Ahad, November 06, 2016

AHLI UMNO PERLU TANGKIS DAKWAAN PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Anggota UMNO dan parti komponen lain Barisan Nasional (BN) perlu bersama-sama menangkis sebarang dakwaan yang cuba memburuk-burukkan kerajaan serta para pemimpin negara.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata tanggungjawab mempertahankan kebenaran perlu dilaksanakan bersama-sama untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

"Walaupun BN ini bukan kerajaan yang maksum, bukan 'perfect government', tetapi kita jauh lebih baik daripada kerajaan yang lain dan kita sentiasa mensejahterakan rakyat," katanya ketika merasmikan penutupan majlis Pemukiman Penceramah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini malam Sabtu.

Beliau menjelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pemimpin terbaik memimpin negara.

Justeru, Annuar menyifatkan dakwaan-dakwaan yang dilemparkan terhadap Najib berlaku disebabkan beliau seorang Perdana Menteri dan Presiden UMNO, dan pihak yang melaksanakan agenda itu berkemungkinan mahu mengambil kedudukan beliau.

Dalam pada itu Annuar berkata penceramah-penceramah KKMM perlu membuat persediaan terperinci dan memahami segala isu yang ingin dikongsi bersama peserta.

"Berceramahlah dalam bidang yang kita tahu sahaja. Subjek dan bahasa yang kita fasih sahaja supaya peserta faham apa yang kita ketengahkan.

"Ini kerana ceramah atau pidato ini bergantung pada keberkesanan penyampaian kita dan jangan bergantung kepada nota yang kita bawa," kata beliau.

-- BERNAMA