Rabu, Julai 18, 2018

BN PERLU BERI LALUAN KEPADA PAS DI SUNGAI KANDIS

SHAH ALAM: Wajarkah BN (Umno) beri laluan kepada PAS untuk menentang PKR pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini? Menjelang tiga hari lagi penamaan calon PRK Sungai Kandis pada 21 Julai ini, Umno belum buat keputusan untuk masuk atau tidak dalam PRK tersebut.

Namun demikian Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah membayangkan sama ada BN atau PAS yang akan menentang PKR. Katanya, BN perlu bekerjasama dengan PAS supaya berlaku pertandingan dua penjuru dengan PKR pada PRK tersebut.

Bagi saya, Umno tak perlu bertanding dan beri laluan kepada PAS berdasarkan lapan faktor. Pertama, jika BN tak masuk bertanding PRK ia bukan perkara baharu kepada BN kerana ia pernah tak masuk PRK Chempaka selepas kematian Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Kedua, Umno baharu bertukar pucuk pimpinan parti. Jika BN masuk dan kalah, maka imej Presiden baharu akan tercemar.

Ketiga, imej Pengerusi Perhubungan Umno Selangor yang baharu, Datuk Seri Ismail Shabery Yaacob pun turut tercemar kerana kekalahan itu menunjukkan ahli Umno Selangor menolak beliau.

Keempat, berdasarkan keputusan PRU 14, undi BN dan PAS tak dapat mengalahkan undi PKR. Arwah Mat Shuhaimi Shafie mendapat 23,998 undi manakala jumlah undi calon BN, Datuk Ir Kamaruzzaman Johari (11,518) dan undi calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) sebanyak 19,091 undi masih kurang 4,901 undi. Ini bermakna bila letak seorang sahaja calon sama ada BN atau PAS ia hanya dapat mengurangkan majoriti PKR dari 12,480 undi.

Kelima, DUN Sungai Kandis terletak di bawah parlimen Kota Raja yang dimenangi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. Maka dengan peruntukan menteri, agak sukar bagi BN untuk menang PRK Sungai Kandis.

Keenam, PRK Sungai Kandis bukan ukuran rakyat menolak manifesto Pakatan Harapan kerana 100 hari belum berakhir lagi walaupun ia dapat mengurangkan majoriti calon PKR.

Ketujuh, pembangkang kena bersatu sama ada BN atau PAS yang tanding kerana ahli PKR juga akan berbalah sama ada calon MB, Amiruddin Shaari (proksi Datuk Seri Azmin Ali)  atau calon proksi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding.

Kelapan, dengan majoriti yang besar yang diperolehi pada PRU lalu, maka BN agak sukar untuk menumbangkan calon PKR. Justru itu apa salahnya BN beri laluan kepada PAS untuk lawan PKR kerana PAS sudah 61 tahun membangkang sedangkan BN baru dua bulan membangkang.

Berdasarkan lapan faktor ini maka wajarlah BN tidak bertanding pada PRK Sungai Kandis.