Khamis, Julai 19, 2018

ROZMAN RELA JADI PEMBANGKANG

oleh ABDULLAH KARIM

KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen Labuan tidak sama sekali meninggalkan parti UMNO biarpun tawaran lumayan menanti beliau sekiranya menyertai sebuah parti politik di Sabah.

Datuk Rozman Isli menegaskan adalah baik beliau setia bersama pembangkang iaitu UMNO daripada menyertai parti yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah iaitu Warisan.

Beliau berkata memang benar beliau bakal berdepan masalah untuk membangunkan kawasannya kerana tidak memperolehi peruntukkan daripada kerajaan persekutuan, namun beliau rela dan ingin sehidup semati bersama UMNO dan Presidennya iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Tidak mengapa saya tidak dapat bantuan kerajaan persekutuan asalkan saya tetap setia bersama ahli parti yang telah memilih saya sebagai ketua mereka," katanya ketika di temui di Parlimen.

Ruzman menegaskan apalah ertinya bantuan tersebut iaitu sebanyak RM500,000 peruntukkan kerajaan pusat kepada anggota parlimen kerajaan tetapi pada hakikatnya rakyat serta pemimpin UMNO akan mengutuk beliau kerana tidak setia kepada parti.

"Biarlah saya jadi pembangkang asalkan saya tidak dikutuk oleh masyarakat.

"Sebagai ketua di Labuan saya tahulah bagaimana nak membangunkan rakyat di Labuan ini," ujarnya.