Khamis, November 17, 2016

BERANIKAH ADAM ISYTIHAR HARTA?

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini menggesa Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk Adam Rosly untuk mengisytiharkan harta yang dimilikinya secepat mungkin.

"Saya rasa lagi cepat saudara Adam isytiharkan harta, lebih mudah. Sebaik sahaja anda tunjukkan yang anda tiada apa untuk disembunyikan dan semuanya telus, dengan itu saya fikir ia akan hentikannya (spekulasi)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Katanya beliau sendiri akan sekali lagi mengisytiharkan hartanya pada Selasa atau Rabu hadapan setelah berbuat demikian pada Mac tahun lepas.

Beliau turut menyarankan kesemua anggota politik termasuk penjawat awam supaya mengisytiharkan harta secara terperinci untuk mengelakkan penyelewengan.

Media sebelum ini melaporkan kemewahan luar biasa Adam yang didakwa memiliki banglo dan pelbagai kereta mewah meskipun baru memegang jawatan dalam PKR.

Ulasan saya, walaupun Adam Rosly bukan ahli parlimen atau ADUN tetapi apa salahnya beliau isytiharkan harta jika beliau menjadi jutawan dalam usia muda kerana bisnes eksport perabot ke luar negara.

Soalnya, beranikah beliau isytihar harta atau adalah harta miliknya adalah milik bossnya, Zuraidah. Adakah Adma hanya proxy sahaja? Biarlah SPRM menyiasat sama ada harta yang diperolehinya hasil makan rasuah atau harta yang sah.


-- BERNAMA

Rabu, November 16, 2016

KENAPA PEMBANTU AHLI PARLIMEN PKR YANG LAIN TAK KAYA?

PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta melakukan siasatan ke atas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ampang Datuk Adam Rosly Abdullah yang didakwa memiliki kekayaan luar biasa.

Ketua UMNO Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo yang membuat laporan di Pejabat SPRM di sini, hari ini, berkata kekayaan dimiliki Adam adalah 'sesuatu yang memeranjatkan' memandangkan beliau baru berusia 28 tahun.

"Saya minta SPRM siasat... segala bukti berhubung kekayaan Adam juga telah dilampirkan seperti gambar rumah dan pelbagai jenis kereta mewah seperti Audi, Vellfire, Mercedes dan BMW," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Ulasan saya, kita kagum dengan kekayaan Adam Rosly tetapi yang kita hairan kenapa dia seorang pembantu ahli parlimen PKR yang kaya raya? PKR ada ramai ahli parlimen tetapi pegawai ahli parlimen tidak kaya?

Apa yang istimewanya Adam yang masih muda jadi kaya raya? Kalau benar harga rumahnya bukan RM7 juta tetapi RM1 juta yang disambut dalam lelong, dari mana dia dapat RM1 juta sedangkan orang muda berusia 28 tahun tidak mampu menyimpan duit sebanyak itu.

Ini bukan soal dengki orang muda yang lulus SPM jadi jutawan tetapi yang  dipersoal duit dari mana, adakah duit rasuah atau dari sumber yang sah?




Selasa, November 15, 2016

48,077 JANDA BAHARU DI SELURUH NEGARA TAHUN INI

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Sebanyak 48,077 kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam direkodkan sejak Januari hingga 10 Julai tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun  (gambar) berkata daripada jumlah itu, tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi adalah Selangor (7,731) diikuti Sabah (6,638) dan Johor (4,700).

"Kajian mendapati kebanyakan perkahwinan kali pertama yang berakhir dengan perceraian atau perpisahan adalah dalam tempoh lima tahun dan ke bawah," katanya.

Ahad, November 13, 2016

KALAU MCA BERJUANG UNTUK SEMUA KAUM, MCA PATUT SOKONG RUU355

CYBERJAYA, 12 Nov (Bernama) -- MCA bukan sebuah parti rasis dan tidak berjuang untuk satu kaum sahaja iaitu kaum Cina.

Menegaskan demikian, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata walaupun MCA hanya membuka keahlian kepada kaum Cina, namun sejak sebelum merdeka lagi, parti itu telah bersama UMNO dan MIC berjuang di bawah satu perikatan.

Beliau ditanya sama ada MCA sedia membuka keahliannya kepada kaum lain seperti dilakukan DAP.

"Jika anda bercakap tentang DAP, berapa banyak kawasan (pilihan raya) mereka menangi yang tidak berasaskan sokongan pengundi Cina?.

"DAP adalah parti berasaskan Cina, tetapi mereka menafikannya," kata beliau kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda MCA, di sini hari ini.


Mengulas mengenai Pemuda MCA, Wee berkata sayap parti itu perlu menguasai teknologi terutamanya media sosial dalam kempen mereka menentang pembangkang agar kekal relevan dengan masyarakat.

Ulasan saya, jika benar MCA berjuang untuk semua kaum sepatutnya MCA sokong pindaan RUU355 kerana ia adalah kehendak majoriti umat Islam di negara ini.

Kenapa MCA takut kepada RUU355 sedangkan ia untuk orang Islam sahaja dan MCA  sewajarnya menyokong RUU355 kerana ia bertujuan untuk mengukuhkan mahkamah syariah. Jika MCA sokong pindaan ini barulah MCA boleh dikatakan berjuang untuk semua kaum.

Sabtu, November 12, 2016

ORANG CINA PUN TOLAK MCA MASAKAN KAUM LAIN NAK TERIMA MCA?

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Cadangan untuk menerima keanggotaan bukan Cina dalam MCA perlu dikaji secara menyeluruh dan serius kerana ia melibatkan pindaan perlembagaan parti, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Katanya ia memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan persetujuan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada jumlah keseluruhan perwakilan pusat.

"Kalau nak bawa orang bukan Cina, kena ubah perlembagaan... biasanya perlukan dua pertiga, tapi pada saya ini adalah satu perubahan menyeluruh, sehingga nama (parti) pun mungkin kita kena tukar" katanya.

Ulasan saya lucu dengar kenyataan MCA nak buka keahlian kepada bukan Melayu sedangkan orang China sudah tolak MCA. Masakan orang bukan Melayu nak terima parti yang ditolak orang China kecuali orang Melayu yang kecewa dalam parti lain mungkin boleh menerima MCA.

Kalau MCA sudah menjadi parti berbilang kaum ini bermakna MCA tidak relevan lagi untuk memperjuangkan nasib orang China dan seperti kata Ong Ka Chuan nama MCA pun kena tukar juga.


BN PUN KONSERVATIF MACAM PARTI REPUBLIKAN

JOHOR BAHRU, 11 Nov (Bernama) -- Kemenangan calon Parti Republikan, Donald Trump, dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini memberikan satu mesej jelas bahawa rakyat akan mengundi parti yang mempunyai lebih nilai konversatif berbanding liberal.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Malaysia (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata untungnya, parti yang mempunyai lebih nilai konversatif itu di Malaysia ialah tidak lain, UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan bukannya pihak liberal seperti DAP dan PKR.

"Kalau ditengokkan pada apa yang berlaku di Amerika Syarikat dengan Trump menjadi calon Republikan dan Hillary Clinton untuk Parti Demokrat, pengundi sebenarnya lebih berbalik kepada soal nilai-nilai konservatif iaitu mementingkan keluarga daripada individu dan mementingkan komuniti berbanding individu - yang sememangnya asas dan teras kepada UMNO dan BN

PESAYA ERATKAN SEMUA YAYASAN DI SELURUH NEGARA

KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) -- Pesta Sukan Antara Yayasan Se-Malaysia (Pesaya) adalah landasan terbaik dalam meningkatkan semangat berpasukan dan mengeratkan hubungan kerjasama antara yayasan di seluruh negera.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata pesta sukan itu juga mampu menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan kakitangan selain meningkatkan produktiviti yang memberi impak besar kepada setiap yayasan.

"Saya berharap semua peserta menjadikan Pesaya sebagai platform mengenali antara satu sama lain dan meningkatkan persefahaman," katanya ketika berucap merasmikan Pesaya Kali Ke-12 di sini semalam.

Jumaat, November 11, 2016

PILIHANRAYA 1990 PALING SENGIT

JOHOR BAHRU, 10 Nov (Bernama) -- Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan pilihan raya paling sengit dalam sejarah UMNO dan bakal menentukan kelangsungan parti itu sebagai parti pemerintah, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Naib presiden UMNO itu berkata parti itu perlu bersedia menghadapi persaingan bagi mengelak nasib parti pemerintah seperti parti Golkar di Indonesia, Kongres (India), Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun dan Kuomintang di Taiwan yang kalah dalam pilihan raya.

Katanya, pandangannya itu bukan untuk menakut-nakutkan anggota UMNO tetapi hanya memberi gambaran sebenar dan realiti yang harus diterima oleh parti itu.

Beliau memberi peringatan bahawa UMNO harus kembali mendapatkan mandat baharu pada PRU14 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa dan ia bukan satu tugas yang mudah.

"Mandat lima tahun kita sudah hampir dua pertiga hayatnya...ini bermakna UMNO harus kembali mendapat mandat baharu, namun ia bukanlah semudah kita impikan," katanya ketika merasmikan Konvensyen UMNO Johor, di sini, malam ini.

Justeru, Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, meminta semua anggota UMNO Johor supaya berusaha gigih mulai hari ini bagi memastikan kemenangan parti dalam PRU14.

Konvensyen dua hari dengan tema 'UMNO Memacu Melayu Maju' itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Badan Perhubungannya, Datuk Md Jais Sarday.

Hishamuddin, yang merupakan Anggota Parlimen Sembrong, dalam pada itu turut meminta UMNO mendepani pilihan raya akan datang dengan strategi berlainan, bersesuaian dengan keadaan semasa.

Katanya, ini penting kerana strategi harus bersandar kepada kekuatan sebenar UMNO dan mengambil pengajaran daripada pelbagai pengalaman dilalui.

Hishammuddin berkata di Johor, beliau gembira melihat usaha telah pun dilakukan oleh Menteri Besar dengan pengenalan beberapa inisiatif seperti Johor Berkemajuan dan Johor Prihatin.

Katanya, meskipun segala inisiatif ini akan memenangkan UMNO Johor pada PRU14 namun anggotanya diingatkan bahawa mereka bukan berada di zon selesa kerana terdapat individu yang masih tidak berpuas hati terhadap kepimpinan parti itu.

Justeru, beliau berharap konvensyen itu akan menjadi wadah untuk UMNO Johor menyedari tugas besar mereka iaitu meneruskan kelangsungan sebagai nadi dan nafas UMNO secara keseluruhannnya.

Ulasan saya, tak betul PRU ke 14 paling sengit kerana perpecahan dalam parti pembangkang menyebabkan PRU tersebut tidak sesengit PRU  1990.

Selagi PAS tidak bersama DAP dan Amanah, maka akan berlaku pertandingan tiga penjuru maka BN akan menang. Seorang penulis buku terkenal, Mohd Sayuti Omar meramalkan BN akan menang semua kerusi DUN di Kelantan pada PRU akan datang berikutan perpecahan PAS dengan Amanah.

Bagi saya, PRU 1990 paling sengit. Tiga hari menjelang hari pembuangan undi PBS keluar dari BN menyebabkan Semangat 46, PAS dan DAP yakin dapat menumbangkan BN tetapi senjata akhir BN menyelamatkan BN.

Seluruh negara terkejut bila PBS keluar dari BN yang menyebabkan Sabah menjadi kerajaan pembangkang. Tetapi strategi Tan Sri Joseph Pairin Kitingan membangkitkan semangat solidariti di kalangan orang Islam yang tidak mahu melihat kebangkitan orang Kristian di negara ini.

BN mengeksploitasi isu ini menyebabkan cita cita Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia hancur berkecai. Berdasarkan senario terkini, maka selagi PAS berada di luar Pakatan Harapan, maka PRU ke 14 tidak sesengit PRU 1990.


Khamis, November 10, 2016

PEGAWAI KEBAJIKAN SIBUK BERCINTA?

KEMAMAN: Heboh di daerah Kemaman, seorang pegawai di Pejabat Kebajikan Daerah Kemaman sibuk bercinta dengan seorang aktivis politik sehingga menjejaskan prestasi kerja.

Ini yang menyebabkan kakitangan jabatan tersebut risau melihat pegawai itu yang lebih banyak menguruskan program yang melibatkan pasangan bercintanya daripada program program lain. Lebih memalukan pasangannya bebas menggunakan kenderaan pejabat pergi ke Kuantan.

Pegawai yang sudah beristeri itu sedang mempunyai hubungan dengan seorang aktivis politik berstatus balu. Kakitangan jabatan berkenaan tidak menghalang percintaan mereka kerana beliau ada hak untuk menikah lebih dari satu tetapi yang merisaukan mereka penyalahgunaan kuasa kerana mementingkan program pasangannya semata-mata.

Menurut sumber, mereka tak kesah boss mereka bercinta lagi tetapi mereka sedih prestasi boss mereka merosot sejak kebelakangan ini kerana banyak kerja jabatan terabai sejak boss dilamun cinta.

Mereka meminta pihak berkuasa negeri menukarkan boss mereka ke ibu negeri untuk menyelesaikan masalah ini.

Rabu, November 09, 2016

PUSAT SERANTAU DIGITAL MEMERANGI MESEJ MELALUI KOMUNIKASI DITUBUHKAN

LONDON, 8 Nov (Bernama) -- Malaysia bergerak ke hadapan bagi bertindak balas berhubung kisah pengganas dan ekstremisme terutama di alam siber melalui penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata usaha itu adalah sebahagian daripada pendekatan strategik bagi bertindak balas ke atas golongan pelampau kerana menyedari pengganas memang cekap mereka cerita dan retorik untuk mempengaruhi pengguna media sosial.

"Cerita-cerita ini telah membanjiri alam siber dan mempengaruhi pengguna media sosial untuk percaya bahawa cerita-cerita itu adalah benar, dan pengganas itu berjuang atas nama agama," katanya dalam ucapan alu-aluan dalam Perbincangan Meja Bulat di Chatham House di sini.

Ucapannya yang bertajuk "Faham Ketenteraan dan Antikeganasan: Satu Perspektif Malaysia", Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kisah mengenai Islam perlu diceritakan semula bagi menyampaikan mesej jelas bahawa pengganas adalah golongan kufur kerana ideologi agama mereka yang diputar belit dan tindakan-tindakan itu membawa kepada kehilangan nyawa orang yang tidak berdosa.

Timbalan Perdana Menteri berkata Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej itu adalah bagi menyelaras usaha untuk bertindak balas terhadap mesej media sosial yang radikal dan mengemukakan imej Islam sebenar di dalam dan di luar ASEAN.

Ahmad Zahid berkata pusat yang dikendalikan Polis Malaysia sejak September 2016 itu menggunakan kajian yang menggambarkan bahawa perjuangan kumpulan militan Daesh itu bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam.

Katanya radikalisme akan terus menjadi kebimbangan utama kepada agensi-agensi keselamatan di seluruh dunia dan ia akan kekal sebagai satu daripada ancaman yang kuat terutama melalui penggunaan meluas internet sebagai alat bagi penyebaran ekstremisme yang ganas dan propaganda radikal.

Para penjenayah dan pengganas kini menggunakan platform komunikasi baharu melalui rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube, e-mel dan malah melalui telefon pintar dalam WhatsApp dan Telegram sebagai satu jalan untuk mengindoktrinasi dan menyebarkan mesej kebencian yang diputar belit, katanya.

Malaysia percaya strategi penting untuk menangani golongan pelampau Islam yang ganas adalah dengan menyingkirkan usaha memutar belit dan penipuan tentang agama," katanya sambil menambah Malaysia mempunyai sejarah panjang yang menekankan mengenai kesederhanaan melalui amalan wassatiyah, satu perintah dalam al-Quran.

Timbalan Perdana Menteri berkata strategi deradikalisasi Malaysia memerlukan kerjasama strategik di antara kerajaan, pertubuhan awam, sektor swasta, masyarakat tempatan dan masyarakat keseluruhan bagi menghalang individu atau kumpulan daripada terbabit dalam kegiatan pelampau dan radikal di tanah air atau di seberang laut.

Katanya Malaysia juga bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa yang lain dalam usaha dan pelaksanaan strategi deradikalisasinya.

-- BERNAMA

Selasa, November 08, 2016

NEGARA BANGKRAP, PEMIMPIN PEMBANGKANG YANG KAYA?

Setiap kali pemimpin pembangkang mendakwa Malaysia akan bangkrap, mereka menjadi kaya raya. Peliknya mereka mendoakan negara jadi bangkrap tetapi Malaysia tetap tidak bangkrap. Sebaliknya mereka yang kaya raya ketika negara kita menikmati kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi.

DAP sudah 50 tahun menyanyikan lagu Malaysia akan bangkrap tetapi yang anehnya negara kita makin maju.Bukan sahaja Malaysia tidak bangkrap sebaliknya seorang pengasas DAP telah menjual ladang kelapa sawitnya kepada FELDA dengan harga RM1.2 billion pada tahun 2013.

Inilah wajah sebenar pemimpin DAP yang kononnya memperjuangkan sosialis. Ahli DAP miskin tak apa asalkan pemimpin DAP jadi billionair.

Seorang lagi ahli parlimen DAP adalah seorang jutawan dengan anaknya menggunakan Mercedes S class dengan pemandu. Hebatnya lagak pemimpin sosialis DAP ini yang memiliki dua rumah kedai di Melaka dengan simpanan tetap di bank sebanyak RM308,368 dan saham dalam lapan syarikat dan tinggal dalam sebuah banglo mewah di Pulau Penang yang dibelinya di bawah harga pasaran.

Seorang lagi Exco kerajaan negeri di Pulau Pinang memiliki lapan hartanah termasuk hartanah bersama di New Zealand. Untuk mempastikan mereka tidak bangkrap, pada tahun 2013 DAP meluluskan kenaikan elaun ADUN Pulau Pinang  sebanyak 50 peratus pada tahun 2013.

Dua tahun kemudian, 2015, sekali lagi DUN Pulau Pinang meluluskan kenaikan elaun dan pensian sebanyak 87 peratus manakala elaun Exco meningkat dua kali ganda.

Seorang lagi pemimpin DAP yang selalu menyebut Malaysia akan bangkrap adalah seorang ahli parlimen DAP yang duduk dalam banglo yang dikenali sebagai "White House of Ipoh" yang mana beliau beritahu pemberita harga banglonya tidak melebihi RM10 juta.

Ini bermakna semakin kuat DAP menjerit Malaysia akan bangkrap, semakin kaya pemimpin mereka sedangkan ahlinya disuruh tidak mementingkan kekayaan dan hidup biasa seorang sosialis. Sekarang pemimpin Bersatu pun menggunakan isu yang sama sedangkan Pengerusi kaya raya dengan jet peribadi dan mempunyai 30 ekor kuda dan tiga orang anaknya menjadi jutawan. Seorang anaknya tersenarai sebagai 10 orang terkaya di Malaysia.

Begitu juga presiden Bersatu bukannya seorang yang papa dan sering melancong ke luar negara manakala anaknya adalah pemegang saham terbesar dalam syarikat yang tersenarai di BSKL  dengan projek bernilai bilion RM.

Begitulah pempin pembangkang yang hipokrit mahu menipu rakyat kononnya Malaysia akan bangkrap sedangkan mereka hidup dalam kemewahan.


Isnin, November 07, 2016

PATUHILAH KETUA KITA

Ketika merasmikan penutupan Pemukiman Penceramah KKMM di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam Sabtu lalu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Anuar Musa mengajak ahli-ahli Umno supaya mematuhi arahan ketua mereka.

Beliau yang juga Pengerusi MARA menceritakan bagaimana pada tahun 1997 beliau dipanggil oleh PM, Tun Dr Mahathir Mohamad ke pejabatnya.

Dalam perjumpaan itu, Dr Mahathir membayangkan mahu melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

"I rasa dah sampai masanya orang Kelantan yang pimpin Umno Kelantan," kata Dr Mahathir. Mendengar kata-kata Dr Mahathir, Annuar yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar seronok kerana selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan sudah tentu beliau yang akan naik pangkat.

"Apa pandangan u kita lantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang baru?" tanya Dr Mahathir.

Anuar yang terkejut terus sokong cadangan Dr Mahathir kerana bila boss cakap macam itu, itu sebenar bukan lagi minta pandangan tapi arahan boss kita.

Cerita Anuar secara bersahaja menyebabkan para peserta pemukiman ketawa.

Selepas PRU 1999, sekali lagi Dr Mahathir memanggil Anuar ke ofisnya.

"Nampaknya letak Ku Li pun, BN kalah, jadi kita lantik orang baru sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan," kata Dr Mahathir.

Anuar lega mendengar kata-kata Dr Mahathir kerana fikirnya kali ini giliran beliau pula jadi ketua Umno Kelantan.

"Apa pandangan u kita lantik Tok Pa sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno yang baru?" tanya Dr Mahathir. Sekali lagi Anuar yang terkejut dengan ucapan Dr Mahathir menyokong kenyataan itu kerana ia dianggap sebagai arahan dan bukan minta pandangan.

Sekali lagi Anuar terlepas jadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan. Tapi katanya demi Umno kelantan, beliau terus menerima ketua baru walaupun Datuk Seri Mustafa Mohamad adalah pemimpin yang junior.

"Saya sudah jadi menteri Tok Pa masih setiausaha politik Tun Daim, Dari segi senioriti saya yang lebih layak jadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan bukannya Tok Pa." katanya. Oleh kerana itu kehendak Presiden parti maka kita kena akur dengan arahan Presiden.

Sebab itu katanya dalam Umno, kita jangan pentingkan jawatan sambil disambut tepukan para hadirin.

Tambahnya lagi ketika melawat Kelantan, Dr Mahathir beritahu beliau supaya kumpul semua ketua bahagian sebelum Dr Mahathir balik ke Kuala Lumpur petang itu untuk adakan mesyuarat Perhubungan Umno kelantan di lapangan terbang.

Dalam mesyuarat tersebut, Dr Mahathir mengumumkan perlantikan Datuk Zaid Ibrahim sebagai timbalan pengerusi badan perhubungan Umno yang baru menggantikan Anuar Musa.

Anuar terkejut tapi beliau sokong tindakan Presiden parti sebaliknya Datuk Ibrahim Ali selaku Ketua Umno bahagian Pasir Mas terus berucap tidak menyokong pengumuman Dr Mahathir.

"U pujuk Ibrahim Ali," kata Dr Mahathir kepada Anuar ketika beliau nak naik eksekutif jet balik ke Kuala Lumpur.

"Sepatutnya saya yang kena pujuk kerana saya dipecat jawatan timbalan pengerusi sebaliknya PM suruh saya pujuk Ibrahim Ali pula," kata beliau sambut disambut gelak ketawa.

Katanya, sebagai pemimpin Umno kita kena patuhi arahan ketua kita.

"Walaupun saya tiada jawatan tetapi saya tidak lari dari Umno. Saya sudah lama dipinggirkan dalam Umno kerana saya yang tidak sokong peralihan kuasa dari Pak Lah kepada Najib dipercepatkan pada tahun 2003, tetapi saya tetap setia dalam Umno akhirnya saya kembali menjadi Ketua Penerangan Umno," katanya sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Ucapan Anuar Musa membakar semangat ahli-ahli Umno supaya mereka patuhi arahan ketua walaupun tindakan ketua menyinggung perasaan kita sendiri.

"Siapa yang tidak kecewa tak dapat jawatan yang diidamkan? Tetapi kita jangan pentingkan diri sendiri kerana individu tidak penting, yang penting adalah parti," katanya lagi sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.


Ahad, November 06, 2016

AHLI UMNO PERLU TANGKIS DAKWAAN PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Anggota UMNO dan parti komponen lain Barisan Nasional (BN) perlu bersama-sama menangkis sebarang dakwaan yang cuba memburuk-burukkan kerajaan serta para pemimpin negara.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata tanggungjawab mempertahankan kebenaran perlu dilaksanakan bersama-sama untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

"Walaupun BN ini bukan kerajaan yang maksum, bukan 'perfect government', tetapi kita jauh lebih baik daripada kerajaan yang lain dan kita sentiasa mensejahterakan rakyat," katanya ketika merasmikan penutupan majlis Pemukiman Penceramah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini malam Sabtu.

Beliau menjelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pemimpin terbaik memimpin negara.

Justeru, Annuar menyifatkan dakwaan-dakwaan yang dilemparkan terhadap Najib berlaku disebabkan beliau seorang Perdana Menteri dan Presiden UMNO, dan pihak yang melaksanakan agenda itu berkemungkinan mahu mengambil kedudukan beliau.

Dalam pada itu Annuar berkata penceramah-penceramah KKMM perlu membuat persediaan terperinci dan memahami segala isu yang ingin dikongsi bersama peserta.

"Berceramahlah dalam bidang yang kita tahu sahaja. Subjek dan bahasa yang kita fasih sahaja supaya peserta faham apa yang kita ketengahkan.

"Ini kerana ceramah atau pidato ini bergantung pada keberkesanan penyampaian kita dan jangan bergantung kepada nota yang kita bawa," kata beliau.

-- BERNAMA

Sabtu, November 05, 2016

JANGAN MUDAH PERCAYAI FITNAH KEPADA ROSMAH

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Cabaran yang dihadapi isteri perdana menteri kini lebih besar kerana terpaksa berdepan pelbagai tuduhan dan putar belit lebih-lebih lagi dengan kewujudan media sosial.

"Ramai yang tidak tahu bahawa isteri perdana menteri terdahulu juga menjadi mangsa pelbagai tuduhan, namun ia tidak tersebar secara meluas seperti sekarang," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor.

Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat tidak harus percaya dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor kerana ia palsu dan tidak berasas serta tidak disokong dengan bukti yang kukuh, malah terhasil dengan memutar belit fakta.

Beliau berucap pada Kursus Pemukiman Penceramah anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini malam ini.

Rizal seterusnya berkata Program Permata Negara (Permata), yang dinaungi Rosmah, ditubuhkan kerana isteri perdana menteri itu mahu memberi sumbangan kepada bidang pendidikan awal kanak-kanak yang sebelum ini dilihat kurang mendapat perhatian.

Permata, kata Rizal, bukan satu pembaziran tetapi pelaburan untuk pendidikan kanak-kanak, dan hasilnya mungkin tidak dapat dilihat sekarang tetapi dalam tahun-tahun mendatang.

Beliau berkata sesiapa yang mengenali rapat isteri perdana menteri mengetahui bahawa beliau sebenarnya seorang yang peramah sifatnya.

-- BERNAMA

Khamis, November 03, 2016

SKMM SIASAT PORTAL BERITA TERIMA DANA ASING

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyiasat aduan berhubung penyaluran dana asing kepada portal berita tertentu dengan niat menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata laporan tersebut akan diserahkan kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pihaknya menerima banyak aduan berhubung ancaman itu dan siasatan terperinci perlu dibuat dengan meneliti pelbagai sumber media baharu sebelum ia diserah kepada Peguam Negara.

"Kita telah terima aduan tentang perkara itu dan sekarang ini kita lihat (penglibatan) media baharu. Kita sedang kenal pasti daripada sumbernya. Kemudian serah kepada AG (Peguam Negara) untuk buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis pra pelancaran KL International Youth Discourse 2016 di sini hari ini.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan akan dibuat terhadap dakwaan hartawan George Soros membiayai BERSIH, Merdeka Center dan Malaysiakini di Malaysia.

Terdahulu, Salleh berkata kerajaan sedia ada yang dipilih secara demokrasi tidak seharusnya dijatuhkan secara tidak sah kerana hak untuk memilih kerajaan terletak sepenuhnya di tangan rakyat.

"Kita negara merdeka, ada kaedah sendiri untuk urus negara yang merdeka, kita amal sistem demokrasi berparlimen, rakyat ada kuasa tentukan kuasa memerintah, kita tidak boleh gunakan kaedah lain di luar Perlembagaan untuk capai matlamat tersebut," tegasnya.

Mengulas tentang dasar baharu negara iaitu Transformasi Nasional 2050 (TN50), Salleh berkata langkah pertama yang harus diambil adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada golongan belia pelbagai bangsa dan agama tentang langkah yang harus dilakukan untuk menentukan masa depan negara ini dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Sehubungan itu, beliau berkata penganjuran KL International Youth Discourse 2016 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Nov ini di Sunway Resort and Spa Petaling Jaya adalah langkah terbaik untuk mendapatkan pandangan dan pendapat belia.

Najib pada perbentangan Bajet 2017 mengumumkan TN50, iaitu visi untuk terus memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi serta berstatus negara maju.

-- BERNAMA

PSKLM NAFI TOL NAIK 16 NOVEMBER

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) menafikan khabar angin yang tersebar melalui media sosial berhubung kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya utama berkuat kuasa 16 Nov ini.

Timbalan Yang Dipertua PSKLM Sazally Saidi berkata khabar angin tersebut adalah tidak benar dan dipercayai telah dikitar semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"16 Nov tu pun hari Rabu bukannya Isnin macam dalam 'statement hoax' (kenyataan palsu) itu," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

Selasa, November 01, 2016

TAK BOLEH BIARKAN DANA ASING

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Campur tangan kuasa asing terhadap pembiayaan dana parti politik di negara ini tidak boleh dibiarkan agar kedaulatan negara tidak terancam, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.


Beliau berkata isu berkenaan amat serius kerana pemberian dana asing kepada organasisi tempatan boleh menaikkan atau menjatuhkan kepimpinan negara.

"Kalau dibiarkan berlaku tanpa 'check', bukan saja ada campur tangan asing terhadap politik dalam negara, tetapi ada 'elemen of subversion' sama ada dana itu datang secara sah dan tidak.

"Ini adalah satu daripada sebab kenapa UMNO dan Barisan Nasional mahukan ada satu undang-undang. Masalahnya sekarang kalau benar-benar ia berlaku, apakah ada undang-undang untuk mengawalnya?" katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Biro Penerangan UMNO di sini hari ini.

Annuar mengulas laporan media semalam mengenai sebuah badan asing dipengerusikan jutawan George Soros didakwa membiayai beberapa organisasi tempatan dalam programnya bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

Annuar menegaskan kes seumpama ini memperkuatkan lagi keperluan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal selia dana politik, walaupun terdapat bantahan daripada pihak pembangkang.

Dalam pada itu beliau berkata UMNO setakat ini belum lagi membincangkan isu anggota Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, juga bekas Menteri Kewangan II, yang dikatakan mendedahkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Sejak Husni berucap di Parlimen, saya ada jumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam pelbagai hal, tiada pula PM bangkit.

"Saya ada jumpa setiausaha agung (UMNO)(Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) tak ada pun setiausaha bangkit. Saya ada jumpa kawan-kawan jawatankuasa biro politik pun tiada dibangkit. Tetapi esok lusa saya tak tahu," katanya.

Sesi merekod keterangan Ahmad Husni (berhubung ucapannya di Parlimen) di Bukit Aman yang sepatutnya berlangsung semalam, ditangguh ke minggu depan.

Sementara itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini menyerahkan dokumen sulit sebanyak 24 muka surat, kepada pihak polis, dikatakan mengandungi bukti penglibatan John Pang dan George Soros yang didakwa membiayai dana kumpulan Bersih.

Presiden JMM Datuk Azwanddin (ulang: Azwanddin) Hamzah berkata sumbangan kewangan kepada Bersih dibuat menerusi Open Society Foundation (OSF) yang diterajui Soros.

Pang merupakan seorang daripada ahli lembaga OSF.

Azwanddin bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis dan menyerahkan dokumen terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Azwanddin berkata JMM memperolehi dokumen rahsia berkenaan daripada beberapa pihak dari dalam dan luar negara.

Katanya, JMM juga akan menyerahkan memorandum kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) esok bagi menyiasat beberapa pemimpin pembangkang termasuk Bersih yang diragui kekayaan mereka.

Sementara itu, anggota Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Ibdilillah (ulang: Ibdilillah) Ishak turut membuat laporan polis mengenai perkara yang sama.

-- BERNAMA

Isnin, Oktober 31, 2016

RATING TERTINGGI BAGI BULAN OKTOBER 2016

Berita asli dari Kemaman telah menjuarai rating tertinggi bagi bulan oktober 2016 iaitu NADMA sabotaj TPM? yang menerima 323 hits.Ini diikuti dengan berita Penang Front Party yang mendapat hit dua hari berturut-turut.






Nampaknya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendapat rating yang tinggi sebanyak dua kali iaitu NADMA sabotaj TPM? dan Mengenang Zahid Hamidi 20 tahun yang lalu. 10 berita tertinggi bagi bulan Oktober adalah seperti berkut:-

1. NADMA sabotaj TPM? ( 24 Oktober)
2. Dua menteri tiada pendirian tetap (26 Oktober)
3.Mengenang Zahid Hamidi 20 tahun yang lalu (15 Oktober)\
4. Tak salah jadi penasihat kata Zahidi (12 Oktober)
5. PAS akan gabung dengan BN? (5 Oktober)
6. PAS akan kerjasama dengan Parti Bersatu yang tolak RUU355? (3 Oktober)
7. PFP akan ganti Gerakan dan MCA di Pulau Pinang (11 Oktober)
8. Taja Gegar Vaganza mampu, bayar GST tak mampu (13 Oktober)
9.Rating tertinggi bagi bulan September 2016 (1 Oktober)
10.Umno Terengganu nafi keluarkan senarai calon (8 oktober)

Ahad, Oktober 30, 2016

BILL GATES DERMA RM356 BILION KEPADA GOLONGAN MISKIN



NEW YORK:  Tiga anak jutawan Microsoft, Bill Gates bangga dengan keputusan bapa mereka yang tidak menyerahkan harta berjumlah AS$85.52 bilion (RM356.16 bilion) untuk diwarisi tetapi sebaliknya didermakan semuanya kepada golo­ngan miskin.


Gates, 60, yang mempunyai dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki berkata, semua anaknya memahami dan me­nyokong keputusan itu.

“Wang ini adalah untuk membantu mereka yang miskin. Anak-­anak saya tahu dan bangga malah mereka turut melihat kerja-kerja kebajikan yang dilakukan,’’ katanya.

Menurut laporan Mail Online, Gates tidak meninggalkan kemewahan kepada mereka sebaliknya memberi pendidikan yang terbaik supaya mereka boleh memulakan karier masing-masing.

“Walaupun begitu, mereka tidak akan menjadi miskin. Mereka tetap mempunyai sokongan kewangan bagi tujuan keselamatan,’’ katanya.

Gates yang menceritakan ke­hidupan peribadinya kepada ran­cangan televisyen, This Morning turut menegaskan, beliau tidak mahu memberi kemewahan me­lampau kepada anak-anaknya ke­rana ia akan membawa ke­pincangan dalam perkara yang mereka lakukan, sebaliknya mereka perlu mencipta hala tuju sendiri.

Tiga anak Gates iaitu, Jennifer, 20, Rory, 17 dan Phoebe, 14 merupakan hasil perkahwinannya dengan Melinda, 52.

Jennifer kini belajar dalam tahun dua di Universiti Stanford, California yang mana Gates turut menderma sebanyak AS$6.11 juta (RM25.45 juta) bagi pembinaan bangunan sains komputer atas nama beliau.

Jennifer juga seorang penunggang kuda yang hebat dan sering menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan.

Rory dan Phoebe masih bersekolah dan tinggal bersama-sama Gates di Seattle, Washington.

Gates hanya mewariskan sebahagian kecil harta kepada anak-anaknya, manakala selebihnya akan didermakan kepada badan kebajikan miliknya, Yayasan Bill dan Melinda Gates yang membiayai projek-projek pendidikan dan kesihatan di seluruh dunia.

Sabtu, Oktober 29, 2016

HAJI HADI MENEMUI DR SALLEH BINCANG ISU SEMASA



Langkah yang diambil oleh Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang mengunjungi Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di pejabatnya  memang wajar diberi pujian. Walaupun beliau adalah pemimpin parti pembangkang tetapi beliau sanggup merendah diri menemui menteri Umno.

Melestari budaya politik matang dan sejahtera, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS terus memacu perjuangan ini merentas pelbagai sempadan dan tembok yang melingkar dalam usaha mengarusperdanakan perjuangan dan penyelesaian Islam*yang diperjuangkan oleh PAS.

Minggu lepas menyaksikan satu lagi siri pendekatan yang mempertemukan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Menteri Komunikasi dan Multi MediaMalaysia, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said di pejabatnya Angkasapuri.

Mengiringi Datuk Seri Tuan Guru ialah Naib Presiden PAS ,Ustaz Idris Ahmad dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beberapa isu penting dibincangkan dalam pertemuan tersebut melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

Datuk Seri Tuan Guru yang juga di atas sifatnya sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Antarabangsa telah memberi penglibatan untuk sama - sama mencari jalan mengatasi isu penculikan di perairan Sabah dan menegaskan perlunya satu penyelesaian yang lebih menyeluruh dalam merungkai isu tersebut.

Subjek penting dalam pertemuan itu juga ialah saranan Datuk Seri Tuan Guru kepada pihak berkuasa kementerian agar dapat mewujudkan inisiatif kerjasama pemberitaan dikalangan negara serantau terutama untuk melawan pelampau media dengan pemberitaan palsu dan fitnah mereka yang berleluasa mutaakhir ini termasuklah mendepani keganasan media dan agensi berita asing dengan pemberitaan yang direka cipta untuk melunaskan agenda tersembunyi mereka.

Datuk Seri Tuan Guru turut menarik perhatian agar isu menangani media sosial dan ia menjadi tanggungjawab semua pihak dalam meneliti kesahihan dan kewajaran maklumat yang di muat naik ke dunia siber itu.

Justeru itu, Datuk Seri Tuan Guru turut menegaskan betapa keganasan dan pelampau media ini sangat bahaya dan mampu menggugat keharmonian masyarakat atau rakyat dalam negara kita.

Kunjungan ini turut mempamerkan pendekatan PAS sebagai Pembangkang Konstruktif (Pembangkang Yang Membina). Bertemu dan memberi pandangan, kritikan serta membantu untuk sama - sama ambil tanggungjawab bagi merungkai masaalah semasa yang membelenggu negara dan rakyat.