ruang untuk membahaskan ucapan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Johari memulakan perbahasan dengan menyentuh soal negara bertuah kerana hidup dalam keamanan meskipun rakyatnya terdiri daripada pelbagai latar belakang, berbilang kaum dan agama serta sentiasa mengamalkan sikap saling hormat menghormati.

Suasana perbahasan Johari, yang beberapa kali terganggu dan pada awalnya terkawal bertukar hangat dengan penyokong kerajaan dan pembangkang bangun mencelah dan bertikam lidah menyatakan rasa tidak puas hati.

Kekecohan menjadi hangat selepas Anggota Parlimen (BN-Lenggong) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah bangun mencelah, berkata beliau setuju dengan apa yang diperkatakan Johari namun mengambil kesempatan menempelak beberapa wakil rakyat kerajaan.

"Kita sokong apabila rakan-rakan tadi menyebut Anggota Parlimen perlu menunjukkan kredibiliti dan kebijaksanaan, malangnya Anggota Parlimen Jelutong dan Bukit Gelugor sudah memulakan provokasi dan tidak melaksanakan seperti apa yang diperkatakan tadi, mereka sudah menyebut kisah lama yang sepatutnya ditinggalkan sedangkan kita nak bawa lembaran baharu," katanya.

Shamsul Anuar merujuk kepada tindakan terdahulu Anggota Parlimen R.S.N Rayer (PH-Jelutong) yang mencelah serta mengungkit insiden lampau berhubung kejadian yang menimpa bekas Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh yang diserang di pekarangan Parlimen.

Anggota Parlimen (PH-Bukit Gelugor) Ramkarpal Singh, yang tidak berpuas hati lantas bangun mencelah dan membangkitkan isu serupa dan melabelkan Pemuda UMNO sebagai samseng.

"A wheel chair bound being attacked by uncouth, uncivilised UMNO youth members. They are here today ("Seorang yang berkerusi roda diserang oleh anggota Pemuda UMNO secara tidak sopan, bertamadun. Mereka ada di sini hari ini"). Mana UMNO Youth chief (Mana ketua Pemuda UMNO)? Mana dia? Saya dengar pada masa itu seorang di atas wheel chair (kerusi roda) diserang bukan seorang tapi lima ke sepuluh UMNO youth gangsters (gangster pemuda), UMNO Youth Chief what did he do? (Ketua Pemuda UMNO apa yang dia buat?)"," kata Ramkarpal Singh.

Tindakan Ramkarpal Singh menyebut perkataan 'samseng' mengundang rasa tidak puas hati wakil rakyat pembangkang lalu Shamsul Anuar bangkit meminta Ramkarpal menarik semula perkataan 'samseng' yang disifatkan sebagai biadab serta tidak menghormati dewan.

Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) kemudian turut bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36 (4) kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Ismail, yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, meminta Mohd Rashid membuat satu perintah supaya Ramkarpal Singh menarik semula perkataan itu.

Peraturan 36(4) menjelaskan adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadab) atau membuat pernyataan yang seksis.

Seorang lagi bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) turut bangkit menekankan kepentingan mengikut Peraturan Mesyuarat.

Mohd Rashid kemudian membuat keputusan mengarahkan Ramkarpal Singh menarik balik perkataan samseng yang dikeluarkannya.

Bagaimanapun, Ramkarpal Singh berkeras mengakibatkan suasana dewan terus kecoh dengan wakil pembangkang melaung-laungkan 'rules of law' sambil menunjukkan buku biru Peraturan Mesyuarat untuk mendesak Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu mematuhi arahan untuk berbuat demikian.

Ulasan saya, Speaker Dewan Rakyat patut juga mengusir RSN Rayer (DAP-Jelutong) dari dewan kerana banyak kali bangun bertanya soalan yang sama ketika ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang membahaskan usul titah diraja pada sebelah petang.

Rayer kemudian berulang kali meminta kebenaran Zahid untuk mencelah tetapi tidak dilayan.

Melihat perkara itu, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) kemudian bangun dan berkata Rayer "minum todi" yang membangkitkan kemarahan anggota parlimen DAP itu.

Pada sebelah pagi RSN Rayer banyak juga mencelah yang menyebabkan persidangan Dewan Rakyat kecoh dengan telatah beliau yang bagaikan "mabuk todi".


BN PERLU BERI LALUAN KEPADA PAS DI SUNGAI KANDIS

SHAH ALAM: Wajarkah BN (Umno) beri laluan kepada PAS untuk menentang PKR pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini? Menjelang tiga hari lagi penamaan calon PRK Sungai Kandis pada 21 Julai ini, Umno belum buat keputusan untuk masuk atau tidak dalam PRK tersebut.

Namun demikian Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah membayangkan sama ada BN atau PAS yang akan menentang PKR. Katanya, BN perlu bekerjasama dengan PAS supaya berlaku pertandingan dua penjuru dengan PKR pada PRK tersebut.

Bagi saya, Umno tak perlu bertanding dan beri laluan kepada PAS berdasarkan lapan faktor. Pertama, jika BN tak masuk bertanding PRK ia bukan perkara baharu kepada BN kerana ia pernah tak masuk PRK Chempaka selepas kematian Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Kedua, Umno baharu bertukar pucuk pimpinan parti. Jika BN masuk dan kalah, maka imej Presiden baharu akan tercemar.

Ketiga, imej Pengerusi Perhubungan Umno Selangor yang baharu, Datuk Seri Ismail Shabery Yaacob pun turut tercemar kerana kekalahan itu menunjukkan ahli Umno Selangor menolak beliau.

Keempat, berdasarkan keputusan PRU 14, undi BN dan PAS tak dapat mengalahkan undi PKR. Arwah Mat Shuhaimi Shafie mendapat 23,998 undi manakala jumlah undi calon BN, Datuk Ir Kamaruzzaman Johari (11,518) dan undi calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) sebanyak 19,091 undi masih kurang 4,901 undi. Ini bermakna bila letak seorang sahaja calon sama ada BN atau PAS ia hanya dapat mengurangkan majoriti PKR dari 12,480 undi.

Kelima, DUN Sungai Kandis terletak di bawah parlimen Kota Raja yang dimenangi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. Maka dengan peruntukan menteri, agak sukar bagi BN untuk menang PRK Sungai Kandis.

Keenam, PRK Sungai Kandis bukan ukuran rakyat menolak manifesto Pakatan Harapan kerana 100 hari belum berakhir lagi walaupun ia dapat mengurangkan majoriti calon PKR.

Ketujuh, pembangkang kena bersatu sama ada BN atau PAS yang tanding kerana ahli PKR juga akan berbalah sama ada calon MB, Amiruddin Shaari (proksi Datuk Seri Azmin Ali)  atau calon proksi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding.

Kelapan, dengan majoriti yang besar yang diperolehi pada PRU lalu, maka BN agak sukar untuk menumbangkan calon PKR. Justru itu apa salahnya BN beri laluan kepada PAS untuk lawan PKR kerana PAS sudah 61 tahun membangkang sedangkan BN baru dua bulan membangkang.

Berdasarkan lapan faktor ini maka wajarlah BN tidak bertanding pada PRK Sungai Kandis.

Selasa, Julai 17, 2018

BEKAS KETUA KAMPUNG PUN NAK JADI CALON PRK SUNGAI KANDIS



SHAH ALAM: Seorang bekas ketua kampung, Ahmad Fahmi Hanapiah berharap akan diberi peluang mewakili PKR untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Ahmad Fahmi, 42, yang pernah menjadi ketua kampung Telok Menegon dan mendakwa aktif dalam PKR sejak 1998, berkata jika terpilih sebagai calon PRK itu, beliau akan memberi fokus kepada usaha untuk membaik pulih infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan terbabit.

“Saya akan fokus untuk baik pulih longkang-longkang dan jalan raya terutamanya di kampung-kampung memandangkan di situ ialah kawasan banjir dan sudah tidak lama diselenggara.

“Kedua, saya akan cuba membangunkan sosio ekonomi kerana saya lihat pendapatan RM3,000 ketika ini adalah tidak mencukupi. Saya akan cari jalan untuk tambah pendapatan setiap isi rumah keluarga misalnya, kita mungkin boleh melaksanakan program hidroponik dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai kelebihannya jika dipilih sebagai calon PRK itu, Ahmad Fahmi berkata beliau pernah dipilih sebagai calon simpanan PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Selain itu, beliau berkata dirinya merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Harta Intelek selain merupakan pemimpin di peringkat akar umbi yang memahami masalah rakyat.

“Saya berharap pucuk pimpinan akan memilih calon yang ada sentuhan dengan rakyat,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata, beliau juga mempunyai hubungan yang rapat dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mat Shuhaimi Shafiei sehingga diberi kepercayaan sebagai timbalan pengarah PRU-14 bagi Sungai Kandis.

“Selain itu, kami selalu berkomunikasi dan saya sentiasa meminta nasihat daripada beliau mengenai penyelesaian masalah tempatan walaupun saya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas, beliau di DUN Seri Muda,” katanya.

Ditanya kemungkinan pembangkang akan memainkan isu pengundi perlu memilih pembangkang sebagai semak dan imbang pada PRK kali ini, beliau berkata, HARAPAN juga boleh memainkan peranan sama serta ia bukan masalah besar.

“Ketika saya sebagai ketua kampung, saya juga melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan dan menegur wakil rakyat mereka serta tidak semestinya daripada wakil Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi menjelaskan jika terpilih sebagai calon PKR, beliau tidak gentar berdepan dengan Umno mahupun PAS pada PRK kali ini dan menyasarkan sebanyak 70 peratus pengundi keluar mengundi bagi menjamin kemenangan HARAPAN.

PRK Sungai Kandis diadakan susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma dan difahamkan PKR Cabang Kota Raja telah mengemukakan empat calon kepada pucuk pimpinan untuk bertanding nanti.

Dilaporkan pemimpin kanan PKR yang juga Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata mesyuarat biro politik PKR negeri pada 10 Julai lalu memutuskan daripada senarai beberapa nama calon PRK hanya satu nama dipilih dan dihantar ke pihak kepimpinan pusat.

Ulasan saya, bekas ketua kampung pun berangan nak jadi calon PRK Sungai Kandis. Kalau pegawai daerah bolehlah berangan nak jadi YB.  Inilah standard calon PKR. Oleh itu biarlah pengundi PRK Sungai Kandis menilai latarbelakang calon PKR.

Kita bukannya nak merendahkan ketua kampung tetapi tanggungjawab sebagai YB lebih besar tak padan dengan menjaga satu kampung sahaja. Satu kawasan DUN mempunyai 20 buah kampung dan pengalaman menjaga satu kampung tidak cukup untuk menjadi seorang YB.

Lainlah kalau calon itu seorang penghulu yang pernah mengawas beberapa buah kampung amat membantu calon tersebut apabila jadi YB kelak. Oleh itu BN perlu letak calon yang lebih hebat untuk mengalahkan bekas ketua kampung jika Ahmad Fahmi disahkan sebagai calon PKR.

TIGA SEBAB KENAPA UMNO PERLU AMBIL TINDAKAN KEPADA KHAIRY


KUALA LUMPUR: Semalam kecoh semua ahli parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat membantah perlantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Mohamad Ariff Mohd Yusof kecuali tiga orang ahli parlimen BN iaitu Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Seri Anipah Aman (Kimanis) dan Rozman Isli (Labuan).

 Khairy Jamaluddin berkata tindakannya tidak keluar daripada dewan rakyat bersama dengan pemimpin BN dan PAS kerana beliau menghormati majlis.

Katanya, meskipun ada pertikaian berkenan pelantikan speaker namun katanya keluar Dewan bukan cara kita menyatakan bantahan.

"Hari ini merupakan hari kita mengangkat sumpah jadi kita perlu hormati Dewan dan juga menghormati majlis angkat sumpah.

"Cara mana kita nak bantah itu kita boleh buat sewaktu perbahasan nanti atau selepas upacara perasmian pembukaan pada hari esok dalam perbahasan atau melalui 'standing order' pada hari Rabu," katanya.

Nampaknya Umno ada alasan untuk mengambil tindakan disiplin kepada Khairy kerana sudah ada tiga bukti yang kuat untuk mengambil tindakan kepada bekas Ketua Pemuda Umno Malaysia itu.

Pada 13 Julai lalu, Khairy Jamaluddin yang tewas dalam pemilihan merebut kerusi presiden Umno bulan lalu menyatakan keresahannya terhadap hala tuju yang diambil parti itu kini.

Beliau melihat Umno kini semakin ke arah perkauman selepas tewas pada PRU ke-14 dan baginya itu hanyalah jalan menuju 'kehancuran'.

"Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum dan kutip tabung untuk bekas presiden (Datuk Seri Najib Razak)...Takkan itu saja 'Umno baru'?

"Sudah kena pukulan maut semasa PRU ke-14 (tetapi) masih pekak terhadap suara rakyat.

"Jika modal untuk PRU ke-15 hanyalah momokkan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai peguam negara dan ketua hakim, lupakan saja impian menawan semula Putrajaya," katanya di Twitter.

Pada 14 Julai, Khairy Jamaluddin  menyifatkan perlantikan Tan Sri Mohamed Apandi sebagai ahli majlis tertinggi Umno sebagai sesuatu yang memalukan.

"Pelantikan awal mengecewakan. Yang ini (penolakan pelantikan Mohamed Apandi) memalukan.

"Kita perlu menjadi pembangkang yang mempunyai kredibiliti," katanya melalui kenyataan di Twitter.

Semalam, beliau tidak keluar dari Dewan Rakyat mematuhi arahan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membantah perlantikan Speaker yang tidak ikut prosedur.

Maka sewajarlah Umno memberi surat tunjuk sebab kepada Khairy kenapa beliau tidak boleh diambil tindakan disiplin terhadap tiga insiden tersebut.

Isnin, Julai 16, 2018

SPEAKER DEWAN RAKYAT MAHIR DALAM UNDANG UNDANG PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, yang menjadi pilihan Pakatan Harapan sebagai Speaker Dewan Rakyat kesembilan adalah seorang yang mahir dalam undang-undang komersial, perbankan, sekuriti, arbitrasi, perlembagaan dan undang-undang pentadbiran.

Mohamad Ariff, 69, dari Sungai Petani, Kedah, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of London (London School of Economics), dan memulakan karier pada 1974 sebagai pensyarah undang-undang sebelum diiktiraf sebagai profesor madya di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya.

Bapa kepada lima cahaya mata ini meninggalkan dunia akademik pada 1986 untuk berkecimpung dalam pengamalan undang-undang sebagai peguam dan peguambela, yang beliau juga seorang daripada rakan pengasas Cheang & Ariff.

Dari 1993 hingga 1995, Mohamad Ariff bercuti daripada pengamalan undang-undang untuk menyertai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang baru ditubuhkan ketika itu, sebagai Pengarah pertama Jabatan Penyeliaan Pasaran.

Semasa penglibatannya dalam dunia perdagangan, Mohamad Ariff juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bursa Opsyen dan Pasaran Hadapan (1995-1996); anggota Jawatankuasa Kajian Semula Penarafan (RRC), Malaysian Rating Agency (MARC) (sehingga 2008) dan anggota Lembaga Penasihat Akademi Latihan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (2007-2008).

Ahad, Julai 15, 2018

GUNA SALURAN PARTI UNTUK KRITIK UMNO, KHAIRY!



KUALA LUMPUR: Tidak sampai 12 jam selepas Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, bekas peguam negara itu kemudian menolak pelantikan berkenaan.

Mohamed Apandi sebelum ini berkata penolakan itu adalah kerana dia bimbang pelantikannya akan menimbulkan persepsi negatif yang akan dikaitkan dengan keputusan yang dibuatnya ketika menjadi peguam negara.

Menanggapi perkara itu, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan ia sebagai sesuatu yang memalukan.

"Pelantikan awal mengecewakan. Yang ini (penolakan pelantikan Mohamed Apandi) memalukan.

"Kita perlu menjadi pembangkang yang mempunyai kredibiliti," katanya melalui kenyataan di Twitter.

Khairy Jamaluddin sebelum ini menolak tawaran untuk menjadi setiausaha agung BN dengan alasan ingin menumpukan tugas sebagai anggota parlimen dan bebas bersuara.

Kenyataan terbaru Khairy Jamaluddin itu dilihat turut ditujukan kepada pemimpin tertinggi Umno.

Awal hari ini, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mohamed Apandi sebagai salah seorang daripada 11 yang dilantik menyertai 25 anggota MT Umno yang lain.

Bagaimanapun, beberapa pihak dilihat tidak senang dengan pelantikan Mohamed Apandi termasuklah Pemuda Umno Kedah.

Sebelum menolak pelantikannya, Mohamed Apandi dilapor berkata dia mempunyai hak untuk terlibat dalam politik kerana bukan lagi peguam negara.

Malah Apandi juga menyifatkan kepulangannya kepada Umno ibarat ikan pulang ke lubuk.


Ketika menjadi peguam negara, Mohamed Apandi membersihkan nama bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung skandal 1MDB dan SRC International.

Bekas perdana menteri itu kini berdepan dakwaan kes SRC International dan sedang disiasat.

Ulasan saya, semua pemimpin Umno bebas bersuara tetapi gunakanlah saluran parti untuk mengkritik Umno dan bukannya secara terbuka dalam media sosial seolah-olah menimbulkan persepsi bahawa pemimpin Umno tidak bersatu.

Fenomena ini amat memalukan ahli Umno dan ia jadi bahan ejekan kepada parti parti lain. Oleh itu pemimpin yang tidak puas hati whatsapp sahaja kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa perlu bersuara secara terbuka.

Dalam suasana Umno yang lemah sekarang, kita perlu minimumkan pertelagahan pendapat sesama sendiri. Ia bukanlah bermakna Umno mahu menyekat kebebasan bersuara tetapi ia perlu disuarakan melalui saluran yang betul.

Sabtu, Julai 14, 2018

TEMPAHLAH BUKU DIGITAL "KISAH BENAR"

Tempahlah buku digital "KISAH BENAR" susunan Azwan Adli. Bagaimana anda mahu memiliki buku digital ini? Anda perlu bank in RM50 kepada nombor akaun CIMB 7002297592. Selepas itu anda whatsapp resit pembayaran kepada nombor handphone 01115726582 dan sertakan nama anda dan email anda. Buku digital akan dihantar terus kepada email anda selepas kami terima resit pembayaran.


SEBELUM KRITIK UMNO, KHAIRY PERLU MUHASABAH DIRI DAHULU



KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin yang tewas dalam pemilihan merebut kerusi presiden Umno bulan lalu menyatakan keresahannya terhadap hala tuju yang diambil parti itu kini.

Beliau melihat Umno kini semakin ke arah perkauman selepas tewas pada PRU ke-14 dan baginya itu hanyalah jalan menuju 'kehancuran'.

"Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum dan kutip tabung untuk bekas presiden (Datuk Seri Najib Razak)...Takkan itu saja 'Umno baru'?

"Sudah kena pukulan maut semasa PRU ke-14 (tetapi) masih pekak terhadap suara rakyat.

"Jika modal untuk PRU ke-15 hanyalah momokkan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai peguam negara dan ketua hakim, lupakan saja impian menawan semula Putrajaya," katanya di Twitter hari ini.

Beliau merujuk kepada bantahan Umno terhadap pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara pada bulan lalu dan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara semalam.

Dengan nada yang jelas kecewa, bekas ketua pemuda Umno itu berkata parti itu kini perlu memilih sama ada mahu kekal dengan cara itu atau mengambil "jalan tengah".

"Ke kanan (Umno) mungkin menang sorak sementara, tetapi pasti lingkup 10-15 tahun lagi. Haluan tengah bukan mudah dan sukar difahami akar umbi, tetapi itulah jalan yang ada untuk survive," katanya yang kini tidak lagi memegang apa-apa jawatan pusat parti itu.

Sebaik kekalahan pada PRU lalu, Khairy berkata ada keperluan untuk melakukan pembaharuan terhadap Umno termasuk membuka keahlian kepada bukan Melayu.

Antara kempennya sebagai presiden Umno pula adalah untuk menjadikan Umno sebagai pembangkang berwibawa terutama bagi menuntut janji 100 hari Pakatan Harapan (HARAPAN).

Khairy bagaimanapun berkata akan kekal bersama Umno kerana percaya parti itu masih "khemah besar" untuk orang Melayu dengan prinsip sederhana, haluan tengah dan meraikan kepelbagaian.

"Sebab itu saya masih bersama Umno...Cuma saya nak perbetulkan rumah saya ini agar tidak kekal dengan haluan kanan yang ekstrem dan rasis selama-lamanya," katanya lagi.

Ulasan saya, sebelum mengkritik Umno, Khairy perlu muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Dari dahulu Umno, MCA dan MIC memperjuangkan nasib tiga kaum utama di negara ini. Ketiga tiga parti ini yang membentuk Perikatan dan akhirnya Barisan Nasional dianggap sebagai rasis kerana memperjuangkan nasib bangsa masing masing.

Oleh itu jika Umno membantah orang bukan Islam dapat jadi Ketua Hakim Negara, ia bukanlah perkara pelik kepada Umno. Umno bukannya bermain dengan isu perkauman sebaliknya itulah teras perjuangan asal Umno. Mungkin Khairy anak Malaysia yang lahir selepas merdeka yang tidak nampak perjuangan asal Umno yang mementingkan perjuangan kaum dan agama.

Tetapi perjuangan asal Umno dicemari dengan politik wang pada tahun 90an yang menyebabkan kontraktor yang menjadi perwakilan Umno  merubah wajah Umno. Jika Khairy mahu membetulkan Umno beliau juga sepatutnya tidak mengamalkan politik wang dalam pemilihan jawatan Presiden Umno baru-baru ini.

Beranikah Khairy bersumpah di masjid bahawa ejennya tidak beri wang kepada wakil bahagian untuk mendapat undi dari para perwakilan? Ada sumber yang beritahu ejen Khairy beri RM50,000 satu bahagian. 

Bila sudah kalah terimalah kekalahan. Tunggulah tiga tahun lagi untuk berhadapan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi buat kali kedua. Sekarang sepatutnya beliau membantu Zahid membetulkan Umno dan bukannya mengkritik Umno secara terbuka walaupun Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggesa agar kritikan Khairy itu akan menggalakkan kepelbagaian pandangan di dalam Umno.

"Kita perlu jujur untuk mengukuhkan parti dan bukan cepat terasa dan tidak boleh ditegur," katanya melalui kenyataan di Twitter petang tadi.

Khamis, Julai 12, 2018

UMAT ISLAM SEMAKIN RESAH



KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan mendakwa beberapa siri pelantikan dalam sektor undang-undang dan kehakiman oleh kerajaan Pakatan Harapan, baru-baru ini sangat meresahkan umat Islam.

Beliau merujuk kepada pelantikan hakim kanan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara, semalam, Datuk Liew Vui Keong sebagai menteri di jabatan perdana menteri yang menjaga ehwal undang-undang serta Tommy Thomas sebagai peguam negara.

“Melihat tiga posisi penting ini telah diisi oleh sosok yang sangat meresahkan umat Islam, maka apakah masih ada harapan rakyat khasnya umat Islam untuk melihat masa depan Islam terus terbela di bumi Malaysia ini khasnya dalam hal yang melibatkan undang-undang,” soal Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata HARAPAN berjaya "pecah rekod" dengan melantik ketua hakim negara bukan Islam pertama selepas pembentukan Malaysia 1963 dengan nama awalnya ‘lord president’.

Pemimpin PAS itu juga mendakwa bahawa rekod Malanjum membuktikan penghakimannya jelas tidak menyebelahi Islam dalam beberapa kes penting.

“Sudahlah Islam terumbang-ambing di zaman kerajaan BN dahulu, ternyata kini perubahan yang dilaungkan itu rupanya ke arah yang lebih teruk dan buruk.

“Apakah situasi ini meletakkan umat Islam terlepas dari mulut harimau lalu dilibas ekor buaya?” soalnya.

Nasrudin turut mempersoalkan sama ada kerajaan Pakatan Harapan akan “memekakkan” telinga dari mendengar keluhan dan teguran umat Islam serta tergamak “membutakan” mata dari melihat bagaimana reaksi bimbang umat Islam terhadap perkembangan ini.

“Reaksi bimbang dan teguran umat Islam telah jelas kedengaran sejak dari pelantikan peguam negara tempoh hari lagi.

“Kini pelantikan ketua hakim negara pula bakal mengundang petaka buat umat Islam,” katanya.